Bagi pengkaji sejarah, mendengar tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada figura sejarah merupakan sesuatu yang menyedihkan. Ini kerana sesetengah tuduhan sebegini merupakan fitnah bertujuan untuk merosakkan imej mereka dan memastikan nama mereka terus tercemar walaupun selepas kembali menemui Ilahi. Antara figura yang berdepan nasib begini ialah seorang ulama Maghribi terkenal bernama Imam Ibnu Tumart rahimahullah.

Imam Ibnu Tumart atau nama sebenarnya Abu Abdillah Muhammad bin Abdillah bin Abd al-Rahman al-Maghribi al-Susi. Beliau turut dikenali dengan gelaran al-Mahdi bin Tumart. Imam Ibnu Tumart lahir antara tahun 469 hingga 474 Hijrah di Igliz, Sous, Maghribi.

Semasa kecilnya, Imam Ibnu Tumart banyak menghabiskan masa di madrasah-madrasah kecil atau kuttab untuk mempelajari dan menghafal al-Quran. Apabila mencecah usia dewasa, beliau berkelana ke beberapa tempat seperti Makkah, Madinah dan Baghdad untuk menambah ilmu di dada.

Di Baghdad sahaja, Imam Ibnu Tumart berkesempatan untuk berguru dengan beberapa ulama terkenal. Antara guru-gurunya di kota berkenaan ialah Imam al-Ghazali, Abu Bakr al-Shashi, Abu Bakr al-Tartushi dan Abu Abdillah al-Hadrami. Selepas puas berkelana di tanah orang, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Maghribi.

Sebaik pulang, Imam Ibnu Tumart merasa terkejut dengan situasi yang melanda tanah airnya ketika itu. Kemungkaran dilihat berleluasa dan kerajaan yang memerintah ketika itu al-Murabitun dilihat tidak tegas dalam menyelesaikan hal berkenaan secara tuntas. Lantas, ini juga menjelaskan sebab penubuhan gerakan Muwahidun olehnya di mana ia kemudian menjadi penguasa Maghribi dan Andalusia selama lebih seabad.

Imam Ibnu Tumart menghembuskan nafas terakhir pada hari Rabu, 13 Ramadan tahun 524 Hijrah/1129 Masihi. Bagaimanapun, kema.ti.an beliau dirahsiakan oleh para pemimpin Muwahidun selama beberapa tahun sehinggalah pelajarnya, Abd al-Mu’min al-Kumi diangkat sebagai emir dan khalifah pertama Dinasti Muwahidun pada 1133.

Semasa hayatnya, Imam Ibnu Tumart sentiasa mengingatkan para pelajarnya tentang beberapa perkara:

  • Bersederhana dan tidak membazir. Ini termasuk memakai pakaian yang tidak berlebihan dan murah.
  • Mengajarkan adab dan bersikap tegas dalam mengamalkannya. Ini kerana ia akan membuatkan orang tidak memandang remeh soal adab.
  • Menganjurkan perkahwinan dengan individu daripada kabilah berbeza. Ini bertujuan membina ikatan dengan kabilah lain dan menghentikan sikap taksub berlebihan terhadap kabilah sendiri.
  • Membina madrasah untuk tujuan mendidik orang-orang Barbar yang beragama Islam. Ini termasuk mengangkat kedudukan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) di mana para pelajar Imam Ibnu Tumart diwajibkan mempelajari Kitab al-Murshidah.
  • Mendidik rakyat agar membaca dan menghafal al-Quran.

Imam Ibnu Tumart juga menjadi asbab kepada kemunculan ramai huffaz (penghafal al-Quran) bertaraf dunia dari Maghribi. Beliau bertanggungjawab mempelopori tradisi membaca dua hizb (satu juzuk al-Quran) secara berjemaah setiap hari. Ia dibahagikan kepada satu hizb pagi setelah Subuh dan satu hizb setelah solat Maghrib. Tradisi bacaan al-Quran ini dinamakan hizb ratib dan masih diamalkan hingga hari ini.

Imam Ibnu Tumart menghasilkan banyak kitab yang menjadi rujukan cendekiawan dan umat Islam hari ini. Antara kitab yang dikarang beliau ialah al-Aqidah al-Murshidah, Risalah ‑ Tawhid al-Bari, Risalah ‑ anna al-Tawhid Huwa Asas al-Din, Kitab ‑ al-Tawhid bi al-Lisan al-Barbari, Kitab al-Qawaid, Risalah ‑ al-Ibadah; Aazzu Ma Yutlab, Risalah ‑ al-Dalil ala anna al-Shariah la Tathbutu bi al-Aql, Kitab Tahrim al-Khamr, Risalah ‑ Usul al-Fiqh, Muhadhi al-Muwatta, Mukhtasar Sahih Muslim dan Risalah ‑ Bayan Tawaif al-Mubtilin min al-Mulathimin wa al-Mujassimin.

Disebabkan peranan Imam Ibnu Tumart dalam menggerakkan Dinasti Muwahidun sebagai pesaing kerajaan Murabitun, bukan sedikit tuduhan keji yang dilemparkan terhadapnya. Antara tuduhan yang dilemparkan ialah beliau mendakwa dirinya Imam Mahdi, mengkafirkan dan membu.nu.h sesiapa sahaja yang menetapkan sifat-sifat khabariyyah Allah SWT dari ayat-ayat mutashabihat.

Bagi tuduhan beliau mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi, tuduhan ini dijawab dengan jawapan tegas dalam kitab al-Mu’jib, halaman 112 dan 113. Imam Ibnu Tumart berkata, “Kalianlah yang Allah akan membuka untuk negara Parsi, Rom dan membunuh dajjal, dan dari kalianlah ada seorang pemimpin, yang akan menjadi imam kepada Isa bin Maryam, dan perkara itu akan tetap sampailah hari kiamat!” Beliau langsung tidak mendakwa dirinya sebagai Mahdi seperti didakwa penyokong Murabitun.

Sementara untuk tuduhan kedua, ia dijawab menerusi kitabnya Aazzu Ma Yutlab. Dalam kitab tersebut, beliau berkata, “Apa yang datang dari nas mutashabihat yang membawa persamaan Allah dengan makhluk seperti ayat istiwa’ dan hadis nuzul wajib beriman dengannya seperti yang sampai serta menafi­kan persamaan (tashbih) dan takyiif.”

Gerakan Almohad yang dimulakan oleh beliau kelak akan membina empayar yang sangat luas.

Para ulama yang mengenalinya memuji keperibadian beliau. Imam Taj al-Din al-Subki rahimahullah mengenalinya sebagai seorang lelaki yang soleh, ahli zuhud, warak dan faqih. Beliau turut memujinya sebagai seorang yang tegas dalam soal amar ma’ruf nahi munkar, kuat beribadah dan berjiwa berani. Sementara Imam al-Sanusi rahimahullah menulis persaksian untuk Kitab al-Murshidah dan menegaskan Imam Ibnu Tumart amat kuat membela akidah ASWJ.

Berikut kenyataan beliau, “Para imam telah sepakat kesahihan akidah ini (Akidah Murshidah) tidak selainnya, dan sesungguhnya ia adalah murshidah yang rashidah, alMahdi tidak meninggalkan yang lebih baik daripadanya sebagai wasilah untuk kebenaran. Semoga Allah memanfaatkan padanya, dan kepada kita; dengan berpegangan dengan akidahnya yang cantik.”

Glosari

mutashabihat – ayat-ayat al-Quran yang mempunyai makna berlapis dan tidak jelas

RUJUKAN:

al-Akiti, Ayman. (2021). Ketokohan al-Imam Ibn Tumart. Utusan Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.