Konstantinopel adalah pentas kepada politik antarabangsa Eropah sewaktu kota tersebut menjadi ibu negara kepada Rom Timur ataupun Empayar Byzantium. Sememangnya cukup mustahil jika terdapat sejarawan yang tidak pernah dengar mengenainya. Pada tahun 285, Empayar Rom telah berkembang terlalu pesat sehingga tidak lagi dapat dipimpin dari kota Rom. Dan Maharaja Diocletian telah membahagikan empayar besar ini, dimana pecahan timur dikurniakan kepada pentadbiran daripada Konstantinopel pada tahun 330. Umum diketahui bahawa tahun tersebut terjatuh sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, bahawasanya Konstantinopel akan terlibat dalam arus revolusi yang akan dibawa baginda kelak.

Dan memang Konstantinopel terlibat pun, seperti dalam Perang Salib. Beribu-ribu orang hadir untuk mendengar ucapan hebat Paus Urban II yang menyuntik semangat pro-Kristian supaya Islam mampu dibendung. Balasan kepada Paus Urban II adalah ‘Deus vult! Deus vult!’ (Tuhan mengkehendakinya). Tetapi hakikatnya, arkitek kepada Perang Salib adalah seorang maharaja dari Byzantium iaitu Alexios I Komnenos yang memohon bantuan Bandar Suci Vatican. Dan pada hujung nyawa Byzantium, Konstantinopel diasak dan diserang musuh yang tidak terbatas kekejaman mereka.

Pada tarikh keramat tersebut, kota bersejarah ini dicerobohi dan dijarah dengan teruk. Boleh dikatakan tentera-tentera yang menjarahnya dibuai nafsu ibaratkan binatang. Artifak-artifak Rom dan Yunani dicuri dan dimusnahkan. Antaranya adalah kuda-kuda gangsa daripada Hippodrome dan patung gangsa Hercules yang diukir Lyssipos seribu tahun sebelumnya. Banyak juga patung-patung yang dileburkan untuk meraih nilai. Keranda-keranda maharaja lama di Gereja Saint Apostles dibuka agar segala simpanan alat-alat kebesaran diraja dapat dicuri.

Tempat-tempat yang dianggap suci oleh Gereja Ortodoks dinajiskan dengan perilaku zalim dan tiada akhlak. Perpustakaan Konstantinopel turut dimusnahkan. Biara-biara dimusnahkan untuk emas dan marmar yang didewakan tentera-tentera penyerang, meskipun mereka telah menjunjung sumpah perjuangan demi Tuhan. Dan masyarakat awamlah yang dizalimi dengan teruk. Ternyata, satu bala besar telah menimpa kota ini, apabila ribuan rakyat dibunuh secara sesuka hati. Wanita-wanita dirogol tanpa perikemanusiaan, dan para rahib turut tidak terlepas.

Rakyat berkiblatkan Bandar Suci Vatican membasahkan bumi Konstantinopel dengan darah Ortodoks, membalas dendam yang telah lama terbuku. Boleh dikatakan bahawa dendam inilah yang menyertai senarai pencetus kejatuhan Konstantinopel yang bermula pada April 1182.

Terdapat satu ironi pahit disini. Berdasarkan politik dalaman Konstantinopel, titik terawal yang mempercepatkan kejatuhan Byzantium adalah tindakan Maharaja Alexios I yang berhubung dengan Paus Urban II sendiri. Konsensi yang dibenarkan baginda kepada pedagang-pedagang Barat, barangkali salah satu syarat daripada Paus Urban II, telah membenarkan bangsa Venice berkembang pesat menjadi monopoli dalam maritim Konstantinopel. Maharaja Manuel I Komnenos pula memeteraikan perjanjian dengan pesaing-pesaing Venice, iaitu Pisa, Genoa dan Amalfi untuk mengurangkan dominasi Venice. Seperti kanser, Venice, Pisa dan Genoa mula mencekik sosioekonomi Konstantinopel.

Pedagang-pedagang tempatan dipulaukan. Dan golongan minoriti Latin kian menguasai maritim dan kewangan. Apabila minoriti menyandang dua pengaruh ini, golongan majoriti iaitu Yunani akan hilang rasa selesa, terutamanya apabila persepsi-persepsi mula timbul seperti kulat selepas hujan. Itulah lumrah ekonomi dalam mana-mana zaman. Dan tindakbalas kepada ketidakselesaaan tersebut akan menzahirkan kesan-kesan berdasarkan zaman.

Bukan kewangan saja yang dijadikan pemisah, malah minoriti ini berbeza piagam agama sekali. Inilah masalah besar yang menghantui politik Konstantinopel. Golongan minoriti ini mula bertindak di luar kawalan. Pada tahun 1162, pedagang-pedagang Pisa dan Venice menyerbu kawasan Genoa di Konstantinopel. Dan tindakan Maharaja Manuel dalam penghalauan Genoa dan Pisa dari kota telah memberikan Venice kuasa selama beberapa tahun yang digunakan untuk meneruskan serangan di kawasan Genoa.

Maka Manuel mengarahkan pemberkasan secara besar-besaran kepada pedagang-pedagang Venice. Harta-harta mereka disita. Perkara ini telah mencetuskan peperangan antara dua negara ini. Hubungan hanya ditenangkan dengan perjanjian pada 1179. Sementara itu, Genoa dan Pisa mendapat untung tinggi apabila Konstantinopel berkonflik dengan Venice. Dianggarkan 60,000 bangsa Latin menetap di kota tersebut pada 1180, tahun keramat iaitu apabila Puteri Maria bangkit ke tampuk kuasa susulan kemangkatan Manuel.

Maria yang berbangsa Latin hanya menyandang jawatan penguasa sehingga puteranya Alexios II Komnenos mencapai dewasa. Tetapi sandangan baginda sudahpun cukup untuk mengeruhkan lagi keadaan apabila baginda memihak kepada pedagang-pedagang dan pemilik-pemilik hartanah sebangsa. Menerusi sokongan rakyat, Andronikos I Komnenos berjaya menurunkan Maria pada April 1182. Dari sinilah darah mula tertumpah apabila keganasan akibat kemarahan membuak-buak dilampiaskan keatas bangsa Latin.

Tiada siapa dilepaskan. Lelaki, wanita, kanak-kanak, malah pesakit terlantar pun dibunuh. Rumah dan gereja dijarah oleh masyarakat majoriti. Ketua mukim iaitu John dipancung, dan kepala beliau diusung ke jalan di hujung ekor anjing. Meskipun Andronikos tidak mempunyai kebencian kepada Latin, baginda membiarkan saja pembunuhan beramai-ramai ini berterusan. Sebagai tanda terima kasih, Andronikos diturunkan beberapa tahun kemudian oleh masyarakat Konstantinopel.

Hampir 60,000 warga Katolik dibasmikan ataupun dihalau daripada Konstantinopel. Komuniti-komuniti Genoa dan Pisa dibunuh, dan sekelumit yang terselamat dijual sebagai hamba kepada Kesultanan Rum Turki. Raja Sicily iaitu William II bertindak untuk serang bandar kedua terbesar Byzantium iaitu Thessalonica. Malah, Maharaja-Maharaja Barbarossa dan Henry VI mengugut untuk serang Konstantinopel.

Perbuatan terhadap bangsa Latin telah meretakkan hubungan Ortodoks dan Katolik pada ambang Perang Salib Keempat. Setelah meneliti kegagalan dalam Perang Salib Kedua dan Ketiga, juga apabila Sultan Salah ad-Din al-Ayyubi menawan kota Baitulmuqaddis, Paus Innocent III mula mewacanakan arus pembaharuan dalam birokrasi dan pentadbiran. Sasaran Paus Innocent III adalah untuk melancarkan serangan efektif keatas Baitulmuqaddis, tetapi pada ketika ini, England dan Perancis sedang bertelagah. Tetapi angkatan ketenteraan salib berjaya diasaskan pada 1199, dan pergerakan kearah Baitulmuqaddis telahpun bermula. Perancangan awal mendapati Count Boniface yang mengetuai angkatan ini akan bergerak melalui Mesir.

Maka angkatan Salib bergerak dari Flanders, Marseille dan Genoa, dikumpulkan bersertakan pampasan buat Venice. Pampasan pada awalnya dipersetui pada 85,000 perak. Tetapi tentera-tentera Salib hanya mampu bayar 35,000 sahaja. Maka Enrico Dandolo mengugut untuk memenjarakan mereka, yang hanya melingkupkan tentera-tentera Salib ke pangkal kebuluran. Akhirnya, suatu pertempuran berlaku apabila kota Zadar di Dalmatia berpaling daripada pengaruh Venice. Dan ramai dalam kalangan ketua-ketua tentera Salib tidak bersetuju untuk serang Zadar, sekaligus meretakkan kesatuan ketenteraan ini.

Pangeran Leicester Kelima iaitu Simon de Montfort siap keluar daripada angkatan ketenteraan dan pulang ke rumah. Paus Innocent III yang terkejut dengan berita ini mengutuskan surat ugutan kepada ketua-ketua Salib, bahawa mereka akan dikeluarkan daripada agama Kristian jika Zadar diserang. Tetapi kota Zadar diserang dan ditewaskan jua, apabila surat ini disembunyikan meskipun telah tiba di Zadar pada hari serangan.

Apabila Paus Innocent III mendapat tahu tentang penjarahan Zadar, beliau mengutuskan surat mengeluarkan ketua-ketua Salib daripada Kristian dan menyeru mereka kembali ke jalan akidah untuk bergerak ke Baitulmuqaddis. Takutkan surat ini akan leburkan kesatuan ketenteraan, ketua-ketua Salib tidak mendedahkan kandungannya. Tetapi Paus Innocent III menarikbalik pengeluaran yang beliau putuskan.

Count Boniface telah meninggalkan angkatan ketenteraan ini untuk menjenguk sepupunya iaitu Raja Philip di Jerman. Boniface dipercayai sudah tahu tentang perancangan Paus, ataupun baginda bergerak untuk bertemu dengan ipar sepupunya iaitu Alexios IV Angelos. Walaupun nama ini dalam satu format diraja dengan maharaja-maharaja Byzantium lain, Alexios IV pada ketika ini masih belum menjadi maharaja. Malah, baginda bukan lagi pewaris pun kerana takhta Byzantium dirampas adik ayahandanya iaitu Isaac II Angelos.

Alexios IV mula dipenjarakan, tetapi diseludup keluar dan pada 1201, baginda telah bertemu Philip (dan mungkin Boniface) untuk memberikan:

1. Bayaran hutang Venice.
2. 200,000 perak kepada tentera-tentera Salib
3. 10,000 tentera kepada angkatan ketenteraan Salib
4. bantuan ketenteraan laut Byzantium kepada angkatan Salib sehingga tiba di Mesir.
5. Kedudukan Gereja Ortodoks dibawah penguasaan Paus, satu perkara diimpikan Paus Innocent III
6. 500 kesatria untuk pengurusan Baitulmuqaddis, jika menang.

Terlampau banyak baginda hulurkan, bersyarat jika tentera-tentera Salib akan menyertainya ke Byzantium untuk turunkan bapa saudaranya iaitu Maharaja Alexios III Angelos. Keenam-enam pemberian tersebut akan dimeteraikan jika Alexios IV ditabalkan sebagai maharaja, dan perkara ini telah capai ke pengetahuan pemimpin-pemimpin Salib ketika mereka mereput di Zadar. Enrico Dandolo adalah penyokong yang kental, meskipun baginda tahu janji-janji manis ini adalah palsu setelah mengetahui menerusi hubungan kedutaan bahawa Byzantium tidak dapat memenuhi mana-mana janji dibuat.

Tetapi pada 1203, Konstantinopel dikepung jua. Untuk menawan, tentera-tentera Salib terpaksa merentasi Selat Bosphorus. Hampir 200 kapal akan menghantar angkatan ketenteraan ke tempat Alexios III menempatkan tentera-tenteranya. Kesatria-kesatria Salib terus melancarkan serangan yang mengundurkan tentera-tentera Byzantium. Pada 11 Julai, pihak Salib telah mengarakkan Alexios IV di luar dinding Konstantinopel, tetapi rakyat Byzantium masih berpegang kepada Alexios III walaupun baginda adalah perampas takhta. Hampir seminggu kemudian, serangan diasakkan lagi, sehingga Alexios III membalas dengan bilangan yang lebih besar.

Tetapi Alexios III berasa takut, dan tentera Byzantium kembali ke kota. Apabila kota diserang, Alexios III lantas melarikan diri ke Thrace dan tentera-tentera Salib dikejutkan apabila Isaac II iaitu ayahanda Alexios IV telah dibebaskan daripada penjara dan ditabalkan kembali sebagai maharaja meskipun baginda telah dibutakan yang mengharamkan baginda untuk menyandang takhta. Pihak Salib memaksa Isaac II menerima anaknya sebagai rakan setugas (dua maharaja). Dan pengepungan Konstantinopel buat tahun 1203 telah berakhir.

Realitinya – Alexios IV sendiri sedar bahawa janji-janji manis baginda memang sukar dikotakan. Alexios III berjaya melarikan diri ke Thrace dengan 1,000 paun emas dan barang-barang kemas yang lain. Dan maharaja muda Alexios IV memusnahkan banyak artifak-artifak untuk mendapatkan emas dan perak – tetapi baginda hanya dapat meraih 100,000 perak sahaja, setengah daripada apa yang dijanjikan. Perbuatan ini telah melemahkan baginda di mata rakyat Ortodoks. Sejarawan Byzantium iaitu Nicetas Choniates mengatakan inilah pencetus kepada kejatuhan negara Byzantium.

Alexios IV tidak begitu berani untuk paksa rakyat musnahkan segala-galanya untuk memuaskan hati “tentera beragama lain”. Jadi maharaja muda ini meminta agar pihak Salib memberikan baginda masa selama enam bulan lagi, yang baginda isikan dengan hantar 6,000 tentera daripada barisan Salib untuk menamatkan Alexios III di Adrianople, suatu ekspedisi yang baginda turut serta.

Semasa ketiadaan baginda, rakyat mula mogok dan penduduk-penduduk Latin sekali lagi dianiayai. Sebagai balasan, pihak Salib menyerang sebuah masjid dan untuk mengundurkan diri, mereka memulakan Api Besar yang membakar selama tiga hari sehingga 100,000 rakyat Konstantinopel menjadi gelandangan. Menggaramkan luka dalam politik Byzantium, Isaac II pula mangkat pada Januari 1204, dan penentangan terhadap Alexios IV menjadi keruh sehingga Parlimen Byzantium menabalkan Nicolas Canabus sebagai maharaja, yang kecundang sehingga memohon suaka Gereja.

Ketika ini Alexios “Mourtzouphlos” Doukas menjadi pemimpin pecahan anti-Salib dalam kepimpinan Byzantium. Doukas mengetuai angkatan Byzantium semasa bersemuka dengan pihak Salib, sekaligus dihormati rakyat dan ketenteraan Ortodoks. Dan Doukas kemudian menurunkan dan memenjarakan Alexios IV, dan dengan pengaruh politik yang ada, beliau menjadi ‘baginda’ dan mendapat nama diraja Maharaja Alexios V. Sebagai penguasa, baginda menggerakkan jentera-jentera peperangan untuk mengukuhkan pertahanan kota.

Pihak Salib pula menuntut baginda penuhi janji-janji Alexios IV, tetapi tuntutan mereka ditolak, sekaligus memulakan serangan keatas Konstantinopel. Harapan Baitulmuqaddis berubah secara ketara, dan Konstaninopel menjadi sasaran sekali lagi. Pada 8 April, Alexios V mengukuhkan lagi pertahanan kota, yang mengundurkan pihak Salib. Konstantinopel melempar peluru-peluru besar kearah jentera-jentera pengepungan musuh dan pihak Salib disusahkan lagi dengan cuaca buruk apabila angin meniup dari pantai yang menghalang kapal-kapal menghampiri dinding Konstantinopel.

Hanya lima kubu dinding sahaja yang diserang, tetapi tiada satu pun diambil. Dan mereka berkumpul kembali, sambil mengukuhkan semangat antara satu sama lain bahawa kekalahan ini bukannya atas kemurkaan Tuhan. Hujah mereka adalah, Konstantinopel telah berdosa kerana (1) mengkhianati janji dan (2) membunuh maharaja sebenar, iaitu Alexios IV. Dengan bahasa begitu kesat, paderi-paderi Kristian siap menyatakan bahawa “orang-orang Yunani lebih keji dari Yahudi.” Dan Paus Innocent III tidak lagi berkuasa untuk menghalang realiti yang menghampiri.

Sungguhpun Alexios V telah menghentikan kemaraan Salib, apa yang baginda sedang pertahankan sudahpun tiada. Institusi diraja Byzantium hanya wujud pada nama. Byzantium sudah jelas tidak relevan. Rakyat diketepikan. Amanah dinajiskan. Dan 12 April 1204 adalah tarikh penting buat sejarah Eropah apabila pukulan maut akhirnya diberikan. Cuaca kembali pulih dan serangan kedua dilancarkan. Angin yang kuat membantu kapal-kapal Venice hampiri dinding kota, yang membenarkan penyerang-penyerang merampas beberapa kubu.

70 tentera Salib berjaya masuk dalam kota. Beberapa lagi berjaya melubangkan dinding untuk kesatria masuk. Malah tentera-tentera Venice juga berjaya panjat dinding kota selepas pertempuran teruk. Dan akhirnya Alexios V terpaksa melarikan diri. Dan tamatlah Byzantium menghadapi bala yang begitu dahsyat. Dalam masa tiga hari, kezaliman yang tidak terhingga telah dihumbankan dari pembunuhan semberono ke rogol bergilir-gilir.

Dikatakan Konstantinopel mempunyai 900,000 perak. Venice yang dikawal Enrico Dandolo mengambil 150,000 perak sahaja, iaitu apa yang dihutangkan. Tetapi pihak Salib yang lain merampas 50,000 perak. 100,000 perak lagi diagihkan secara sama rata antara pihak yang terlibat. Dan 500,000 yang lain disimpan secara rahsia oleh kesatria-kesatria Salib.

Seperti yang dikatakan Speros Vryonis, iaitu sarjana sejarah Byzantium, Balkan dan Yunani, “ketenteraan Latin meletakkan kota paling agung di Eropah ini untuk dijarah seteruk-teruknya. Selama tiga hari, mereka membunuh, merogol, dan merosakkan pada skala yang puak Vandal dan Goth sendiri tidak pernah lakukan. Konstantinopel telah menjadi muzium kepada seni Byzantium dan purba, sebuah pusat perdagangan yang begitu kayanya sehingga tentera-tentera Latin sendiri terkejut akan harta-harta yang mereka temui.

Walaupun tentera-tentera Venice menghargai seni-seni yang mereka temui (mereka sendiri separuh-Byzantium) dan menyimpan banyak seni-seni ini, tentera-tentera Perancis dan lain-lain hancurkan secara sesuka hati, berhenti hanya untuk minum arak, merogol rahib-rahib dan membunuh paderi-paderi Ortodoks. Pihak Tentera Salib sememangnya melepaskan kebencian mereka keatas bangsa Yunani ketika mereka menodai gereja paling agung dalam agama Kristian. Mereka memecahkan binaan yang mengandungi gambar-gambar peringatan (iconostasis), sekali dengan kitab-kitab suci di Hagia Sophia, dan yang duduk diatas takhta Paderi Tinggi adalah seorang pelacur yang menyanyikan lagu-lagu buruk seketika mereka minum arak daripada bekas-bekas suci Gereja.

Pengasingan antara Barat dan Timur yang berterusan beratus-ratus tahun lamanya sememangnya memuncak dalam pembunuhan keji yang mengikuti penaklukan Constantinople sehingga bangsa Yunani sendiri mengakui jika kota ini ditawan Turki, mereka tidak akan dilayan sekeji seperti layanan diberi Kristian-Kristian Latin. Kekalahan Byzantium yang sudahpun merudum meningkatkan kemerosotan politik sehingga Byzantium akhirnya tewas kepada Turki. Perang Salib Keempat dan Gerakan Salib sebenarnya telah menyebabkan kemenangan Islam, hasil yang sebenarnya berlawanan daripada apa yang diinginkan.”

Apabila Paus Innocent III dengar apa yang berlaku, beliau berasa malu dan marah. Beliau mengecam tentera-tentera Salib sekeras-kerasnya, tetapi Empayar Latin tetap bangun. Boniface tidak diundi menjadi maharaja. Takhta dikurniakan kepada Baldwin daripada Flanders, dan Boniface pula memulakan sebuah kerajaan di Thessalonica sebagai jajahan Empayar Latin. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply