Mitanni merupakan sebuah empayar yang wujud pada kurun ke-16 hingga kurun ke-13 SM. Wilayah empayar ini merangkumi tanah Hurrian. Secara khusus, ia terletak di lembangan utara Tigris-Furat dan pada peta moden, bolehlah dikatakan bahawa lokasinya sejajar dengan utara Iraq, Syria dan tenggara Turki moden. Pada kemuncak kuasanya, wilayah yang dinaungi oleh Mitanni terbentang hingga ke pantai Mediterranean di sempadan baratnya dan memasuki Assyria-Mesopotamia di sempadan tenggaranya.

Kekuatan dan pengaruh Mitanni amat besar hinggakan pada suatu ketika, ia menjadi sebahagian daripada ‘Kuasa Besar’ bersama Mesir, Assyria, Babylonia dan Kerajaan Hatti. Namun pada hari ini, empayar tersebut luput dari memori dan hanya diingati tidak lebih dari sekadar sebuah nama dan suatu hipotesis arkeologi-lingustik. Namanya juga tidak lagi menyapa telinga kebanyakan daripada kita pada hari ini, sekaligus menjadikannya sebuah empayar purba yang dilupakan.

KEBANGKITAN KUASA MITANNI

Diandaikan bahawa kebangkitan kuasa Mitanni berlaku pada era kejatuhan Empayar Babylon Lama. Keruduman yang dialami oleh empayar agung itu membuka peluang buat Mitanni untuk meluaskan sempadannya. Ada juga sejarahwan yang berpendapat s*rangan bangsa Het (Hittite) ke atas Alep (Aleppo) dan penj*rahan ke atas Babylon mendorong kepada kemunculan negara-negara baru di rantau itu, antaranya termasuklah Mitanni. Walau apapun, tidak banyak yang dapat kita ketahui perihal raja-raja awal mereka.

Hal ini kerana kebanyakan jejak budaya dan rekod sejarah Mitanni dihapuskan oleh bangsa Assyria. Namun, berkat interaksi Mitanni dengan kuasa-kuasa lain yang sezaman dengannya, maka nama para penguasa awal Mitanni terpelihara dalam rekod-rekod mereka.

Peta Mitanni purba

KONFLIK DENGAN MESIR

Sekitar penghujung kurun ke-16SM, Mitanni (yang pada masa itu diperintah oleh Parattarna) menguasai Alep, sebuah kota penting di Syria yang terletak di tengah-tengah antara Laut Mediterranean dan Sungai Furat. Kehadiran Mitanni di Syria ini tentunya menggamit konflik dengan satu lagi adikuasa purba, iaitu Mesir.

Hal ini kerana firaun-firaunnya, terutama Thutmose III juga memasang hajat untuk menguasai rantau berkenaan. Justeru pada pertengahan kurun ke-15SM (mungkin 1457SM), Mitanni diheret ke kancah Pertempuran Megiddo. Dalam pert*mpuran ini, Mitanni menumpahkan sokongan kepada raja Kadesh. Namun, mereka ditewaskan oleh pasukan tentera yang dipimpin oleh Thutmose III.

Pert*mpuran Megiddo

Kemenangan Thutmose di Megiddo membolehkan pasukan Mesir menyerang sempadan barat Mitanni. Sebaik sahaja kemaraan mereka sampai ke Furat, pasukan Mesir membina kapal-kapal p*rang dan menjarah bandar-bandar milik Mitanni yang ada di tebing Sungai, seperti Carchemish dan Emar.

Walaupun perluasan kuasa Mitanni ke Syria terhenti buat beberapa tempoh, pasukan Mesir tidak berupaya mendominasi wilayah pedalaman Syria. Kempen ketenteraan Thutmose juga tidak membuahkan hasil yang kekal, terutama apabila Mitanni tetap melebarkan kuasanya di timur.

PERSEKUTUAN ANTARA SHAUSHTATAR DAN THUTMOSE IV

Menjelang lewat kurun ke-15SM, Shaushtatar si raja Mitanni menjarah ibu kota Assyria di Assur dan memalukan warganya dengan mengambil gerbang-gerbang kuil masyhur di sana lalu dihantar ke Wassukanni, ibu kota Mitanni. Tidak lama selepas itu, hubungan mesra dijalinkan oleh penguasa Mitanni dengan Mesir. Suatu bentuk persekutuan dibentuk antara Artatama I (pengganti Shaushtatar) dan firaun Thutmose IV (cucu Thutmose III).

Patung Thutmosis IV yang mengenakan khepresh, Musee du Louvre

SURAT-SURAT AMARNA

Pada pertengahan kurun ke-14SM, Mitanni mencapai kemuncak kuasanya. Hubungan baik dengan Mesir juga terus dikekalkan. Kesan perhubungan ini dapat dilihat menerusi salah sebuah Surat Amarna yang dihantar dari raja Mitanni kepada firaun Mesir. Misalnya dalam EA 17, kita dapat menyaksikan bagaimana Tushratta si raja Mitanni mengahwinkan puterinya, Tadu-Heba (juga disebut sebagai Tadukhipa) dengan Amenhotep III.

Selepas Amenhotep mangkat, Tadu-Heba dikahwinkan pula dengan puteranya, Amenhotep IV yang lebih dikenali sebagai Akhenaten. Keadaan ini menggamit sebilangan sejarahwan mengandaikan bahawa Tadu-Heba dan Nefertiti adalah individu yang sama.

Tablet kuneiform yang mengandung surat dari Tushratta kepada Amenhotep III

TAMATNYA RIWAYAT KERAJAAN MITANNI

Hubungan mesra antara dua kuasa itu tidak kekal lama. Mitanni dan Mesir mula merenggang apabila berlaku pergelutan kuasa di Mitanni di zaman Tushratta. Dalam konflik politik yang berlangsung ini, Tushratta didokong oleh Mesir, manakala seterunya, iaitu Artatama II (kerabat kepada Shuttarna si raja lama) pula meraih sokongan bangsa Het (Hittite). Dengan bantuan Mesir, Tushratta menjangka dapat meraih kemenangan mudah.

Namun, warga Mesir mengakui kekuasaan yang dimiliki oleh bangsa Het justeru memutuskan untuk menggugurkan sokongan mereka. Keputusan ini secara efektif membenarkan Suppiluliuma si raja Het untuk melakukan sewenang-wenangnya ke atas Mitanni tanpa perlu khuatir dengan reaksi balas Mesir.

Maka, pasukan tentera Het pun menggempur dan menjarah Wassukani, manakala Tushratta pula dib*nuh oleh puteranya sendiri. Bangsa Het mengangkat Artatama II sebagai raja bawahan mereka (vassal) dan memerintah Mitanni sehingga ia tumbang ke tangan Assyria.

RUJUKAN:

Wu Mingren. (5 Januari 2016). A Forgotten Empire: The Ancient Kingdom of Mitanni. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/forgotten-empire-ancient-kingdom-mitanni-005103


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.