Apple sebenarnya bukan sekadar pengeluar produk teknologi. Sebaliknya gergasi ini menciptakan sesuatu teknologi yang mengubah cara hidup.
Inovasi mendenyutkan nadi syarikat tersebut, untuk mencapai sesuatu bukan setakat pertumbuhan syarikat. Sebaliknya Apple mahu menerapkan inovasi daripada perspektif lebih menyeluruh.
Contohnya, apabila Apple mengumumkan iPhone pada 29 Jun 2007, Microsoft tidak sangka ia akan menjadi ikutan.
Steve Ballmer yang mengetuai Microsoft berpendapat iPhone sekadar mesin emel (Reisinger, 2017).
Kejayaan iPhone setiap tahun melayangkan jari tengah pada keangkuhan Ballmer, kerana inilah produk yang melambungkan Apple ke kayangan AS$1 trilion (Delventhal, 2020).
Sejak 26 Disember 1980, Apple mula didagangkan secara terbuka. Sahamnya walau bagaimanapun melepasi paras AS$1 seunit pada 19 November 2004. Sejak hari itu, tanpa henti ia meningkat secara berganda.
Tepat 40 tahun selepas mula didagangkan, saham seunit Apple mencecah AS$130.
Jadi Apple ternyata berjaya merevolusikan dunia. Namun hari ini produk-produk Apple seperti iPhone, iPad, dan Macbook sudah bukan lagi merevolusikan.
Benar, Apple menawarkan spesifikasi baru dalam setiap keluarannya. Tetapi dengan Samsung, Oppo, Lenovo dan sebagainya, ia bukan lagi satu benda baru.
Apple menyedari realiti ini. Jasa mereka dalam inovasi telefon pintar mungkin sudah mencapai kemuncak, sekarang hanya memperbaharui dari segi keupayaan. Jadi benda lain pula perlu direvolusikan.
Projek Agung Titan
Kejatuhan harga bahan api global berlaku kerana imbangan antara permintaan dan bekalan. Tetapi apa yang sedang berlaku sekarang ini memberi gambaran 40 tahun akan datang.
Secara berperingkat, Kesatuan Eropah akan mula mengharamkan kenderaan yang menggunakan minyak (Muoio, 2017). Beberapa negara lain seperti Israel, Jepun dan Canada memberi tempoh hingga tahun 2030 hingga 2040.
Tidak lama lagi, seluruh dunia akan menyahut seruan ini. Semua kenderaan perlu menggunakan alternatif yang lebih mesra alam. Itulah apa yang dibuat banyak pengeluar kereta elektrik semasa.
Walaupun tidak 100 peratus mesra alam, kereta elektrik jauh lebih baik daripada berpetrol (Ellsmore, 2019). Tidak pelik kenapa Apple mahu terlibat dalam industri kenderaan. Kerana masih sempat untuk berinovasi.
Projek Titan merujuk pada penyelidikan dan pembangunan sebuah kereta elektrik berlambang Apple Inc (Harris, 2015).
Inisiatif 10 tahun ini telah bermula sejak 2014 lagi. Dan seperti biasa, Apple mahu merevolusikan industri kereta elektrik.
Setakat ini bateri kereta elektrik memang susah dicas. Pengecasan sebuah kereta dijangka mengambil masa lapan jam.
15 minit sekalipun sudah lama, untuk dibandingkan dengan isi minyak. Jadi Apple mahu membangunkan sebuah teknologi bateri yang belum ada di pasaran (Garber, 2020).
Seronok juga membayangkan Titan bersaing dengan Tesla yang jauh lebih ke hadapan. Bercakap pasal Tesla, ada satu benda menarik perlu dikupas.
Tim Cook Tidak Melayan Elon Musk Langsung
Tesla Model 3 dipuji kerana lebih baik daripada BMW 340i (DeMuro, 2017). Tetapi seberapa ramai yang tahu bahawa Tesla Motors menuju kemuflisan pada tahun 2017 (Allen & Vandehei, 2018).
Itulah zaman paling sukar dihadapi Elon Musk, sampai beliau terpaksa membuat keputusan paling pahit. Demi kelangsungan syarikatnya, Musk menghubungi Apple untuk menjual syarikat.
Kadar pengeluaran ketika itu tidak menjaminkan keuntungan. Syarikat lebih banyak berbelanja setiap masa. Memandangkan Apple membawa fikrah inovasi, mungkin inilah takdir syarikat tersebut.
Tetapi Apple jelas tidak mahu Tesla Motors. Jangankan bersetuju, Tim Cook enggan bertemu Musk langsung (Murray, 2020).
Keengganan Cook mungkin suatu rezeki terselindung. Kerana Musk mengendalikan krisis kewangan dengan baik.
Beliau menumpukan perhatian sepenuhnya pada Model 3 yang melancarkan Tesla Motors semula. Hari ini Tesla mempunyai aset sebanyk AS$34.309 bilion, dengan empat model kenderaan untuk dipilih pelanggan.
Jadi Cook dulu enggan berjumpa Musk. Tetapi sekarang Apple mahu mengeluarkan kereta sendiri. Kesimpulan ini membuat bunyi bahawa Apple tersilap strategi dulu. Cuma rugikah Apple? Tentu sekali tidak.
RUJUKAN:
Allen, M., & Vandehei, J. (2018, November 26). Elon Musk says Tesla came “within single-digit weeks” of (ditapiskan). Axios.
Delventhal, S. (2020, Mac 10). Apple’s 5 Most Profitable Lines of Business. Investopedia.
DeMuro, D. (2017, November 6). Here’s why the Tesla Model 3 is the coolest car of 2017. AutoTrader.
Ellsmore, J. (2019, Mei 20). Are electric vehicles really better for the environment? Forbes. Fox Business.
Garber, J. (2020, Disember 24). Apple Car doesn’t require Tim Cook to build an auto-assembly line.
Harris, M. (2015, Ogos 14). Documents confirm Apple is building self-driving car. The Guardian.
Murray, W. (2020, Disember 23). Elon Musk: I tried to sell Tesla to Apple. The Guardian.
Muoio, D. (2017, Oktober 24). These countries are banning gas-powered vehicles by 2040. Business Insider.
Reisinger, D. (2017, Januari 10). That time Steve Ballmer laughed at iPhone. Fortune.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih