Apabila kita menyebut nama Kim Yushin atau Gim Yu-Sin, kita cuma boleh bayangkan pelakon Korea, Uhm Tae-woong yang memegang peranan tokoh bersejarah tersebut dalam drama MBC, Queen Seondeok. Namun, hakikatnya, Yushin bertanggungjawab membantu kerajaan Silla menyatukan Korea di bawah pemerintahan kerajaan tersebut. Kejayaan beliau menjadikannya legenda dalam kalangan rakyat Korea sehingga ke hari ini.

Yushin merupakan anak kepada jeneral Silla, Gim Seohyeon dan Lady Manmyeong. Lahir di Gyeyang, Jincheon pada tahun 595 Masihi, beliau sudah didedahkan dengan latihan ketenteraan dan bergelar pahlawan Hwarang pada usia 15 tahun. Apabila Yushin mencecah usia 18 tahun, beliau menjadi pemain pedang yang hebat dan bergelar pemimpin Hwarang. 15 tahun selepas itu, beliau diberi kepercayaan mengetuai angkatan tentera Silla dan terus kekal sebagai jeneral selepas sepupunya, Puteri Seondeok menaiki takhta pada tahun 632 Masihi.

Semasa tempoh tersebut juga, Yushin berkahwin dengan adik sahabat baiknya, Kim Chunchu. Chunchu merupakan antara tokoh diplomat Korea pada zamannya sebelum menaiki takhta kerajaan Silla sebagai Raja Muyeol yang memerintah antara 654 hingga 661 Masihi. Semasa pemerintahan baginda, kerajaan Silla menjalin hubungan rapat dengan Dinasti Tang (618-907 Masihi) dan baginda turut berkahwin dengan adik sahabatnya itu, sekaligus membuka jalan kepada usaha penyatuan kerajaan Silla.

Semasa pemerintahan Ratu Seondeok, Chunchu dihantar sebagai ketua misi diplomatik Silla kepada kerajaan Goguryeo. Tujuan misi tersebut ialah memohon bantuan kerajaan tersebut dalam menghadapi ancaman kerajaan Baekje yang semakin agresif meluaskan kuasanya di Semenanjung Korea. Namun apabila misi diplomatik Silla mengajukan permintaan ratu mereka, Raja Goguryeo, Pojang sebaliknya mahukan sebahagian wilayah Silla sebagai pertukaran untuk bantuan mereka. Apabila Ratu Seondeok mendengar tuntutan tersebut, baginda enggan melayan tuntutan tersebut. Akibatnya, Chunchu dipenjarakan di Goguryeo. Murka dengan tindakan Pojang, Seondeok menghantar Yushin dan 10,000 tentera ke Goguryeo untuk menyelamatkan duta baginda dan sebagai tindak balas kepada kebiadaban Pojang. Apabila berita kedatangan tentera Silla diketahui oleh Pojang, baginda segera melepaskan Chunchu tanpa sebarang pertumpahan darah.

Sebut pasal penyatuan Korea, kita perlu tahu tentang situasi yang dihadapi Silla ketika itu. Pada tahun tersebut, selain Silla, Baekje dan Goguryeo turut bersaing merebut kekuasaan di Semenanjung Korea. Namun, apabila Silla dan Dinasti Tang membentuk pakatan tentera laut bersama pada tahun 660 Masihi, ia sebenarnya sudah menunjukkan siapa bakal mengawal wilayah tersebut. Yushin mengetuai bala tentera Silla seramai 50,000 orang sementara tentera laut Tang diketuai Jeneral Su Dingfang dengan kekuatan seramai 130,000 orang. Dua pasukan ini menyerang dari dua arah, tentera Tang menyerang dari Sungai Paek (moden Kum) sementara tentera Silla menyerang dari arah darat. Dan Baekje semakin tersepit apabila Yushin dan bala tenteranya berjaya menyeberangi kawasan Pergunungan Sobaek sekaligus mewujudkan cabaran besar buat tentera Baekje. Mereka bertemu di Dataran Hwangsang dan seperti dijangka, kekuatan tentera pakatan Silla-Tang mengatasi tentera Baekje. Baekje tumbang dan diserap sebagai sebahagian daripada jajahan Silla.

Jika Pojang menyangka Silla tidak akan menyerangnya, jangkaan baginda salah sama sekali. Selepas berjaya menamatkan kekuasaan Baekje, tentera Su Dingfang mula bergerak ke ibu negeri kerajaan Gugoryeo, Pyongyang (ibu negara Korea Utara moden). Mereka melancarkan pengepungan kota tersebut pada 661 Masihi tetapi pengepungan tersebut gagal. Hanya bantuan makanan dari Yushin menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa kebuluran semasa musim sejuk. Walaupun mereka berjaya memaksa pakatan Silla-Tang berundur, kemenangan tersebut pada masa sama melemahkan kekuatan kerajaan tersebut. Dan enam tahun selepas itu, Goguryeo akhirnya tumbang pada 668 Masihi. Sebagai pertukaran kepada bantuan yang ditawarkan Dinasti Tang, China menjadikan Goguryeo sebahagian daripada wilayahnya. Ini membuka jalan kepada penyatuan sepenuhnya semua wilayah di bawah pentadbiran Silla sehingga 935 Masihi.

Bagaimanapun, kerajaan Silla terutama Yushin sedar Dinasti Tang tidak akan membiarkan mereka begitu saja. Buktinya, Maharaja Gaozong mewujudkan sebuah bahagian pentadbiran khas Korea dengan tujuan meletakkan semua wilayah termasuk Silla di bawah pentadbiran mereka. Murka dengan tindakan Dinasti Tang, pengganti Raja Muyeol, Raja Munmu yang juga anak saudara kepada Yushin membentuk pakatan Silla-Baekje-Goguryeo dengan pemimpin-pemimpin pemberontak dua bekas kerajaan tersebut. Pakatan ini kemudian melancarkan serangan ke atas tentera Dinasti Tang yang menduduki wilayah Korea. Pertelingkahan ini berterusan hinggalah dekad 670-an Masihi dan dikenali sebagai Perang Silla-Tang. Selepas itu, barulah Silla boleh memfokuskan semula usahanya menyatukan Semenanjung Korea di bawah panjinya.

 

Bagi Yushin sendiri, beliau diberi ganjaran lumayan atas usahanya menyatukan wilayah-wilayah di bawah pentadbiran Silla. Pada tahun sama kejayaan pakatan Silla-Tang menawan Goguryeo, Yushin diberi gelaran kehormat Taedaegakgan oleh Raja Munmu dan sebuah kampung dengan populasi 500 orang. Setahun selepas itu, baginda mengurniakan Yushin 142 ekor kuda ladang yang bertebaran di seluruh wilayah. Beliau meninggal dunia pada 673 Masihi pada usia 79 tahun dan meninggalkan 10 orang cahaya mata. Selepas kematiannya pada 18 Ogos 673, Yushin diberi gelaran kehormat Raja Heungmu dan dimakamkan di kaki Gunung Songhwa berhampiran Gyeongju.

Banyak mitos berkenaan Yushin sepanjang hayatnya:

  1. Apabila kubu Silla di Gunung Han Utara dikepung oleh pasukan Goguryeo dan sekutunya selama 10 hari, tiba-tiba sebutir bintang (tahi bintang) jatuh berhampiran kem musuh. Dan insiden ini diikuti oleh hujan lebat dan gempa bumi. Bimbang akan keselamatan mereka, pasukan Goguryeo ini segera melarikan diri. Ramai menyifatkan tindakan Yushin yang bertafakur di kuil Buddha sebagai punca kepada insiden pelik bin ajaib ini.

 

  1. Pada usia 16 tahun, Yushin memasuki sebuah gua di mana beliau berada di situ selama empat hari. Dalam tempoh tersebut, Yushin membersihkan dirinya dan bertafakur. Selepas tempoh tersebut, beliau keluar dari gua dan bersumpah akan memusnahkan kerajaan Goguryeo dan Malgal. Seorang tua yang mendengar sumpahnya memberi Yushin sebuah formula magis yang tidak diketahui puncanya. Setahun selepas itu, apabila beliau berada di sebuah lembah, Yushin melalui proses sama dan bermohon kepada dewa-dewi agar pedangnya diberi kuasa menakjubkan. Selepas tiga hari, satu cahaya keluar dari langit dan pedangnya tiba-tiba bergoyang. Ini sebenarnya hendak menjelaskan bagaimana Yushin berjaya sebagai seorang jeneral dan pakar strategi.

 

  1. Semasa kempen ke atas Baekje, satu pertelagahan tercetus antara komander Yushin dengan jeneral tentera Tang, So Jung-Bang. Apabila pertelagahan tersebut hampir membawa kepada pertumpahan darah, tiba-tiba pedang Yushin keluar dari sarung terus ke tangannya. Kejadian ini menakutkan jeneral Tang tersebut sehingga mendorongnya memohon maaf dengan komander Silla tersebut.

 

SUMBER

  1. Cartwright, Mark. (2016). Ancient.eu. Kim Yushin. https://www.ancient.eu/Kim_Yushin/
  2. Thompson, Ben. Badass of the Week. http://www.badassoftheweek.com/yushin.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.