“Aku sentiasa mencari sesuatu, seseorang. Perasaan ini sudah lama menghantuiku. Ku kira, ianya bermula pada hari itu.. Hari itu, ketika bintang menjatuh, bagaikan satu babak dari mimpi. Persis suatu pemandangan yang indah.” – Mitsuha Miyamizu & Taki Tachibana

Kimi no Na Wa adalah sebuah filem animasi Jepun bergenre romantik fantasi arahan Makoto Shinkai yang ditayangkan pada tahun 2016. Filem ini telah mendominasi box office di Jepun selama 10 minggu. Hanya dalam masa 3 hari penayangan, filem animasi ini telah meraih ¥1,28 juta dengan jumlah penonton mencapai 960.000 orang. Kimi no Na Wa telah merangkul tempat kedua dalam carta filem domestik Jepun, di belakang filem pemenang Oscar Spirited Away. Filem ini telah menjadi filem anime karya Hayao Miyazaki pertama yang berjaya menembus pendapatan 10 juta yen.

Kimi no Na Wa bermaksud “Nama Mu” “Your Name” mengisahkan tentang seorang gadis sekolah di sebuah kampung di Jepun dan seorang jejaka sekolah di bandar yang saling bertukar tubuh dan berkomunikasi di antara satu sama lain. Berdurasi dengan hanya 107 minit, filem ini telah disaratkan dengan pelbagai filosofi, ideologi, teori-teori saintifik serta dikaitkan dengan kepercayaan agama yang menjadikan filem ini satu “masterpiece” daripada penulis Makoto Shinkai .

Roh, Intuisi dan Jodoh.

“Aku tidak pasti apakah aku mencari seseorang atau sesuatu tempat, atau aku hanya mencari pekerjaan.”

-Taki Tachibana

Gambar 1: Permulaan filem memaparkan dialog Taki Tachibana dan Mitsuha Miyamizu yang mencari sesuatu, seseorang di dalam hidupnya.

Intuisi adalah satu istilah untuk kemampuan memahami sesuatu tanpa melalui pertimbangan rasional mahupun intelektual. Seolah pemahaman itu datang dengan sendirinya di luar kesedaran manusia. Setiap manusia mempunyai intuisi yang menjadi sebahagian dari komponen roh dan tubuh manusia. Intuisi, yang menjadikan manusia seringkali mengalami keadaan di mana seolah-olah mengetahui sesuatu perkara atau pernah pengalami keadaan sesuatu – deja vu.

Filem Kimi no Na Wa dimulakan dengan dialog Taki Tachibana dan Mitsuha Miyamizu yang telah dewasa dan berada di Tokyo merasakan diri mereka seolah-olah mencari sesuatu yang tidak dipastikan apa, siapa atau di mana. Segala memori mengenainya tidak ada di dalam fikiran kecuali hanyalah suatu perasaan yang meruntun di hati, perasaan bahawa mereka mencari sesuatu.

Kemudian cerita beralih bagaimana ketika remaja mereka saling bertukar tubuh, bertukar-tukar informasi melalui nota dan sering bergaduh. Sehingga di akhirnya Taki mendapati bahawa dia sedang berkomunikasi dengan seseorang yang telah meninggal dalam satu tragedi di Itomori, 3 tahun lalu. Kisahnya berlanjutan tentang bagaimana akhirnya kampung Itomori berjaya diselamatkan dan takdir telah berubah. Dengan berubahnya takdir itu, Taki yang  sedar pada jalur masa dimana peristiwa komet jatuh itu tidak pernah berlaku telah hilang memorinya tentang peristiwa itu, kerana dengan berubahnya sejarah itu kini peristiwa itu telah tiada di alam fikirannya. Yang tinggal hanyalah suatu perasaan yang meruntun di dalam hatinya.

Perasaan bahawa pernah terjadi sesuatu, dengan seseorang, di suatu tempat, pada suatu masa.

“Taki, Taki.. Tidakkah kamu mengenaliku? Namaku Mitsuha!”

Akhirnya  Taki Tachibana dan Mitsuha Miyamizu yang telah dewasa bertemu di Tokyo, dan merasakan mereka mengenali antara satu sama lain, tetapi tidak tahu bila, bagaimana dan di mana. Yang ada hanyalah suatu “perasaan” di dalam hati yang tidak dapat diungkapkan. Di akhirnya, tidak dapat dipastikan adakah peristiwa “merubah takdir Itomori” benar-benar berlaku atau tidak, hanya menjadi sebuah intuisi di dalam roh masing-masing, bahawa Taki dan Mitsuha saling mengenali antara satu sama lain.

Di dalam Islam terdapat berbagai ulama dengan pelbagai tafsiran mengenai intuisi atau disebut sebagai hads (حدس) dalam bahasa Arab. Siháb al Din-al Suhrawadi, dalam bukunya Philosophy Of Illumination (ishraq) mendapati bahawa intuisi adalah pengetahuan yang diperoleh menerusi pencahayaan dan sifatnya sangat mistik. Manakala Ibn Sina mendapati keupayaan mempunyai intuisi sebagai “keupayaan ramalan” dan mengistilahkannya sebagai “pengetahuan yang diperoleh tanpa niat untuk memperolehnya”.

الأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَا مِنْهَا اخْتَلَفَ

“Roh-roh itu seperti tentera yang berhimpun yang saling berhadapan. Apabila mereka saling mengenal (sifatnya, kecenderungannya dan sama-sama sifatnya) maka akan saling bersatu, dan apabila saling berbeza maka akan tercerai-berai.”

Hadits tersebut diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah radhiyallâhu ‘anhu dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari no. 3336 secara mu’allaq dari ‘Aisyah radhiyallâhu ‘anha.

Konsep Benang Merah Takdir “Unmei no Akai Ito

“Barangkali kita tidak akan bertemu.. Tetapi menjadi satu kepastian, jika kita bertemu, kita pasti akan tahu. Bahawa kau-lah yang di dalam-ku dan aku-lah yang di dalam-mu.”

– Mitsuha Miyamizu

Gambar 2: Mitsuha memberikan tali tenunan yang dipakai sebagai pengikat rambut kepada Taki.

Benang Merah Takdir atau “The Red Thread of Fate” juga disebut sebagai Red Thread of Marriage, adalah kepercayaan Asia Timur yang berasal dari legenda Cina. Menurut mitos ini, dewa telah mengikat tali merah yang tidak kelihatan di sekeliling pergelangan kaki mereka yang ditakdirkan untuk bertemu satu sama lain dalam keadaan tertentu atau membantu satu sama lain dengan cara yang tertentu. Dewa yang bertanggungjawab atas “benang merah” ialah Dewa Yuè Xià Lǎorén [月下老人], dewa yang dipercayai bertanggungjawab atas urusan mempertemukan jodoh dan perkahwinan.

Di dalam budaya Jepun dan Korea, jari kelingking setiap orang dipercayai terikat satu benang merah yang tidak kelihatan yang akan mempertemukan dia dengan seseorang yang akan menjadi satu bahagian penting dalam sejarah hidupnya – jodoh. Lagenda ini mempercayai bahawa arteri Ulnar di dalam hati bersambung dengan jari kelingking, dan menelusuri terus ke alam ghaib dan berakhir di hati seseorang yang lain.

Filem Kimi no Na Wa mengagungkan konsep benang merah dengan begitu hebat sekali baik secara literal mahupun secara metafor. Mitsuha Miyamizu menggunakan tali tenunan berwarna merah yang diikat sebagai pengikat rambutnya, yang mana kemudian diberikan kepada Taki Tachibana dan dijadikan sebagai gelang tangan azimat oleh Taki.

Ketika Taki berhasrat untuk menemui Mitsuha buat kali terakhir, Taki telah meminum Kuchikamisake yang ditinggalkan Mitsuha di Makam Miyamizu, ketika itu Taki telah jatuh dan mengalami satu gambaran tentang perjalanan hidup Mitsuha sedari lahir. Sepanjang gambaran itu berlangsung, satu benang merah kelihatan terikat pada tangan kanan Taki.

Ketika keduanya berselisih semasa Kataware-Doki (pertembungan dua dunia) bayangan benang merah telah kelihatan terikat di antara keduanya dan kedua mereka menyedari daya tarikan takdir yang mengikat mereka.  Di permulaan filem ini benang merah kelihatan mengelilingi Mitsuha dan Taki sebelum digambarkan jarak yang memisahkan mereka.

Gambar 3: Bayangan Benang Merah yang muncul ketika Taki dan Mitsuha berselisih di puncak gunung semasa Kataware-Doki

Musubi

Musubi adalah cara lama memuja Tuhan penjaga setempat. Dunia ini mempunyai maknanya yang mendalam. Mengikat tali tenunan adalah Musubi, menghubungkan orang adalah Musubi, aliran masa adalah Musubi. Ini semua adalah kuasa Tuhan. Tenunan tali yang kita buat adalah seni Tuhan dan melambangkan aliran masa itu sendiri. Ia berkumpul dan terbentuk. Memutar, berselirat, kadang-kadang terurai, terpisah, kemudian bersambung semula di hujungnya. Musubi – Ikatan. Itulah masa

– Hitoha Miyamizu, nenek Mitsuha.

Musubi diceritakan oleh nenek Mitsuha ketika mereka berjalan menuju ke makam Miyamizu. Musubi dipetik daripada kepercayaan Shintoisme iaitu Dewa Musubi yang bertanggungjawab untuk mencipta dunia dalam naratif Jepun. Apabila masa berlalu, kanji [産 霊] telah menjadi [結 び] apabila ia mula dikaitkan dengan cinta dan pertemuan [結 び] dibaca sebagai “mengikat” yang bermaksud Dewa Pertemuan yang menghubungkan jiwa-jiwa melalui benang merah takdir. Musubi adalah suatu semangat penciptaan dan kejadian. Ia adalah keseluruhan proses penciptaan di mana setiap orang dilahirkan, membesar, dan mengalami perubahan.

Gambar 4: Tenunan benang yang menjadi simbolik kepada Musubi.

Taki dan Mitsuha, berhubung dari dua dunia yang berbeza jalur masanya. Mereka bertemu, berkomunikasi, sehingga membawa kepada peristiwa yang merubah sejarah tragedi Itomori. Peristiwa ini telah menjadikan jalur masa keduanya yang berbeza telah bertemu di hujung. Dua dunia akhirnya bersatu, bagaikan ikatan tali tenunan yang diajarkan oleh nenek Mitsuha. Walau bagaimana ia berpintal dan berselirat malah berpisah di tengahnya, tetapi tetap bertemu dihujungnya. Melambangkan masa – ikatan – Benang Merah Takdir –

Merubah Takdir, Pengembaraan Masa dan Multiverse.

“Jalur masa kami tidak sama. Tetapi jika masa itu benar-benar boleh berpatah balik, berikan daku satu peluang terakhir!”

– Taki 

Pengembaraan masa – bergerak dari satu titik masa ke titik yang lain – telah menjadi satu topik yang berdekad lamanya diperdebat di dalam sains. Di dalam satu babak di mana Mitsuha berbual dengan Tessie, Tessie bersenda dengannya dengan mengatakan bahawa Mitsuha telah berhubung dengan dirinya di Everett multiverse. Apakah itu Everett

Dalam kebanyakan filem-filem atau rancangan yang menggunakan konsep pengembaraan masa, kita dibentangkan dengan konsep Grandfather Paradox. Walau bagaimanapun, filem Kimi no Na Wa telah menggunakan tafsiran yang merupakan hipotesis yang dibuat oleh ahli fizik kuantum Hugh Everett. Konsep ini menegaskan bahawa kita hidup di multiverse di mana garis masa sentiasa berpisah dan mewujudkan dunia yang berasingan dan masing-masing dialami oleh kita dalam versi yang

Ini selaras dengan kepercayaan agama Shinto di Jepun yang percaya bahawa dunia roh tinggal bersama dengan dunia kehidupan. Roh dapat melakukan perjalanan antara kedua dunia dengan bebas. Seseorang boleh mati tetapi masih berjalan di antara hidup dengan melintasi di antara alam roh dan alam kehidupan. Taki dan Mitsuha bertemu di puncak gunung pada waktu senja yang digelar Kataware-doki, saat di mana sempadan antara dunia kehidupan dan dunia roh menjadi kabur dan roh mampu menembusi ke alam

Tidur dan bermimpi juga mempunyai kaitan dengan konsep ini, dalam kepercayaan agama Shinto roh boleh melakukan perjalanan dan dikatakan bahawa seorang yang terlatih secara rohani (Mitsuha) mampu menghantar jiwa sendiri ke lokasi yang jauh atau jalur masa yang lain. Mitsuha adalah seorang biarawati bagi kuil Miyamizu dan berdarah keturunan penjaga-penjaga makam suci Miyamizu. Kesedaran tentang pengembaraan roh tidak hanya terjadi padanya malah juga kepada ibunya dan neneknya.

Saya juga pernah mengalami mimpi yang aneh ketika saya masih muda. Walaupun sekarang saya lupa tentang kehidupan mimpi itu. Ibumu juga mempunyai pengalaman yang sama.

– Hitoha Miyamizu, nenek Mitsuha.

Mitsuha adalah jiwa yang mengembara ke jalur masa lain untuk mencari cinta sejatinya – Taki yang dihubungkan sejak lahir dengan tali merah dan akhirnya telah  merubah takdir dan menyelamatkan kampungnya. Di sinilah kisah ini kelihatan mengelirukan ramai dan menjadi kritikal, membuka lubang-lubang plot yang banyak.

“Tiga tahun yang lalu, sebelum aku mengenali kamu, kamu telah datang bertemuku!”

– Taki Tachibana

Lima tahun setelah peristiwa merubah takdir Itomori menurut garis masa Taki, dan lapan tahun mengikut garis masa Mitsuha, Taki dan Mitsuha yang telah dewasa bertemu semula di bandar Tokyo. Kini jalur masa keduanya telah berhubung dan diselaraskan. Taki berusia 22 tahun sekarang manakala Mitsuha berusia 25 tahun. Kedua-duanya mempunyai kerinduan, cinta, dan patah hati yang mendalam untuk satu sama lain walaupun masing-masing sudah tiada memori tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara mereka. Mereka juga tidak tahu apa atau siapa yang mereka cari. Ini telah berlaku untuk kedua-dua mereka selama bertahun-tahun sejak Itomori diselamatkan. Maka kini jalur masa kembali semula kepada ketika permulaan filem, menjadikan peristiwa saling bertukar tubuh serta mengubah takdir Itomori hanyalah sebuah intuisi yang tidak dapat dipastikan samaada benar berlaku.

Gambar 5: Taki Tachibana dan Mitsuha Miyamizu bertemu kembali di Tokyo, garis masa kini bertemu dan selaras.

 

Pengembaraan masa yang diceritakan di dalam Kimi no Na Wa adalah lebih kepada dua dunia yang bertembung dan menyatu, secara ilmiah diterangkan sebagai Everett Multiverse, secara keagamaan diterangkan melalui Shinto. Ikatan tali tenunan, menjadi metafor yang sempurna kepada pertembungan dua jalur masa yang menemukan pasangan ini, juga menepati konsep “Unmei no Akai Ito” – Benang Merah Takdir.

Kataware-doki, Interpretasi Dua Dunia

“Kataware-doki sudah hampir tamat..”

– Mitsuha Miyamizu & Taki Tachibana

Gambar 6: Taki Tachibana dan Mitsuha Miyamizu yang berbeza garis masa bertemu ketika Kataware-Doki.

Pada permulaan filem, Yukari Yukino – cameo dari karya Shinkai, Garden of Words – menyebut waktu senja sebagai “Kataware-doki”. Perkara-perkara pelik dan sukar ditafsir oleh akal sering berlaku semasa senja, di mana alam berada di pertengahan antara siang dan malam. Dan ia berlaku, di dalam Kimi no Na Wa. Taki, yang hidup di Bandar Tokyo pada jalur masa 3 tahun selepas peristiwa Itmori telah bertemu dengan Mitsuha di puncak gunung ketika Kataware-doki.

Jika kita amati cara Yukino menggambarkan senja menggunakan istilah “katawaredoki” kerana ia adalah sebahagian daripada dialek Hida – rantau yang menginspirasikan kampung fiksyen Itomori – dialek, dan bentuk yang betul sebenarnya akan menjadi “kawataredoki” yang kuno. Perkataan ini berkait secara langsung dengan istilah kuno lain yang digunakan untuk fajar / senja iaitu “Tasokaredoki.”. Kanji dan cara membacanya adalah:

Kataware – Doki

Kawataredoki

彼 は 誰 時 → “dia” “adalah” “siapa” “waktu” yang dapat diterjemahkan secara kasar untuk bermaksud “siapakah dia pada waktu ini?” Ini menunjukkan sifat ghaib; apabila sesuatu yang mistik tidak dapat dijelaskan dengan akal. Perkara-perkara aneh dan supernatural kerap berlaku pada waktu ini.

Maka, persoalan kembali semula kepada tajuk filem ini, iaitu:

“Siapakah kamu?”

Te Amat

“Bila temujanji itu sudah tamat, komet akan kelihatan di langit..”

-Mitsuha Miyamizu

Gambar 7: Mitsuha menyaksikan komet Tiamat sebelum nukleusnya terbelah dan menghentam kampung Itomori

Komet Tiamat adalah satu signifikan yang besar di dalam filem Kimi no Na Wa. Di permulaan filem ini kelihatan komet sedang jatuh menerusi beberapa lapis awan di langit, dan akhirnya membedil kampung Itomori, di mana penduduknya sedang mengadakan perayaan.

Etimologi perkataan “Tiamat” memberikan maksud yang besar dalam melambangkan cinta secara harfiah ditulis dalam bintang-bintang. Terdapat sesuatu yang istimewa mengenai cara “Tiamat” ditulis. Di dalam sebutan bahasa Jepun, “Tiamat” boleh dipecahkan kepada empat suku kata iaitu “Ti – Ah – Ma – tte”. Ini adalah bagaimana rata-rata orang Jepun menyebutnya, tetapi bunyinya pasti diucapkan sebagai sebagai “Teh – Ahma -theh”. Di dalam bahasa latin “Te Amat” bermaksud “dia mencintai kamu” atau “he loves you”. Penulis cerita ini, Shinkai telah menggunakan komet sebagai metafor untuk melambangkan cinta yang telah “ditakdirkan”

Kesimpulan

Takdir, adalah tema utama filem animasi ini. Tidak kira apa yang berlaku, takdir yang telah tertulis pasti akan berlaku. Insan yang ditakdirkan bersama pasti akan ditemukan. Persis persilangan benang tenun, walau bagaimana berselirat dan berpisah, tetap saja bertemu di hujungnya. Alam bergerak berlandaskan kecerdasan ilahiyah, dan keajaiban boleh terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Sejak dari azali, manusia telah dibekalkan dengan pengetahuan di dalam rohnya, pengetahuan bagi membezakan kebenaran dan kebatilan, pengetahuan tentang ceritera hidup yang bakal dijalani, pengetahuan tentang siapa yang bakal ditemui, juga pengetahuan tentang jodoh masing- masing. Jodoh yang akan dikenali saat titik pertemuan, walau tidak pernah bertemu – Intuisi.

Filem Kimi no Na Wa telah menjelaskan konsep intuisi dengan begitu baik. Mitos-mitos daripada kepercayaan masyarakat Asia Timur, Sains Spiritual, teori Multiverse serta unsur-unsur keagamaan telah dimuatkan dengan sempurna di dalam filem animasi ini. Malah penggunaan tenunan benang sebagai metafor yang melambangkan kesenian takdir serta jalur masa berbeza yang bertemu di hujungnya, menjadikan filem ini sebagai sebuah karya agung penulis Makoto Shinkai.

Filem hebat ini sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan umur dengan minda dan perasaan yang ringan, tanpa berfikir untuk menganalisis secara kritikal. Ia menyampaikan cerita cinta yang merentasi dunia dan masa. Di dalam kehidupan kita mempunyai banyak mimpi, tetapi mimpi mesti dihubungkan dengan tindakan di alam nyata. Ianya mesti ditenun bersama – ibarat ikatan benang tenunan – Musubi.

“Ku ingin kamu tahu.. walau dimana pun kamu berada di dunia ini, aku akan mencarimu!”

– Taki Tachibana

Rujukan:

  1. https://aminoapps.com/c/japan/page/blog/symbolism-in-kimi-no-na-wa/XRsg_uLwV7D64KKVVZEgEXr8Pawq1
  2. https://okunomichi.wordpress.com/2017/06/08/kimi-no-na-wa-and-musubi/
  3. http://www.faena.com/aleph/articles/the-legend-of-the-red-string-of-japan/
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Red_thread_of_fate
  5. https://www.newscientist.com/article/dn26261-hugh-everett-the-man-who-gave-us-the-multiverse/
  6. https://id.wikipedia.org/wiki/Shinto
  7. https://en.wikipedia.org/wiki/Intuition

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak kelahiran pasangan pelukis batik dan penggiat seni kraf melayu dari Perlis, Ahmad Syahir merupakan seorang Assistant Architect dan penggiat seni Visualisasi 3D senibina. Kini sedang mengejar Master dalam bidang senibina di UTM. Dari sudut pandangnya sebagai anak seni, alam merupakan karya Tuhan yang menyimpan seribu satu rahsia tentang Pelukisnya. Segala yang ada adalah seni yang mempunyai maksud dan mampu ditafsir. Penulisan cenderung kepada Alam Melayu dan Eksplorasi Karya.

Comments are closed.