Sesungguhnya Jepun merupakan sebuah negara yang amat unik. Seiring arus pemodenan yang pesat, Jepun beroleh kejayaan yang mencakupi pelbagai bidang. Dalam keghairahan memajukan tamadun mereka itu, Jepun tidak pula menanggal, menyepuk dan membakulsampahkan sistem turun temurun yang menjadi tulang belakang kepada identiti ketamadunan mereka sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Sistem yang dikatakan itu ialah sistem beraja, monarki ataupun lebih tepat lagi, institusi kemaharajaan ataupun imperial.
Apa yang menyebabkan sistem kemaharajaan Jepun ini amat menonjol dan luar biasa adalah disebabkan sifatnya yang seakan-akan abadi, hayatnya yang tidak bernoktah, diselaputi aura kepurbaan yang memberikan gambaran bahawa institusi ini telahpun wujud berzaman-zaman lamanya. Itu belum kira lagi bagaimana institusi ini berupaya kekal berfungsi dengan harmoni dan sinergi, bersama-sama dengan sistem demokrasi berparlimen walaupun kini peranannya sudah dikurangkan kepentingannya, selepas Perang Dunia Kedua.
Bayangkan saja, selama 2600 tahun mengikut perkiraan kasar, Dinasti Yamato tidak pernah jatuh, walaupun sekali. Di seberang laut, China menjadi saksi kepada bagaimana berpuluh-puluh dinasti jatuh bangun bersilih ganti tetapi tidak bagi Jepun. Bermula daripada Maharaja yang pertama yakni Jimmu, sehinggalah Maharaja yang ke-126, Maharaja Naruhito (bukan Naruhodo atau Naruto), seolah-olah tidak pernah padam api kesetiaan rakyat Jepun kepada sang Maharaja dan institusi kemaharajaan di negara matahari terbit. Apakah rahsianya? Kesaktian apakah yang digunakan?
Mungkin jawapannya ada di Alam Melayu itu sendiri. Penulis merujuk kepada nukilan dan ulasan tuntas oleh Dr Azmi Arifin (https://m.facebook.com/photo.php?fbid=744740686408273&id=100026170442747&set=a.467736217442056&source=48). Ulasan yang dibuat menyoroti kembali sebuah artikel jurnal yang bertajuk, “Kewibawaan Mutlak Raja dan Kesetiaan Mutlak Rakyat Kepada Raja: Satu Penilaian Semula Tentang Lunas Perhubungan Raja-Rakyat Masyarakat Melayu Tradisional seperti yang terdapat di dalam Kitab-Kitab Sastera Sejarah Melayu” yang ditulis Prof. Madya Abdul Rahman Haji Ismail.
Dalam ulasan tersebut, Azmi dan Abdul Rahman kedua-duanya seiya sekata bahawa kedaulatan dan kekuasaan seseorang Raja Melayu itu banyak ditentukan dari hakikat keturunan asal dan leluhur diraja (anak gahara) yang tidak boleh sewenang-wenangnya dipertikaikan oleh mereka yang tidak berdarah diraja termasuklah golongan pembesar dan bangsawan istana. Dalam erti kata lain, kesucian darah Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang amat penting dalam menguatkan keabsahan dan kedaulatan dalam pemerintahan.
Bukan faktor kekayaan dan bukan pula disebabkan bilangan tentera. Hal ini bermakna kalaupun raja Melayu itu papa, tidak disusuli pahlawan yang ramai, masyarakat Melayu Islam tetap akan taat dan setia kepada Duli Tuanku sebagai payung Syariah dan adat (baca: hukum dan undang-undang) Melayu. Penulis berpendapat, adapun ketaatsetiaan ini adalah kerana sifatnya yang bukan materialistik (tidak berpandukan kekayaan) dan bukan pula keterpaksaan sehingga memerlukan raja yang mempunyai tentera (dan elemen menakut-nakutkan) baru ketaatan dapat dizahirkan.
Sebaliknya ketaatsetiaan masyarakat Melayu ini selain disumbang oleh faktor keagamaan yang mewajibkan ketaatan terhadap ulil amri berdasarkan Ayat 59, Surah An-Nisa (sekurang-kurangnya selepas kedatangan Islam), boleh juga kita lihat kerangkanya yang lebih terdahulu yang dapat dijejak kepada waad yang dipersetujui Raja Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Antara perkara yang disepakati kedua-dua pihak ialah agar tidaklah rakyat berlaku derhaka kepada raja, dan raja dilarang pula mengaibi rakyatnya secara zalim. Daripada waad ini juga bangsa Melayu turut mengakui kemuliaan keturunan seseorang Raja itu. Inilah yang memandu ketaatsetiaan rakyat berbangsa Melayu.
Ini berbeza dengan sumber kedaulatan Raja-Raja Eropah yang banyak dikreditkan kepada rahmat dan hak dari ilahi untuk memerintah (divine rights of kings), kekuatan ketenteraan dan keluasan wilayah yang dimiliki. Bagi konsep divine rights of kings, monarki di Eropah dahulunya percaya bahawa keabsahan mereka untuk memerintah datangnya daripada tuhan. Hal ini bermakna tiada sesiapapun yang boleh mempertikaikan hak seseorang Raja itu untuk memerintah. Hanya Paus dan kepausan (papacy) di Rom sahaja yang boleh mempertikaikan mana-mana Raja Eropah atas sebab keagamaan dengan cara pengucilan (excommunication).
Dalam masyarakat feudal Jepun dan Melayu mahupun Eropah, masing-masing berkongsi satu ciri yang sama, yakni kewujudan golongan pembesar (juga dipanggil bangsawan, aristokrat, orang besar, pangeran, bupati, menteri, duke dan sebagainya). Pembesar ini boleh jadi hanya berdarah biasa, dari latar belakang kerumunan rakyat yang umum. Boleh jadi juga pembesar itu berdarah raja, disebabkan dirinya atau ahli keluarganya yang ada berketurunankan kerabat, ataupun memang berkahwinkan kerabat. Di sini penting untuk dibezakan antara kerabat (royal) dan pembesar (noble).
Tetapi kebiasaannya, pembesar dianggap SEBAHAGIAN daripada rakyat biasa dan mereka MEWAKILI rakyat biasa. Sepanjang sejarah peradaban dunia, tidak kira dunia Melayu mahupun Eropah, para pembesar banyak menyumbang kepada kestabilan, kemajuan, kegemilangan dan keteraturan sesuatu kerajaan itu. Mereka berada di barisan hadapan dalam memastikan kehendak negara, bangsa dan agama terus terbela dan dibela. Hal ini malangnya, berbeza dengan realiti masyarakat hari ini, yang berpembesarkan politikus yang rata-ratanya buta dan tuli.
Perbezaan ini perlulah diamati dengan tertib dan penuh cermat, agar sentimen negatif yang bersarang dalam minda masyarakat tentang kekolotan sistem feudalisme dapat dihapuskan. Sesungguhnya politikus hari ini tidak layak langsung disamakan dengan pembesar zaman dahulu yang merupakan pembesar yang sebenar-benarnya pembesar, mulia dan tangkas dalam perlakuan dan pemikiran. Itulah dia feudalisme yang sebenar, yang telah menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia di seluruh dunia selama ribuan tahun, sebelum konsepnya dikaburkan dengan kekeliruan sarjana Barat.
Hakikat kesucian darah Raja Melayu sebagai sumber daulat kini semakin jelas. Kalaupun hendak dibahaskan bahawa darah diraja Sultan Mansur Syah telah “dicairkan” melalui perkahwinan campur apabila baginda mengahwini Hang Li Po yang tidak jelas asal usulnya itu (tiada rekod Dinasti Ming yang mengesahkan bahawa Hang Li Po/Hang Liu ialah puteri Maharaja Yongle ataupun sekurang-kurangnya, anak pembesar Cina), Sultan Mansur Syah juga mempunyai isteri-isteri lain yang berketurunan darah anak gahara seperti Puteri Raden Galuh Cendera Kirana dari Majapahit dan Puteri Wanang Sari/Walinong Sari dari Inderapura (Pahang).
Lagipun, tidak kira sama ada Hang Li Po merupakan zuriat maharaja ataupun tidak, beliau tetap merupakan wakil rasmi Ming dan ini adalah gambaran yang telah ditayangkan kepada seluruh penduduk yang dinaungi Melaka ketika itu. Maka, kesucian darah Sultan Mansur Syah tidaklah ternoda sehinggakan kedaulatan baginda dipersoalkan. Daulatnya Sultan Mansur Syah diperikan dengan takzim dalam Sulalatus Salatin apabila air basuhan kaki baginda menyembuhkan penyakit yang dihidapi Maharaja China. Mungkin juga soalan yang mempunyai konotasi lurus bendul seperti ini pun awal-awal lagi sudah silap kerana kesucian darah itu tidaklah wajar ditafsirkan secara literal dengan memandang kepada kepekatan, kelikatan ataupun warna darah itu, tetapi lebih merujuk kepada ilusi kemegahan (illusion of grandeur) yang dapat ditunjukkan seseorang sultan yang berkarisma dan berdaulat.
Apa yang menarik dengan faktor kesucian darah/kemuliaan keturunan yang dibangkitkan ini ialah, persamaannya dengan faktor kedaulatan yang dizahirkan Maharaja Jepun dan institusi kemaharajaan berkenaan. Umum mengetahui Jepun juga suatu ketika dahulu, dalam zaman Sengoku (1467 – 1615) misalnya dan zaman-zaman sebelum itupun seperti Muromachi dan Kamakura, yang tampak feudalistik sifat masyarakatnya, sudah ada kewujudan w@rlord ataupun Daimyo sebagai pemerintah wilayah yang mempunyai autonomi masing-masing, yang acap kali bertelagah dan bermusuh-musuhan di antara satu sama lain, dengan matlamat untuk meluaskan wilayah taklukan puak-puak yang berkepentingan.
Tapi kenapa Daimyo-Daimyo ini tidak menyasarkan takhta Bunga Kekwa dan menggondol terus hak pemerintahan mutlak sebagai seorang Maharaja? Mengapa Oda Nobunaga yang dah h@ncur dan serap berpuluh-puluh puak samurai jiran, siap bagi “sedekah” dekat keluarga Maharaja sebagai dana bina istana baru? Mengapa Toyotomi Hideyoshi bersusah payah menyambung usaha Nobunaga nak menyatukan Jepun, sampai Korea pun dilanggarnya dalam Perang Imjin? Mengapa tidak Toyotomi menterbalikkan saja istana Maharaja di Kyoto? Mengapa Tokugawa Ieyasu beriya-iya ingin jadi “setakat” Shogun? Ketiadaan niat oleh pembesar-pembesar ini untuk menjadi Maharaja memang menimbulkan suatu persoalan.
Jawapannya ialah kerana pengiktirafan. Pertama-tamanya, kritikal untuk kita faham bahawa Maharaja Jepun mempunyai peranan yang luar biasa dan bukannya sebagai hanya pemerintah negara yang biasa. Maharaja Jepun ialah ketua kepada agama Shinto serta institusinya, ketua pengamal ritual keagamaan Shinto, pelindung kepada agama Buddha pada satu tahap dan yang paling penting pemerintah de jure Jepun. Menyanggah Maharaja sendiri bermakna menyanggah ratusan institusi keagamaan di Jepun. Menyanggah Maharaja sendiri bermaksud menghina fungsi Maharaja dalam memastikan tanah terus subur dan dirahmati tuhan (contohnya dalam upacara Daijosai, Maharaja sendiri menawarkan beras, sake dan berdoa kepada Dewi Amaterasu memohon tuaian yang baik).
Malah Ratu Himiko yang dikatakan sebagai pemerintah pertama Wa (entiti berkerajaan sebelum lahirnya Jepun) juga merupakan seorang Queen-Shaman menurut Miller ataupun lebih tepat lagi, Ratu Dukun. Daimyo tidak ada legitimasi untuk mengisi peranan Maharaja sebagai ketua agama Shinto kerana Shinto berkait rapat dengan darah yang mengalir dalam tubuh Maharaja yakni status keturunan Yamato yang mempunyai darah dari Dewi Amaterasu Omikami lagi. Daimyo mana yang berani klaim mereka mempunyai darah Amaterasu? Tetapi ini tidak pula bermakna Pius di Vatican boleh disamakan dengan seorang Maharaja Jepun hanya disebabkan kedua-duanya memainkan peranan agama. Bolehlah dikatakan bahawa peranan Maharaja Jepun ini lebih mirip dengan Yang di-Pertuan Agong di Malaysia.
Sehebat manapun Daimyo itu, seprestij manapun leluhur seseorang pembesar itu, keturunan Fujiwara, Minamoto mahupun Taira, tetap tidak mencukupi untuk melangkaui dan menandingi kesucian darah pewaris Amaterasu. Tambahan pula, Maharaja terkadang dianggap sebagai suatu individu sakral yang berada dalam dimensi lain, yang lebih suci dan tinggi taraf dan makamnya berbanding individu lain termasuklah seorang Shogun sekalipun. Hal ini membuatkan rakyat biasa (termasuklah Daimyo) tidak berani untuk “menyentuh” dimensi tersebut yang mengasingkan dengan jelas kedaulatan di antara subjek dan pemerintahnya.
Berbalik kepada soal yang dikatakan tadi, pengiktirafan di sini sebenarnya adalah pengiktirafan yang sangat-sangat berharga. Itulah sebabnya mengapa tiada w@rlord yang mengimpikan takhta kekuasaan. Sekali sang Maharaja berkenan melantik seseorang penguasa itu menjadi Shogun, selalunya memang seluruh populasi Jepun, pahlawan dan bukan pahlawan, rakyat biasa ataupun agamawan, akan taat dan patuh terhadap titah Maharaja. Ini dapat diperlihatkan dengan jelas semasa Tokugawa Ieyasu diangkat menjadi Shogun. Tiada puak samurai lain yang sanggup menentang Ieyasu kerana dua sebab: satu, pengiktirafan Maharaja, dua, kuasa puak Tokugawa itu sendiri yang dah menguasai sebahagian besar kepulauan Jepun.
Semasa Maharaja Go-Shirakawa berkenan mengurniakan kedudukan dan pangkat (baca: pengiktirafan) kepada Minamoto no Yoshitsune kerana jasanya dalam Perang Gempei menentang puak Taira menurut Sato, abangnya Yoritomo berasa amat risau dengan pengaruh yang akan mendampingi Yoshitsune. Demi memastikan kedudukannya sebagai ketua puak Minamoto terus kukuh, Yoritomo tanpa teragak-agak menyebabkan kematian Yoshitsune dalam episod “air yang dicencang akhirnya putus” yang penuh tragik. Begitulah berkuasa dan bernilainya pengiktirafan dari seorang Maharaja walaupun baginda cumalah pemerintah de jure dan bukannya de facto (seperti Shogun). Seperti hari ini, ramai yang kempunan nak jadi Perdana Menteri, ada “numbers” katanya, tetapi tak ramai yang melahirkan hasrat nak dijulang sebagai Sultan ataupun Yang di-Pertuan Agong kerana analoginya lebih kurang sama juga.
Walaupun begitu, ini tidaklah bermakna pemerintah de jure adalah bawah-bawahan jika dibandingkan dengan de facto kerana de jure itu sendiri adalah sumber keabsahan. Tapi Maharaja, tiada pembesar yang boleh dilantik, apatah lagi mentadbir. Maharaja Jepun tidak ada wilayah pegangan yang ditadbirnya secara terus (direct control) tanpa agen (yakni Daimyo) dan tiada bala tenteranya atas kapasiti peribadi (kecuali kumpulan kecil pengawal keselamatan).
Wilayah Yamashiro yang menempatkan istana Maharaja di Kyoto sewaktu zaman Sengoku itupun ditadbir oleh puak samurai Ashikaga. Kawasan pegangan keluarga imperial kalau ikutkan hanyalah bangunan istananya sahaja. Tetapi mengapa Maharaja Jepun terus disegani dan ditaati rakyatnya sepanjang tempoh yang dapat kita lihat dalam sejarah? Jawapannya kini jelas ataupun sekurang-kurangnya, tidaklah sekabur dahulu.
Kesimpulannya, kesucian darah dan kemuliaan keturunan seseorang Maharaja Jepun dan Raja Melayu itu akhirnya menjadi sumber utama kepada kedaulatan baginda serta seterusnya, memastikan institusi beraja dalam kedua-dua peradaban terus berdiri teguh.
RUJUKAN:
Ramlah Adam (2016). Hubungan Luar Kesultanan Melayu Melaka Dengan Kawasan Sekitar Dan Antarabangsa.
Ruzy Suliza Hashim. (2008). Gender on the Agenda: The Story of Hang Li Po Revisited in Malay Literature, 21:1, 1935.
Miller, L. (2014). Rebranding Himiko, the Shaman Queen of Ancient History. Mechademia 9, 179-198. doi:10.1353/mec.2014.0015.
Sato, Hiroaki (1995). Legends of the Samurai. Overlook Duckworth. p. 139. ISBN 978-1-59020-730-7.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih