Cuaca kelihatan suram dan rintik-rintik hujan mulai turun di bumi Kuala Lumpur pada 18 Disember. Hari itu, perginya seorang figura yang amat penting bagi dua tokoh negara. Tun Hajjah Rahah Binti Tan Sri Haji Mohd Noah, isteri kepada Bapa Pembangunan Negara, Tun Abdul Razak dan ibunda kepada pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat, Datuk Seri Najib telah pulang ke pangkuan Illahi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Tun Rahah sememangnya seorang wanita yang romantis kepada suaminya dan ibu yang penyayang terhadap anaknya. Di sini, penulis hendak berkongsi detik-detik awal Tun Rahah dan Tun Razak sehinggalah berjaya mendidik anak-anak mereka dan salah seorang daripadanya memegang kerusi yang sama dipegang oleh bapanya.
Segalanya bermula pada 1951 ketika Dato Hussein Bin Mohd Taib, bapa kepada Tun Razak dimasukkan ke h0sp1tal Bangsar atas alasan kesihatan. Pada suatu hari, sahabat baik Tun Razak, Tan Sri Taib Andak telah pergi melawat bapa sahabat baiknya itu.
Dato Hussein berkata kepada Taib sudah tiba masanya Tun Razak untuk beristeri dan meminta Tan Sri Taib untuk mencarikan isteri yang sesuai untuknya. Pada ketika itu, Tun Razak bekerja sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Beberapa hari kemudian, Tan Sri Taib membawa Tun Razak ke Johor Bahru dan menuju ke Sekolah Holy Infant Jesus untuk mengambil anaknya, Kalsom. Tetapi, hasrat sebenar Tan Sri Taib ialah untuk mempertemukan Tun Razak dan Tun Rahah yang mana pada ketika itu, Tun Rahah merupakan pelajar tingkatan lima di sekolah tersebut.
Buat pengetahuan pembaca, Tun Rahah merupakan anak bongsu kepada Tan Sri Haji Mohd Noah yang merupakan Pengerusi UMNO Johor di awal penubuhannya dan merupakan Speaker Dewan Rakyat Pertama.
Perancangan Tan Sri Taib berjaya. Selepas itu, Tan Sri Taib pergi ke rumah Tan Sri Haji Mohd Noah untuk merisik bagi pihak Tun Razak.Di rumah, apabila Tun Rahah ditunjukkan gambar Tun Razak yang kurus dan segak sambil memakai kot, Tun Rahah bersetuju untuk menjadi tunangan Tun Razak. Mereka bertunang selama 9 bulan dan hanya berjumpa beberapa kali sahaja.
Selepas 9 bulan, pada 4 September 1952, kedua-dua pasangan merpati dua sejoli ini akhirnya berkahwin dan memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Rupa-rupanya, perkahwinan Tun Razak ini sebenarnya bukan sahaja atas kehendak bapanya, tetapi Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar juga berkehendak supaya Tun Razak beristeri kerana Baginda bertitah semua pegawai kerajaan seeloknya beristeri dan tidak manis jika Tun Razak, seorang Setiausaha Kerajaan Negeri tidak beristeri.
Sepanjang perkahwinan mereka, Tun Rahah menggambarkan Tun Razak sebagai suami yang penyayang, baik, tidak mudah murah dan suka berjenaka. Di dalam mana-mana majlis, Tun Rahah tetap di samping Tun Razak, tidak kira walau ke ceruk kampung sekali pun.
Walaupun Tun Razak menjawat jawatan nombor 1 dalam negara, beliau juga tidak lupa akan keluarganya. Tun Razak sering membawa keluarganya berehat di tepi pantai atau pulang ke kampung.
Sesekali, mereka juga melancong ke luar negara untuk bercuti. Walaupun sebagai Perdana Menteri, Tun Razak sentiasa mengamalkan sikap bersederhana. Pernah semasa percutiannya ke Australia, Tun Razak meminta pegawainya untuk mencarikan hotel yang sederhana sahaja. Beliau juga mengajar Tun Rahah supaya tidak menunjuk-nunjuk atas segala hal.
Semasa Tun Razak menghidap peny4k1t leukemia pada 1975, beliau merahsiakan perkara tersebut kepada isterinya. Namun, hari demi hari, Tun Rahah mengesyaki bahawa Tun Razak sedang s4kit tetapi beliau tidak mendapat agaknya, apakah peny4k1t suaminya itu. Ketika berlepas ke London, Tun Rahah tidak mengetahui bahawa p3ny4k1t suaminya itu bertambah berat.
Pada Disember 1975, Tun Rahah bergegas ke London setelah diberitahu bahawa suaminya itu dalam keadaan tenat. Walaubagaimanapun, Datuk Seri Najib yang ketika itu belajar di London pulang ke Malaysia setelah melihat keadaan ayahnya bertambah baik.
Pada suatu hari, Tan Sri Taib Andak menziarahi Tun Razak di hospital. Tun Razak memesan kepadanya bahawa jangan diberitahu Tun Rahah bahawa beliau akan pergi. Dua hari kemudian, Tun Razak pun akhirnya pergi buat selamanya meninggalkan isteri dan anak-anaknya.
Selepas pemergian Tun Razak, Tun Rahah terus cekal menjalani kehidupan membesarkan anak-anaknya. Hasil kudrat usahanya, beliau menyaksikan sendiri anaknya, Datuk Seri Mohd Najib menjawat jawatan nombor satu kerajaan seperti Tun Razak.
Tun Rahah juga menyaksikan kesan pemerintahan suaminya yang berkekalan hingga ke hari ini dan pemerintahan anaknya yang sentiasa dekat di hati rakyat persis suaminya itu.
Pada 18 Disember, tulang belakang terpenting dua Perdana Menteri Malaysia ini pulang semula ke pangkuan Yang Maha Esa. Tun Rahah juga “bertemu” suaminya kembali setelah berada di alam yang berbeza selama 44 tahun.
Lebih menarik, selain disatukan bersama suaminya, Tun Abdul Razak, Tun Rahah juga disatukan semula bersama-sama bapanya, Tan Sri Mohd Noah dan kakaknya, Tun Suhaila Mohd Noah yang mana-mana masing-masing dikebumikan saling berdekatan di antara satu sama lain di M4k4m Pahl4wan, Kuala Lumpur.
Terima kasih Tun Rahah, tanpa Tun Rahah, takkan ada insan beribawa persis Tun Razak dan takkan lahirlah Dato Seri Najib yang berjiwa rakyat. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan yang beriman, kami pasti menyusul satu hari nanti.
RUJUKAN:
Sulaiman, T. (2016, January 14). When Tun Razak met Toh Puan Rahah…: New Straits Times. Retrieved December 19, 2020, from https://www.nst.com.my/news/2016/01/122100/when-tun-razak-met-toh-puan-rahah
Maidin, Z. (n.d.). Tun Razak: Jejak bertapak seorang patriot. Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd;Cheras,Malaysia;1997.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih