Mungkin dalam kalangan kita sudah banyak tahu mengenai adat istiadat tabal jin dalam Kesultanan Perak. Adat istiadat tersebut masih diamalkan sehingga kini dengan beberapa pengubahsuaian telah dilakukan agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Mufti Perak.
Hal ini bermakna, istiadat ini telah ditapis dengan sebaiknya dan hanya adat-adat yang tidak bertentangan dengan Islam sahaja yang masih diamalkan. Jadi, kita tidak perlu raguragu atau memfitnah kerabat Diraja Perak dengan tuduhan yang tidak berasas. Kesultanan Perak ini sangat unik kerana sultan mereka dipercayai mempunyai pendamping dalam kalangan jin Islam.
Selain itu, Perak boleh dikatakan satu-satunya negeri yang mempunyai Pawang Diraja yang antara tugasnya ialah untuk menjaga jin kerajaan Perak. Benar atau tidak kenyataan ini tidaklah dapat dipastikan tetapi itulah apa yang rakyat Malaysia percaya.
Sejak Sultan Muzaffar Syah ingin ditabalkan di Perak, sudah ada jin yang datang menggangu pelayaran baginda semasa menuju ke tanah besar Perak. Kesultanan Perak bermula apabila Tun Saban dan Nakhoda Kasim telah pergi ke Kampar untuk mengadap Sultan Mahmud Shah Melaka dengan tujuan untuk meminta salah seorang putera baginda agar dirajakan di Negeri Perak.
Permintaan mereka itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah mengarahkan puteranya, Raja Muzaffar berangkat ke Perak bersama dengan alat kebesaran kerajaan Melaka. Pelayaran mereka pada awalnya berjalan sangat lancar sehinggalah kapal mereka tiba di satu kawasan yang bernama Beting Beras Basah. Ia dikatakan bahawa dengan tiba-tiba angin yang kuat telah melanda mereka dan kapal Raja Muzaffar itu pula tidak boleh bergerak.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh mereka untuk menggerakkan kapal tersebut, namun gagal. Raja Muzaffar akhirnya sedar bahawa apa yang berlaku itu mungkin merupakan perbuatan jin, lalu baginda telah berseru: “Selilit tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular saktimuna, Sebenarnya aku keturunan raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan aku di Selat Melaka, Jika Sah Beta Raja berdaulat, Lepaslah sekalian malapetaka.”
Menurut hikayat, selepas baginda selesai membaca mentera itu, tiba-tiba muncul seekor jin setinggi awan berkata kepada baginda, “Sekiranya tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak, hendaklah tuanku buangkan mahkota tuanku ke laut.”
Baginda mengikuti nasihat jin tersebut dan membuang mahkota kerajaan ke laut. Laut yang bergelora sebelum ini akhirnya menjadi tenang. Kapal baginda pun sudah boleh berlayar seperti biasa. Rombongan tersebut mudik ke Beting Beras Basah dan disitulah baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.
Tempat baginda bersemayam pula dikenali sebagai Tanah Abang. Sejak daripada itu, ia menjadi semacam adat bagi setiap Sultan Perak untuk datang ke Beting Beras Basah untuk melengkapkan Istiadat Tabal Pusaka serta bersiram tabal yang akan disempurnakan oleh Pawang Diraja. Pawang Diraja ini bukan hanya terdiri daripada bomoh-bomoh dalam kalangan rakyat, tetapi ada juga Pawang Diraja yang terdiri daripada kerabat diraja. Antaranya ialah Raja Ahmad yang merupakan putera kedua Sultan Abdul Malek Shah. Beliau merupakan Pawang Diraja yang sangat masyhur serta sangat arif tentang benda-benda ghaib dan makhluk halus.
Dengan kebolehan yang dimilikinya itu, kekandanya Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Perak telah memerintahkannya untuk menjaga jin kerajaan negeri Perak. Menurut Jahid Sidek sebagaimana yang ditulis dalam bukunya Berpawang dan Bersahabat dengan Jin, jin kerajaan dikatakan berada di Pulau Pangkor manakala jin kerajaan Perak pula berada di Beting Beras Basah.
Semasa Raja Lumu datang ke Perak untuk ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang pertama, Sultan Perak iaitu Sultan Muhammad Syah telah membawa baginda ke Pulau Pangkor untuk upacara mandi balai kerana dipercayai tempat tinggal jin kerajaan. Bermulanya dari kisah Raja Muzafar di Beting Beras Basah itu juga, upacara tabal jin telah dilakukan oleh istana Perak secara turun-temurun. Kini, Istiadat Tabal Jin itu sudah ditukar nama kepada Istiadat Tabal Pusaka.
Isitiadat ini akan dilakukan pada waktu malam di Balairong Seri dan Panca Persada90 dengan disaksikan oleh kerabat raja yang terdekat serta pembesar-pembesar dan pemimpin Perak. Pada zaman dahulu, sebelum bermulanya upacara ini, pawang diraja akan memuja perkakas kerajaan selama tujuh hari tujuh malam.
Pada malam terakhir pula iaitu merupakan bangunan empat per segi tirus meninggi ke atas seumpama piramid di mana akan diletakkan dua buah kerusi khas untuk istiadat bersiram diraja sebelum ditabalkan menjadi raja dalam siri perayaan istiadat tabal raja. Pada zaman dahulu, Panca Persada ini dibina di kawasan tengah Sungai Perak, namun kini ia hanya dibina di perkarangan istana Iskandariah.
Malam kemuncak upacara, Sultan dan Permaisuri akan bersemayam di Panca Persada dan nobat akan dimainkan. Kini upacara ini hanya dilakukan selama tiga hari sahaja. Selepas selesai upacara, baginda dan permaisuri akan turun dari istana dan akan mengelilingi Panca Persada sebanyak kali.
Selepas selesai mengelilingi Panca Persada sebanyak tujuh kali, Sultan dan Permaisuri akan naik ke Panca Persada dan akan disiramkan. Selepas selesai, mereka berdua akan kembali ke istana untuk menyalin pakaian dan kemudiannya akan bergerak ke Balairong Seri untuk bersemayam di singgahsana dengan iringan nobat. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, semua yang dilakukan ini tidak lebih daripada adat istiadat semata-mata dan langsung tiada kaitan dengan jin mahupun jembalang.
Anda sebenarnya sedang membaca salah satu daripada bab istimewa dalam buku terbaru kami, KISAH KLASIK TAMADUN MELAYU. Kalau berminat, boleh buat pembelian di: http://bit.ly/KisahKlasikShopee
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih