Pada 22 hingga 25 Ogos 2017, Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Teknologi Persenjataan Melayu Kitab Tibdan Memory of The World: Warisan Ilmu Bedil telah diadakan di Galeri Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Utara, Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Wacana Teknologi Persenjataan Melayu Kitab Tibdan Memory of The World: Warisan Ilmu Bedil telah diadakan pada 22 Ogos 2017 dengan menampilkan Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, pensyarah Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia membentangkan kertas kerja yang bertajuk “MS 101 Kitab Tib dan Memory of The World: Warisan Ilmu Bedil Melayu.”
Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Teknologi Persenjataan Melayu ini dihadiri oleh tetamu kehormat, iaitu YBhg. Prof Dato Seri MD. Salleh Yaapar, Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka telah merasmikan Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Teknologi Persenjataan Melayu. Pameran dan wacana ini turut dihadiri oleh Encik Abdul Wahab Hamzah, Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Roshasliza Sulaiman dan Puan Ritah Yahaya, sidang editorialJendela Utara, para guru, persatuan penulis Wilayah Utara, pensyarah dan pelajar sarjana UKM.
Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia yang dipamerkan di Galeri DBP Wilayah Utara mempamerkan rangkaian foto manuskrip Melayu warisan dunia yang diiktiraf bersama rangkaian manuskrip karya agung sejarah, tamadun, bahasa dan sastera dari benua Asia yang diiktiraf oleh UNESCO. Ringkasnya, latar belakang Pameran UNESCO diperoleh melalui sumbangan dana dari Kerajaan Malaysia yang disalurkan melalui Dana Tabung Malaysia.
Khazanah karya agung Nusantara merupakan khazanah warisan sejarah, tamadun, bahasa, falsafah, kearifan dan persuratan. Khazanah karya agung Nusantara diwarisi daripada penyebaran ilmu hasil sentuhan karya jurutulis istana dan penyalin zaman silam yang menghasilkan karya agung tidak mungkin dapat bertahan menempuh arus kemodenan, teknologi dan globalisasi masa kini jika tiada usaha untuk memelihara, memulihara dan melestarikan warisan manuskrip Melayu di peringkat dunia. Kesedaran untuk memartabatkan khazanah karya agung Nusantara telah diusahakan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNESCO menerusi Program Memory Of Worldsebagai pengiktirafan kepada dokumentari warisan tamadun dunia.
Asas kepada kelahiran sebuah karya agung tamadun Melayu di Nusantara dilihat berdasarkan konsep ilmu dalam budaya Melayu dan pandang alam Melayu di Nusantara. Malah, konsep ilmu membincangkan proses, kaedah dan falsafah tersendiri. Buktinya, konsep ilmu bedil dalam Kitab Ilmu Bedilmembincangkan kaedah senjata api ringan. Menurut Hugh Clifford dan Frank Swettenham (1895), senjata api bedil berkonsepkan senjata api ringan (senapang) bagi penduduk di Pantai Timur, Semenanjung Tanah Melayu. Terdapat dua senjata api ringan dalam Kitab Ilmu Bedil,iaitu Terakul dan Istinggar.
KepentinganKitab Ilmu Bedilsebagai khazanah karya agung Nusantara menurut Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah dalam penerangan kertas kerja “MS 101 Kitab Tibdan Memory Of The World: Warisan Ilmu Bedil Melayu” ialah sumbangan warisan dokumen budaya bernilai di Nusantara. KepentinganKitab Ilmu Bedil memberi manfaat dan panduan terhadap ilmu senjata api bedil dalam organisasi ketenteraan tamadun Islam Nusantara untuk panduan bidang ketenteraan kini.
Kitab Ilmu Bedil antara manuskrip Melayu simpanan Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberikan pengiktirafan buat kali kedua oleh Memory Of The World UNESCO pada tahun 2016. Memory Of The World ialah suatu program kerjasama sejagat yang ditubuhkan oleh UNESCO pada tahun 1992. Pengiktirafan terhadap Kitab Ilmu Bedildiberiberdasarkan kepentingannya sebagai memori kolektif dan warisan kearifan senjata api Melayu di Pantai Timur. Kitab Ilmu Bedilberbentuk akordion dengan lapan lipatan halaman, bertulisan tangan dalam tulisan Jawi di atas kertas Eropah berwarna putih kekuningan dalam tradisi istana di Pahang. Kitab Ilmu Bedil MS 101ialah manuskrip Melayu dalam genre sastera tradisional telah ditulis pada pertengahan abad ke-19 di negeri Pahang mengandungi cara pembuatan senjata api bedil Melayu, kemahiran menembak tepat dan kemahiran pembuatan peluru.
Keunggulan Kitab Ilmu Bedildalam perkembangan tamadun Islam Nusantara memberi signifikan yang besar dalam penggunaan senjata dalam organisasi ketenteraan tamadun Islam Nusantara dan tamadun dunia. Seterusnya, keunggulan Kitab Ilmu Bedil dalam perkembangan tamadun Islam Nusantara menceritakan kelebihan unsur tasawuf dan sufi dalam membentuk tembakan dan bedilan tepat. Malah, Kitab Ilmu Bedilmemperkukuhkan nilai Islam yang diamalkan oleh umat Islam Nusantara zaman silam. Keunggulan Kitab Ilmu Bedildalam organisasi ketenteraan tamadun Islam Nusantara melambangkan kearifan orang Melayu menghasilkan teknologi senjata bedil dan senjata api Melayu dari empayar Turki Uthmaniyah yang digunakan khas dalam teknologi pembuatan meriam.
Usaha ke arah mencungkil warisan ilmu bedil Melayu ini sebagai intisari kandungan karya agung Kitab Ilmu Bedilini menurut Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah digerakkan oleh Abdul Samad Ahmad dalam buku Peluru Petunang(1984). Kajian terhadap bukuPeluru Petunang(1984) dilakukan oleh Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah ketika menulis Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada tahun 2003. Usaha Abdul Samad Ahmad mengangkat kedudukan Kitab Ilmu Bedilantara adikarya ketenteraan di Nusantara.
Tema dalam Kitab Ilmu Bedilmemaparkan proses menggunakan senapang yang dinamakan sebagai “Terakul” (Teks Jilid A) dan “Istinggar” atau “Bedil” (Jilid B). Fungsi senjata Bedil Istinggar dan Terakul merupakan jenis-jenis senjata api ringan yang digunakan oleh orang Melayu dari kurun ke-16 hingga kurun ke-19. Seterusnya, Kitab Ilmu Bedilmenceritakan teknik posisi senapang bersama kaedah mengisi peluru dan ubat bedil, sistem pejera dan kaedah membidik dengan teknik keberkesanan tembakan. Kitab llmu Bedilturut membincangkan kaedah membuat peluru secara fizikal, mistik dan sufi dengan menggunakan azimat, jampi mentera dan al-Quran. Tegasnya, Kitab Ilmu Bedil bukan hanya sebagai warisan karya agung dalam organisasi ketenteraan Islam tamadun Islam Nusantara, malah karya agung dalam bidang sejarah, bahasa, ketenteraan dan sastera di Nusantara.
Sejarah awal penghasilan Kitab Ilmu Bedil telah dimulakan oleh Abdul Samad Ahmad sebagai tokoh pertama yang mencungkil warisan ilmu bedil Melayu ini. Tanpa usaha Abdul Samad Ahmad, kemungkinan warisan ilmu bedil Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu tidak akan pernah dapat diketahui dan dikenali kini. Menurut Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah setelah membaca buku Peluru Petunang(1984), karya Abdul Samad Ahmad ketika melakukan kajian untuk Latihan Ilmiah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya pada tahun 2003. Buku tersebut biarpun kecil dan tipis, mengandungi isi kandungan, analisis kajian dan dapatan ilmu bantu yang luar biasa. BukuPeluru Petunangmemaparkan peperangan orang Melayu zaman dahulu bukanlah sekadar menggunakan senjata-senjata tajam dan bukanlah mereka menggunakan bedil secara sembrono, kerana ada cara penggunaan yang tertentu bermula daripada cara mengambil hingga menyimpannya kembali. Selain itu, isi kandungan, analisis kajian dan dapatan ilmu bantu dalam buku Peluru Petunangantaranya ialah teks MS 101 Kitab Tib. Usaha, kesungguhan dan kegigihan Abdul Samad Ahmad lebih tiga dekad lalu menulis buku Peluru Petunangsangat berbaloi kini, meskipun isi kandungan, analisis kajian dan dapatan ilmu bantu dalam bukuPeluru Petunang jarang dikaji oleh para pengkaji terkini.
Latar belakang dan karakter fizikal warisan MS 101Kitab Tib tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur berdasarkan rujukan nombor bahan MS 101, serta menggunakan nama Kitab TibMS 101wujud dalam bentuk dua jilid manuskrip dengan gaya kedua-duanya lipatan akordian, selain memiliki material, saiz dan dekorasi kulit yang sama. Pembahagian MS 101kepada Jilid A, iaitu bahan manuskrip yang masih utuh dan belum rosak dan lebih tipis. Jilid B pula ialah bahan manuskrip yang agak tebal, namun begitu sudah banyak rosak, koyak dan memerlukan rawatan pemuliharaan. Kitab Bedil MS 101memiliki beberapa tarikan. Tarikan pertama memaparkan isi kandungan teks merupakan hasil penurunan sumber ilmu daripada “…Almarhum yang mangkat di dalam negeri Pahang…” yang disampaikan oleh seorang lelaki bernama Ismail pada 28 Jamadil Akhir 1280 Hijriyyah bersamaan dengan 10 Disember 1863 kepada penyalin yang tidak disebutkan namanya. Lebih menarik lagi, sehingga kini masih belum dapat dijangka siapakah individu yang bernama Ismail dan Almarhum itu. Persoalannya, adakah almarhum tersebut berasal dari keluarga aristokrat Pahang atau berketurunan raja negeri Melayu yang lain tetapi telah mangkat di Pahang dalam tempoh hingga tahun 1863 seperti yang telah dikhabarkan itu masih belum dapat diberikan penjelasan.
Kepelbagaian istilah dari segi bahasa berdasarkan penggunaan bahasa dalam, iaitu bahasa istana oleh golongan diraja dan kerabat diraja di istana seperti “Almarhum”, “mangkat” dan “titah” jelas membuktikan bahawa manuskrip MS 101ini pernah berada di dalam istana raja-raja Melayu. Namun begitu, frasa ‘mangkat di Pahang’ itu merujuk kepada seorang tokoh yang bukan dalam kalangan keluarga pemerintah Pahang. Namun begitu, tidak mustahil jika tokoh yang bukan dalam kalangan keluarga pemerintah Pahang mempunyai hubungan baik dengan keluarga diraja Pahang. Andaian ini dilihat berkait rapat kerana pemilik MS 101yang terakhir ialah salah seorang kerabat diraja Kelantan, iaitu Tengku Abdullah bin Tengku Ahmad yang menghadiahkan manuskrip MS 101kepada Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1965 (Nik Mohamed, 1992).
Tarikan keduaKitab Bedil MS 101 ialah nama manuskrip itu sendiri. Jelaslah bahawa judul MS 101yang sepatutnya ialah “Surat Perkara Tembak Terakul atau Senapang” seperti yang tercatat pada baris kedua muka pertama teksnya. Persoalannya, dari segi asal-usul bahasa dan sejarah, nama “Kitab Tib” berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab, iaitu ṭib yang bermaksud ubat tertulis pada kulit muka hadapan MS 101, selaintulisan pada kulit belakang di bahagian dalam pula dicatatkan sebagai berdasarkan dua petikan yang berikut:
“MS no. 101nama buku tib jenis tulisan tangan jawi hadiah daripada
Tengku Abdullah bin Tengku Ahmad.”
Buku-buku Tib (ilmu membuat meriam dan sebagainya dan chara-chara membetulkannya) (dalam sampul kain) hadiah drip. Tengku Abdullah b. Tengku Ahmad, 3148 Jalan Atas Banggol Kota Bharu Kelantan.
(Sebelah dalam kulit MS 101jilid B)
Pada keseluruhannya, kedua-dua jilid manuskrip tersebut langsung tidak mempunyai perkaitan dengan ilmu perubatan, baik dari segi ramuan ubat-ubatan mahupun teknik atau kaedah perubatan itu sendiri. Menurut laporan Nik Mohamed (1992), MS 101sebagai sumber tulisan yang berkait dengan ilmu tradisional orang Melayu. Lazimnya, ilmu tradisional ini dikenakan dengan nama “Tib”, iaitu kitab ubat-ubatan. Pemikiran masyarakat Melayu Nusantara silam apabila menyebut sahaja manuskrip atau kitab lama-lama, maka ia adalah sebuah kitab ilmu perubatan. Jelaslah bahawa kesalahan penamaan manuskrip dari segi bahasa dan kandungan kajian menyebabkan pembaca keliru tentang identitinya. Identiti Tib dalam MS 101perlu diperbetulkan kerana mungkin ramai pengkaji yang tersalah faham tentang kandungan teks ini jika merujuk kepada judulnya. MS 101mempunyai kulit keras berwarna coklat dengan dihiasi corak awan larat berwarna keemasan. Reka bentuk dan ukuran kedua-dua jilidnya sama, iaitu 8.5 x 23.5 cm. Manuskrip jilid A mengandungi lebih kurang 790 patah perkataan yang ditulis menerusi lapan halaman lipatan akordian. Setiap halaman diisi dengan enam baris ayat dan tidak konsisten dengan kepanjangan tulisan sekitar 22 hingga 22.5 sentimeter. Lebar manuskrip sekitar 7 sentimeter. Terdapat garisan pensel dalam setiap halaman teksnya, di mana ia bertujuan memastikan supaya tulisan tidak keluar daripada ruangan yang telah ditetapkan. Tulisan jawi manuskrip tersebut nampak jelas dan kemas dengan ditulis menggunakan dakwat hitam serta ditambah pula rubrikasi dakwat warna merah untuk menanda kepala ayat dan frasa khusus.
Keunggulan dan kriteria MS 101Kitab Tibsebagai Warisan Dokumentari Memory of the World mewakiliwarisan karya agung bahasa Melayu di Nusantara dan senjata api tamadun Islam Nusantara yang merentas dunia. Kitab Ilmu Bedilmenonjolkan ilmu kearifan tempatan (local-traditional knowledge) orang Melayu di Nusantara sebelum kurun ke-19. Teks-teks manuskrip tersebut ternyata merupakan salinan daripada suatu teks yang belum lagi dapat dijelaskan sehingga kini masih dijadikan bahan kajian. Pada masa yang sama, ilmu pengetahuan yang terkandung dalam MS 101kini nampaknya telah hilang kerana dianggap tidak relevan untuk dipraktikkan. Oleh sebab ia tidak lagi diketahui dan sukar pula hendak difahami oleh generasi sekarang. Maka, MS 101perlu dikaji dari segi nilai dan bentuk epistemologinya untuk memperlihatkan suatu ciri kearifan teknologi senjata bangsa Melayu di Nusantara menurut acuan kebudayaan dunia Melayu Islam Nusantara. Tegasnya, keunggulan warisankarya agung Kitab Tib Ilmu Bedilmerupakankhazanah ilmu kearifan orang Melayu di Nusantara dan aset tidak ketara (intangible asset) bagi teknologi bangsa Melayu di Nusantara.
Bibliografi
Abdul Samad Ahmad. (1984). Peluru Petunang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Clifford, H. & Swettenham, F.A. (1895). A Dictionary of the Malay Language: Malay-English, part two. Taiping: Government Printing Office.
Nik Mohamed Nik Salleh. (1992). Manuskrip Melayu dari Kelantan: Satu Tinjauan Awal. Jurnal Filologi Melayu, 1: 50-95.
Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah. (2013). Pengetahuan dan Teknologi Melayu berhubung Penggunaan Senjata Api: Analisis Naskhah Ilmu Bedil. Disertasi sarjana Pengajian Melayu yang tidak diterbitkan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Othman Yatim. (2013). Teknologi Istinggar: Beberapa Ciri Fizikal dalam Aplikasi Teknikalnya. International Journal of the Malay World and Civilization1(3): 51-59.
Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Siti Radziah Mustafa. 2014.Manuskrip Ilmu bedil sebagai Sumber Etnosejarah teknologi senjata api Melayu. KEMANUSIAAN: The Asian Journal of Humanities, 21(1): 53-71.
Zainal Abidin Borhan. (2005).Rumah Tradisi Melayu: Pandangan dan Orientasi Kosmologi Melayu. dlm. Rogayah A. Hamid & Mariam Salim (ed.), Kepustakaan Ilmu Tradisional, 125-142. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih