Sebelum ini ramai yang menyatakan bahawa lawak bodyshaming dan membahan juri dalam satu program lawak adalah sangat keterlaluan. Katanya, orang kita ini boleh terima lawak sedemikian kerana sudah menjadi budaya kita. Malah ada yang beranggapan orang kita terlalu benak untuk menerima lawak educated.

Ironinya sekarang, lawak seperti itu masih lagi wujud tetapi ke arah yang sangat sensitif. Ini kerana bangsa dan agama dijadikan sebagai bahan untuk buat lawak atas alasan kebebasan berkarya. Jadi apa beza antara mereka dan pelawak yang gemar bodyshaming? Mungkin mereka lebih teruk kerana sedang mengajar anak ketam berjalan tegak.

Persoalannya kenapa ramai yang minat lawak membahan orang lain?

Sebenarnya sejak dari dulu lagi kita sangat gemarkan lawak membahan orang lain seperti menyindir. Buktinya ada pada cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Si Luncai dan Pak Kaduk. Ketiga-tiga watak dongeng ini seringkali digambarkan sebagai bendul dan suka buat keputusan ikut kepala lutut secara turun-temurun.

Sebagai contoh Pak Kaduk yang dikatakan sangat dungu telah menggadaikan kampungnya untuk bersabung ayam dengan pihak pemerintah. Paling benak sekali, Pak Kaduk telah bersetuju untuk tukarkan ayamnya dengan pihak pemerintah. Akhirnya pihak pemerintah menang dan Pak Kaduk terpaksa menyerahkan kampungnya.

Kita yang baca ini pun terus gelak macam orang gila kerana mengenangkan betapa benaknya Pak Kaduk. Tetapi sebenarnya itu satu sindiran kepada kita yang terlalu takut untuk mengkritik pemerintah. Antaranya kita lebih suka untuk menuruti berbanding mempersoalkan tindakan yang nampak salah. Tapi sebelum nak kritik, pastikan anda miliki hujah yang kuat dan jangan bertindak seperti sesetengah orang di media sosial.

Tak nampak macam membahan pun tapi kena ingat cerita jenaka yang disampaikan secara lisan ini adalah sebahagian daripada eskapisme orang kita terhadap diri sendiri. Bermakna mereka troll diri sendiri dan mengakui segala kelemahan. Senang cerita, Pak Kaduk sedang membahan kita kerana sama dungu macam dia.

Selain itu, lawak membahan juga telah wujud dalam buku Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu. Kalau tidak percaya boleh baca petikan di bawah:

Maka  kata  Makhdum  Sadar  Jahan,  “Apa  sukar  bahasa  Melayu  ini,  maka  tiadatersebut olehku?” Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, “Sebutlah oleh tuan ‘kunyit’”.Maka  disebut  oleh  makhdum  katanya  “kuzit”;  maka  kata  Tun  Mai  Ulat  Bulu,“Salah itu, ‘kunyit’; maka disebut pula “nyiru”, maka kata Makhdum “niru”.  Makakata Tun Mai Ulat Bulu, sambil hendak ketawa, “Kucing pula, sebut tuan”; maka disebut oleh Makhdum, katanya “Kusyin”.  Maka Tun Mai Ulat Bulu pun tertawa,katanya, Manatah tuan hamba dapat menyebut bahasa kami? Demikian lagi kami mengikut bahasa tuan.”  Maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu marah akan TunMai Ulat Bulu, katanya “Taubatlah kita mengajar dia ini lagi.”

Petikan di atas jelas menunjukkan Tun Mai Ulat Bulu telah meminta Makhdum Sadar Jahan yang berbangsa Arab untuk menyebut perkataan kunyit. Namun tanpa sedar Tun Mai Ulat Bulu sebenarnya mahu membahan Makdhum Sadar Jahan. Apabila Makhdum Sadar Jahan tidak dapat menyebut dengan betul, terus Tun Mai Ulat Bulu terbahak-bahak mengertawakan beliau.

Apabila memasuki zaman moden, lawak sebegini masih lagi diteruskan tetapi dalam bentuk yang lebih komersial. Antaranya ada pelawak menceritakan tentang pembangunan dan pencapaian yang seharusnya kita banggakan. Tapi apa yang kita (baca lelaki) bangga adalah dapat kahwin banyak dan pergi Terengganu minum air buah.

Lepas itu semua pakat gelak macam tiada hari esok, padahal si pelawak sedang membahan lelaki yang tak pernah cukup tapi takut bini.

Kesimpulannya, sejak dahulu kita memang suka buat lawak membahan tetapi lebih kepada teguran dan sindiran semata-mata. Masalahnya hari ini adalah lawak membahan itu digunakan untuk mempersendakan agama dan bangsa orang lain. Bagi sesetengah itu cuma lawak biasa sahaja dan seni adalah bebas, jadi mengapa perlu terasa?

Apa yang mereka benak sangat nak faham ialah kena pastikan lawak itu tidak menyentuh mana-mana isu sensitif dalam masyarakat sesebuah negara. Macam melukis, anda tidak dibenarkan menghasilkan karya erotik kerana menyalahi huruf dan amalan di negara ini.

Kepada kelab yang tak beberapa nak lawak itu mohon perbaiki lawak anda supaya tidak menghina sesiapa di masa hadapan. Harus diingatkan anda dan pelawak program televisyen sama sahaja, bahan orang lain untuk dapatkan secebis gelakkan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN:

Muhammad Safuan Bin Ismail, Roslina Bt Abu Bakar & Nik Rafidah Nik Muhammad Effendy. (2018). Cerita jenaka melayu suatu manifestasi watak dan perwatakan positif. JMS, 1(1), 296-329. https://juku.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article/view/13409/8525

Rahman Shaari. (2004). Sastera jenaka:Yang parodi dan yang asli. Jurnal Pengajian Melayu, 6(1), 123 to 131. https://jpmm.um.edu.my/index.php/JPMM/article/view/123-131/13716


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Leave A Reply