Populariti Hotel Chester mungkin tidak setanding dengan The Plaza atau Ritz. Bangunannya pun hanya sekadar dua tingkat, jauh sekali sebuah mercu taraf tujuh bintang.
Tetapi Hotel Chester mempunyai kisah yang boleh diambil sebagai inspirasi. Sejujurnya, hotel ini mempunyai segalanya untuk berjaya. Ia terletak di sebuah simpang empat sangat sibuk dengan aliran lalu lintas.
Meskipun besar, orang tidak tahu inilah Hotel Chester.
Lima minit menyusuri Russell Street pula ialah Universiti Negeri Mississippi yang mempunyai lebih daripada 20,000 pelajar.
Ini bermakna setiap tahun, sekurang-kurangnya 40,000 orang (dalam kalangan ibu bapa pelajar) akan mengunjungi kawasan ini untuk pendaftaran dan konvokesyen.
Hotel Chester tentu sekali menjadi destinasi mereka… tetapi atas sebab tertentu, Hotel Chester bukan pilihan mereka.
Jadi pihak pengurusan meminta bantuan daripada Gordon Ramsay, yang aktif dengan siri televisyen Hotel Hell.
Pemilik hotel ini ialah David Mollendor, bersama isterinya Sukie. David mempunyai pengalaman luas dalam industri perhotelan.
Namun keluarga Mollendor ditimpa musibah besar, apabila David terlibat dalam satu kema.langan teruk.
Selama enam bulan David terlantar di hospital – dan sejak hari itu, keluarga Mollendor kehilangan segalanya sampai terpaksa memohon perlindungan muflis.
Tidak mampu mengupah pekerja, Sukie mengambil alih sebagai chef tanpa sebarang pengalaman.
Hasil tangan Sukie tidak mencapai piawaian taraf hotel. Terlalu berminyak dan memakan masa. Itulah sebab ramai yang naik minyak. Walau bagaimanapun, David dan Sukie boleh menerima teguran dengan baik.
Mereka tidak dibuai sifat angkuh dan ego yang menebal tanpa sebarang asas. Sesiapa yang mengikuti Kitchen Nightmares tentu sekali naik muak tengok ramai mempertahankan hidangan mereka.
Apabila ditegur, mereka enggan menelan hakikat walau sedikit pun. Contohnya Amy Baking Company yang pemiliknya koyak rabak semasa ditegur Ramsay.
Namun David dan Sukie sedar. Mereka perlu perubahan. David sendiri sedih tengok Sukie penat di dapur.
Ketika itu juga Ramsay mendapat kejutan, yang David dan Sukie sebenarnya tiada rumah. Mereka tidur di bilik kurang upaya yang tiada pengudaraan langsung.
Rumah mereka sudah dilelong bank kerana tidak mampu membuat pembayaran. Inilah titik perubahan dalam hidup keluarga Mollendor.
Pemodenan Hotel Tanpa Kos Tinggi
Hotel Chester sebenarnya mempunyai potensi besar. Cuma rekaan (design) hotel tersebut seolah-olah ketinggalan zaman.
Jadi Gordon Ramsay membuat sentuhan baru untuk menaikkan keceriaan setiap bilik. Beliau mengubah hidangan hotel.
Asalnya Sukie Mollendor menawarkan hidangan Jepun yang memakan masa sangat lama. Sekarang ini Sukie tidak perlu bersusah payah lagi. Kerana Ramsay menawarkan hidangan yang mesra dengan warga-warga tempatan.
Salah satu tawaran ialah Gordon Burger yang diminati anak muda. Jadi sekarang Hotel Chester mempunyai dua magnet: 1) bilik untuk keluarga pelajar dan 2) makanan untuk pelajar.
Ruangan makan pun diberikan sentuhan semula, menggunakan konsep terbuka (open concept) yang sesuai dengan makanan panggang.
Amerika Syarikat sangat menggilakan konsep ini ketika musim panas, kerana kehijauan daun dan warna-warni bunga yang dikucup Matahari panas. Setiap elemen digunakan Ramsay untuk memperbaharui suasana hotel.
Tetapi Ramsay tahu semua takkan bertahan selagi Hotel Chester tidak keluar daripada masalah kewangan. Jadi beliau mengupah seorang chef dan dua pembantu untuk menguruskan restoran.
Sukie tidak perlu terlibat di ruangan dapur yang sekarang dikendalikan golongan berpengalaman. Gaji tiga pekerja profesional ini ditanggung Ramsay, sampai Hotel Chester mampu menjana keuntungan.
Kedatangan Ramsay sudah cukup untuk merangsangkan nama Hotel Chester. Ramai warga tempatan terdengar yang Hotel Chester sudah berubah.
Jadi mereka memberikan peluang baru dan balik dengan hati yang puas. Sentuhan Ramsay ternyata berjaya. Anak-anak muda suka burger segar yang dibuat dengan cepat.
Pelajar mesti suka hidangan yang cepat. Mereka sendiri terpaksa bergegas sana sini untuk masuk kelas. Jadi Hotel Chester memang memenuhi kehendak mereka.
Namun Ramsay mempunyai satu lagi kejutan untuk keluarga Mollendor. Beliau tidak suka tengok David dan Sukie tidur dalam bilik kurang upaya. Jadi beliau membawa mereka ke sebuah apartmen tidak jauh daripada Hotel Chester.
Dan Ramsay… seorang chef yang terkenal dengan sikap panas dan mulut tajam… sudi membayar sewa rumah selama enam bulan, asalkan David dan Sukie dapat mencari kebahagiaan semula.
Episod Hotel Hell ini mendapat 3.75 juta tontonan pada 11 Ogos 2014.
Sementara banyak hotel dibantu Ramsay akhirnya kecundang juga (kerana mereka enggan mengekalkan menu Ramsay misalnya), Hotel Chester masih aktif dengan penarafan 4.5/5 d TripAdvisor.
Ramai puji yang hotel ini sangat bersih dengan perkhidmatan memberangsangkan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih