Sejak penerbangan melalui belon udara berjaya direalisasikan pada 1783, orang ramai merasa amat teruja. Yalah, siapa tak teruja melihat orang terbang dengan kaedah pengangkutan sebegini. Tetapi bagi individu yang terbang pada abad ke-18 dan ke-19, mereka perlu memastikan belon mereka naik ke udara. Atau berdepan risiko mencetuskan rusuhan orang ramai!

Perkara sebegini sudah biasa disaksikan bukan saja oleh orang ramai tetapi kenamaan dari negara asing. Salah seorang daripadanya ialah anak perempuan negarawan Amerika Syarikat Benjamin Franklin, Sarah Bache.

Sarah Bache

Dalam keterangannya semasa melihat pelancaran sebuah belon udara di Paris, pada awalnya ramai merasa teruja melihat ia terbang ke udara. Tetapi apabila pelancaran belon tersebut gagal, tiba-tiba mereka naik angin dan mengoyakkan setiap bahagian belon udara tersebut.

Si polan yang menguruskan pelancaran belon bernasib baik kerana mendapat perlindungan pihak berkuasa. Jika tidak, menurut Bache, si polan itu akan teruk dikerjakan mereka. Kebanyakan cebisan belon yang dikoyakkan kemudiannya digunakan untuk pelbagai objek seperti sarung kusyen/bantal dan cadar.

Tidak seperti pelancaran belon moden hari ini yang lebih selamat, pada masa dahulu, sebarang pelancaran belon udara bersifat eksperimen dan potensi untuk gagal lebih tinggi. Ini kerana belon perlu diisi dengan hidrogen – dihasilkan dengan cara menuang asid sulfurik dalam bekas-bekas besi. Ini menyebabkan masa pengisian mengambil masa lama dan membuatkan orang ramai yang mengikuti pelancaran merasa resah.

Jadi, bagi individu yang menaiki belon udara, mereka mempunyai dua pilihan. Mereka boleh saja mencuba nasib dengan terbang tanpa hidrogen mencukupi pada belon atau membatalkan saja penerbangan. Bagi Vincenzo Lunardi pada 1784, penerbangan belon udaranya di Britain dianggap berjaya walaupun belon tidak diisi penuh.

Tetapi ia boleh saja menjadi gagal dalam sekelip mata sekaligus boleh mencetuskan rusuhan. Pengalaman ini dirasai oleh Henry Coxwell semasa cuba menerbangkan belonnya ke Leicester pada 1864.

Beliau hendak berlepas apabila wujud khabar angin belon udara yang digunakannya bukan belon terbesar dan terbaru tetapi sebuah belon kecil. Akibatnya, orang ramai merosakkan belon Coxwell dengan sesetengah cebisan belon dijual di jalanan.

Gambaran rusuhan belon udara yang merosakkan belon milik Henry Coxwell.

Rusuhan belon ini merupakan sebahagian daripada kegilaan orang ramai terhadap belon udara. Ia terjadi tidak lama selepas penerbangan belon udara pertama oleh Montgolfier bersaudara, Joseph-Michel dan Jacques-Etienne pada 1783. Ia merangkumi produk-produk bertemakan belon udara seperti cawan dan pasu bunga hinggalah permainan belon udara mini.

Ia turut mencetuskan obsesi persoalan dalam kalangan pengamal media ketika itu berkenaan belon udara. Ini termasuk sama ada ia berguna untuk perjalanan jarak jauh, apakah ia merbahaya kepada pengguna dan potensinya sebagai senjata peperangan.

Dari satu segi, rusuhan belon udara didorong oleh sentimen orang ramai. Tetapi pada masa sama, ia turut didorong oleh sentimen xenofobia yang wujud antara Perancis dan Britain. Bukan satu rahsia kedua-dua negara tidak sebulu dan kebimbangan potensi belon udara sebagai senjata peperangan untuk kedua-dua belah pihak.

Disebabkan potensinya sebagai senjata pepera.ngan, tidak hairanlah mengapa sesetengah rusuhan belon udara di Britain bertukar menjadi ganas. Ini kerana bagi sesetengah individu, mereka disangka orang asing yang cuba memperdayakan orang ramai dan mengambil duit mereka.

Rusuhan belon udara tidak hanya berlaku di Eropah sahaja. Di Amerika Syarikat – lebih tepat Vauxhall Gardens, Philadelphia, rusuhan belon udara tercetus selepas pengawal-pengawal keselamatan memukul seorang kanak-kanak yang cuba memanjat pagar untuk menonton pelancaran sebuah belon udara.

Orang ramai yang berang dengan insiden tersebut memanjat pagar sebelum mengoyakkan belon udara berkenaan. Ini mendedahkan satu lagi sebab rusuhan belon udara berlaku: tindakan melampau pihak berkuasa. Sebab sama turut menjelaskan mengapa rusuhan belon udara Coxwell menjadi ganas. Ini selepas pendedahan pihak berkuasa memukul seorang wanita sehingga cedera semasa pelancaran belon dibuat.

Jadi, mengapa mereka bertindak kasar sebegini rupa? Bagi pihak berkuasa, kelompok penonton yang melihat pelancaran belon udara sebagai kelompok kelas rendah dan tidak beradab. Imej ini berkemungkinan dimomokkan secara besar-besaran oleh akhbar-akhbar utama ketika itu yang mewakili kebencian golongan atasan terhadap mereka yang dianggap pemalas dan enggan bekerja.

RUJUKAN

Soth, A. (2022, 3 Februari). Hot Air Balloon Launch Riot!. JSTOR Daily.

Sumber gambar: JSTOR


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply