Selalunya bila mendengar jawatan penting ketenteraan seperti panglima tentera dan laksamana tentera laut, peranan tersebut digalas oleh kaum Adam. Tetapi semasa era Kesultanan Acheh atau lebih tepat Sultan Alauddin Riayat Shah al-Mukammil, jawatan itu diamanahkan kepada seorang wanita. Wanita yang saya maksudkan ini bukan calang-calang orangnya kerana baginda juga berdarah raja Acheh dan digeruni oleh Portugal dan Belanda. Wanita yang saya maksudkan ialah Laksamana Keumalahayati/Malahayati.

Latar belakang awal

Keumalahayati yang dilahirkan pada tahun 1585 bukan calang-calang orangnya kerana moyangnya Sultan Ali Mughayat Shah yang berdarah Champa merupakan pengasas Kesultanan Acheh. Dan mengikut tradisi keluarganya, ayahanda dan nendanya juga merupakan laksamana yang berbakti kepada kesultanan berkenaan. Sejak dari kecil, Malahayati menunjukkan minat terhadap bidang ketenteraan sehingga memilih melanjutkan pelajaran di Akademi Ketenteraan Diraja Acheh yang turut dikenali sebagai Maahad Baitulmaqdis. Akademi ini boleh disamakan dengan akademi ketenteraan di Sandhurst atau West Point hari ini.

Semasa di akademi inilah, Keumalahayati bertemu jodoh dengan seorang pembesar dari Meulaboh bernama Tunku Mahmud Said al-Latief. Tunku Mahmud bukanlah asing di matanya kerana baginda merupakan rakan sepermainannya sejak dari kecil. Pasangan merpati dua sejoli ini kemudiannya berkahwin dan sebaik menamatkan pengajian, mula berbakti kepada Kesultanan Acheh. Tunku Mahmud dilantik oleh Sultan Alauddin sebagai Laksamana sementara Malahayati pula berkhidmat sebagai ketua protokol istana. Mungkin sesiapa yang membaca anekdot ini merasa pelik bagaimana wanita berhati waja ini dapat berkhidmat dalam pentadbiran kesultanan ketika itu. Hakikatnya, Kesultanan Acheh tidak memilih bulu dalam memilih siapa pemimpin yang dirasakan layak tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.

Tidak lama selepas itu, Portugal bertempur dengan ketumbukan Acheh yang diketuai Sultan Alauddin dan Tunku Mahmud di Teluk Haru. Pertempuran sebegini bukanlah asing sepanjang abad ke-16 hingga pertengahan abad ke-17 kerana ini merupakan konflik perebutan penguasaan Selat Melaka membabitkan tiga kuasa iaitu Portugal, Acheh dan Johor. Walaupun Perang Haru berjaya dimenangi Acheh, korban dari perang ini amat besar di mana ramai tentera Acheh syahid termasuk Tunku Mahmud sendiri. Apabila mendengar khabar kesyahidan suami tercinta, Keumalahayati bersumpah di hadapan Sultan Alauddin untuk menuntut bela kematian Tunku Mahmud walaupun ini bermakna baginda perlu melakukannya seorang diri.

Inong Balee

Mendengar hasrat wanita itu, Sultan Alauddin memperkenan hasrat Malahayati membina rejimen khas tentera wanita dengan baginda sebagai Laksamana, satu perkara yang dianggap luar kebiasaan dalam kerajaan ketika itu. Tetapi memandangkan Sultan Alauddin mempunyai ramai musuh dan memerlukan orang yang boleh dipercayai dalam soal keselamatan negara ditambah dengan faktor usianya yang mencecah 95 tahun, maka tidak hairanlah mengapa baginda memilih Keumalahayati sebagai Laksamana. Selain baginda, sultan turut melantik rakannya yang bernama Cut Limpah untuk mengetuai Jabatan Perisikan.

Rejimen khas yang dikenali sebagai Inong Balee itu pada mulanya dianggotai balu-balu tentera yang syahid dari Perang Haru dan berjumlah seribu orang. Namun, bilangan pasukan itu bertambah kepada 2,000 orang dan disertai oleh ramai perawan yang mahu berbakti di jalan-Nya. Rejimen ini berkubu di Teluk Krueng Raya di mana kubu tersebut turut berperanan sebagai tempat perlindungan balu-balu yang kehilangan suami mereka di medan perang. Pada masa sama, baginda turut memperkukuh kedudukan tentera laut Acheh di mana semasa era Malahayati, armada laut mereka mempunyai 100 kapal geliung yang dilengkapi lima buah meriam dan boleh memuatkan 400 hingga 500 orang.

Kewibawaan Keumalahayati sebagai Laksamana mula terserlah pada tahun 1599 apabila ekspedisi dagang Belanda diketuai Cornelis dan Frederick de Houtman berlabuh di Acheh selepas berlayar dari Banten (Bantam), Jawa. Walaupun diberi sambutan meriah oleh Sultan Alauddin sehingga diterjemah dalam bentuk perjanjian dengan kesultanan berkenaan, sikap kasar de Houtman bersaudara yang menimbulkan kemurkaan Sultan Banten diulangi semasa di Acheh yang menimbulkan kemurkaan baginda. Ini mendorong Sultan Alauddin menghantar Inong Balee menyerang rombongan de Houtman dengan Cornelis sendiri mati di tangan Malahayati apabila ditikam dengan sebilah rencong. Kisah ini turut dicatatkan dalam Oude Glorie oleh Marie van C. Zeggelen.

Diplomat bijaksana

Untuk beberapa tahun berikutnya, hubungan dua kerajaan itu terus tegang dengan peristiwa rompakan muatan lada hitam dari sebuah kapal dagang Acheh (1600) dan penahanan ekspedisi dagang Laksamana Jacob van Neck oleh pihak Acheh (1601). Dalam kes rompakan itu, rompakan yang digerakkan oleh Paulus van Caarden berjaya dilaksanakan dan berjaya melepaskan diri dari serangan Inong Balee. Walaupun gagal menangkap mereka, Keumalahayati tahu Inong Balee harus lebih berwaspada pada masa hadapan. Oleh sebab itulah, kerana masih berbulu dengan kegagalan menahan kapal van Caarden, Inong Balee kemudiannya berjaya menahan kapal van Neck.

Namun, kedatangan van Neck bukanlah berniat buruk tetapi membawa hasrat perdamaian dari Amsterdam. Untuk memastikan sisi diplomatik Acheh tidak tercabar, Sultan Alauddin mengutus Malahayati sebagai ketua rombongan diplomatiknya. Pada 23 Ogos 1601, kedua-dua kerajaan mula berunding menerusi Gerard de Roy dan Laksamana Laurens Bicker (Belanda) dengan Keumalahayati. Hasilnya, perdamaian berjaya dicapai dengan pengiriman hadiah dan permohonan maaf secara rasmi dari Amsterdam oleh Putera Maurice dari Nassau terhadap Acheh serta membayar ganti rugi sebanyak 5,000 keping wang emas. Sementara Acheh pula bersetuju melepaskan Frederick de Houtman dan anggota rombongan Belanda serta membenarkan Amsterdam untuk berdagang di situ.

Untuk membalas tindakan baik Putera Maurice, Sultan Alauddin atas nasihat Keumalahayati menghantar tiga anggota kerabat diraja Acheh ke Amsterdam sebagai wakil baginda untuk mengeratkan lagi hubungan luar Acheh-Amsterdam. Tiga wakil itu ialah Abdul Hamid, Laksamana Sri Muhammad dan Mir Hassan. Walaupun Belanda ketika itu sibuk berperang dengan Sepanyol dalam perang yang dikenali sebagai Perang 80 Tahun, itu tidak menghalang Amsterdam memberi sambutan meriah terhadap wakil-wakil Acheh ini.

Impak tindakan berani Keumalahayati ke atas de Houtman bersaudara dan Belanda amnya sudah pasti diketahui kuasa-kuasa serantau dan kuasa-kuasa Eropah lain. Mungkin atas sebab itu juga, Belanda dan Portugal terpaksa mengatur langkah berhati-hati untuk mengelak dari tindakan ketenteraan Acheh. Sebab yang sama ini juga mendorong England yang diperintah Ratu Elizabeth I memilih menghantar rombongan dagang mereka diketuai James Lancaster VI berlayar ke Acheh untuk mengadakan hubungan dagang dengan mereka. Bagi melancarkan rundingan, sekali lagi Sultan Alauddin mengutus Malahayati sebagai wakil Acheh.

Dalam rundingan itu, baginda hanya mempunyai satu permintaan: permintaan jalinan hubungan diplomatik haruslah bersifat bertulis dan ada pengesahan Elizabeth I sendiri. Mungkin ada yang menganggap Malahayati terlalu berwaspada tetapi baginda ada sebab baik berbuat demikian. Ini kerana Lancaster yang dikenali sebagai pedagang sebenarnya juga seorang privatir (lanun berlesen yang mendapat kebenaran kerajaan untuk melanun) dan bukan sekali merompak kapal-kapal dagang yang berlayar di Selat Melaka semasa beliau berlabuh di Pulau Pinang pada tahun 1592. Sudah pasti berita sebegini diketahui oleh kerajaan-kerajaan serantau termasuk Acheh, Johor dan Portugal yang membuatkan mereka berwaspada dengan kelibatnya.

Sedar bahawa permintaan tersebut tidak seharusnya dipandang enteng, Lancaster mengeluarkan satu surat bertulis yang mengesahkan objektif misi mereka di Acheh. Selepas berpuas hati dengan tindakan mereka, Sultan Alauddin memperkenan kewujudan hubungan diplomatik Acheh-London sekaligus membuka ruang kepada jalan perdagangan ke Pulau Jawa. Kejayaan misi ini bukan saja mengharumkan nama Keumalahayati sebagai pemimpin tentera dan diplomat tetapi juga membawa tuah kepada Lancaster. Sebaik kembali ke England, Elizabeth I mengurniakan gelaran Sir atas kejayaannya di Acheh dan Banten.

Penyelesai Konflik Istana

Dengan usianya yang semakin lanjut, tidak hairanlah Sultan Alauddin memilih puteranya bernama Sultan Muda sebagai pemerintah bersama. Tetapi pada tahun 1604, baginda disingkirkan oleh puteranya sendiri dengan Sultan Muda menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ali Riayat Shah III. Namun, tempoh pemerintahan baginda dianggap mencabar berikutan masalah kemarau yang melanda Acheh, kekerapan ancaman Portugal ke atas kesultanan itu dan perebutan kuasa membabitkan anggota kerabat diraja. Namun, sikap acuh tidak acuh baginda menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ramai ketika itu.

Satu isu yang menimbulkan kekecohan ialah pertelingkahan antara baginda dengan Sultan Husain yang memerintah Pidie ketika itu. Perselisihan ini timbul apabila Perkasa Alam/Darmawangsa (bakal Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam) mengkritik pemerintahan ayahanda saudaranya itu. Murka dengan tindakan putera saudaranya, Perkasa Alam terpaksa melarikan diri ke Pidie. Apabila diminta Acheh untuk menghantar pulang Darmawangsa, tuntutan itu tidak dilayan adindanya. Malah, Sultan Husain bersama putera saudaranya merancang untuk memberontak tetapi langkah tersebut tidak menjadi dengan Darmawangsa sendiri dipenjarakan di Acheh.

Selepas angkatan Portugal diketuai Alfonso de Castro melanggar Acheh pada tahun 1606, Perkasa Alam merayu dibebaskan dari penjara agar dapat mengetuai angkatan perang Acheh memerangi angkatan Portugal itu. Rayuan baginda turut disokong Keumalahayati yang melihat kelibat putera raja itu dapat memberi motivasi kepada angkatan Acheh. Angkatan perang Acheh diketuai dua figura ini berjaya memaksa Portugal berundur. Ini ditambah dengan kewujudan khabar pakatan Belanda-Johor merancang untuk menyerang Melaka yang mendorong de Castro berundur kembali ke Melaka. Selepas Sultan Ali mangkat pada tahun 1607, Perkasa Alam diangkat sebagai sultan dengan gelaran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

Sementara Malahayati pula syahid semasa mempertahankan Teluk Krueng Raya dari serangan Portugal. Baginda dimakamkan di lereng Bukit Kota Dalam, sebuah perkampungan nelayan yang terletak 34 kilometer dari Banda Acheh. Hari ini, banyak tempat di Indonesia terutama di Sumatera mengabadikan nama laksamana wanita Melayu yang terbilang ini. Ini termasuklah sebuah kapal Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) bernama KRI Malahayati. Dan sempena Hari Pahlawan Indonesia pada tahun 2017, Presiden Joko Widodo menganugerahkan gelaran Pahlawan Nasional kepada waris empat tokoh iaitu Keumalahayati, Tuan Guru Kiai Muhammad Zainuddin Abdul Madjid, Sultan Mahmud Riayat Shah dan Lafran Pane.

SUMBER

1. Antara. (2017). Laksamana Malahayati, Pahlawan Nasional Perempuan dari Aceh. Tempo. https://nasional.tempo.co/read/1032231/laksamana-malahayati-pahlawan-nasional-perempuan-dari-aceh

2. Wijaya, M Akbar. (2012). Keumalahayati, Laksamana Wanita Pertama di Dunia. Republika. https://www.republika.co.id/berita/nasional/umum/12/04/21/m2thed-keumalahayati-laksamana-wanita-pertama-di-dunia

3. Okti Nurani, Rahmanisya. (2015). Laksamana Malahayati; Laksamana Laut Muslimah Pertama di Dunia. Universitas Malahayati Bandar Lampung. http://malahayati.ac.id/?p=13162


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.