Setiap negara ada cerita hantu atau mitos urban yang bikin bulu roma meremang. Silap haribulan, ada yang berlari dan tinggalkan kerusi roda (kes Usop Wilcha) atau berlari dengan tangan memakai selipar (geng Usin kena kejar hantu Kak Limah). Di Jepun, mereka juga ada kisah hantu atau mitos urban yang bisa buatkan sesiapa berlari seperti dalam Kung Fu Hustle!
1. Bahana makan ikan duyung
Bagi para pembaca The Patriots, pasti ada terhibur membaca komik salah seorang penulis kami iaitu Jiji Azizan atau dikenali juga sebagai Yoo Mat di halaman Facebooknya. Ramai tidak kering gusi membacanya termasuk kartun si Mat menyiang ikan duyung kerana si duyung mahukan hantaran terlalu tinggi.
Dan ini ada kaitan dengan cerita rakyat Jepun ini. Suatu masa dahulu, ada seorang nelayan tertangkap seekor ikan duyung semasa menangkap ikan di laut. Dia membawanya kembali ke rumah, menyiang dan memasaknya untuk dijadikan jamuan untuk rakan-rakannya. Salah seorang tamu masuk ke ruang dapur secara tidak sengaja dan terlihat saki-baki ikan yang disiang.
Tamu tersebut teringat bahaya memakan ikan duyung dan mengarahkan rakan-rakannya lain agar berhenti. Walaupun mereka memilih untuk terus makan, ada yang secara senyap-senyap menyimpan lebihan lauk ikan duyung dalam pakaian mereka. Jika sudah tahu bahaya, patutnya ia dibuang ke laut. Tetapi tidak tahu sama ada tamu ini terlalu mabuk kerana minum banyak sake atau terlupa, salah seorang daripada mereka pulang ke rumah tanpa membuangnya. Bila si anak mengadu kelaparan, si ayah tanpa berfikir panjang memberinya lebihan ikan yang disimpan.
Pada mulanya, semua nampak normal tetapi untuk tahun-tahun kemudian, barulah si anak perasan bahawa dirinya tidak dimamah usia seperti orang lain. Ini kerana suami-suami yang dikahwininya meninggal dunia pada usia tua sedangkan dirinya masih lagi kelihatan muda. Tahulah dia bahawa lebihan ikan yang diberi ayahnya tahun-tahun sebelumnya sebenarnya ialah lebihan ikan duyung. Dia kemudian menggunakan saki-baki umurnya dengan berbakti kepada masyarakat melalui cara sebagai rahib Buddha dan kisahnya diabadikan dengan tajuk Kisah Rahib Buddha Berumur 800 Tahun.
2. Hitobashira
Seperti mana-mana sesetengah tamadun, Jepun juga tidak dapat lari dari amalan korban manusia. Amalan ini dikenali sebagai hitobashira dan berlaku sehingga abad ke-16. Ianya dibuat dengan menawarkan korban manusia kepada dewa-dewi bagi melindungi sesebuah projek pembinaan dari ancaman bencana alam seperti banjir dan serangan pihak musuh. Dan bagi merealisasikan amalan ini, mangsanya selalunya akan ditanam hidup-hidup berhampiran atau di bawah bangunan yang dibina. Amalan ini juga bertanggungjawab mewujudkan beberapa mitos urban yang terus bertahan sehingga hari ini.
Salah satu mitos yang ada kaitan dengan hitobashira ialah mitos Istana Maruoka. Istana ini dibina pada tahun 1576 atas arahan Shibata Katsutoyo, anak angkat Jeneral Shibata Katsuie, salah seorang panglima perang kepercayaan Oda Nobunaga.
Semasa istana tersebut cuba diselesaikan pembinaannya pada abad ke-17, dinding istana sentiasa roboh dan memeningkan kepala para pembinanya. Untuk mengatasi masalah tersebut, mereka mencadangkan hitobashira dilakukan dengan seorang wanita tua bermata satu bernama Oshizu dicadangkan sebagai korban.
Oshizu bersedia berbuat demikian sekiranya Honda Narishige berjanji menjadikan anaknya sebagai salah seorang samurai. Hitobashira dilaksanakan dan sejak itu, proses pembinaan Istana Maruoka berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Malangnya, janji anak Oshizu dijadikan samurai gagal direalisasikan berikutan istana tersebut dirampas semula oleh Keshogunan Tokugawa selepas cicit Narishige, Shigemasu merupakan seorang kaki botol dan tidak boleh diharap. Sejak itu, istana tersebut diserahkan kepada puak Arima sebelum ia didermakan kepada majlis perbandaran tempatan pada tahun 1901.
Setiap kali musim bunga, parit-parit istana sentiasa dipenuhi dengan air akibat hujan lebat. Penduduk tempatan percaya hujan tersebut berlaku akibat gangguan semangat Oshizu dan mereka mendirikan sebuah memorial untuk menenangkan semangatnya.
3. Tengu
Dari zaman purba hinggalah abad ke-14, tengu menjadi pengacau kepada penduduk tempatan. Tengu digambarkan sebagai makhluk seperti burung dengan sayap dan paruh (paruh digantikan dengan hidung besar) banyak muncul dalam pelbagai cerita rakyat Jepun.
Mereka ini digambarkan sebagai semangat hutan dan gunung, semangat peperangan, musuh kepada ajaran Buddha termasuk menculik sami-sami dan membakar kuil-kuil serta menculik kanak-kanak. Bagi menenangkan semangat-semangat ini, masih ada yang meletakkan makanan sebagai persembahan terhadap tengu dan beberapa festival turut diadakan dengan ia didedikasikan kepada tengu.
Walaupun ada yang mengatakan mereka sebagai hantu, ada yang berpandangan tengu sebenarnya sami-sami Buddha yang menyeleweng dan perlu menjalani kehidupan di pergunungan sebagai hukuman atas perbuatan mereka. Ada juga yang berpandangan tengu sebenarnya merujuk kepada satu puak ninja yang setaraf puak Iga dan Koga berdasarkan satu khabar angin pada tahun 1980-an.
Menurut mereka, puak ninja ini setaraf dengan Iga dan Koga dari segi kemahiran tetapi amat berahsia tentang kewujudan mereka. Tengu juga dikatakan menyumbang kepada peningkatan kemahiran samurai Minamoto no Yoshitsune di mana menurut legenda, Yoshitsune diajar kemahiran pedang oleh seorang tengu agar beliau dapat membalas dendam kematian bapanya, Yoshitomo yang dibunuh oleh puak Taira.
4. Patung Okiku
Pada akhir dekad 20-an, seorang lelaki membeli sebuah anak patung khas untuk adiknya yang berusia dua tahun. Tetapi pada tahun 1919, adik perempuannya meninggal dunia dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga berkenaan. Justeru, anak patung itu disimpan sebagai tanda kenangan terhadap kanak-kanak itu.
Tetapi mereka perasan dalam tempoh beberapa bulan, rambut anak patung itu bertambah panjang lalu patung tersebut dibawa kepada seorang sami untuk diperiksa. Selepas meminta ia ditinggalkan untuk diperhatikannya, ia ditinggalkan di sebuah kuil selama beberapa bulan dan sami tersebut percaya perkara tersebut berlaku.
Sejak itu, ia ditinggalkan di kuil sehingga hari ini. Dan apabila sampel rambut tersebut diuji untuk ujian, ujian DNA mengesahkan ia memang rambut manusia. Patung ini dinamakan sempena nama pemilik asalnya itu.
5. Yuki-onna
Terdapat pelbagai variasi tentang Yuki-onna tetapi kesemua kisah ini mempunyai beberapa persamaan. Puteri salji ini dikatakan memiliki paras rupa yang jelita, berkulit putih melepak, memakai kimono berwarna putih dan mempunyai rambut hitam yang panjang. Dia membunuh manusia dengan cara menghisap rohnya melalui hubungan seks atau ciuman (cara agresif) atau menggunakan cuaca buruk seperti ribut salji untuk membunuh mangsanya.
Pada masa lalu, Yuki-onna digambarkan sebagai syaitan kerana kaitannya dengan cuaca buruk semasa musim salji. Tetapi kebanyakan kisah hari ini memperlihatkannya sebagai hantu atau semangat yang ada kaitan dengan alam semulajadi. Kisah-kisah berkisar tentang Yuki-onna dikatakan diambil dari isu perkahwinan berlainan spesies (hantu/haiwan-manusia) atau sebagai tanda permulaan atau pengakhiran musim.
6. Teke Teke
Teke Teke berkisar kepada mitos urban hantu wanita muda atau pelajar sekolah wanita yang terjatuh di atas landasan keretapi dan terbunuh apabila badannya terbelah dua selepas digilis keretapi. Kini sebagai hantu yang ingin membalas dendam, dia akan berjalan menggunakan tangan atau siku untuk menarik bahagian atas badannya sekaligus menghasilkan bunyi teke teke semasa bergerak.
Sesiapa yang tidak bernasib baik terserempak dengannya akan dibunuh dengan separuh daripada badan mangsanya dipotong dua, sama seperti keadaannya sebelum mati digilis keretapi. Kisah teke teke ini berkemungkinan diinspirasikan daripada patung padi yang dipanggil Kashima-sama yang dibuat oleh penduduk kampung untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk kecelakaan dan namanya akan disebut untuk menghalau makhluk halus keluar dari kampung mereka.
Tetapi bila ia dibawa ke tempat lain, nama Kashima-sama bertukar kepada Kashima-san di mana ramai menyangka ia merujuk kepada semangat jahat seorang wanita atau samurai yang cedera yang menyembah Kuil Kashima.
7. Kuchisake-onna
Sebelum Joker dikenali dengan kerenahnya meninggalkan kelaran berbentuk senyuman Glaswegian pada mangsanya, ada seorang wanita menjadi Joker versi Jepun. Jika anda berjalan di jalan yang sunyi, memang sah sesiapa saja akan meloncat apabila dihampiri hantu yang menutup mukanya dan bertanya sama ada dirinya cantik atau tidak.
Jika menjawab ya, hantu Kuchisake-onna ini akan membuka topeng mukanya dan mendedahkan kelaran senyuman dari telinga sampai ke mulut. Jika ditanya sekali lagi sama ada dia masih cantik atau tidak, siapa yang masih yakin dengan jawapannya akan dilepaskan.
Jika jawapan diberi ialah tidak atau ya dengan nada terketar-ketar, maka mangsanya akan ditikam dengan gunting atau dikelar dari telinga hingga burung. Mangsa boleh melepaskan diri dengan memberi jawapan sederhana, memberitahu dirinya tiada masa atau menabur wang/gula-gula untuk memberi peluang kepada mereka melarikan diri.
Kisah Kuchisake-onna dikatakan bermula semasa era Heian tetapi ada juga berpandangan ia berlaku pada zaman Edo. Ia mengisahkan seorang wanita yang jelita di sebuah kampung dan bila keluar bersiar-siar, sentiasa bertanya sama ada dirinya cantik atau tidak. Jawapan ya dari penduduk kampung memberinya keyakinan untuk melakukan apa saja termasuk mengadakan hubungan sulit dengan seorang askar.
Apabila hubungan sulit itu diketahui suaminya yang juga seorang samurai, si suami mengambil sebilah gunting dan mengelar mukanya dari telinga sampai mulut sekaligus merosakkan paras rupanya. Tak lama selepas itu, wanita itu membunuh diri dan kembali sebagai hantu yang mahu membalas dendam dengan merasuk seorang perempuan dan mengubah badan perempuan itu mirip badannya sebelum berkeliaran ke mana-mana tanpa diketahui orang ramai.
8. Kunekune
Jika anda melihat bayang-bayang di kawasan penanaman padi atau barli pada hari-hari musim panas yang terik, jangan pandang dan segera berpaling. Anda berkemungkinan melihat hantu Kunekune yang berbentuk seperti helaian kertas yang nipis tetapi besar atau kain putih yang besar yang bergerak walaupun hari itu tiada tiupan angin. Kunekune ini berkemungkinan berdasarkan kisah hantu membabitkan orang-orangan, penyembahan Dewi Tekstil (Tanmono-sama) atau penyembahan ular.
SUMBER
1. Lennon, Jen. The Creepiest Japanese Urban Legends To Keep You Up At Night. Ranker.com. https://www.ranker.com/list/creepy-japanese-urban-legends/jenniferlennon
2. Derosa, Victoria. (2014). 10 Horrifying Demons and Spirits from Japanese Folklore. MentalFloss.com. http://mentalfloss.com/article/59737/10-horrifying-demons-and-spirits-japanese-folklore
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih