Nasi tumpang, atau dalam dialek Kelantan, lebih dikenali sebagai nasi tupe, merupakan antara makanan yang amat terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan. Uniknya hidangan bernama nasi tumpang ini kerana rupa bentuknya yang diletakkan di dalam kelongsong berbentuk kon yang diperbuat daripada daun pisang dan kesemua lauk berada bersama dengan nasi di dalamnya. Nasi tumpang Kelantan ini adalah salah satu daripada makanan yang tersenarai dalam makanan warisan kebangsaan, sebaris dengan nasi lemak, nasi dagang dan pulut kuning.

Sebelum itu, penting untuk diingatkan bahawa nasi tumpang Kelantan ini tidak sama dengan nasi tumpang yang berasal daripada Indonesia atau disebut juga sebagai nasi tumpeng. Malah, rupa bentuk, rasa serta sejarah di sebalik kedua-dua nasi tumpang ini juga adalah berbeza. Ada di antara masyarakat Indonesia yang telah turut merasai keenakan nasi tumpang Kelantan ini dan mereka juga mengakui bahawa hidangan ini adalah sama sekali berbeza dengan nasi tumpang Indonesia.

Sejarah asal usul nasi tumpang

Secara asasnya, hidangan nasi tumpang ini sebenarnya mempunyai kisah yang unik tentang kasih sayang yang ditunjukkan oleh para isteri kepada suami mereka pada masa dahulu. Kenapa pula ia dikaitkan dengan kisah kasih sayang ini? Sebenarnya, banyak versi yang menceritakan tentang bagaimana asal usul bermulanya makanan bernama nasi tumpang ini. Namun kisah ini adalah yang selalu dan senantiasa diceritakan sejak turun temurun mengenai sejarah di sebalik nasi tumpang ini.

Dahulunya, kebanyakan masyarakat di Kelantan mencari rezeki dengan menjadi nelayan dan belayar di lautan sehingga berhari-hari lamanya. Oleh kerana pekerjaan golongan lelaki ini yang memerlukan mereka untuk berada lama di tengah lautan bagi menangkap ikan, maka mereka harus mempunyai bekalan makanan yang mencukupi bagi menampung kehidupan sewaktu bekerja. Para isteri ini telah memikirkan satu cara yang cukup bijak bagi memastikan makanan yang dibawa oleh suami-suami mereka cukup, tahan lama serta tidak memakan ruang yang banyak sewaktu mereka bekerja di lautan.

Disebabkan inilah terhasilnya nasi tumpang, di mana para isteri tersebut telah menyusun pelbagai jenis lauk pauk sekaligus bersama dengan nasi yang telah dimasak dan diisikan di dalam kelongsong kon yang diperbuat daripada daun pisang. Kaedah balutan dengan menggunakan daun pisang ini bertujuan agar nasi yang dibawa itu dapat kekal dan tahan lebih lama sepanjang berada dalam perjalanan tersebut. Selain itu, kaedah susunan lauk yang berselang seli dengan nasi juga dilakukan agar lauk tersebut tidak perlu diisi di dalam bekas yang berasingan dan sekaligus dapat menjimatkan ruang.

Satu lagi versi yang dikaitkan dengan asal usul terhasilnya nasi tumpang ini adalah ia merupakan makanan yang khas buat para petani di Kelantan. Kisah ini sebenarnya hampir sama dengan versi seperti yang diceritakan sebelum ini, kerana para petani yang bekerja di kebun dan ladang ini juga memerlukan kepada suatu bekal makanan yang cukup mengenyangkan, tahan lama dan tidak memerlukan ruang atau bekas yang banyak untuk mengisinya.

Malah, ada juga kisah yang mengaitkan penghasilan nasi tumpang ini dengan para pengembara yang ingin memulakan perjalanan yang jauh. Walau apa jua versi dan kisah yang diceritakan di sebalik penghasilan nasi tumpang ini, tujuannya sebenarnya masih sama, iaitu sebagai suatu bahan makanan yang mampu mengenyangkan untuk satu tempoh yang lama dan boleh dibawa ke mana-mana tanpa ruang yang banyak.

Ciri istimewa nasi tumpang

Nama nasi tumpang ini sebenarnya diambil kerana kaedah pengisian dan susunan lauk pauknya yang seolah-olah ‘menumpang’ di antara satu sama lain. Ini kerana setiap lauk yang disusun secara berselang seli dan menumpang bersama dengan nasi adalah berbeza-beza, mengikut citarasa dan kesesuaian yang diinginkan oleh seseorang. Antara lauk yang diisi di dalam nasi tumpang ini ialah serunding ikan, kerutuk atau gulai ayam, gulai udang, kari ikan, sambal cili dan timun.

Kebiasaannya, nasi yang dimasak sebagai nasi tumpang ini akan dimasak agak lembut seperti nasi himpit berbanding dengan nasi biasa. Ini sebenarnya bertujuan untuk memudahkan proses pengisian di dalam kelongsong kon daun pisang dan memudahkan susunannya bersama dengan lauk yang lain. Daun pisang yang digunakan bagi pembuatan kelongsong berbentuk kon ini biasanya akan dibersihkan dan disalai atau dilayurkan terlebih dahulu bagi mengelakkannya mudah koyak dan seterusnya memudahkan kerja pembungkusan.

Susunan biasa bagi nasi tumpang ini adalah mengikut turutan yang tertentu, contohnya:

1. Nasi
2. Serunding ikan
3. Nasi
4. Kerutuk atau gulai ayam
5. Kuah ayam
6. Nasi
7. Gulai udang
8. Kuah udang
9. Nasi
10. Timun
11. Ditutup dengan daun dan dicucuk dengan lidi

Pada akhir proses balutan dan pembungkusan, daun pisang berkenaan akan dicucuk dengan lidi dan bahagian luar daun pisang akan dilumur dengan sedikit minyak. Secara asasnya, proses pembuatan keseluruhan nasi tumpang ini merupakan suatu proses yang agak cerewet dan memakan masa yang agak panjang. Malah, pembuatan nasinya sahaja boleh memakan masa sehingga tiga jam bagi memastikan nasi tersebut tahan lama dan tidak cepat basi. Namun, inilah istimewanya hidangan bernama nasi tumpang, segala-galanya harus lengkap bagi memastikan ia menjadi suatu hidangan yang lengkap dan enak.

Istimewanya nasi tumpang ini ialah kebiasaannya, masyarakat Kelantan akan menjamahnya dalam keadaan yang sejuk dan bukannya panas sepertimana hidangan nasi yang lain. Malah, nasinya yang agak lembut berbanding nasi dagang atau nasi kerabu memudahkan golongan kanak-kanak dan orang tua untuk menjamahnya tanpa sebarang masalah.

Pada masa kini, perubahan ketara yang berlaku dalam pembuatan nasi tumpang ini adalah penggunaan kertas pembalut makanan bagi menggantikan penggunaan daun pisang sebagai kelongsong nasi tumpang. Ini sebenarnya banyak berlaku di kawasan bandar di mana daun pisang sukar untuk diperoleh, namun, penggunaan kertas pembalut makanan ini dianggap sebagai menghilangkan identiti sebenar nasi tumpang dan mengurangkan aromanya yang sebenar.

Kesimpulan

Nasi tumpang, meskipun pembuatannya memakan masa yang panjang dan remeh, namun ia adalah lambang kegigihan para wanita Melayu pada zaman dahulu yang berusaha untuk menyiapkan hidangan yang terbaik buat para suami mereka yang mencari rezeki dan merantau demi keluarga. Malah, simbolik di sebalik hidangan ini sebenarnya kebijaksanaan mereka dalam menyusun sebanyak mungkin lauk bersama dengan nasi, di dalam sebuah kelongsong kecil, dan memastikan ia adalah cukup untuk mengenyangkan perut orang yang menjamahnya. Nasi tumpang sebagai makanan warisan kebangsaan haruslah terus dipelihara keasliannya agar masyarakat masa kini sedar akan kewujudan sebuah hidangan yang penuh simbolik ini.

Rujukan

Hanun, D. (2016). Nasi Tumpang Kelantan. Retrieved December 17, 2018, from http://fardiyah.blogspot.com/2016/11/nasi-tumpang-kelantan.html
Maruwiah, A. (2012). Makanan Tradisional. Shah Alam, Selangor: Get Smart Publication Sdn. Bhd.
Norzailina, N. (2005). Variasi Masakan Pantai timur. Shah Alam, Selangor: Alaf 21 Sendirian Berhad.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.