Semasa China masih lagi diperintah oleh maharaja, salah satu peranan baginda ialah memastikan kesinambungan sesebuah dinasti. Cara ini dicapai dengan mendapatkan anak baik sama ada melalui maharani atau para gundik baginda di harem diraja. Walaupun kelas hierarki wanita-wanita ini berubah mengikut perubahan zaman, ia boleh dianggap salah satu institusi paling penting dari segi pemerintahan negara itu.

Hierarki harem diraja China yang teratas dihuni oleh maharani – isteri rasmi maharaja. Baginda merupakan figura yang paling dihormati dalam kalangan ramai wanita China bersesuaian dengan statusnya sebagai bonda dunia. Dalam harem. hanya maharaja dan bonda maharani yang dianggap lebih tinggi kedudukannya berbanding maharani. Selain kedua-duanya, semua wanita dalam harem harus mematuhi titah baginda.

Maharani Wu Zetian merupakan Maharani Balu paling terkenal dalam sejarah diraja China.

Selain maharani, terdapat juga Maharani Balu (Empress Dowager). Maharani Balu di sini merujuk kepada maharani-maharani yang mengalami kemangkatan suami bergelar maharaja semasa era pemerintahan suami mereka. Salah seorang Maharani Balu yang terkenal ialah Wu Zetian dari Dinasti Tang. Baginda kemudiannya mencipta sejarah sebagai maharaja wanita pertama China dari akhir abad ketujuh hingga abad kelapan Masihi.

Di bawah maharani pula ialah permaisuri. Setiap dinasti mempunyai bilangan permaisuri yang berbeza-beza. Misalnya, semasa era Dinasti Qing, harem diraja mempunyai tujuh permaisuri dengan gelaran yang berlainan. Di bawah mereka, barulah para gundik dengan bilangan mereka ditentukan oleh maharaja. Tiada had berkenaan bilangan gundik yang diambil maharaja dengan sesetengahnya boleh saja mencecah 20,000 orang.

Kebiasaannya, semua wanita layak menjadi xiunu (wanita elegan) untuk dipilih menyertai harem diraja. Pemilihan ini dibuat seawal era Dinasti Jin (265-420 Masihi) dengan kriteria xiunu berbeza-beza mengikut setiap maharaja. Pengecualian hanya diberi kepada wanita berkahwin atau yang mempunyai kecacatan fizikal yang disahkan oleh doktor.

Tetapi semua itu berubah semasa era maharaja Dinasti Qing, Shunzhi (1638-1661). Baginda berpandangan xiunu diambil daripada Lapan Panji (kerangka kerja pentadbiran dan ketenteraan orang Manchu) dengan kebanyakan yang dipilih berdarah Manchu atau Mongol.

Yang pasti, proses ini dimulakan dengan Lembaga Hasil China menghantar notis kepada pegawai-pegawai garison ibu negara dan wilayah bagi mendapatkan bantuan ketua-ketua puak dan wilayah. Mereka kemudiannya menyenaraikan bilangan wanita yang ada di sesebuah wilayah sebelum menyerahkannya kepada komander markas dan Lembaga Hasil China di Beijing. Setelah itu, barulah pihak lembaga mengumumkan bila hari pemilihan xiunu diadakan.

Semasa era Dinasti Qing, xiunu akan dibawa ke Pintu Gerbang Shinwu, Kota Larangan untuk diperiksa. Biasanya, mereka akan diiringi oleh ibu bapa atau ahli keluarga, ketua puak dan pegawai wilayah yang diwakili mereka.

Terdapat empat perkara yang perlu dilepasi xiunu sekiranya mahu memasuki harem diraja. Pertama, penilaian kecantikan di mana maharaja, ayahanda dan bondanya menilai. Mana yang bernasib baik akan memasuki fasa kedua iaitu pemeriksaan kesihatan. Semua aspek kesihatan mereka akan diperiksa termasuk bau badan dan jangkitan kulit.

Seterusnya, selepas lulus ujian kesihatan, xiunu akan menjalani proses pembelajaran dan latihan dari segi etika termasuk cara berjalan dan bercakap. Mereka juga perlu belajar-belajar perkara-perkara tertentu seperti catur, menari, membaca dan menulis. Akhir sekali, mana yang berjaya lepas akan menjadi pembantu bonda maharaja selama beberapa hari termasuk tidur dengan baginda. Mana-mana individu yang mempunyai tabiat buruk semasa tidur akan ditolak.

5,000 wanita dipilih bagi menyertai siapa wanita paling layak menyertai harem diraja Maharaja Tianqi.

Contoh fasa-fasa ini dapat dilihat pada era maharaja Dinasti Ming, Tianqi. Pada 1621, baginda mengutus sida-sida ke seluruh negara untuk memilih 5,000 orang wanita berusia antara 13 hingga 16 tahun. Wanita yang bertuah daripada 5,000 orang ini akan dipilih sebagai ahli terbaru harem baginda. Daripada 5,000 ini, 1,000 diarah pulang kerana terlalu rendah, tinggi, gemuk atau kurus.

Pada hari kedua, para sida akan memeriksa keadaan fizikal xiunu termasuk tahap suara mereka. Fasa ini menyaksikan 2,000 lagi xiunu disingkirkan. Hari ketiga pula menyaksikan lebih 1,000 lagi disingkirkan atas sebab pergerakan fizikal mereka tidak memuaskan termasuk kelembutan semasa berjalan. Baki 1,000 lain akan menjalani pemeriksaan ginekologi di mana pada akhir pemeriksaan, 700 orang akan diarah pulang.

Baki 300 xiunu yang tinggal akan tinggal di istana bagi menjalani penilaian dari segi moral, perwatakan dan kebijaksanaan. 50 calon teratas kemudiannya akan menjalani ujian dan temuduga berkenaan matematik, seni, kesusasteraan dan falsafah. Hanya tiga yang terbaik sahaja yang menyertai harem diraja sebagai gundik baginda.

Tetapi jika ada menyangka maharaja boleh masuk ke harem diraja dan menyetubuhi para wanita di situ sesuka hati, tanggapan itu salah. Hakikatnya, baginda perlu mengikut tarikh kalendar yang ditetapkan dan fasa bulan setiap kali menggauli gundik-gundik baginda. Oleh sebab itu, setiausaha-setiausaha akan merekodkan jadual kelamin maharaja dengan menggunakan dakwat merah merona diraja.

Bagi memastikan urusan harem diraja berjalan lancar, hanya sida-sida saja yang dibenarkan berkhidmat di situ. Sida tidak dianggap satu ancaman kerana mereka telah dikasi terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkhidmat di istana. Walaupun berkhidmat sebagai khadam di harem, mereka boleh saja menjadi lebih berkuasa dan kaya dengan cara melibatkan diri dalam aktiviti politik. Semasa Dinasti Ming, terdapat 100,000 orang sida berkhidmat di harem diraja.

Disebabkan bilangan wanita yang ramai dalam harem, persaingan sesama mereka tidak dapat dielakkan. Sasaran utama sudah pastilah kedudukan maharani dengan anak hasil perkongsian hidup maharaja dianggap anugerah tidak ternilai dalam persaingan mereka. Ada juga kes gundik-gundik ini berpakat dengan sida untuk menjatuhkan pesaing mereka. Sebagai ganjaran, mereka akan diberi ganjaran kewangan atau kuasa atas usaha mereka itu.

Begitupun, tidak semua harem penuh dengan konspirasi. Ada harem seperti para gundik Maharaja Qin Shi Huang menyaksikan mereka dipilih bukan kerana kecantikan tetapi kerana kecekapan mereka. Salah seorang daripada mereka bertanggungjawab memperkenalkan masakan dan penyepit. Sementara seorang lagi gundik bertanggungjawab mencipta sikat. Kecekapan mereka membantu Shi Huang mentadbir negara dengan berkesan.

Tetapi satu hakikat yang tidak boleh lari ialah nasib para gundik ini selepas maharaja mangkat. Ramai gundik ditanam hidup-hidup bersama maharaja bagi memastikan baginda sentiasa ditemani mereka walaupun di alam barzakh.

Kalau anda berminat dengan artikel sejarah China seperti ini, kami nak cadangkan pembelian judul terbaru kami, Kitab Tamadun China. Nak tahu lebih lanjut, dapatkannya di sini.

RUJUKAN

Duhalde, M. (2018, 12 Julai). Life inside the Forbidden City: how women were selected for service. South China Morning Post.

Mingren, W. (2017, 25 Mac). 20,000 Women and 100,000 Castrated Men to Serve the Emperor: The Imperial Harem of China. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply