Amerika Syarikat bukanlah sebuah negara yang telus gila-gila. Tetapi ada satu benda pasal mereka yang Malaysia boleh contohi.
Dalam bab perniagaan, mereka tidak langsung berkompromi. Jika satu produk dipasarkan sebagai daging lembu, memang wajib daging lembu.
Andainya itu daging tiruan, siaplah. Itulah nasib yang menimpa sebuah gergasi industri makanan, iaitu Subway.
Subway sekarang ini berdepan dengan saman kerana sekeping sandwic. Cuba fikir sejenak. Ada banyak sebab untuk saman satu pihak: fitnah, menipu wang atau mengai.bkan. Ini saman pasal sandwic!
Tetapi itulah realiti di sana, kerana Subway didapati memasarkan suatu produk katanya mengandungi ikan tuna.
Walau bagaimanapun, pada 21 Januari 2021, dua orang plaintif bernama Karen Dhanowa dan Nilima Amin telah memfailkan saman terhadap tiga pihak: Subway Restaurant Inc., Franchise World Headquarters LLC, dan Subway Franchisee Advertising Trust Fund Ltd. Corporation.
Tiga orang defendan ini diheret ke mahkamah selepas plaintif menjalankan kajian sampel. Mereka telah membeli daripada beberapa kedai Subway di California.
Kemudian sandwic tuna ini dibawa ke makmal untuk diuji ketepatan ikan tuna. Apa yang mereka dapati rupanya bercanggah dengan pemasaran Subway.
Kerana hasil kajian mereka mendedahkan Subway guna campuran bukan tuna tetapi nampak dan rasa seperti tuna (Carman, 2021).
Jadi mereka membawa Subway ke Mahkamah Daerah Utara California. Tetapi pihak Subway pula membalas bahawa dakwaan plaintif sebenarnya tidak berasas.
Rangkaian mereka menggunakan tuna yang ditangkap daripada habitat asal (bukannya tuna kolam).
Perintah saman ini sebenarnya adalah untuk mendapatkan tindakan mahkamah bagi menguji produk Subway. Jika konsisten, Subway boleh berdepan dengan kes mahkamah yang barangkali difailkan ribuan orang.
Kerana menurut Dhanowa dan Amin, kaedah pemasaran Subway merupakan suatu penipuan kerana tidak mengandungi bahan yang dikatakan.
Produk tiruan ini siap menjimatkan Subway wang yang banyak, satu tuduhan sangat berat dalam pemerhatian undang-undang Amerika Syarikat. Namun bagi pihak Subway, pendekatan Dhanowa dan Amin hanya untuk mendapatkan nama sahaja.
Siapa Akan Menang?
Amerika Syarikat melaksanakan undang-undang sama seperti negara lain. Semuanya tertakluk kepada hujah guaman plaintif dan defendan yang akhirnya ditentukan satu keputusan oleh pihak kehakiman.
Jika ada pihak melanggar undang-undang sekalipun, hujah yang baik boleh menyelamatkan pembela. Subway ada pengalaman dalam bab ini.
Dua pelanggan di New Jersey mengemukakan saman terhadap rangkaian ini atas alasan yang menghairankan.
Mereka membeli produk yang dipasarkan sebagai “foot-long sandwiches” (sandwic 12 inci) daripada 17 kedai Subway. Mereka tidak berpuas hati kerana semua sandwic hanya 11.5 inci sahaja (Ulla, 2013).
Setelah dibaca di mahkamah, pihak hakim terus menutup kes yang katanya sangat buang masa (Stempel, 2017).
Bukan setakat itu sahaja, Subway berdepan tuduhan sama di Ireland yang mempersoalkan jika roti mereka menepati piawaian untuk layak digelar “roti ruji”.
Pengusaha-pengusaha francais juga menuduh syarikat Subway macam-macam, katanya pihak pemeriksa kualiti (quality inspection) sengaja buat kacau. Sampai sabun dalam tandas pun jadi isu (Hsu & Abrams, 2019).
Bukan setiap masa Subway menjadi sasaran undang-undang. Ada sekali Subway siap membuat ser.angan terhadap Canadian Broadcasting Corp.
Kata Subway, CBC membuat tuduhan bahawa produk ayam Subway hanya mempunyai 50 peratus ayam sahaja (Domonoske, 2017).
Mahkamah Tinggi Ontario menutup kes ini, atas hujah siasatan CBC adalah demi kepentingan awam. Walau bagaimanapun, Subway mendapat kemenangan tertangguh dalam peringkat Mahkamah Rayuan yang menyambungkan kes saman AS$210 juta (The Canadian Press, 2021).
Kes ini mungkin nampak besar. Tetapi dibandingkan dengan Johnson & Johnson, jumlah AS$210 juta ini sikit sahaja.
Pada tahun 2018, mahkamah membuat keputusan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mengenai saman 22 wanita terhadap Johnson & Johnson.
Juri yang mengadili perbicaraan berpihak kepada plaintif. Johnson & Johnson dikehendaki membayar AS$4.69 bilion sebagai pampasan (Bever, 2018).
Berbalik kepada Subway dan Malaysia. Kalau satu produk dipasarkan dengan nama atau ciri produk, maka penjual mestilah menjual produk tersebut.
Sekarang ini berkali-kali pelanggan mengadu yang Milo dijual kedai tidak menggunakan Milo tulen. Ramai membuat aduan kepada KPDNHEP atas hujah dagangan palsu pada barangan ditawarkan.
Ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Bahagian undang-undang sudah baik. Cuma rakyat sahaja perlu menggunakannya bagi memelihara kepentingan awam.
RUJUKAN:
Bever, L. (2018, Julai 14). Johnson & Johnson ordered to pay $4.7 billion to women who say baby powder gave them (ditapiskan). The Washington Post.
Carman, T. (2021, Januari 28). Subway’s tuna is not tuna, but a ‘mixture of various concoctions’, a lawsuit alleges. The Washington Post.
The Canadian Press. (2021, Januari 19). Subway can proceed with $210M defamation suit against CBC over chicken report, appeals court rules. CBC.
Domonoske, C. (2017, Mac 1). DNA tests find Subway chicken only 50 percent meat, Canadian news program reports. NPR.
Hsu, T., & Abrams, R. (2019, Jun 28). Subway Got Too Big. Franchisees Paid a Price. The New York Times.
Stempel, J. (2017, Ogos 26). ‘Worthless Subway ‘Footlong” sandwich settlement in thrown out: U.S. court. Reuters.
Ulla, G. (2013, Januari 23). Men sue Subway, demand actual 12 inch footlong Subs. Eater.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih