Selalunya bila kita mendengar cerita skandal dari dunia Barat, skandal yang mendominasi berita kebanyakannya berasal dari Amerika Syarikat. Cakap saja skandal apa, kita pasti sudah biasa dengar. Nixon dengan hantu Watergatenya, Reagan dibelenggu beban bernama Iran-Contra dan Clinton pula dihantui seorang wanita bernama Lewinsky. Tetapi di United Kingdom, ada satu skandal yang bukan saja menjatuhkan Perdana Menteri Harold Macmillan tetapi juga membuka jalan kepada kemenangan Parti Buruh pada pilihan raya 1964.

Skandal yang dimaksudkan penulis ialah Skandal Profumo membabitkan tiga pemain utama: Christine Keeler, John Profumo dan Stephen Ward. Skandal ini memaksa Profumo yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha P3rang Britain meletak jawatan, menjejaskan kedudukan Wilson sebagai Perdana Menteri, Ward seorang ahli osteopati memilih menamatkan nyawanya sendiri dan memberi kesan kepada Keeler dan Parlimen Britain sehingga hari ini.

Di tengah-tengah skandal ini ialah Keeler, seorang model dan gadis penghibur berusia 19 tahun. Berasal dari Uxbridge, Middlesex, dia dibesarkan oleh ibu dan pasangan ibunya yang tinggal di dua gerabak keretapi yang tidak digunakan. Bila Keeler berusia sembilan tahun, dia dihantar pulang ke rumah oleh inspektor kesihatan sekolahnya kerana mengalami masalah kekurangan nutrien.

Dia juga pernah menjadi mangsa gangguan seksual pasangan ibunya dan rakan-rakan lelaki itu. Keeler kemudiannya bekerja sebagai model di sebuah kedai pakaian pada usia 15 tahun. Dua tahun kemudian, dia mempunyai hubungan dengan seorang sarjan Tentera Udara Amerika Syarikat di mana ia menghasilkan seorang bayi yang lahir pra-matang. Bayi itu bagaimanapun tidak bertahan lama dan m4ti enam hari kemudian.

Pada lewat tahun yang sama, dia mendapat kerja sebagai seorang gadis penghibur di sebuah kelab kabaret di Soho dengan bantuan seorang rakan. Di sinilah bermulanya perkenalan antara dia dengan Ward. Tak lama selepas itu, mereka tinggal bersama dengan ahli osteopati itu bertanggungjawab mengaturkan pertemuan antara rakan-rakannya yang berpengaruh dengan Keeler dan seorang lagi rakan Mandy Rice-Davies. Ward yang juga seorang pelukis potret mempunyai ramai rakan berpengaruh seperti Lord Astor dan Profumo. Bukan satu rahsia perkhidmatan perisikan British MI5 dan MI6 menggunakan dia untuk mendapatkan maklumat daripada kenalan-kenalan berpengaruhnya ketika itu.

Jadi, bagaimana kegilaan ini bermula? Semua ini bermula di sebuah estet desa milik Lord Astor di Cliveden, Buckinghamshire pada tahun 1961. Menurut anak Lord Astor, William dalam temubual bersama The Spectator pada tahun 2014, para tetamu yang berada di dalam rumah mendengar keriuhan dan hilai tawa dari kawasan kolam renang. Orang pertama yang keluar ialah isteri Profumo dan pelakon terkenal Valerie Hobson dan dia cuba menutup bahagian atas tubuh Keeler dengan tuala sebelum dilihat oleh sesiapa. Tetapi seseorang berjaya melihatnya iaitu Profumo.

John Profumo dan isterinya Valerie Hobson. Sumber: https://www.independent.co.uk/life-style/christine-keeler-trial-profumo-affair-bbc-true-story-real-yevgeny-ivanov-a8095576.html

Tanpa diketahui para tetamu ketika itu, kehadiran Keeler sebenarnya diatur oleh Ward di mana dia tinggal di salah satu kotej estet berkenaan dan hanya mahu menggunakan kolam renang apabila semua tetamu sudah berada di dalam. Dan ahli osteopati itu juga bertanggungjawab menggalakkan Profumo mengadakan hubungan sulit dengan wanita itu. Hubungan tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama dengan Setiausaha P3rang British itu yang memilih menamatkannya. Dan itu seharusnya sudah cukup untuk mengelak hubungan itu dihidu oleh pihak media.

Malang bagi Ward dan Profumo, kisah ini tidak akan dibiarkan begitu saja berikutan Keeler turut mempunyai hubungan dengan atase tentera laut Soviet Yevgeny Ivanov. Dengan status Profumo sebagai Setiausaha Perang, sudah pasti ia mengundang persoalan apakah Keeler berjaya mengorek sebarang maklumat daripadanya dan memberi kepada Ivanov atau sebaliknya? Bagaimanapun, tidak seperti hari ini, pihak media masih lagi menghormati privasi golongan politikus di Britain dan berita sebegitu tidak menghiasi muka hadapan akhbar. Tetapi semua itu berubah apabila berlaku satu insiden di flat Ward lima bulan kemudian.

Selepas Profumo dan Ivanov, Keeler menjalin hubungan dengan beberapa orang lagi lelaki termasuk penyanyi Jamaica Aloysius ‘Lucky’ Gordon dan pengedar dadah kelahiran Antigua Johnny Edgecombe. Walaupun kedua-duanya tidak mempunyai kaitan dengan skandal ini, apa yang dilakukan mereka sudah cukup mendorong media untuk memburu kisah berkenaan. Kedua-duanya mempunyai sejarah dengan Keeler dengan Gordon pernah menjadikannya tebusan selama dua hari sambil mengacu kapak terhadapnya. Sementara Edgecombe pula pernah bertelagah dengan Gordon sehingga mengelar mukanya dengan pisau.

Selepas insiden pergaduhan itu, pengedar dadah itu merayu kepada Keeler untuk mendapatkan seorang peguam untuknya bagi membolehkan dia menyerah diri kepada polis. Bagaimanapun, selepas wanita itu mendapat tahu Edgecombe mempunyai seorang kekasih lain, Keeler memilih untuk tidak membantu dan bersedia memberi keterangan terhadapnya di mahkamah. Berang dengan tindakan bekas kekasihnya itu, dia datang ke flat Ward yang dihuni oleh Keeler dan Rice-Davies dan mendesak agar dibenarkan masuk. Tetapi kedua-dua wanita itu enggan berbuat demikian lalu Edgecombe menembak pintu hadapan rumah flat berkenaan sebanyak beberapa kali.

Pada akhirnya, Edgecombe ditahan polis dan kemudiannya didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki senjata api sebelum dihukum penjara selama tujuh tahun. Tetapi semasa pengedar dadah itu membuat kemunculan di mahkamah, yang dimahukan pihak media pula tidak muncul-muncul. Pihak media tahu dengan berita sebegini, ia sudah cukup untuk mereka mengejar semula cerita Keeler-Profumo-Ivanov. Bila khabar angin itu ditimbulkan dalam House of Commons oleh Parti Buruh yang merupakan pembangkang ketika itu, Profumo terpaksa menafikannya. Walaupun beliau mengakui mengenali model wanita itu tetapi Profumo menafikan mereka mempunyai hubungan sulit.

Penafian sebegini tidak akan bertahan lama ditambah dengan keghairahan pihak media mengorek rahsia termasuk menawarkan wang kepada sesiapa yang mahu bercakap. Salah seorang yang bercakap ialah Rice-Davie yang mengakui tahu Keeler mempunyai hubungan seksual dengan Profumo dan Ivanov. Akhirnya, Keeler mengaku dia pernah menjalinkan hubungan dengan kedua-dua lelaki itu. Ia satu pendedahan yang mengejutkan orang ramai ketika itu.

Ivanov bernasib baik tidak lama sebelum berita skandal tersebar, beliau dipanggil pulang ke Moscow. Tetapi untuk Profumo pula, beliau mengaku berbohong dalam Parlimen sebelum kemudiannya meletak jawatan pada Jun 1963. Kini, tekanan beralih pula kepada bosnya iaitu Macmillan. Untuk meredakan tekanan, beliau memanggil hakim dan peguam British terhormat Lord Denning untuk mengetuai satu inkuiri berkenaan perkara-perkara yang membawa kepada perletakan jawatan Profumo. Hasilnya, inkuiri Denning mendedahkan tiada kebocoran keselamatan yang berlaku dan satu-satunya kesilapan yang dibuat ialah kesilapan bekas Setiausaha Perang berbohong dalam Parlimen. Walaupun laporan tersebut yang dibentangkan pada September 1963 itu dilabel sebagai mengarut oleh pihak pembangkang, ia membolehkan Macmillan bertahan seketika sebagai Perdana Menteri.

Skandal Profumo menjejaskan kedudukan Macmillan sebagai Perdana Menteri dan mempercepatkan kejatuhannya pada Oktober 1963.

Ward pula kemudiannya ditahan atas kesalahan moral. Walaupun premis pendakwaan yang dibentangkan nampak lemah dan mengarut, keterangan-keterangan saksi seperti Rice-Davies dilihat sudah cukup untuk mengheretnya ke penjara. Pihak media pula tidak habis-habis melabelkan dirinya sebagai ejen Soviet kerana mempunyai hubungan rapat dengan Ivanov. Rakan-rakan berpengaruhnya tahu semua tuduhan yang dilemparkan lemah. Tetapi jika mereka tampil di kandang saksi, maka bersiap sedialah menjadi bahan sarkas media yang tidak berkesudahan. Sebelum mahkamah berkesempatan menjatuhkan hukuman, Ward memilih mengakhiri riwayatnya sendiri. Pada batu nisannya tertulis ‘Stephen Ward, Mangsa Hipokrasi’. Justeru tidak hairanlah pada tahun 2013, Rice-Davies bersama dua peguam terkemuka British menggesa mahkamah United Kingdom menukar penghakiman mereka daripada bersalah kepada tidak bersalah untuk kes Ward.

Sebelum Skandal Profumo ini, populariti Parti Konservatif juga semakin merosot dengan kedudukan Macmillan sebagai Perdana Menteri sememangnya ibarat telur di hujung tanduk. Malah, setahun sebelumnya, Macmillan bertindak memecat tujuh orang anggota kabinetnya sehingga pihak media menggelar tindakan berkenaan sebagai versi politik ‘Night of the Long Knives’. Sangkaannya bahawa tindakan itu dapat menaikkan populariti parti gagal sama sekali dan kegagalan kerajaan mendapatkan akses ke zon perdagangan bebas EU selepas dihalang Perancis menyebabkan kerajaan Macmillan menanti masa untuk tumbang.

Bagi Macmillan, kemunculan kisah skandal Profumo muncul pada masa yang paling buruk. Ia merupakan pukulan hebat terhadap kerajaan yang dilabel sebagai kolot dan terkebelakang. Akhirnya, Macmillan terpaksa meletak jawatan pada Oktober 1963 atas alasan masalah kesihatan. Penggantinya ialah seorang aristokrat bernama Alec Douglas-Home, perlantikan yang dianggap hadiah kepada pihak pembangkang. Parti Buruh mencalonkan Harold Wilson dengan Wilson digelar sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Pada Pilihan Raya Umum 1964, Parti Konservatif tewas dan Parti Buruh kembali menguasai Number 10 Downing Street melalui Wilson.

Jadi apa yang berlaku kepada semua pemain skandal yang terlibat? Keeler dipenjarakan selama setahun kerana berbohong dalam perbicaraan membabitkan Lucky Gordon sebelum dibebaskan pada tahun 1964. Dia pernah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai dua anak. Dengan wang yang diberi oleh News of the World sebagai tukaran kepada kisah eksklusif antara dirinya dengan Profumo, Keeler membeli sebuah rumah di Marylebone. Dia pernah menerbitkan beberapa memoir berkenaan kisahnya itu termasuk dikatakan pernah mengandungkan anak Profumo sebelum dipaksa menggugurkannya. Selepas bekas Setiausaha P3rang itu meninggal dunia pada tahun 2006, satu lagi memoir diterbitkan pada tahun 2012 dengan permulaan, “Sekarang Profumo sudah tiada, barulah saya boleh menceritakan perkara sebenar.”

Bagi Profumo pula, beliau kemudian mendedikasikan dirinya kepada sebuah pertubuhan kebajikan bernama Toynbee Hall di East End, London. Ia ditubuhkan untuk membantu komuniti-komuniti yang miskin. Pada awalnya, Profumo bermula sebagai pencuci pinggan, menolong kumpulan permainan dan membantu organisasi itu mengutip sewa. Beliau kemudiannya berkhidmat dalam majlis pertubuhan itu dengan pada satu ketika, Profumo pernah dilantik sebagai pengerusi organisai berkenaan. Atas jasanya itu, Ratu Elizabeth II mengurniakan pingat Commander of the British Empire (CBE) kepada beliau pada tahun 1975 dan pernah duduk bersama baginda semasa meraikan ulangtahun kelahiran ke-70 Margaret Thatcher. Profumo terus berkhidmat sebagai sukarelawan di Toynbee Hall sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun semasa tahun 2006.

Skandal Profumo ini menjadi subjek media British yang terkenal dan beberapa kali diadaptasi untuk tatapan penonton. Bagi peminat siri sejarah Netflix The Crown, pasti perasan ia ada disentuh dalam musim kedua siri berkenaan. Bagaimanapun, cubaan pasukan produksi mengaitkan Putera Philip dengan Profumo dianggap mengarut oleh sejarawan diraja Christopher Wilson. Jika ada pun hubungan baginda dengan skandal berkenaan, ianya dalam bentuk lukisan-lukisan potret yang dihasilkan Ward untuk keluarga diraja British. Ahli osteopati itu bukan saja menghasilkan potret untuk Putera Philip tetapi juga untuk Duke dan Duchess of Kent. Dan ini bukan satu rahsia kerana Ward menghasilkan potret untuk orang-orang berpengaruh termasuk keluarga diraja.

Terbaru, BBC mengadaptasi skandal itu tetapi dari perspektif Keeler menerusi The Trial of Christine Keeler yang disiarkan bermula 30 Disember 2019 lepas. Peranan Keeler digalas oleh Sophie Cookson (francais filem Kingsman), Profumo (Ben Miles), Ward (James Norton) dan Rice-Davies (Ellie Bamber). Boleh lihat trailer siri drama berkenaan di sini: https://www.youtube.com/watch?v=hsanPZvikII

RUJUKAN:

  1. Harris, Anna. (2019). Sex, lies and spies: the real history of the Profumo Affair. History Extra. https://www.historyextra.com/period/20th-century/real-history-profumo-affair-christine-keeler-who-what-happened/
  2. Yee, Hannah-Rose. (2017). The True Story Behind ‘The Crown’s’ Most Sexy And Scandalous Episode. Whimn. https://www.whimn.com.au/play/unwind/the-true-story-behind-the-crowns-most-sexy-and-scandalous-episode/news-story/b4e8f21dfd941efb878dfc093829ac5d

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.