BANYAK cerita rakyat di Sarawak yang memperkatakan tentang si sang bedal yang mana menurut kepercayaan masyarakat di Sarawak bukanlah boleh diperlakukan sembarangan. Dari asal muasal sang bedal yang dikatakan adalah manusia jadi-jadian sudah cukup menyatakan bahawa ianya spesis binatang yang begitu mistik sekali. Dan tanpa kita mengetahui bahawa di sekitar kawasan Batang Kayan juga tidak kurang dengan cerita seperti ini.

Menurut cerita lisan orang-orang tua di Lundu bahawa satu ketika dahulu iaitu di sebuah desa bernama Kampung Hilir Lundu pernah terjadi sesuatu yang mistik sehingga memaksa penduduk kampung telah mengadakan upacara ritual iaitu mempersembahkan 13 dulang hidangan buat Sang Putih iaitu raja segala buaya yang berwarna putih. Hal ini terjadi kerana ada satu perjanjian yang telah dimungkiri oleh satu keluarga yang mendiami perkampungan tersebut sehingga terkena sumpahan.

Alkisahnya sautu waktu dahulu diceritakan ada tiga orang sekeluarga yang mendiami satu kawasan di pinggir Batang Kayan iaitu datuk, nenek dan cucunya yang masih kecil ingin turun ke sungai bagi mencari ikan buat menu mereka. Ini kerana beberapa hari sebelum itu, mereka sukar untuk mencari rezeki akibat daripada hujan yang tidak henti-henti sehingga memaksa mereka hanya tinggal di rumah sahaja. Demi sesuap nasi samada cuaca baik atau buruk, perut yang kosong harus diisi maka mahu tidak mahu mereka nekad untuk turun ke sungai.

Dikatakan ketika di dalam perjalanan ke jeti iaitu tempat dimana perahu mereka dihambat dari kejauhan sudah kelihatan satu sinar yang berkilau-kilauan di atas jeti. Apabila semakin mendekat rupa-rupanya kilauan itu datangnya dari sebentuk cincin berlian yang begitu cantik sekali. Maka si datuk terus mengambilnya dan diletakkan di dalam saku bajunya sementara beliau dan cucunya sibuk menyediakan apa yang perlu untuk turun ke sungai.

Sementara itu, si nenek pula tidak merasa tenteram lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan cuaca yang langsung tidak baik. Awan mendung kelabu dengan angin yang kencang sudah tentu menyebabkan laut bergelora. Atas pujukan daripada si nenek, maka datuk dan cucunya akur untuk tidak ke mana-mana biarpun tiadalah lauk untuk dihidangkan buat jamahan keluarga malam itu melainkan sayur-sayuran sahaja.

Usai makan malam, si datuk terus mendapatkan cincin berlian tersebut dan dikala itulah berdetik di hatinya siapakah yang empunya cincin yang amat berharga. Dalam hatinya pasti si empunya cincin sudah tentu bukan orang sembarangan memandangkan begitu cantik ukirannya malah beliau sendiri sepanjang hidupnya tidak pernah melihat cincin secantik itu. Si datuk seterusnya lena dengan masih memegang cincin tersebut sehingga beliau melelapkan mata.

Hendak dijadikan cerita ketika tidur itulah, si datuk telah didatangi oleh seekor buaya besar yang berwarna putih. Di kalangan masyarakat tempatan di Lundu amat mempercayai bahawa buaya putih adalah raja segala buaya di Batang Kayan. Dan di dalam mimpi itu juga, si datuk digambarkan sedang bersemuka dengan Sang Putih tersebut yang angkuh bersemayam di satu kerusi bertatah emas dan belian. Di dalam mimpi itu juga si datuk telah disoal oleh Sang Putih yang mana Sang Putih mendakwa bahawa cincin belian yang ditemuinya adalah milik Sang Putih.

Tatkala mendengar bahawa cincin itu milik Sang Putih, si datuk bersedia untuk memulangkannya kembali dengan bersyarat. Ini kerana si datuk begitu gusar dengan apa yang terjadi sekarang yang mana beliau tidak boleh mencari rezeki baik di hutan mahupun ke sungai kerana cuaca yang tidak menentu. Kerana kepercayaan si datuk bahawa Sang Putih mempunyai kesaktian yang tersendiri jadi sudah tentu Sang Putih mampu membantu beliau.

Syarat si datuk adalah untuk Sang Putih mengembalikan cuaca yang baik agar memudahkan pekerjaannya sebagai ketua keluarga. Sang putih pula tiada masalah untuk menunaikan permintaan si datuk namun ianya juga mempunyai syarat sebagai balasan iaitu si datuk haruslah menyerahkan cucu perempuan tunggalnya untuk dijadikan Sang Putih bakal isterinya apabila menjelang usianya 15 tahun. Dikala itu barulah cincin tersebut diserahkan secara total kepadanya. Lantas si datuk bersetuju kerana pada pendapat beliau, lama-lama kelak sudah tentu Sang Putih lupa akan perjanjian tersebut.

Tersedar dari mimpi iaitu ketika ayam sudahpun berkokok, si datuk sekeluarga yang memangnya sudah biasa bangun awal mendapati bahawa cuaca begitu nyaman serta baik sekali. Jauh disudut hati si datuk begitu pasti bahawa Sang Putih sudah menunaikan janjinya. Maka tanpa berlengah mereka sekeluarga terus membuat persediaan untuk ke hutan mencari damar dan memburu apa yang ada buat sumber rezeki mereka sekeluarga. Hari-hari yang seterusnya juga begitu baik sehingga limpah rezeki keluarga mereka semakin bertambah.

Bulan demi bulan dan tahun demi tahun maka meningkat dewasa cucu perempuan si datuk. Sekarang usianya sudah 15 tahun dan seharusnya si datuk menyiapkan apa yang perlu untuk mengahwinkan cucunya dengan Sang Putih. Namun di pihak si datuk pula tidak memperdulikan langsung perjanjian tersebut kerana baginya Sang Putih sudah melupai syarat perjanjian tersebut. Lagipun, perjanjian itu hanya dibuat olehnya sedangkan isterinya mahupun cucunya tidak pernah mengetahui akan perjanjiannya dengan Sang Putih.

Pada suatu hari dikatakan si datuk ditemani si nenek dan cucunya seperti kelazimannya akan turun ke laut bersama-sama kerana cuaca begitu baik sekali. Dikatakan pada ketika mereka baru mula hendak berdayung dari jeti Batang Kayan tiba-tiba cuaca berubah sama sekali. Hujan turun dengan lebat diikuti dengan halilintar sekali sekala sehingga mampu membingitkan telinga mereka. Malah air Batang Kayan yang tenang mengalir lesu tiba-tiba bertukar menjadi arus deras.

Di dalam suasana yang penuh getir itulah tiba-tiba si datuk, nenek dan cucunya didatangi oleh Sang Putih yang menuntut perjanjian antara si datuk dan dirinya ditunaikan. Si datuk pula biar di dalam saat genting itu telah bertikam lidah dengan Sang Putih iaitu memberi 1001 alasan mengapa perjanjian itu tidak boleh ditunaikan. Sang Putih naik radang dengan segala bicara balas si datuk akhirnya dengan penuh marah bersumpah bahawa si datuk akan dilemaskannya manakala isteri akan diganggu seumur hidup dengan malapetaka dan cucunya pula akan bertukar menjadi buaya.

Usai berkata-kata demikian, Sang putih terus menghilang manakala musibah terus mendatangi si datuk dan keluarganya. Kerana tidak mampu lagi menahan olakan arus deras Batang Kayan akhirnya perahu mereka karam dan kesemua mereka terhumban ke dalam Batang Kayan. Nasib malang mereka sekeluarga diketahui penduduk kampung apabila si cucu mampu berenang ke tepian dan pencarian datuk dan neneknya diteruskan oleh penduduk kampung.

Selang satu hari selepas kejadian, si nenek dijumpai masih hidup dengan berpaut lemah pada puing kayu bekas sampan mereka yang pecah. Si nenek dijumpai oleh penduduk kampung yang keluar menjala ikan pada hari itu. Dan si datuk pula langsung tiada kelibatnya sehinggalah pada hari ketiga, mayatnya dijumpai terapung di Batang Kayan.

Sejak daripada hari itu juga, dikatakan penghidupan si nenek dan cucunya terus dirundung malang. Pergi ke hutan mencari damar langsung tiada kedapatan. Bercucuk tanam juga tidak pernah menjadi malah dek kerana masih fobia dengan peristiwa mereka hampir lemas di Batang Kayan sehingga si datuk diragu jiwanya menyaksikan kedua-duanya langsung tidak berani turun ke sungai. Ini menyebabkan penghidupan si nenek dan cucu semakin susah sehingga hanya mengharapkan belas ihsan penduduk kampung untuk meneruskan penghidupan mereka.

Ditambahlagi derita si nenek apabila si cucu pula semakin berubah bentuk fizikal dari seorang anak gadis yang cantik jelita sedikit demi sedikit kulitnya menjadi seperti kulit buaya malah kelakuannya juga sudah tidak seperti manusia lagi. Hal ini membuatkan si cucu mengasingkan diri dari bertemu dengan masyarakat. Puaslah sudah si nenek berikhtiar mengubati sakit si cucu namun biar ratusan dukun dan pawang ianya masih sama.

Pada satu malam, si nenek didatangi si datuk di dalam mimpinya. Barulah si nenek mengetahui apakah pokok persoalan yang menimpa penghidupan mereka apabila si datuk berterus terang bahawa dirinya telah memungkiri perjanjiannya dengan Sang Putih. Si datuk akur kesalahannya sehingga menyebabkan sumpahan “Gayau Putih” menyelubungi penghidupan si nenek dan cucunya yang malang. Menurut si datuk mungkin ikhtiar terakhir adalah dengan mengadakan upacara ritual adat belian mampu mengungkai sumpahan yang menyelubungi penghidupan keluarganya.

Oleh kerana tiada jalan lain, si nenek akur dengan perintah si datuk akhirnya memohon ketua adat di dalam kampung untuk mengadakan ritual adat belian di Batang Kayan. Dengan menyajikan 13 dulang makanan akhirnya persembahan dilakukan yang mana dikatakan pada waktu itu juga iaitu ketika ritual sedang dijalankan menyaksikan Batang Kayan yang tenang tiba-tiba mengganas deruan airnya seolah-olah seekor buaya sedang mengibas ekornya dengan sepenuh kekuatannya.

Begitulah satu cerita legenda mengenai Sumpahan Gayau Putih yang dilakukan oleh raja segala buaya di Batang Kayan suatu ketika dahulu. Ianya adalah antara cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Tidaklah diketahui samada si cucu itu berjaya diubati atau tidak kerana jalan ceritanya terhenti setakat itu sahaja.

-CD-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan: Artikel ini ditulis berdasarkan pertemuan penulis yang menemuramah secara langsung beberapa orang warga emas dari kalangan etnik Iban Sebuyau yang ramai mendiami kawasan Batang Kayan, Lundu, Sarawak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.