Peminat bola sepak yang lahir pada era tahun 80an atau 90an pastinya mengenang kejayaan Perancis merangkul kejuaraan piala dunia buat kali pertama pada tahun 1998 di bumi Perancis sendiri. Kejayaan tersebut merupakan antara momen yang begitu ikonik serta turut membawa kita mengenal apa itu erti sukan bola sepak pada ketika itu (selain gaya rambut unik Ronaldo ketika perlawanan akhir Piala Dunia tahun 2002).

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Jersi retro Perancis edisi Piala Dunia 1998 menjadi jersi tumpuan dan menjadi koleksi wajib pengumpul jersi klasik sehingga hari ini. Generasi muda pada ketika itu terus memantau perkembangan bolasepak dunia seiring dengan peningkatan karier bintang bolasepak yang baru meningkat naik pada ketika iatu Zinedine Zidane, Henry, Ronaldo, Rivaldo, Roberto Carlos, Luis Figo, Raul Gonzalez,Gabriel Batistuta, Rud Vaan Nistelrooy, Michael Owen dan David Beckham.

Namun kejayaaan Bola Sepak Perancis bukan hadir dengan tuah semata-mata. Kejohanan Piala Dunia pada era 70an dan 80an pula lebih didominasi oleh Brazil, Argentina, Jerman Barat dan Itali. Malah, pada tahun 1960 hingga 1974 Perancis mengalami kemerosotan prestasi yang teruk dalam bola sepak apabila Perancis gagal untuk layak bagi bersaing dalam kejohanan Piala Dunia dan juga kejohanan Eropah. Jadi bagaimana zaman gelap bolasepak Perancis ini dapat diatasi?

• Akademi Clairefontaine Pemangkin Revolusi Bola Sepak Perancis

Jikalau anda mengikuti akaun instagram rasmi bintang bolasepak Perancis seperti Paul Pogba, Griezmann mahupun Kylian Mbappe, anda pasti pernah melihat gambar mahupun video ketika pemain-pemain ini melaporkan diri untuk kem skuad kebangsaan mereka.

Mereka melaporkan diri di sebuah bangunan yang kelihatan seperti hotel Lima bintang dengan senibina klasik Eropah dan padang latihan mereka yang dikelilingi hutan-hutan yang menghijau. Tempat itulah yang dipanggil Clairefontaine. Clairefontaine adalah satu kawasan di pinggir bandar yang terletak di sebelah barat daya Metropolitan Paris.

Penubuhan akademi ini menjadi titik tolak kepada resipi kejayaan bolasepak Perancis sehingga mampu menghasilkan “Pool of Players” untuk mewakili Perancis dengan begitu ramai. Kawasan di sekitar Greater Paris menjadi kilang bolasepak yang berjaya di Eropah. Menurut data dari FIFA, kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Russia pada tahun 2018 menunjukkan pemain yang berasal dari Perancis adalah yang paling ramai dengan 50 pemain bukan sahaja mewakili pasukan Perancis malah pasukan negara lain seperti Morocco, Tunisia, Algeria dan Senegal.

Pada tahun 1972, Persatuan Bolasepak Perancis (FFF) mula mengatur langkah agresif dengan menubuhkan Institut National du Football yang terletak di Vichy sebagai pusat pembagunan pemain Tidak cukup dengan itu, FFF mula bekerjasama dengan lebih serius bersama kelab-kelab bola sepak profesional seluruh bandar-bandar penting di Perancis bagi menyediakan rangkaian akademi yang lebih luas. Kewujudan akademi kelab-kelab profesional ini adalah untuk menghimpun dan mengilap bakat-bakat pemain muda tempatan.

Bakat-bakat muda terpilih inilah akhirnya akan ditempatkan ke Akademi Clairefontaine tersebut. Sehinnga hari ini, terdapat lebih 40 akademi bola sepak di Perancis yang terdiri dari kelab Ligue 1 dan Ligue 2. Terdapat 13 akademik elit yang diiuruskan sendiri oleh FFF termasuk akademi Clairefontaine ini.

Pada tahun 1988, pusat latihan utama berpindah dari Vinchy ke pinggir bandar Paris iaitu Clairefontaine dan menjelang awal 1990 sistem bolasepak Perancis merupakan antara yang terbaik di dunia yang menjurus kepada kejayaan Piala dunia pada tahun 1998. Sejak itu, Bandar Paris terus dijulang sebagai bandar yang berjaya menghasilkan pemain-pemain yang berprestij dunia hasil didikan di Akademi Clairefontaine seperti Thierry Henry, Oliver Giroud, Nicholas Anelka, Louis Saha, Ben Arfa,Blaise Matuidi dan Kylian Mbappe.

• Nostalgia dan Kecanggihan Akademi Clairefontaine

Kejayaan penubuhan akademi ini selayaknya diberikan kredit kepada dua individu penting revolusi bola sepak Perancis iatu Fernand Sastre, mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Perancis dan bekas ketua jurulatih kebangsaan Perancis Stefan Kovács. Nama sebenar akademi ini ialah “Le Centre Technique National Fernand Sastre” yang dinamakan sempena nama beliau. Beliau sempat melihat kejayaan Perancis menjuarai Piala Dunia pada tahun 1998 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir tiga hari selepas itu.

Sejak 1988, Akademi Clairefontaine menjadi rumah rasmi kepada pasukan kebangsaan Perancis dan merupakan kediaman rasmi untuk para pemain pasukan emas Perancis 1998. Konsep ini diasaskan oleh Stefan Kovács yang merupakan bekas jurulatih Perancis berasal dari Romania dan beliau merupakan satu-satunya jurulatih yang bukan berasal dari Perancis yang pernah melatih pasukan kebangsaan Perancis sehingga hari ini. Sebagai penduduk yang hidup di bawah naungan Soviet Union ketika itu, Kovacs terinspirasi dengan konsep kem latihan komunis di tanah airnya dimana kem yang tegas itu menitikberatkan tentang kemahiran individu diasah secara mendalam untuk kebaikan kolektif (secara bersama).

Bangunan utama akademi ini sebenarnya adalah sebuah Istana yang bernama Montjoye yang bula dibina sejak abad ke 17 lagi dan diubah suai menjadi fasiliti yang bertaraf lima bintang. Akademi ini merupakan akademi yang mewah dan lengkap yang mempunyai fasiliti yang lengkap. Akademi ini tersembunyi di hutan yang serba menghijau, pusat dan kawasan sekitarnya mempunyai hotel bintang lima, perpustakaan, pawagam, tujuh padang rumput, tiga padang sintetik, gimnasium, pusat permainan ringan dan restoran. Malah para pemain boleh melakukan ringan lain seperti aktiviti berbasikal dan “jungle trekking” di sekitar kawasan luar akademi tersebut.

Akademi ini sememangnya meninggalkan nostalgia yang mendalam kepada kem Pasukan Kebangsaan Perancis lebih-lebih lagi kepada skuad emas 1998 dan skuad yang menjuarai Euro pada tahun 2000. Ketika tahun 1998 pasukan Perancis dibarisi oleh pemain-pemain yang hebat seperti Zidane, Emanuel Petit, Lizarazu, Deschamps, Desaily, Fabien Barthez, Patrick Viera, Robert Pires, Lilian Thuram dan Laurant Blanc. Kem Perancis kecoh seketika pada tahun 1998 apabila bintang mereka iatu Zidane bertindak meninggalkan pusat latihan di Clairefontaine semata-semata untuk memotong rambut beliau di pusat beli-belah berdekatan. Sejak itu, pendandan rambut khas perlu datang ke Clairefontaine sekiranya diperlukan.

Kejayaan generasi emas 1998 ini seterusnya disambung oleh dengan menjuarai kejohanan Eropah pada tahun 2000. Rata-rata adalah pemain yang sama ketika menjuarai piala dunia dua tahun sebelum itu tapi dilengkapi dengan kehadiran penyerang yang lebih berbisa seperti Nicholas Anelka dan David Trezeguet. Selepas itu, Perancis telah 2 kali melangkah ke final pada tahun 2006 (Piala dunia), 2016 (Euro) dan menjuarai Piala dunia buat kali kedua dengan penuh gemilang pada tahun 2018.

Lebih manis, jurulatih yang mengemudi kejayaan Perancis pada tahun 2018 ialah bekas ketua pasukan yang mendakap Piala dunia pada tahun 1998 iatu Didier Deschamps. Satu rekod baru dalam sejarah bola sepak telah tercipta buat Deschamps.

Beberapa bulan selepas kejayaan Perancis, viral pula satu video yang memaparkan wira Perancis 2018 iatu Antoine Griezmann yang ketika itu berusia 7 tahun bersama teman beliau meminta autograf bintang-bintang Perancis 1998 dan Griezmann ketika itu memakai jersi Perancis bernombor 7. Siapa sangka 20 tahun kemudian giliran beliau pula merasai sendiri kemanisan menjadi juara dunia dengan memakai jersi bernombor 7.

Namun langit tidak selalunya cerah, skuad Perancis juga tidak sunyi dari kontroversi. Selain tandukan tajam Zidane ke atas dada Materazzi pada final Piala Dunia 2006, rakyat Perancis semestinya mahu melupakan detik hitam ketika kempen Piala Dunia 2010. Skuad Perancis 2010 diselubungi dengan masalah dalaman yang amat serius sehingga tersinggir seawal peringkat kumpulan. Nicholas Anelka dihantar pulang lebih awal ke Perancis selepas bertengkar dengan Ketua jurulatih, Raymond Domenech.

Patrick Evra pula berkelahi dengan jurulatih kecergasan Perancis, Robert Duverne dan mengajak skuad untuk memboikot sesi latihan untuk bersolidariti ke atas nasib malang yang menimpa Anelka. Kemelut ini memaksa Presiden Perancis sendiri iatu Nicolas Sarkozy campur tangan untuk meredakan badai di kem kebangsaan Perancis. Ramai yang memyimpulkan krisis itu berlaku disebabkan “karma” ke atas skuad Perancis yang ketika itu layak ke kejonanan di Afrika Selatan itu dengan penuh kontroversi.

Rata-rata peminat bola sepak dunia marah dengan Thierry Henry yang menafikan kemaraan pasukan Republik Ireland ke Piala Dunia apabila beliau kelihatan menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menahan bola sebelum menghantar bola ke William Gallas bagi mengesahkan kejayaan Perancis ketika perlawanan “Play-Off” itu.

• Falsafah Akademi Clairefontaine

Kebanyakan akademi bola sepak di Perancis dilihat cuba membina identiti sendiri dan cuba lari dari konsep akademi La Masia milik Barcelona yang mementingkan falsafah permainan seperti tiki-taka. Akademi di Perancis lebih tertumpu pada pengembangan pemain secara individu atau skil individu.

Kebanyakan pasukan belia bermain dalam kedudukan 4-3-3, penekanan formasi itu adalah untuk mencipta pemain yang mempunyai skil, fizikal dan potensi individu yang terbaik dalam hubungannya dengan pasukan secara keseluruhan. Bintang Perancis dan Chelsea iatu N’golo Kante pernah ditolak untuk menyertai Akademi Clairefontaine disebabkan fizikal beliau yang kecil.

Secara asas Akademi Clairefontaine memfokuskan kepada tiga aspek utama iatu menguatkan tendangan pada kaki yang bukan dominan (weaker foot), mampu menukar arah badan dengan cepat dan pergerakan yang mampu menghubungkan pemain-pemain dengan efektif. Kylian Mbappe adalah contoh produk Clairefontaine yang mempunyai skil individu yang sangat baik dimana beliau mampu beraksi di bahagian kanan dan kiri kerana beliau mempunyai teknik tendangan yang setara samada menggunakan kaki kanan dan kaki kiri.

Perancis dilihat lebih banyak menggunakan kelebihan individu seperti Zidane, Mbappe, Griezmann, Paul Pogba, Patrick Viera dan menghubungkan dengan penyerang yang tahu untuk bertindak walaupun tidak menjaringkan gol seperti penyerang utama tahun 1998 iatu Stephane Guivarc’h dan Oliver Giroud pada edisi 2018. Kedua-dua penyerang itu langsung tidak menjaringkan gol sepanjang kejohanan piala dunia tersebut.

• Mutiara di Banlieues

Apabila menyebut mengenai Banlieues, ia terus berkait rapat dengan komuniti Imigran dan kota Paris. Maksud Banlieues ialah pinggir kota. Pusat Bandar Paris lebih sinonim dengan kelas atasan dan elit-elit Perancis (bourgeois) menikmati kemewahan Kota Paris. Banlienues inilah yang mengelilingi Kota Metropolitan Paris. Kawasan Banlienues ini dilihat lebih sinonim dengan kawasan kumpulan imigran dan kawasan miskin. Penduduk Paris merujuk kepada banlieue aisée (kawasan mewah) di Neuily dan banlieue défavorisée (kawasan miskin) di Clichy-sous-Bois .

Barat Paris didiami golongan Elit manakala timur dan utara Paris banyak di diami oleh golongan imigran yang kebanyakanya adalah pendatang dari negara bekas jajahan Perancis. Tetapi golongan imigran di Banlieues inilah sebenarnya melengkapkan segalanya tentang kejayaaan bola sepak Perancis. Banyak anak-anak dari golongan imigran di Perancis ini menjadi generasi bola sepak Perancis selain pembangunan akademi yang pesat sejak awal 80an.

Selepas Perang Dunia Kedua, Bandar Paris telah musnah teruk akibat pengeboman oleh tentera Nazi Jerman. Untuk membangunkan semula Perancis, sudah tentu pembangunan perlu ditumpukan lebih kepada ibu negara iatu Kota Paris. Selepas perang berakhir, Perancis mengambil golongan imigran dari bekas tanah jajahan mereka untuk membangunkan Perancis. Berlaku dua gelombang penghijrahan ke Kota Paris dari negara Eropah Timur, Afrika Utara, Afrika Timur,Timur Tengah dan Indochina. (Kebanyakan dari Poland, Tunisia, Algeria, Mali, Cameroon dan Senegal).

Jutaan golongan imigran ini kekal mendiami pinggiran bandar Paris yang dikenali sebagai Banlieus dan menjadi warganera Perancis. Jadi tidak hairanlah jika ramai anak golongan imigran ini mampu menebusi Akademi elit di Perancis termasuk Clairefontaine kerana mereka sememangmya tinggal di kawasan Greater Paris yang cintakan bola sepak. (Syarat utama untuk memasuki 13 akademi elit di FFF mestilah tinggal di kawasan Île-de-France région atau Greater Paris).

Pada tahun 1998 Perancis mula menikmati kejayaan di atas keunikan kepelbagaian budaya di Perancis ini apabila skuad Perancis 1998 kebanyakannya turut dibarisi anak-anak imigran yang datang ke Perancis pada abad ke 20 seperti Zidane, Patrick Veira, Desaily, Lilian Thuram dan Bernard Diomède. Skuad Perancis 1998 mula dikenali sebagai “Black, Blanc, Beur” yang bermaksud “Hitam, Putih, Arab” yang menujukkan kesamaan dengan warna bendera Perancis yang mempunyai 3 warna. (Black : african black , Blanc : white european , Beur : butter , white arab-african).

20 tahun kemudian Perancis berjaya lagi muncul juara Piala Dunia dengan pemain yang berketurunan imigran menjadi nadi penting untuk Perancis. 8 pemain skuad Perancis pada tahun 2018 adalah dari Banlieues (Pogba, Kante, Matuidi, Nzonzi, Areola, Benjamin Mendy, Kimpembe dan Kylian Mbappe).
Mbappe berketurunan Algeria (Ibu) dan Cameroon daripada ayahnya yang menetap di Bondy, pinggir Paris dan dilatih di Clairefontaine.

Bakat-bakat yang dilahirkan di sekitar Greater Paris dan Clairefontaine bukan sahaja bersaing untuk membarisi skuad kebangsaan Perancis malah mempunyai pilihan untuk mewakili negara lain yang mempunyai kaitan dengan darah keturunan ibu bapa mahupun datuk mereka. Peraturan FIFA membolehkan mereka bermain untuk negara lain walaupun mereka lahir di Perancis.

Senegal mempunyai bilangan pemain yang berasal dari Perancis yang paling ramai dengan 8 pemain dan 4 orang dari mereka adalah produk dari akademi elit FFF termasuk Clairefontaine. Raphaël Guerreiro dan Mehdi Benatia juga adalah produk dari Clairefontaine tetapi terpaksa mewakili Portugal dan Maghribi disebabkan persaingan yang sengit di kem Perancis. Yang terbaru pemain pertahanan kental Aymeric Laporte juga terpaksa melupakan karier antarabangsa beliau bersama pasukan Perancis disebabkan terdapat persaingan yang hebat di posisi pertahanan skuad Perancis walaupun beraksi cemerlang bersama Manchester City. Untuk Euro 2020, beliau memilih untuk mewakili Sepanyol berbanding Perancis.

Jadi, kita dapat melihat dengan jelas betapa hebatnya sistem bola sepak di Perancis sehingga mampu menghasilkan para pemain berkelas dunia yang ramai untuk mewakili skuad Kebangsaan Perancis bahkan Pasukan Perancis tidak mampu mengambil semua pemain berbakat untuk diletakkan di dalam skuad disebabkan limpahan pemain yang berkualiti.

Lebih mengejutkan Perancis sebuah negara Eropah mampu mengatasi negara yang sinonim dengan bola sepak di Amerika Selatan seperti Argentina dan Brazil. Sistem Akademi Clairefontaine mula cuba dicontohi oleh banyak negara seperti China, Qatar, Turkey dan Vietnam. Sejak penambahan akademi bola sepak di Vietnam, pasukan Naga Emas itu mula menjadi raja di Asia Tenggara dan menduduki ranking ke 92 dunia.

Kecoh di Malaysia baru-baru ini apabila pemain-pemain Naturalisasi Malaysia iatu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula gagal menunjukkan impak yang berkesan dan tidak bermain dengan jiwa. Kita perlu menerima hakikat bahawa taraf naturalisasi yang diberikan hanyalah pelan untuk jangka pendek. Sistem bola sepak di Malaysia di peringkat akar umbi sebenarnya telah lama gagal untuk kita mengesan “pool of talents” mahupun “pool of players” bagi mewakili Malaysia.

Kebanyakan pasukan atau kelab-kelab di Malaysia tiada akademi bola sepak yang khusus sejak sekian lama. Yang menjadi matlamat pasukan kelab hanya menjuarai sesuatu kejuaraan tanpa mempunyai perancangan yang jitu untuk mengcungkil bakat-bakat muda seawal belasan tahun melalui akademi kelab seperti di negara luar. Dana yang disalurkan kerajaan banyak difokuskan untuk mendapatkan pemain import yang baik semata-mata dan mengejar pemain bintang.

Apabila pengurusan kelab tidak mampu bayar permintaan gaji yang tinggi, isu tunggakan gaji para pemain pula membelenggu kelab-kelab bola sepak di Malaysia. Senario itu berlaku sehinggga hari ini. Tambahan pula, pasukan yang bertanding di Liga utama Malaysia iatu Liga Super hanya memililki 12 pasukan sahaja. Satu bilangan yang amat sedikit untuk liga utama sesebuah negara.

Lebih malang lagi, liga divisyen 2 iatu liga Perdana banyak didominasi sistem “Feeder Club” (JDT II , TFC II, Perak II, Selangor ll) yang kurang memberi faedah kepada saingan liga Malaysia apabila pasukan Feeder ini tidak boleh naik ke Liga Super, tidak boleh bertanding untuk piala FA dan juga Piala Malaysia. Pasukan Feeder dengan pasukan utama di Liga Super juga mempunyai “DNA” permainan yang berbeza.

Seharusnya pasukan Feeder mempunyai corak permainan yang serupa dengan pasukan utama. Ini tampak mustahil untuk dilakukan apabila kebanyakan kelab-kelab di Malaysia tidak mempunyai akademi bola sepak kelolaaan mereka sepenuhnya.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Pasukan kelab di Malaysia juga belum mampu untuk membina padang latihan khusus dan efektif untuk kegunaan kelab seperti yang dilakukan oleh JDT dan yang terbaru Selangor FC. Walaupun perjalanan bola sepak Malaysia masih jauh namun tiada yang mustahil jika kelab-kelab di Malaysia lebih komited kepada pembagunan akar umbi dan fasiliti yang berkualitii untuk kemajuan pasukan.

RUJUKAN:

Adam Crafton (2017). Clairefontaine academy turns 30 next year having produced generations of incredible France international talent.

Karan Tejwani (2018). Clairefontaine: The Dream Factory That Changed French Football Forever.

Mark (2020). Clairefontaine: France’s Elite Football Academy.

Artikel oleh Ashraf Hadi (Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, uniSZA, Sesi 2017/18)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.