Menjelang abad ke-20, ramai pendatang asing dari seluruh dunia terutama Eropah berhijrah ke Amerika Syarikat demi membina kehidupan baru. Hal ini turut terpakai kepada Michel Navratil Sr. dari Perancis. Tetapi nama anak-anaknya, Michel Jr dan Edmond kemudiannya dikenali sebagai Anak Yatim Titanic oleh media ketika itu.

Michel Sr berdepan nasib malang selepas berkahwin dengan isterinya Marcelle. Perkahwinan yang bermasalah itu akhirnya ditamatkan pada awal tahun 1912 dengan Michel Jr dan Edmond ditempatkan dalam jagaan sementara tatkala hakim menentukan siapa yang layak mendapat hak penjagaan. Untuk sambutan Easter, kedua-duanya diletakkan di bawah penjagaan Michel Sr.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Bagaimanapun, Michel Sr. tiada niat untuk memulangkan kedua-duanya kepada Marcelle. Dengan dia juga bakal diisytiharkan sebagai muflis, lebih elok baginya untuk memulakan kehidupan baru di tempat lain. Lantas, Michel Sr. membeli tiga keping tiket kelas kedua White Star Liner di Monte Carlo sebelum pergi ke Southampton, England untuk menaiki kapal. Siapa sangka, kapal yang dinaiki mereka ialah kapal paling terkenal di dunia di kemudian hari, Titanic.

Michel Sr. memperkenalkan dirinya sebagai Louis M. Hoffman semasa di atas kapal. Sementara Michel Jr dan Edmond pula didaftarkan di bawah nama John dan Fred. Jika ada penumpang yang bertanya tentang perihal dirinya, Michel Sr. memberitahu dia seorang duda.

Hanya sekali saja kedua-dua kanak-kanak ini tidak di bawah pemerhatian bapa mereka. Apabila Michel Sr. ingin bermain kad dengan beberapa orang penumpang, dia meminta seorang penumpang wanita bernama Bertha Lehmann untuk menjaga mereka.

Apabila Titanic berlanggar dengan aisberg pada 11.40 malam pada 14 April 1912, Michel Sr. dan seorang rakan penumpang segera mengejutkan Michel Jr dan Edmond di kabin. Kedua-duanya bernasib baik kerana bapa mereka berjaya menempatkan mereka dalam Collapsible D, bot penyelamat terakhir yang berjaya dilancarkan dari Titanic.

Michel Sr mati bersama 1,500 orang penumpang dan krew Titanic yang gagal menyelamatkan diri pada awal pagi 15 April 1912.

Michel Jr yang ketika itu berusia kurang dari tiga tahun masih ingat kata-kata terakhir bapanya itu. Michel Sr berkata, “Anakku, sekiranya ibu kamu berjaya mendapatkan kamu, beritahu dia bahawa bapa amat mencintainya dan masih lagi sehingga saat ini. Beritahu dia bahawa bapa menjangka dia akan mengikut kita agar kita dapat hidup aman dan bebas di Dunia Baru (Amerika Syarikat).”

Mayat Michel Sr ditemui oleh kapal penyelamat Mackay-Bennett. Disebabkan dia menggunakan nama samaran berunsur Yahudi, pasukan penyelamat menyangka dia seorang Yahudi. Lantas, mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Baron de Hirsch, sebuah tanah perkuburan Yahudi di Halifax, Nova Scotia.

Michel Sr mati bersama lebih 1,500 penumpang dan krew yang tenggelam bersama Titanic. Bagi para penumpang yang berada dalam Collapsible D, ramai menyangka Michel Jr dan Edmond kini bergelar yatim piatu. Simpati dengan nasib mereka, penumpang kelas pertama Hugh Woolner menjaga dan memberi mereka biskut sementara menunggu kapal penyelamat tiba.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Semasa dibawa naik ke Carpathia, identiti sebenar kedua-dua kanak-kanak ini tidak diketahui. Dengan kedua-duanya hanya bertutur dalam Bahasa Perancis dan dokumen palsu yang disediakan oleh Michel Sr, media ketika itu menggelar mereka sebagai Anak Yatim Titanic. Keadaan ini menyukarkan pihak berkuasa menjejaki waris mereka yang sebenar.

Sementara usaha mencari waris giat dijalankan, Michel Jr dan Edmond diletakkan di bawah jagaan seorang lagi mangsa Titanic yang terselamat, Margaret Hays di Upper West Side, Manhattan. Hays bukan saja pernah menjaga mereka semasa di Carpathia, malah boleh bertutur dalam Bahasa Perancis. Bagi membantu pihak berkuasa menjejaki waris mereka, gambar dua bersaudara ini diambil dan disiarkan di akhbar.

Semasa ini berlaku, berita insiden Titanic karam telah tersebar di Eropah. Marcelle tahu bekas suaminya itu telah menghilangkan diri bersama dua anak kesayangan mereka. Tetapi dia tidak pernah menyangka ketiga-tiganya akan menaiki kapal malang itu. Tetapi semua itu berubah apabila Marcelle melihat satu artikel yang menyebut perihal Anak Yatim Titanic.

Menerusi keterangan artikel yang dibaca dan gambar, jelaslah Anak Yatim Titanic ialah Michel Jr dan Edmond. Selepas mengesahkan identiti mereka dengan pihak berkuasa AS, Marcelle segera bertolak ke sana untuk mendapatkan kembali kedua-dua anak kesayangannya itu. Akhirnya pada 16 Mei 1912, tiga beranak ini disatukan semula. Setelah itu, ketiga-tiganya bertolak pulang ke Perancis dengan menaiki kapal Oceanic.

Bagaimanapun, kisah Anak Yatim Titanic ini turut mendedahkan perbezaan kelas penumpang dari segi kadar kematian. Bagi penumpang kelas pertama, 201 daripada 324 orang penumpang saja yang terselamat. Manakala bagi penumpang kelas ketiga, hanya 181 daripada 708 penumpang saja yang terselamat. Hakikat ini diakui oleh sendiri Michel Jr dan menyifatkan mereka bernasib baik pada malam Titanic karam.

Michel Navratil Jr dalam dokumentari khas Titanic pada 1994.

Dan siapa sangka, dia juga penumpang lelaki terakhir Titanic yang meninggal dunia pada tahun 2001. Semasa hayatnya, Michel Jr bukan sekadar bergelar pakar psikologi tetapi dapat membina sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun, Edmond pergi menemui Penciptanya 31 tahun selepas insiden karamnya Titanic. Tetapi sekurang-kurangnya dengan penyatuan semula tiga beranak ini, kisah Titanic mempunyai secebis kisah bahagia di sebalik tragedi yang menyelubunginya.

RUJUKAN

Dimuro, G. (2017, 14 Disember). The Story Of The ‘Titanic Orphans’ Who Made It Off The Doomed Ship All Alone. All That’s Interesting.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply