Pada asalnya saya terlihat iklan siri animasi Kino no Tabi (2017) di televisyen dan nampak macam ‘best’ la anime ni. Kemudian saya mencarilah siri ini di internet dan akhirnya berjumpa dengan Kino no Tabi (2003), iaitu sebuah anime asal Kino no Tabi yang disiarkan oleh WOWOW pada tahun 2003. Maka saya mulakan menonton versi 2003 terlebih dahulu daripada versi 2017 walaupun animasi 2017 lebih cantik berbanding versi 2003.

Secara ringkasnya, siri Kino 2003 dan 2017 tidak banyak beza. Ada beberapa episod atau negara dalam Kino 2017 yang dilawati merupakan negara dan babak yang sama dengan Kino 2003. Kino no Tabi mengisahkan tentang seorang remaja perempuan (bukan lelaki ye) yang mengembara bersama motorradnya yang bernama Hermes.

Ketika masih kecil, Kino merupakan anak kepada pasangan yang berniaga rumah tumpangan (hotel/homestay) di sebuah negara yang mengagungkan ‘golongan dewasa’. Dijadikan cerita, pada asalnya Kino bernama Sakura, tetapi mengambil nama Kino sempena nama pengembara yang dia jumpa. Pengembara tersebut, bernama Kino seorang lelaki yang kerjanya ialah mengembara. Ketika Kino menginap di rumah tumpangan ibubapa Sakura, dia telah membuka mata dan minda Sakura bahawa dunia ini luas dan terdapat pelbagai perkara yang menarik di luar sana.

Negara yang didiami oleh Sakura merupakan negara yang mengagungkan golongan dewasa. Bagaimana? Mereka melihat golongan kanak-kanak sebagai manusia yang tidak cekap untuk membuat kerja-kerja seharian. Oleh itu, pemimpin negara mewujudkan satu dasar iaitu mereka mewajibkan golongan kanak-kanak yang telah mencapai usia 12 tahun untuk menjalani pembedahan otak untuk memasukkan set berfikir orang dewasa. Pembedahan otak yang kanak-kanak negara itu akan lalui merupakan satu-satunya cara mereka untuk menjadi dewasa.

Satu hari sebelum pembedahan, Sakura meminta ibubapanya untuk tidak menjalani pembedahan ‘pendewasaan’ ini dan membuatkan ibubapanya terasa terhina dengan permintaan itu. Jiran-jiran mereka juga terkejut dengan permintaan ini seolah-olah ia suatu perkara yang tidak masuk akal. Kemudian mereka menuduh bahawa Kino-lah yang menghasut Sakura untuk tidak menjalani pembedahan ini. Tanpa membuang masa, ibubapa Sakura terus membunuh Kino di hadapan mata Sakura dan mereka juga mahu membunuh Sakura kerana Sakura dianggap sebagai ‘faulty product’ oleh ibu-bapanya dan masyarakat.

Maka Sakura terpaksa melarikan diri menggunakan motorrad Kino dari negaranya. Untuk melupakan tragedi yang berlaku, Sakura mengubah namanya kepada Kino, iaitu sebagai satu simbolik pengembaraan dan pembebasan diri. Maka mengembaralah Kino dengan motorradnya yang bernama Hermes keseluruh dunia.

A Land of Decision by Majority (Ep.5)

Sebenarnya apa yang saya mahu tulis dan kongsi ialah kisah pengembaraan Kino di sebuah negara yang rakyatnya mahu menjatuhkan pemerintahan beraja (monarki) kerana kezaliman raja dan digantikan dengan kuasa rakyat.

Dikisahkan Kino tiba di satu negara yang sunyi sepi, kelihatan tiada orang di dalam negara itu. Sebelum tiba di kawasan bandar, Kino dan Hermes melalui satu kawasan perkuburan yang penuh dengan batu nisan. Babak ini menunjukkan bahawa ramai orang telah disemadikan di tanah perkuburan itu.

Masuk sahaja ke dalam kawasan bandar, mereka dapati bahawa bandar itu kosong tidak berpenghuni. Kino dan Hermes sudah pun menghabiskan masa selama tiga hari berjalan di dalam negara itu dan akhirnya bertemu seorang lelaki.

Lelaki tersebut amat gembira dengan kehadiran Kino dan Hermes kerana dia tidak menyangka bahawa akan muncul manusia di bandar dan daerah yang sunyi dan tidak berpenghuni itu. Lelaki itu dengan teruja mengungkapkan “Kami telah melakukan perkara yang betul” dan kemudian Kino terus bertanyakan soalan kepada lelaki tersebut tentang keadaan negara ini.

Lelaki tersebut menceritakan sejarah daerah bandar yang sunyi itu, kenapa dan mengapa ia tidak berpenghuni langsung selain dia. Ia bermula dengan pemerintahan beraja yang telah lama menjadi tonggak negara tersebut. Namun pada musim kemarau yang menyebabkan tanaman tidak dapat tumbuh subur, rakyat menjadi semakin bengang dengan raja yang hanya berseronok tanpa memikirkan hal ehwal rakyat. Sesiapa sahaja yang cuba menentang raja akan dihukum mati dengan cara mengikat kaki mereka dengan tali, digantung di puncak kayu dan kemudian di putuskan tali tersebut yang menyebabkan kematian kerana badan menghempas tanah.

Tidak tahan dengan kekejaman raja, rakyat berpakat untuk melakukan revolusi dan menjatuhkan pemerintahan monarki. Mereka berjaya menggulingkan raja dan menangkap semua kerabat diraja. Dengan bangga mereka berjaya melakukan revolusi tanpa pertumpahan darah. Rakyat terus menubuhkan kerajaan baharu. Rakyat sudah bosan dengan kuasa autoriti yang memutuskan segala perkara dan mahu mendapatkan idea-idea daripada suara rakyat dengan melaksanakan idea yang mendapat undian yang terbanyak. Rakyat menganggap kaedah itulah yang terbaik untuk negara.

Buah fikiran rakyat yang pertama adalah bagaimana hendak diputuskan hukuman ke atas raja. Maka, lahirlah undian yang pertama yang bertujuan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas raja. Undian mendapat 98% untuk hukuman mati dijalankan dan raja dihukum sama seperti beliau menghukum rakyat yang menentang beliau. Kehidupan berlangsung seperti biasa dan setiap keputusan negara mesti diundi terlebih dahulu. Segalanya ditentukan oleh undian majoriti.

Kemudian mereka menghadapi masalah lain pula. Memandangkan setiap keputusan negara mesti dilaksanakan undian terlebih dahulu, prosesnya pasti memakan masa yang lama. Maka ada yang mencadangkan supaya dilantik seorang ketua dan diberikan sedikit kuasa. Malangnya majoriti mengundi untuk tidak bersetuju dengan idea tersebut. Rakyat yang mengemukakan idea tersebut, kemudiannya diundi majoriti sebagai bersalah dan dikenakan hukuman mati seperti di atas.

Semakin lama semakin banyak masalah yang timbul dalam kalangan rakyat, sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan undian dan pandangan majoriti, kesemuanya dihukum mati. Keadaan ini berterusan sehinggalah ada rakyat yang memberikan idea untuk menghapuskan sistem hukuman bunuh tersebut. Jumlah rakyat yang dihukum mati ialah 13, 064 orang kesemuanya.

Pada akhirnya, negara tersebut hanya dihuni oleh tiga orang sahaja. Lelaki yang menceritakan sejarah ini bersama isterinya dan seorang lelaki yang ingin keluar daripada negara tersebut yang juga merupakan salah seorang revolusionis. Maka undian terakhir dijalankan dengan keputusan dua satu, lelaki revolusionis tersebut dihukum mati. Tidak lama selepas itu, si isteri tersebut sakit dan mati akibat tiada doktor yang boleh merawatnya. Tamat sejarah.

Setelah Kino mendengar cerita lelaki itu, dia ingin beredar untuk meneruskan perjalanannya ke destinasi lain. Tetapi lelaki tersebut mengugut Kino dengan diacukan pistol ke arahnya sambil mengajak Kino untuk tinggal dan bangunkan negara itu. Ironinya, Kino mencadangkan undian diadakan dengan undian minoriti akan dihukum mati juga. Lelaki itu tersentak kerana dia akan kalah dalam undian tersebut kerana Kino dan Hermes mewakili dua undi manakala dia hanya mewakili satu undi sahaja.

Demokrasi Langsung

Apa yang ditayangkan oleh Kino no Tabi dalam episod ini adalah demokrasi langsung (direct democracy/pure democracy). Demokrasi langsung merupakan satu bentuk demokrasi yang melibatkan penyertaan rakyat dalam (hampir) semua keputusan negara seperti cukai dan polisi negara yang lain.

Bermakna rakyat akan turun padang setiap kali ada isu atau perubahan yang hendak dilakukan oleh rakyat atau negara. Demokrasi bentuk kedua adalah demokrasi perwakilan (representative democracy). Demokrasi perwakilan pula seperti mana negara kita hari ini. Kita memilih pemimpin dan wakil-wakil rakyat, dan merekalah yang akan menguruskan dan menetapkan hal ehwal negara.

Sejarah

Athens Purba merupakan contoh terbaik apabila hendak dikaitkan dengan demokrasi langsung pada masa lalu. Rakyat akan berkumpul di suatu tempat yang boleh diistilahkan sebagai ‘Assembly’ iaitu perhimpunan rakyat yang khusus untuk mengundi. Ia juga dikenali sebagai ‘Ecclesia’. Kebiasaannya Ecclesia di ‘pnyx’ iaitu auditorium terbuka di belah barat Acropolis. Adapun Ecclesia (tempat undi) boleh berubah mengikut keperluan oleh ketua Assembly. Assembly ini akan berkumpul dan mengundi sebanyak 40 kali setahun. Lebih khusus, setahun ada 10 kali prytany. Setiap prytany ada 4 kali pertemuan. Jadi jumlahnya 40 kali.

Dianggarkan ketika pertengahan kurun ke-4, Athen memiliki 100, 000 warganegara, 10, 000 warga asing dan 150, 000 hamba sahaya. Dalam kalangan warganegara, hanya 30, 000 sahaja berumur 18 tahun dan ke atas. Sekiranya anggaran ini betul, maka jumlah ini hanyalah 10 ke 15 peratus daripada jumlah populasi. Sesiapa sahaja yang dilahirkan di Athen layak untuk mengundi. Adapun begitu, had umur yang ditetapkan pada pengundi adalah 18 tahun dan ke atas. Kemudian selepas 403 Masihi, had umur dinaikkan kepada 20 tahun dan ke atas.

Siapa yang boleh dan layak mengundi di Athen?

  • Berumur 18 atau 20 tahun ke atas dan telah berkhidmat dengan tentera selama 2 tahun.
  • Warganegara.
  • Lelaki sahaja. Wanita tidak dibenarkan mengundi.
  • Hamba sahaya tidak layak mengundi.

Keputusan diadakan dengan cara undian (vote). Dan undian pula dilakukan dengan mengangkat tangan. Undian dikira selesai atau tamat dengan berakhirnya angkatan tangan oleh penduduk yang hadir.

Tidak dapat dianggarkan jumlah kehadiran yang tepat untuk satu sesi undian. Ia menunjukkan bahawa agak sukar untuk kesemua warga Athen yang layak mengundi untuk datang mengundi. Pada 411 Masihi, pihak atasan Assembly telah memberikan upah ataupun bayaran kepada rakyat yang hadir mengundi. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi peratusan turun mengundi terutama sekali daripada golongan miskin. Upah yang tinggi menaikkan lagi kehadiran untuk mengundi.

Switzerland

Banyak sahaja negara dan daerah yang mengamalkan demokrasi langsung. Tetapi Switzerland yang dikatakan menepati atau hampir kepada ciri-ciri demokrasi langsung berbanding pengamalan oleh negara-negara lain yang hanya sekadar pada tahap negeri atau daerah sahaja. Demokrasi langsung yang diamalkan di Switzerland merangkumi semua tahap. Iaitu kebangsaan (national), negeri (canton) dan daerah (municipal).

Switzerland memiliki 8.2 juta penduduk (2017) yang boleh dibahagikan kepada 26 negeri (canton). Setiap tahun rakyat Switzerland akan mengundi sebanyak 4 kali.

Sebagai contoh, mereka boleh mengundi untuk membangunkan sekolah baharu di kawasan mereka, atau cadangan untuk sebuah negeri menghasilkan tenaga elektrik mereka sendiri atau pelan persaraan. Adapun begitu, peraturan yang telah digazetkan tidak boleh dibuat undian semula. Isu-isu baharu sahaja yang dibolehkan untuk diadakan undian.

Setiap 4 tahun akan diadakan pemilihan anggota parlimen iaitu seramai 246 orang ahli parlimen. Parlimen terbahagi kepada dua iaitu House of Representatives yang mewakili suara rakyat dan Senate yang mewakili kerajaan negeri (canton). Ini memberikan kuasa politik kepada canton yang tidak memiliki populasi yang ramai.

Diambil daripada swissemb.org

Instrumen

Ada tiga instrumen demokrasi langsung yang digunakan oleh Switzerland, merangkumi tiga jenis referendum: mandatori, inisiatif popular (popular initiative) dan pilihan (optional). Undian mesti diadakan pada sebarang pindaan kepada perlembagaan yang menghasilkan referendum mandatori. Majoriti berganda (double majority), yang bermaksud persetujuan majoriti rakyat dan canton diperlukan untuk meminda perlembagaan negara.

Rakyat boleh melancarkan inisiatif yang popular untuk menuntut perubahan kepada perlembagaan. Mana-mana warga Switzerland yang layak untuk mengundi boleh menandatangani inisiatif popular dan sekurang-kurangnya tujuh orang (sebagai jawatankuasa inisiatif popular) boleh melancarkan inisiatif mereka sendiri. Sebelum undian diadakan atas inisiatif popular tersebut, jawatankuasa inisiatif perlu mengumpul 100,000 tandatangan yang sah memihak kepada cadangan itu dalam tempoh 18 bulan.

Inisiatif popular diperkenalkan di peringkat persekutuan pada tahun 1891. 200 inisiatif popular telah dipilih sejak itu, tetapi hanya 22 yang diterima. Pada tahun 2016, satu inisiatif yang popular untuk memberi semua orang di negara ini pendapatan asas yang dilancarkan ke peringkat referendum, tetapi ditolak oleh 76.9% pengundi. Inisiatif popular yang mencadangkan enam minggu cuti setahun untuk pekerja juga ditolak semasa undian.

Contoh lain, rakyat Switzerland menolak pembinaan menara azan dan disokong sebanyak 58% undian walaupun kerajaan telah pun melarangnya. Ini menunjukkan bahawa demokrasi tetap dijalankan walaupun sudah terang akan suatu undang-undang tersebut. Inisiatif popular untuk menghantar pulang penjenayah warganegara asing telah mendapat 53% undian. Kedua-dua contoh ini iaitu menara azan dan penghantaran pulang penjenayah warganegara asing dimasukkan ke dalam perlembagaan.

Diambil daripada https://www.eda.admin.ch/aboutswitzerland/en/home/politik/uebersicht/direkte-demokratie.html

Kesimpulan

Secara keseluruhan, demokrasi merupakan sistem yang baik untuk meraikan kuasa yang ada pada rakyat. Adapun begitu, kelemahan sistem ini seringkali dimanipulasikan oleh barisan pelakon (baca: ahli politik) yang mampu memperdayakan rakyat sehingga melakukan undian atas dasar pengaruh propaganda, bukan atas kemampuan berfikir dan menilai sendiri. Suka atau tidak, pengundi perlu memiliki kemahiran dan kematangan dalam penilaian sebelum mengundi. 

RUJUKAN:

Micol Lucchi. (2017). This is how Switzerland’s direct democracy works. World Economic Forum. Diambil di https://www.weforum.org/agenda/2017/07/switzerland-direct-democracy-explained/

N.A. (N.D.). Kino no Tabi: The Beautiful World. My Anime List. Diambil di  https://myanimelist.net/anime/486/Kino_no_Tabi__The_Beautiful_World

N.A. (N.D.). Kino no Tabi: The Beautiful World. My Anime List. Diambil di  https://myanimelist.net/anime/35079/Kino_no_Tabi__The_Beautiful_World_-_The_Animated_Series

N.A. (2011). Switzerland’s Direct Democracy. Youtube – SWI swissinfo.ch.

N.S. Gill. (2018). Ecclesia the Greek Assembly. Diambil di https://www.thoughtco.com/ecclesia-assembly-of-athens-118833

Robert A. Dahl. (2019). Democracy. Encyclopaedia Britannica. Diambil di https://www.britannica.com/topic/democracy

Robert Longley. (2019). Direct Democracy Pros and Cons. Diambil di https://www.thoughtco.com/what-is-direct-democracy-3322038

Scott Michael Rank. (2019). Direct Democracy Definition. History on the Net. Diambil di  https://www.historyonthenet.com/direct-democracy-definition

Theo Schiller. (2019). Direct Democracy. Encyclopaedia Britannica. Diambil di https://www.britannica.com/topic/direct-democracy


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang graduan Pengajian al-Quran dan Sunnah di USIM dan sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang terapi Psikospiritual Quran dan Sunnah.

Comments are closed.