Alhamdullillah, cuti Hari Raya Aidilfitri sudah pun berakhir. Ramai yang sudah berpusu-pusu pulang semula dari kampong halaman. Yelah, kerja sudah menunggu, anak-anak pun hendak ke sekolah. Jadi mulalah penuh Lebuhraya Utara Selatan itu dengan kereta-kereta dan kesesakan trafik yang hebat. Bertabahlah, setiap rakyat Malaysia tidak kira yang muda ataupun tua pernah mengalami kesesakan trafik. Ia merupakan lumrah dan hakikat yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi di musim perayaan ini apabila kesesakan jalan raya menjadi melampau sehingga berjam-jam lamanya. Masalah kesesakan trafik ini adalah masalah global. Ia dialami oleh banyak negara membangun. Cina pun mengalami masalah kesesakan yang sangat kronik terutamanya di musim perayaan (masih ingat lagi peristiwa kesesakan di lebuhraya Cina yang berlanjutan sehingga 2 minggu?).

Dan tak keterlaluan kalau saya tekankan di sini, bahawa masalah kesesakan trafik ini sudah wujud sejak beribu tahun yang lampau. Ya, masalah kesesakan trafik sudah lama ada sejak wujudnya jalan-jalan yang menjadi ruang perhubungan dan pengangkutan antara manusia. Dan antara peristiwa yang menarik pernah berlaku di zaman Rom purba.

Jalan Berturap di Rom Purba

Jalan berturap Rom merupakan antara rangkaian jalan yang pertama dibina di dunia. Ramai ahli sejarawan berpendapat bahawa, jalan-jalan berturap yang dibina dari Kota Rom merupakan antara faktor kekuatan dan kelansungan tamadun itu di era kegemilangannya. Di kemuncak tamadun Rom, dikatakan wujudnya sehingga 357 sistem jalan besar, yang menghubungkan Rom dengan 113 wilayah jajahannya. Jalan-jalan ini (termasuk yang berturap dan tidak) meliputi sehingga 400,000 kilometer dan lebih dari 80,000 kilometer adalah jalan yang berturap. Sebahagian daripada jalan ini masih lagi wujud sehingga sekarang dan ada di antaranya yang menjadi batu asas kepada jalan raya moden.

Siapakah pengguna rangkaian jalan purba ini? Secara asasnya, kebanyakan jalan yang dibina oleh tamadun Rom dibina untuk tujuan ketenteraan. Jalan-jalan ini dibina bagi memudahkan tentera-tentera dan pegawai penting kerajaan untuk bergerak dari ibu kota Rom ke wilayah-wilayah jajahan yang telah dikenal pasti. Namun tidaklah pula kerajaan Rom mengkhususkan penggunaan jalan itu hanya untuk urusan rasmi sahaja. Jalan tersebut boleh digunakan para pedagang, dan sesiapa sahaja yang merupakan penduduk Rom. Ini menimbulkan masalah kesesakaan, terutamanya apabila menghampiri bandar-bandar besar, seperti Pompeii dan juga Rom sendiri.

Bandar Rom merupakan antara bandar ulung tamadun purba. Menurut sejarawan, Bandar Rom merupakan bandar yang padat dengan jumlah penduduk yang pernah mencecah sehingga sejuta orang (satu jumlah yang tak dapat ditandingi sehinggalah pada kurun ke-19). Dengan sistem jalan yang canggih dan selesa untuk digunakan, sudah tentu ianya menjadi pilihan ramai pengguna termasuklah pedagang dan juga penduduk Rom. Ini menyebabkan jalan-jalan di sekitar bandar Rom sesak dan penuh dengan pengguna. Perkara ini menimbulkan masalah dan kegusaran kepada pemerintah Rom tidak kiralah Republik mahupun Empayar.

Penyelesaian Kesesakan Trafik

Bagaimana sejarawan dapat mengenalpasti tentang masalah trafik di zaman Rom purba ini? Ada dua sumber yang menjadi rujukan para sejarawan dalam menentukan tentang wujudnya masalah kesesakan trafik di zaman purba.Sumber pertama adalah melalui tinggalan dokumen bertulis tertuama sekali dokumen rasmi kerajaan dan juga dokumen surat-menyurat di antara penduduk Rom purba. Sejarawan mendapati bahawa jalan-jalan di Bandar Rom purba bukanlah seperti jalan raya yang moden. Tidak wujud istilah jalan yang dirancang melalui proses kejuruteraan yang teliti. Kebanyakan jalan di Rom purba merupakan jalan yang berselirat dan selalu digabungkan dengan lorong-lorong kecil dalam satu sistem jalan yang rumit.

Pun begitu, ia tidak menghalang pedati-pedati dan penunggang kuda untuk menggunakan jalan-jalan ini di sekitar bandar Rom dan menimbulkan banyak isu kepada pejalan kaki dan kepada pengguna yang lain. Wujud undang-undang di Bandar Rom yang pernah diwartakan pada abad ke-3 sebelum masihi yang melarang wanita untuk membawa kereta kuda dan juga pedati di dalam bandar. Undang-undang tersebut diteruskan sehinggalah ke zaman Julius Caesar, namun ia tidak berjaya mengurangkan kesesakan di bandar ini lebih-lebih lagi apabila pemerintahan Rom bertukar dari Republik ke Empayar.

Akhirnya Julius Caesar lah yang terpaksa menyelesaikan masalah ini. Julius Caesar mewartakan yang jalan di Bandar Rom dilarang untuk digunakan oleh kenderaan di 10 jam yang pertama di waktu siang. Di bandar Rom ketika itu, waktu siang biasanya berlanjutan sehingga 12 jam. Ini bermakna pengguna kenderaan, terutamanya penghantar barang dan juga kenderaan penumpang hanya boleh menggunakan kenderaan di hujung waktu siang ataupun di awal pagi sebelum matahari mula terbit. Lebih daripada itu, Caesar juga melarang penggunaan kenderaan di sesetengah kawasan penempatan bagi mengelakkan masalah trafik yang kronik dan juga kecederaan kepada penduduk sekitar.

Satu lagi sumber yang digunakan para sejarawan adalah melalui kajian arkaeologi. Yang menariknya ia bukan kajian di Bandar Rom, di sebaliknya ia merupakan kajian di Bandar Pompeii. Umum semua orang mengetahui yang Pompeii merupakan salah satu bandar dalam tamadun Rom yang tertimbus di bawah timbunan lava ketika gunung berapi Vesuvius meletus pada tahun 79 M. Disebabkan kebanyakan penduduk bandar Pompeii dijumpai tertimbus di bawah timbunan debu dan lava, ini mewujudkan spesimen yang sempurna buat para sejarawan dalam memperhalusi kajian.

Kajian ke atas tapak arkaeologi di Pompeii menghasilkan dua pemerhatian. Pertama, trafik di bandar Pompeii lebih kurang sama sesaknya dengan trafik di Bandar Rom. Jalan-jalan di Bandar Pompeii kebanyakannya merupakan jalan dua hala yang terdiri daripada arus yang mendatang dan arus yang bertentangan. Walaupun nampak sesak, tidak nampak pula sebarang usaha dari pihak yang bertanggungjawab untuk menjadikan jalan ini sebagai jalan sehala.Jadi bagaimana pengguna jalan dan penunggang kenderaan hendak melalui jalan yang sudahpun dipenuhi dengan pengguna? Melalui kajian yang terperinci, kebanyakan pengguna kenderaan zaman silam mengupah orang untuk pergi ke hujung jalan bagi mengawal trafik di jalan yang dilalui dan mengelakkan kesesakan.

Pemerhatian ke atas tapak arkaeologi silam ini juga mendedahkan bahawa pembina jalan di bandar Pompeii menambah batu di atas jalan yang dijadikan sebagai laluan pejalan kaki. Ini untuk memastikan yang pejalan kaki mempunyai ruang yang selamat untuk melintas.

Rumusan

Masalah kesesakan trafik ini tidak hanya berlaku di tamadun Rom sahaja. Malah ia berterusan dihadapi di setiap zaman termasuklah Zaman Pertengahan, Zaman Kebangkitan (Renaissance) dan juga di era moden. Ia merupakan masalah sama yang dihadapi beribu-ribu tahun lamanya dan masih lagi membelenggui masyarakat moden di zaman sekarang. Malulah jika kita mahu mengatakan yang kita merupakan masyarakat yang moden dan hebat tetapi masalah purba seperti ini pun kita tidak mampu selesaikan. Yelah, mana ada pengangkutan awam di zaman purba.

Rujukan:

  • Hanson, J. W. (2016). An Urban Geography of the Roman World, 100 BC to AD 300. Oxford: Archaeopress
  • Matthews, Jr., .Kenneth”The Embattled Driver in Ancient Rome” Expedition Magazine 2.3 (1960): n. pag. Expedition Magazine. Penn Museum, 1960 Web. 25 Jun 2018 http://www.penn.museum/sites/expedition/?p=135
  • Duducu, Jem (2015). The Romans in 100 Facts. GL5 4EP UK: Amberley Publishing m/s 320
  • Gabriel, Richard A. The Great Armies of Antiquity. Westport, Conn: Praeger, 2002 m/s 9
  • net (Januari, 2016), “Medieval Traffic Problems”. Medievalists.net
  • Bond,Sarah (Oktober, 2017), “Pompeii Had Some Intense Rush Hour Traffic Too” Forbes

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.