Kedengaran tidak logik atau itu hanya cerita hikayat lama jika kita menyatakan bahawa seseorang raja itu rela hilang takhta demi wanita yang dicintai. Namun, perkara itu berlaku dan ia berlaku bukan 100 atau 500 tahun dahulu, ianya berlaku hanya sekitar 85 tahun dahulu!
Mengikut adat resam di dalam monarki British, kebiasannya anak sulung akan menjadi pemerintah seterusnya jika pemerintah itu kembali ke negeri cacing. Raja Edward VIII atau nama sebenarnya Edward Albert Christian George Andrew Patrick David merupakan pewaris takhta kerajaan British selepas ayahandanya Raja George V menaiki takhta pada Mei 1910 dan secara tidak langsung digelar Putera Wales (Princes Of Wales).
Raja Edward amat digemari oleh kaum kerabatnya. Sebagai pewaris takhta, baginda kerap mengadakan lawatan ke negara-negara jajahan British yang lain termasuklah mengadakan kunjungan ke Malaya pada 1922.
Pada 1931, semasa baginda berkelana di Amerika Syarikat, Raja Edward mula berpandangan mata dengan Wallis Simpson di rumah kawannya. Baginda mengetahui bahawa Wallis merupakan seorang bekas janda dan kini berkahwin dengan seorang peniaga dan menetap di London.
Setahun kemudian, mereka bertemu sekali lagi dan baginda mula jatuh hati terhadap wanita itu dan sejak itu mereka tidak ubah seperti merpati dua sejoli. Pada 1936, hubungan antara mereka berdua mula mula ditonjolkan kepada orang ramai. Mereka kelihatan sering bercuti dan Wallis juga kelihatan sering mendampingi Raja Edward ke majlis-majlis rasmi. Pada ketika itu, Wallis masih lagi bergelar isteri orang.
Hubungan Raja Edward dan Wallis nampaknya dilihat kurang senang oleh pihak istana, terutama ayahandanya Raja George V dan bondanya, Ratu Mary. Ini kerana Wallis yang berstatus isteri orang dan bekas janda tidak sesuai untuk dijadikan sebagai pasangan pewaris takhta kelak. Tambahan pula, Wallis berasal dari Amerika Syarikat dan dikhuatiri akan menjejaskan hubungan baik di antara pihak British dan Amerika Syarikat sendiri.
Pada Januari 1936, Raja George V m.a.n.g.k.a.t dan sebagai pewaris takhta yang sulung, Raja Edward sudah pasti akan menggantikan bapanya itu. Ternyata, pertabalan Raja Edward sebagai raja England yang baharu ditentang oleh banyak pihak kerana baginda enggan melepaskan kekasihnya itu.
Upacara pertabalan Raja Edward dijangka akan berlangsung pada Mei 1937 dan pada masa yang sama, hubungan baginda bersama Wallis Simpson mula mendapat perhatian di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat.
Pada Oktober 1936, Wallis menfailkan penceraian terhadap suaminya untuk berkahwin dengan Raja Edward. Tindakan Wallis itu sebenarnya memburukkan lagi keadaan dan mendapat kecaman dari pelbagai pihak terutama dari pihak Ketua Gereja Britain.
Menurut Ketua Gereja England, amatlah jelik sekiranya seorang janda dari Amerika yang pernah bercerai sebanyak dua kali dan kedua-dua suaminya masih hidup dijadikan sebagai Permaisuri British yang mana ianya berlanggar dengan adat budaya monarki British selama ini.
Walaupun begitu, Raja Edward cuba berunding dengan kerajaan agar mereka dapat berkahwin dan Wallis tidak akan dikurniakan sebarang takhta sekiranya mereka berkahwin. Namun, kerajaan British dan pihak Diraja menolak cadangan baginda. Perdana Menteri ketika itu, Sir Stanley Baldwin menyifatkan permintaan itu tidak masuk akal.
Raja Edward telah diberi tiga pilihan, iaitu meninggalkan Wallis, mengahwini Wallis dan kerajaan akan dibubarkan atau meletakkan jawatan sebagai raja. Disebabkan Raja Edward sudah mabuk cinta, baginda memilih untuk meletakkan jawatan sebagai raja dan memilih Wallis sebagai teman hidupnya.
Permintaan dan hasrat Raja Edward itu kemudian menjadi topik debat di dalam Parlimen British. Keesokan harinya, ianya menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di serata United Kingdom.
Pada 11 Disember 1936, Raja Edward mengumumkan perletakan jawatan baginda sebagai raja. Di dalam ucapannya, baginda menyifatkan bahawa amat sukar untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang raja tanpa seorang wanita di sisinya. Oleh itu, baginda rela meletakkan jawatan beliau.
Setelah meletakkan jawatan, Raja Edward dikurniakan gelaran Duke Of Windsor oleh pengganti dan juga adindanya, Raja George VI dan “diusir” ke Paris. Raja George VI juga memberikan keizinan kepada Raja Edward untuk mengekalkan gelaran dirajanya dan melarang Wallis dan semua anak keturunannya untuk menggunakan gelaran tersebut. Raja Edward juga mencatatkan sejarah sebagai satu-satunya raja England yang tidak sempat ditabalkan.
Di Paris, mereka akhirnya melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah majlis yang sederhana. Mereka menetap di sebuah chateau dan tinggal bersama-sama sehinggalah ke akhir hayat mereka.
Walaupun Raja Edward “diusir” dari England, baginda masih boleh berkunjung menemui keluarganya di sana. Baginda juga turut hadir semasa upacara pengebvmian bonda dan adindanya pada 1952 dan 1953.
Namun, ketika anak saudaranya Lilibet Ratu Elizabeth menaiki takhta pada 1953, raja Edward hanya menonton upacara itu dari siaran langsung di rumahnya kerana menurut pendapatnya tidak pernah seorang bekas raja menyaksikan raja yang baharu ditabalkan secara langsung.
Pada 1972, Raja Edward kembali ke negeri abadi dan akhirnya disemadikan di tanah kelahirannya di perkarangan Istana Windsor. Selepas pemergian Raja Edward, Wallis kebanyakan masanya hanya duduk di rumah dan jarang muncul di khalayak ramai apatah lagi bersama keluarga mentuanya itu. 14 tahun selepas pemergian Raja Edward, Wallis akhirnya turut mengikuti suaminya dan dikebvmikan berhampiran dengan pvsara suaminya itu.
Kesimpulannya, kisah cinta Raja Edward ini memberikan dimensi yang baharu di dalam sejarah monarki British. Mutakhir ini, ramai yang menyatakan bahawa nasib Putera Harry tidak ubah seperti Raja Edward. Benar kata hikayat, cinta itu sungguh berkuasa. Kerana wanita dan cinta, raja itu hilang takhta dan kisah kali ini bukan hanya sekadar takhta, tetapi hilang takhta kerajaan paling berkuasa di dunia!
RUJUKAN:
Warwick, Christopher. “Abdication.” London: Sidgwick & Jackson, 1986.
Ziegler, Paul. “King Edward VIII: The Official Biography.” London: Collins, 1990.
Love before Duty: The story of Edward VIII and Wallis Simpson. (2020, November 26). Retrieved March 08, 2021, from https://www.historyextra.com/period/20th-century/edward-viii-wallis-simpson-relationship-abdication-abdicate-when-why-reign-short-marriage/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih