Hubungan antara Majapahit dan kedatangan Islam adalah antara polemik sejarah yang sudah acap kali dibincangkan. Pelbagai tafsiran dan andaian yang telah dibuat tetapi bagi penulis, isu ini tidaklah begitu memeningkan.
Sebagai kota besar, Trowulan tidaklah unik dibandingkan dengan kota-kota besar lainnya seperti Melaka, Samudra-Pasai, Demak dan banyak lagi. Kota-kota besar di Nusantara ini punya pelbagai penempatan warga asing yang berdagang dan perlahan-lahan membentuk komuniti kecil mereka di tempat orang. Kehadiran komuniti ini tidak bermaksud kerajaan kuno itu sendiri diperintah oleh mereka.
Sebagai contoh, hegemoni Cina ada di mana-mana kota perdagangan dan pelabuhan. Pedagang yang belayar dari tanah besar China akan melakukan transaksi jual beli dengan warga Cina yang bermastautin di kota pelabuhan itu. Ini amalan biasa mereka. Tidak bermaksud pula, kerajaan itu diperintah oleh warga Cina. Begitu jugalah halnya dengan pedagang Islam dan kedatangan Islam di Majapahit.
Mereka yang mengikuti sejarah Majapahit pasti tahu mengenai Peristiwa Bubat atau lebih dikenali dengan nama Perang Bubat. Diringkaskan, Perang Bubat terjadi kerana Patih Gadjah Mada tidak bersetuju dengan keinginan Raja Hayam Wuruk bernikah dengan anak raja Sunda iaitu Dyah Pitaloka.
Keengganan Gadjah Mada menyambut rombongan kerajaan Sunda selayaknya dianggap sebagai suatu penghinaan oleh Raja Sunda. Dipendekkan cerita, kejadian yang asalnya hanya hina-menghina berlanjutan sehingga berlakunya pertempuran bersenjata. Raja Sunda dan rombongannya tewas, manakala Dyah Pitaloka membunuh diri. Ada beberapa versi kisah Perang Bubat ini yang penulis tidak berhajat untuk membicarakannya di sini.
Tetapi, kisah di bawah yang penulis hendak kongsikan.
Perang Bubat di dalam versi Kidung Sunda ada menceritakan tentang perjalanan rombongan Dyah Pitaloka menuju Majapahit. Setiba di Bubat, Raja Sunda mendapati tiada sambutan rasmi kerajaan Majapahit. Raja Sunda kemudiannya menghantar rombongan 300 punggawa yang diketuai oleh empat orang utusan untuk menemui Patih Gadjah Mada.
Dalam perjalanan ke kota Majapahit, rombongan patih itu tiba di ‘masigit agung’ ketika melalui laluan selatan menuju Palawijan. Dari Palawijan perjalanan dilanjutkan ke timur dan selatan hingga ke Pablantikan sebelum tiba di Kepatihan. Masigit Agung secara fonetiknya mungkin bermaksud ‘Masjid Agung’.
Pada ketika Hayam Wuruk berada di takhta singgahsana, agama Hindu-Buddha merupakan teras pemerintahan beliau. ‘Kementerian Hal Ehwal Agama’ pada masa itu dipanggil Dharmadyaksa dan dipecahkan kepada dua ‘kementerian’ iaitu Dharmadyaksa ring Kasaiwan untuk agama Buddha dan Dharmadyaksa ring Kasogatan untuk agama Hindu. Jumlah pegawai yang berkhidmat untuk kedua-dua ‘kementerian’ ini adalah yang paling ramai dalam sistem pemerintahan Majapahit.
Jika ini senarionya, bagaimana sebuah masjid agung boleh wujud? Inilah indahnya sikap dan sifat orang Nusantara, baik di Melaka, di Trowulan atau di mana-mana. Pedagang-pedagang asing dan pendakwah-pendakwah dibenarkan tinggal dan bermastautin di kota. Mereka bebas untuk beragama tetapi wajib mendukung pemerintahan raja dan hukumnya.
Catatan Wang Ta Yuan di dalam Tao-I chih-lueh ada menyebut tentang kependudukan Majapahit yang terdiri daripada tiga bahagian, iaitu, penduduk Cina (golongan pedagang yang mendiami kota), orang Islam (penduduk lokal dan pedagang asing) dan juga penganut Hindu-Buddha (penduduk lokal).
Ketika penulis melawat Makam Pitu di Troloyo, aktivis sejarah Majapahit ada memberitahu bahawa lokasi penduduk Islam sudah wujud sejak zaman pemerintahan raja Hindu-Buddha. Makam Pitu yang bertarikh 1407 M, 1427 M, 1467 M dan 1475 M ini telah wujud pada zaman pemerintahan Majapahit, tetapi tiada bukti yang pemerintahan itu sendiri bercorak keislaman.
Kesimpulannya, Islam merupakan salah satu bahagian penting dalam pensejarahan Majapahit. Selain daripada bukti-bukti nyata tinggalan lama, catatan-catatan naskhah China dan Kidung Sunda juga menguatkan naratif wujudnya komuniti Islam yang dinamik di Trowulan pada zaman keagungan Majapahit.
Rujukan dan bacaan lanjut;
1. Runtuhnya Kerajaan Hindu-Jawa Dan Timbulnya Negara-Negara Islam Di Nusantara, Prof. Dr. Slamet Muljana, 2005, LKiS
2. Tafsir Sejarah Nagara Kertagama, Prof. Dr. Slamet Muljana, 2006, Pelangi Aksara
3. Pesona Majapahit, Esa Damar Pinuluh, 2010, Bukubiru
4. Studi Tentang Peran Syaikh Jumadil Kubro Dalam Penyebaran Agama Islam Di Ibu Kota Kerajaan Majapahit Pada Abad Ke-14 Masihi, Fitriyatul Ulum, 2017, Universitas Nusantara PGRI Kediri
5. Pendidikan Islam Masa Majapahit Dan Dakwah Shekh Jumadil Kubro, Isno, 2015, Jurnal Pendidikan Agama Islam, Volume 03, Nomor 01
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih