Semua perniagaan mematuhi piawaian bekalan dan permintaan. Piawaian ini menentukan aturan ekonomi, tidak kira gergasi industri atau peserta pemula. Namun zaman sekarang, ada satu lagi piawaian yang menentukan bekalan dan permintaan itu sendiri.

Piawaian tersebut adalah mengenai tahap kesedaran umum tentang masalah sosial. Ambil contoh Dunia Islam misalnya. Andai kata sebuah syarikat menghina Nabi Muhammad (SAW), orang ramai mesti memboikot (menjejaskan permintaan).

Pembekal Islam pula terasa dan enggan berurusan dengan syarikat terbabit (menjejaskan bekalan).

Tahap kesedaran ini merangkumi semua aspek. Apabila Rusia menzalimi Ukraine tanpa asas kukuh, banyak pemain industri angkat kaki. Apple menggantung operasi. McDonald’s dan Netflix keluar pasaran terus. Benda ini dianggap gejala pemboikotan yang sudah menjadi kebiasaan.

Tunas Kesedaran Mengenai Alam Sekitar

Pasaran sawit sejak kebelakangan ini mendapat penentangan kental daripada Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka membawa dua hujah – pembalakan berleluasa dan perhambaan seks.

Katanya ikut pada siasatan, ada pemain industri Malaysia mengamalkan kedua-dua benda. Jadi sebab itulah mereka boikot, sama ada betul atau tidak – atau sekadar untuk melindungi pasaran minyak bunga matahari, itu tidak pastilah.

Minyak bunga matahari adalah produk keluaran Barat.

Tetapi tunas daripada perjuangan mereka adalah untuk memelihara alam daripada bencana pembalakan. Jangankan Malaysia – Brazil pun kena sama.

Cuba bayangkan – untuk buat coklat dan gula-gula kesukaan global, beribu-ribu hektar hutan perlu digondolkan. Amazon misalnya sudah tergondol sampai botak di banyak kawasan… semata-mata untuk membangunkan industri pertanian seperti koko misalnya (Jessop, 2021).

Pada tahun 2010, beberapa gergasi utama dalam industri makanan mengisytiharkan azam “sifar pembalakan”. Maksudnya mereka akan mendapatkan bekalan mentah daripada syarikat-syarikat pembekal yang tidak membalak untuk beroperasi. Azam ini dijangka akan tercapai pada tahun 2020.

Carrefour dan Nestle bersetuju untuk mengusahakan azam ini. Mereka ada 10 tahun untuk bersiap siaga dan merangka semula kontrak sedia ada. 12 tahun sudah berlalu. Apa yang mereka sudah capai?

Wisel Penamat Sudah Dua Tahun Berbunyi

Tidak perlu kalendar untuk mengesahkan 2020 sudah lama pergi. 2020 tahun yang gila dengan pandemik COVID-19 dan kemelut politik global bagai.

Salah satu kegilaan adalah tiada syarikat yang bersetuju dengan azam 2020 mencapai matlamat. Ambil contoh syarikat Mars yang membuat coklat manis. Syarikat ini memutuskan hubungan dengan beberapa pembekal koko yang membalak untuk beroperasi – beberapa… bukan semua.

Banyak pelanggan? Banyak penggondolan.

Pihak Nestle pula baru mencapai 90 peratus daripada azamnya. Senang cakap dalam 10 pembekal daging, gula dan minyak sawit, ada satu beroperasi secara membalak.

Ini hal 10 tahun. Bukan 1-2 tahun. Mereka ada masa sangat lama untuk beralih ke medan bebas pembalakan. Tetapi masih gagal. Kenapa agaknya?

Sendiri Bangang

Cuba fikir sejenak. Katakanlah untuk bebas sepenuhnya, syarikat perlu naikkan harga produk. Kenaikan 10-20 sen mungkin tidak terasa sangat.

Dan semua tahu kenaikan AS$1 memang takkan mungkinlah. Jadi apakah semua pemain industri serabut kepala enggan mencapai azam semata-mata untuk berjimat-cermat AS$0.10 atau AS$0.20 setiap unit? Semestinya tidak.

Pada mulanya semua syarikat sangka mudah untuk tukar pembekal. Sangkaan mereka meleset kerana semua pakat sedar diri. Pertama sekali, syarikat itu sendiri tidak tahu dari mana datangnya bahan mentah mereka. Ambil contoh Mars yang teruk dari segi pelaksanaan azam.

Mereka membeli koko daripada pembekal seperti Cargill. Masalahnya, Cargill sendiri membeli koko daripada sumber lain. Jika tanya pada orang ramai, logiklah. Mars adalah sebuah syarikat sangat besar. Jadi Cargill perlu buat apa saja untuk memelihara keperluan Mars.

Jadi Cargill pakat membeli daripada petani-petani kecil daripada Ivory Coast dan Ghana… dan syarikat-syarikat kecil lain. Mars cakap pada tahun 2010 mahu sifarkan pembekal pembalak. Sampai tahun 2020, Mars hanya tahu 43 peratus daripada pembekal kokonya (Tompkins, 2021).

Ironinya, inilah salah satu masalah paling besar dihadapi syarikat-syarikat yang berazam. Apakah mereka sendiri tidak pernah ambil peduli pasal sumber pembekal… selagi mana ia menepati piawaian-piawaian ditetapkan pasaran? Nampaknya begitulah.

RUJUKAN:

Jessop, S. (2021, April 22). Amazon and Nestle join public-private plan to save world’s forest. Reuters.

Tompkins, L. (2021, Disember 2). Hundreds of Companies Promised to Help Save Forests. Did They? The New York Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply