Khaulah al-Azwar merupakan nama yang cukup tidak asing lagi apabila berbicara tentang srikandi Islam. Sebelum ini, kami pernah mengeluarkan artikel berkenaan kisah perjuangan Khaulah al-Azwar bersama abangnya, Dhirar al-Azwar, yang mana kegagahannya itu disamakan seperti Khalid al-Walid.

Antara sumber yang menceritakan tentang beliau secara terperinci adalah Futuh asy-Syam karangan Imam Al-Waqidi, dan edisi Bahasa Inggerisnya, The Islamic Conquest of Syria hasil usaha Maulana Sulaiman al-Kindi.

Kepahlawanan Khaulah al-Azwar mula direkodkan oleh sejarah semasa beliau cuba menyelamatkan abangnya, Dhirar yang telah ditawan oleh pihak Rom. Menurut Imam al-Waqidi, Dhirar ibn al-Azwar ketika itu ditugaskan oleh Khalid ibn al-Walid (atas cadangan Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah) untuk memintas 12 000 bala bantuan Rom pimpinan Warden yang dihantar oleh Heraklius untuk menyelamatkan kota Damsyik dari kepungan tentera-tentera Islam. Bagi menjalankan tugas itu, Dhirar diberikan kepemimpinan ke atas 500 orang tentera berkuda dengan dibantu oleh seorang lagi pahlawan gagah Islam, bernama Rafi’ ibn ‘Umayrah at-Ta’i.

Pertempuran antara pasukan Dhirar dan Warden ini merupakan salah satu siri pertempuran yang berlangsung sepanjang pengepungan 38 500 orang tentera Islam ke atas Damsyik. Dikisahkan bahawa dalam menghadapi jumlah musuh yang begitu ramai, Dhirar menggempur dengan begitu berani sambil mendendangkan syair perang:

Kematian adalah suatu yang hak.
Daripadanya, tidak ada pelepasan yang mutlak.

Syurga itu jauh lebih baik berbanding neraka,
Sementara kesyahidan kini sedang menjelma.
Maka bersaksilah hai sekalian yang hadir,
Kulakukan semua ini demi keredhaan Rabb al-Qadhir.

Dalam kesempatan tersebut, Dhirar berhasil membunuh putera Warden, iaitu Hamran. Namun sejurus selepas itu, beliau yang dikepung oleh puluhan perajurit Rom habis ditangkap.

Pun begitu, 500 orang tentera Islam tetap jua tidak goyah lantaran Rafi’ ibn ‘Umayrah pantas mengambil-alih kepimpinan. Salah seorang tentera Islam berjaya meloloskan diri dari medan tempur dan memaklumkan situasi pertempuran kepada Khalid ibn al-Walid.

Lukisan menggambarkan Bab Sharqi, atau Gerbang Timur Damsyik, tempat Khalid al-Walid lakukan pengepungan

Maka, langsung sahaja pahlawan Pedang Allah itu membawa kira-kira 15 000 orang tentera dari kem Gerbang Timur Damsyik ke medan tempur bagi menyelamatkan pasukan Dhirar al-Azwar. Beliau memulakan keberangkatan dengan sebuah syair perang:

“Hari ini kaum yang benar akan menang,
tiada gentar baginya walau maut mendatang.
Dahaga lembing akan kuhilangkan,
dengan darah musuh yang bercucuran.
Kan kutusuk topi dan perisai,
hingga kesemuanya habis berkecai.
Moga dapat kulihat makam Siddiq,
dan di syurga bertemu dengan Sabbiq (orang terdahulu).”

Kemudian, pasukannya berpampasan dengan Khaulah binti al-Azwar yang sedang memacu kudanya ke medan tempur, tanpa identitinya diketahui oleh sesiapa pada waktu itu. Khaulah merempuh ke barisan musuh sendirian.

Memetik kata Imam al-Waqidi, “Pahlawan misteri itu menerpa ke arah musuh laksana helang yang gagah sedang menyambar burung pipit.” Habis kucar-kacir barisan Rom dikerjakan oleh Khaulah ketika itu, hinggakan Rafi’ ibn ‘Umayrah dan pasukannya menyangka pahlawan itu tidak lain tidak bukan adalah Khalid al-Walid.

Sambil menghayun pedangnya dengan riak wajah penuh kegelisahan, Khaulah melantunkan syair yang jelas menggambarkan perasaan risau:

“Di manakah dikau hai Dhirar,
kelibatmu tidak dapat kunampak.
Kau menghilang tanpa meninggalkan jejak.

Hai satu-satunya abangku,
juga satu-satunya putera ibuku.
Hilangnya engkau maka hilanglah ketenteraman.
Hilanglah juga bagiku tidur yang nyaman.”

Walaupun amukan Khawlah yang dibantu oleh gempuran pasukan Rafi’ ibn ‘Umayrah dan Khalid al-Walid berjaya mengundurkan 12 000 orang tentera Rom itu, namun batang tubuh Dhirar belum jua ditemukan. Sampailah saat kedua-dua belah pihak kembali ke kem masing-masing.

Tidak puas mencari di medan perang, di celah-celah timbunan jasad korban perang, Khaulah menyambung pula pencariannya di setiap satu khemah Mujahidin. Sekali lagi, beliau melontarkan syair yang kali ini lebih melankolik:

“Hai putera ibuku!
Alangkah lega hatiku andai kudapatkan khabarmu,
walau hanya berita dikau terlantar sendirian di ceruk hutan,
atau khabar kau dibunuh menyahut ajal yang bertamu.
Oh, semoga adikmu ini dikorbankan untukmu.

Alangkah sedihnya hati ini,
mengenangkan yang kita mungkin tidak akan bersua lagi.

Demi Allah, hai abangku!
Sungguh hilangmu buat hatiku gundah.
Bagai api marak tanpa ada air yang menyimbah.

Sekarang,
pergilah dikau bertemu ayah dengan berkat Muhammad.
Aku panjatkan salam yang berpanjangan,
buatmu hingga ke Hari Pengadilan.”

Prihatin dengan keadaan ini, Khalid al-Walid segera menyoal siasat seorang tawanan yang berjaya diberkas semasa pertempuran tadi, bertanyakan tentang Dhirar al-Azwar. Menerusi soal-siasat tersebut, Khalid dapat mengetahui bahawa Dhirar sedang diberangkatkan ke Homs untuk dipersembahkan kepada Kaisar. Kata tentera Rom yang ditawan itu, Warden berasa kagum terhadap sifat Dhirar yang gagah berani lalu ingin menghadiahkannya kepada Heraklius.

Maka, Khalid al-Walid pun segera mengarahkan Rafi’ ibn ‘Umayrah agar memimpin 100 orang tentera berkuda bagi mengejar rombongan tentera yang sedang membawa Dhirar ke Homs, berjumlah 100 orang menurut tawanan itu. Pasukan penyelamat ini turut disertai oleh Khaulah setelah meminta izin langsung daripada Khalid al-Walid.

Kecekapan Rafi’ ibn ‘Umayrah berhasil membawa pasukannya untuk tiba terlebih dahulu di sebuah lokasi yang djangka bakal dilalui oleh rombongan Rom yang membawa Dhirar. Rafi’ mengarahkan tenteranya agar bersembunyi sebelum melakukan serangan hendap. Dalam suasana malam yang kelam, dari jauh samar-samar kedengaran seseorang sedang meluahkan syair:

“Hai bayu penyampai berita,
sampaikanlah pesanku kepada Khaulah sekeluarga:
Bahawa aku telah menjadi banduan yang hina-dina.
Tiada di sisiku melainkan ahli Syam yang kafir,
lengkap berbaju besi tanpa ada senyum yang terukir.

Hai hati, duka dan kesal telah membuatmu mati.
Hai tangisan, mengalirlah dikau di pipi ini.

Tahukah dikau,
adakah kami berdua dapat lagi bertemu
sambil mengenang tika bersua,
janji di antara kami berdua?”

Syair ini didengari oleh Khaulah yang sedang bersembunyi bersama pasukan Rafi’. Beliau lantas menyahut, “Allah telah mengabulkan doa abang!”

Laungan ini disusuli oleh gema takbir dan serbuan dari pasukan tentera pimpinan Rafi’ ibn ‘Umayrah. Dalam masa yang sekejap, 100 orang tentera Rom itu habis terbunuh. Misi menyelamatkan Dhirar dengan lancar meraih keberhasilan.

Sementara itu di kem utama pula, Khalid al-Walid membawa pasukannya melakukan serangan malam secara mengejut ke atas kem pasukan tentera Warden. Akibatnya, habis 12 000 orang tentera yang dibekalkan oleh Heraklius untuk Warden dimusnahkan dan mereka lari lintang-pukang.

Warden sendiri antara yang melarikan diri, untuk kemudiannya menerima arahan dari Heraklius agar menuju ke Ajnadayn dan mengambil kepemimpinan ke atas 90 000 orang tentera yang bakal dihimpunkan di medan tersebut. Dari situlah bermulanya bibit Pertempuran Ajnadayn.

Sejurus selepas diselamatkan oleh adik perempuannya, Dhirar mengekspresikan kesyukurannya menerusi bait-bait syair berikut:

“Hai Tuhan,
kepadamu kupanjatkan kesyukuran.
Doaku telah Kau terima,
turut Kau hapuskan duka dan lara.
Hajatku telah Kau penuhi,
dan disatukan ahli-ahli kami.
Kini tidaklah berasa puas hatiku,
kecuali kuperangi musuh-Mu.”

Runtuhan kota Damsyik yang kekal sehingga ke hari ini

Kemudian, menganjak ke beberapa tempoh kemudian, Khalid al-Walid menggerakkan seluruh kekuatan di Damsyik untuk berpindah ke Ajnadayn dan menumpukan kekuatan di situ bagi menghadapi bala tentera Rom.

Beliau meninggalkan kira-kira 1000 orang tentera di bawah kepemimpinan Abu Ubaydah ibn al-Jarrah untuk mengawasi pergerakan kaum wanita, kanak-kanak dan perbekalan di belakang pasukan utama yang dipimpin oleh Khalid al-Walid yang bergerak dengan kelajuan penuh ke medan Ajnadayn.

Mengambil kesempatan ke atas keadaan itu, Paulus dan saudaranya, Peter yang merupakan antara pengemuka Rom di Damsyik masing-masing keluar dan mengepalai pasukan kavalri dan infantri. Paulus membawa pasukan kavalrinya menyerang pasukan Abu ‘Ubaydah manakala Peter pula mengepung dan menawan kaum wanita, kanak-kanak dan perbekalan Muslim.

Keadaan ini benar-benar berbahaya buat kem wanita dan kanak-kanak Muslim memandangkan pasukan pertahanan yang dititipkan untuk mengawal keselamatan mereka sedang sibuk menghadapi pasukan kavalri Paulus.

Antara yang ditawan oleh tentera Rom ketika itu adalah Khaulah. Beliau dikurung di dalam sebuah khemah tawanan bersama beberapa srikandi Islam yang lain seperti ‘Afirah binti ‘Affar, Umm ‘Aban binti ‘Utbah, Salamah binti Nu’man dan lain-lain.

Dalam kesempatan itu, setiap tentera Rom ralit memilih wanita-wanita tawanan itu untuk dijadikan sebagai pemuas nafsu. Khaulah sendiri yang memiliki rupa yang jelita dan menawan tidak terlepas dari keadaan itu apabila batang tubuhnya didekati komander infantri Rom-Damsyik, Peter.

Enggan maruahnya dinodai, Khaulah menyeru sahabat-sahabatnya agar mencabut tiang-tiang khemah dan menjadikannya senjata bagi melawan tentera-tentera Rom. Ramai yang menjadi korban kepada serangan srikandi-srikandi Islam ini.

Pun begitu, jumlah musuh yang terlalu ramai memustahilkan untuk mereka keluar dari situasi getir itu. Mujur, berita tentang keadaan ini berjaya disampaikan kepada Khalid al-Walid yang sudah mara agak jauh. Lantas, Khalid pun membentuk beberapa buah pasukan untuk menyelamatkan pasukan Abu ‘Ubaydah dan kaum wanita serta kanak-kanak yang telah ditawan.

Antara panglima yang dihantar sudah tentunya Dhirar ibn al-Azwar. Beliau segera membawa pasukannya bergegas ke medan tempat Peter menghimpunkan tawanannya. Ketika memacu tunggangan, Dhirar melontarkan syair berikut:

Hai Tuhan, hapuskanlah musuh kami sekalian,
yang kerana mereka kami ditimpakan kesusahan.
Janganlah Kau datangkan padaku kematian,
sebelum kepada Khaulah aku Kau temukan.
Itulah keinginanku,
itulah hajatku.

Ayuhlah sahabat,
bersamaku kita berangkat,
hadapi musuh yang nyata,
agar hajatku dapat dilaksana.

Andai kugagal dalam cubaan,
cukurlah jambangku sebagai penghinaan.

Gempuran yang beliau lakukan berhasil menewaskan pasukan tentera musuh sekaligus menyelamatkan adiknya, Khaulah dan tawanan-tawanan yang lain. Keadaan ini sekaligus menyaksikan bagaimana Dhirar dan Khaulah begitu melindungi antara satu sama lain.

Mengulas tentang buku Futuh asy-Syam tulisan Imam al-Waqidi ini, Leftenan Jeneral A.I . Akram di dalam bukunya, Khalid bin Al-Waleed Sword of Allah tidak begitu bersetuju dengan kronologi peristiwa yang dilampirkan, terutama tentang bagaimana kota Damsyik dikepung oleh Khalid al-Walid sebanyak dua kali menurut Imam al-Waqidi sedangkan sejarah mendapati kota terbabit hanya dikepung dan dikuasai dalam satu percubaan sahaja. Pun begitu, perincian-perincian peristiwa yang diberikan oleh Imam al-Waqidi dikatakan tepat dan malah, dipuji sebagai karya yang paling terperinci dalam mengisahkan tentang kempen Pembukaan Syam.

Walau apapun keadaannya, kisah perjuangan adik-beradik ini di medan jihad bagaikan bunga-bunga yang mengindahkan skrip sejarah Pembukaan Syam, meliputi Pertempuran Ajnadayn, Pertempuran Yarmuk, sehinggalah tumbangnya kota Antioch. Manis bukan hubungan kedua sahabat Nabi merangkap pahlawan Islam ini?

Makam Sayyidina Dhirar ibn al-Azwar di Lembah Jordan

RUJUKAN

Al-Waqidi, Al-Imam. Futuh asy-Syam. [The Islamic Conquest of Syria, terjemahan Mawlana Sulayman al-Kindi]. Ta-Ha Publishers Ltd.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.