“…saya berharap jika mati di sana (Singapura),jasad saya akan mendapat perhormatan bersemadi bersama dengan jasad/abu raja-raja Melayu.”- Bapa Singapura Moden, Stamford Raffles

Kata-kata di atas bukan datang dari calang-calang orang, tetapi Stamford Raffles yang merupakan peminat sejati sejarah nusantara. Beliau antara orang yang mengesahkan sebuah lagenda yang sebelum ini sekadar mitos yang dimainkan dalam naskah utama sejarah iaitu Sulalatus Salatin. Temenggung Abdul Rahman pernah mengingatkan Stamford Raffles bahawa sebuah bukit di Singapura pernah menjadi tempat bersemadinya raja-raja purba.

Kononnya jauh sebelum Kesultanan Melayu Melaka berdiri menaungi seluruh Nusantara, di antara kejatuhan sebuah empayar Melayu agung bernama Srivijaya, bumi Singapura pernah menyaksikan berdirinya sebuah kerajaan purba bernama Singapura.

Fort Canning Hill menjadi saksi ketika Stamford Raffles bertanya kepada penduduk tempatan tentang sebuah bukit, maka ramai orang Melayu ketika itu menolak untuk menaiki bukit itu yang diberi nama Bukit Larangan, Stamford Raffles pula memberanikan diri menaiki bukit tersebut lalu penemuan berkaitan dengan arkeologi sebuah kerajaan Melayu di Singapura Purba.

Sang Nila Utama, Permulaan Sebuah Tamadun Agung

Di saat kejatuhan Srivijaya, sebuah empayar Melayu agung yang pernah suatu masa dahulu menaungi seluruh nusantara. Maka ketika itu bangkitnya sebuah warisan Srivijaya, iaitu sebuah lagi empayar Melayu bernama Dharmasraya. Namun, ketika Ekpedisi Pamalayu daripada Singgahsari untuk menjatuhkan sisa-sisa Srivijaya seperti Dharmasraya, maka Sang Sapurba pemerintah Palembang yang namanya masyur dalam Sulalatus Salatin kerana bersumpah setia dengan Demang Lebar Daun pun melarikan diri ke Kepulauan Bentan. Sang Sapurba mempunyai lima orang anak dan salah seorang daripadanya ialah Sang Nila Utama.

Rekod sejarah mengatakan bahawa pemerintah Kepulauan Bentan ketika itu ialah Ratu Sakadar Shah Wan Sri Bini Benian. Diceritakan bahawa Sang Nila Utama berkahwin dengan anak perempuan pemerintah Kepulauan Bentan. Sang Nila Utama yang dicatatkan dalam sejarah ialah seorang yang suka sangat berburu. Maka ketika itu, habis di serata tempat di Bentang telahpun Sang Nila Utama menghabiskan masanya untuk berburu sampailah dia merasa bosan.

Kemudian sebuah khabar berita hinggap di telinga Sang Nila Utama mengenai sebuah pulau. Lalu berangkatlah Sang Nila Utama ke pulau itu untuk berburu. Dari pulau inilah perhatian Sang Nila Utama hinggap pada sebuah pulau lagi yang digammbarkan dengan pantai yang putih lagi indah. Lalu berangkatlah Sang Nila Utama ke pulau itu. Namun, kapalnya mengalami masalah dalam pertengahan perlayaran sehinggakan hampir tenggalam dek ribut. Namun perlayaran Sang Nila Utama berjaya lalu kapalnya mendarat pun di tempat itu.

Ditanya apakah nama tempat ini pada pembesarnya yang setia mengikut iaitu Demang Lebar Daun. Nama pulau tempat dia berpijak ialah Temasik iaitu hujung tanah besar yang dimaksudkan sebagai Tanah Melayu. Ketika di Temasik, kumpulan Sang Nila Utama yang terdiri dari isterinya, para pembesar dan askar pun tersempak dengan dengan seekor haiwan yang sangat pelik. Bila ditanya, tiada seorang pun yang mempunyai jawapan kecuali Demang Lebar Daun. Maka kata Demang Lebar Daun, binatang itu ialah Singa berdasarkan cerita-cerita orang tua.

Maka dengan penemuan singa itu, Sang Nila Utama tiba-tiba mengambil keputusan untuk membina kerajaan di bumi Temasik dan menamakan tempat itu sebagai Singapura. Dalam masa yang sama, Sang Nila Utama sempat memesankan kepada pembesar untuk kembali ke Bentan meminta pertolongan ibu mertuanya untuk menghadiahkan Sang Nila Utama rakyat, kuda-kuda serta gajah untuk diperbuat kerajaan di Singapura.

Singapura Purba Masyur Namanya

Seperti mana yang kita semua tahu, Sang Nila Utama ialah pewaris kepada Srivijaya, sebuah empayar Melayu agung dalam sejarah yang sudah pun runtuh. Maka sistem yang pernah diterapkan oleh nenek moyangnya diterapkan oleh Sang Nila Utama pada Kerajaan Singapura Purba.

Kalau tradisi Srivijaya menjalankan hubungan perdagangan dengan Dinasti Tang, Sang Nila Utama pula menjalankan kerjasama dengan Dinasti Yuan di China. Hubungan dengan Dinasti Yuan ini telah membuatkan pelabuhan di Singapura Purba menjadi sebuah pelabuhan yang hebat. Hubungan dengan Dinasti Yuan ini sebenarnya telah banyak membantu Singapura Purba dalam melawan asakan musuh.

Antaranya ialah sebuah Siam yang menguasai hampir seluruh semenanjung menyerang Singapura Purba. Kerajaan ini digelar benua siam dalam Sulalatus Salatin ini hampir sahaja mengalahkan Singapura Purba, namun armada Siam dikalahkan. Siam menghantarkan 70 buah kapal perang untuk menggempur Singapura Purba. Namun gagal kerana Singapura Purba ketika mendapat bantuan daripada Dinasti Yuan berjaya menghalau serangan kerajaan Siam dari utara Singapura.

Banyak catatan dari pedagang yang bercerita mengenai Kerajaan Singapura Purba. Antaranya ialah tentang bahawa pedagang China banyak membeli gajah daripada pulau ini. Diceritakan lagi dalam Dao Yi Zhi Lue bahawa Singapura ialah sebuah pelabuhan yang sangat makmur dan aman, sambil menyebut mengenai beberapa buah kawasan di Singapura ketika itu yang menjadi tempat penempatan manusia di kerajaan ini.

Antara barang dagangan yang popular di Singapura Purba ialah seperti emas merah, sutera, rempah, paruh burung enggang dan banyak lagi. Kemajuan pelabuhan di bawah pemerintah-pemerintah Singapura Purba sebenarnya banyak menarik banyak perhatian dari kuasa-kuasa tentera yang bermukim di Nusantara. Maka sebuah episod baru bermula dalam lembaran helaian sejarah Melayu.

Majapahit vs Kerajaan Singapura Purba

Singapura Purba dikatakan mula mendapat perhatian sebuah kerajaan besar di Kepulauan Jawa iaitu Majapahit yang sudah lama menunggu masa untuk meratah kerajaan kecil yang sekadar bermukim di sebuah pulau yang dimana keluasan negeri Melaka hari ini jauh lebih luas dari kerajaan purba.

Diceritakan bahawa Majapahit ketika itu menyeru kepada Singapura Purba untuk tunduk pada kedaulatan Jawa. Namun, pemerintah Singapura ketika itu, Raja Sri Wikrama Wira yang merupakan anak kedua Sang Nilam Utama engan. Raja Sri Wikramawa Wira inilah juga yang bertanggungjawab menghalau armada Siam dari utara Singapura. Ketika datang utusan dari Majapahit, Raja Sri Wikramawa Wira menolak untuk tunduk kepada kerajaan Jawa, bahkan menghantar ugutan untuk mencukur kepala pemerintah Majapahit sampai botak.

Mendengarkan khabar berita ini, maka Majapahit menjadi murka yang teramat-amat murka. Diceritakan bahawa kerajaan dari kepulauan Jawa membawa askar yang maha besar untuk meruntuhkan kedaulatan Singapura Purba. Dikatakan Majapahit membawa 180 buah kapal menyerang Singapura Purba. Namun, orang Melayu yang sememangnya mahir dalam pertempuran laut sejak zaman berzaman berbanding dengan Majapahit telah mengerahkan 400 buah kapal membalas serangan Jawa ke atas Singapura Purba. Dalam pertempuran ini, Majapahit kalah teruk dan terpaksa cabut kembali ke Pulau Jawa. Pertempuran yang berlaku selama tiga hari dimenangi oleh orang Melayu dan berakhir dengan kekalahan dengan larinya askar-askar Majapahit kembali ke Pulau Jawa.

Lagenda Hang Nadim Yang Bijaksana dan Badang ‘Superman’ Purba Alam Melayu

Kalian pasti mengenali dengan lebih mendalam sejarah Hang Nadim, seorang kanak-kanak kecil yang menjadi mangsa para pembesar yang cemburukan kebijaksanaan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari dilanggar Ikan Todak. Sulalatus Salatin yang mencatatkan peristiwa ini mengatakan cadangan Hang Nadim meletakkan batang pisang menggantikan hulubalang menyelamatkan Singapura. Namun akhirnya anak muda ini terkorban kerana betapa dengkinya para pembesar dengan otak geniusnya.

Sebenarnya kisah Hang Nadim ini berlaku di pada zaman Singapura Purba. Mungkin pada pandangan kalian bahawa adalah tidak logik serangan ikan todak. Bukanlah lebih baik tunggu dan biarkan ikan todak tadi melompat ke tepi pantai, lalu ikan-ikan tadi boleh dijadikan makanan.

Kata saya anda kena pandang naskah Sulalatus Salatin sebagai sebuah naskah yang menceritakan sejarah Melayu secara tersirat. Saya berpendapat Ikan Todak yang menyerang Singapura Purba mungkin menggambarkan serangan daripada kerajaan Jawa atau Kerajaan Siam. Dan ketika serangan tersebut, orang-orang Melayu Singapura Purba hilang akal untuk menahan serangan tersebut dan banyak hulubalang yang mati mempertahankan tanah air sendiri.

Maka datanglah Hang Nadim, seorang budak dan anak muda mencadangkan startegi paling ampuh untuk menghalau armada askar sama ada dari Jawa atau Sri Dharamaraja ini. Dan kemudian, strategi yang dicadangkan oleh Hang Nadim ini akhirnya berjaya menyelamatkan kerajaan Singapura Purba.

Selain itu, terdapat kisah yang diletakkan dalam kategori dongeng ataupun legenda berlaku pada zaman kerajaan Singapura Purba masih bertakhta. Saya perkenalkan kisah Badang untuk tatapan semua. Kisah Badang ini sebenarnya melambangkan secara tersurat bagaimana sosiogeografi kerajaan Melayu Singapura Purba ketika itu.

Badang adalah seorang anak Melayu yang kecil dan lemah. Dia berasal dari Sayong Pinang sebuah wilayah di Johor pada hari ini. Dia ialah seorang kuli kepada orang kaya yang berasal dari Salung, Acheh. Sebagai hamba, Badang hanya dibayar seggengam beras setiap hari dan itu tidak cukup untuk menampung kelaparan. Maka Badang pun menjadikan kerja menangkap ikan sebagai kerja sampingannya.

Siapa tahu bahawa ikan yang ditangkap di dalam bubu dan jala di sungai dimakan oleh jin yang mendiami hutan itu. Ketika itu, Badang berhasil menangkap jin tersebut lalu mengugut untuk membunuh jin tersebut. Maka untuk melepaskan diri, Jin tersebut berjanji untuk menunaikan semua permintaan Badang. Menyedari bahawa dirinya yang lemah dan tidak kuat, Badang meminta kekuatan yang maha hebat lalu. Kata Jin tersebut, minumlah muntah aku ini maka kau akan mendapat kekuatan yang hebat. Mendengarkan itu, Badang menggagahkan dirinya minum muntah yang terdiri dari ikan-ikan Badang yang dicuri oleh jin itu.

Siapa tahu permintaannya menjadi kenyataan. Badang memiliki kekuatan yang sangat luar biasa lalu dia membantu tuannya untuk membersihkan kawasan hutan untuk penamaman. Merasakan terhutang budi dengan Badang, maka Badang dibebaskan.

Maka bermula dari situ, Badang pun mengembaralah sehinggakan dia sampai ke Kerajaan Singapura Purba. Di situ dia tersempak dengan Raja Sri Rana Wikrama yang merupakan anak kepada Raja Sri Wikrama Wira yang berjaya menghalau armada tentera Jawa dan Siam yang maha hebat.

Ketika itu, Badang tersempak dengan lima puluh orang cuba untuk menolak kapal yang berat ke dalam air. Namun ketika Badang menawarkan dirinya untuk menolak bot itu namun permintaan Badang tidak diendahkan kerana tubuh Badang yang kecil dan kelihatan lemah di tangan mereka. Namun 50 orang tersebut masih belum mampu menolak kapal itu. Maka Raja Sri Rana Wikrama pun menghantar lagi 300 orang untuk menolak kapal itu. Namun semuanya gagal. Tetapi Badang masih berkeras untuk menolak kapal itu. Dia mendakwa dirinya seorang mampu menolak kapal tersebut. Melihatkan kesungguhan Badang, maka Raja Sri Rana Wikrama pun membenarkan Badang menolak kapal tersbut. Aneh, kapal yang tidak mampu ditolak oleh 300 orang lelaki gagah itu mampu ditolak seorang diri oleh Badang.

Kagum dengan kekuatan yang dimiliki oleh Badang, maka Raja Sri Rana Wikrama pun melantik Badang sebagai ketua angkatan tentera Singapura Purba. Lalu nama Badang pun masyur ke serata alam sehinggakan mendapat perhatian seorang raja dari India. Raja India itu membawa pahlawan hebatnya untuk beradu tenaga.

Pelbagai jenis peraduan diadakan dan pahlawan raja India itu tetap tidak mampu untuk mengalahkan Badang. Selepas mengalahkan wakil raja India itu, Badang menghabiskan bertahun-tahun di Singapura mengalahkan pencabar dari negara-negara lain, termasuk juara Jawa sampailah satu masa, Badang menjadi penat dari semua perhatian yang diberikan padanya lalu mengambil keputusan untuk bersara dari perkhidmatan raja lalu membawa diri ke Sumatera.

Kejatuhan Sebuah Kerajaan Yang Kaya Kisah Legenda

Selepas kematian Raja Sri Rana Wikrama, maka naiklah raja baru yang bernama Sri Maharaja. Rajalah inilah raja yang bertanggungjawab di atas kematian Hang Nadim. Selepas pemergian Sri Maharaja, takhta kerajaan Singapura Purba diwarisi kepada Raja Iskandar Shah.

Kisah kejatuhan Singapura Purba bermula dari seorang gadis yang merupakan anak seorang pembesar di Singapura Purba bernama Sang Rajuna Tapa merangkap dayang Raja Iskandsar Shah yang telah difitnah oleh dayang-dayang istana kerana bermukah. Anak perempuan Sang Rajuna Tapa ini terkenal dengan kejelitaannya dan seraing mendapat perhatian Raja Iskandar Shah sehinggakan menimbulkan cemburu para-para dayang. Fitnah itu akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Iskandar Syah. Baginda amat marah dan kesal lalu menjatuhkah hukuman sula kepada anak perempuan Sang Rajuna Tapa.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pada anak perempuannya, maka Sang Rajuna Tapa telah mengirimkan surat kepada Majapahit menjemput Majapahit itu untuk menakluk Singapura Purba. Maka armada askar paling besar dalam sejarah nusantara digerakkan untuk menakluk kota Singapura Purba. Sejarah mencatatkan bahawa terdapat lebih 200 000 orang askar Jawa mara dari Pulau Jawa untuk menjatuhkan Singapura Purba.

Pada awalnya, Kota Singapura Purba mampu menahan serangan dan asakan demi asakan daripada askar Jawa. Dikatakan askar Jawa mengepung kota Singapura Purba selama lebih dari sebulan. Namun, dalam masa yang sama, bekalan makanan semakin berkurangan menyebabkan Raja Iskandar Shah mengarahkan Sang Rajuna Tapa untuk memeriksa bekalan padi, gandum, dan segala makanan untuk kelangsungan kota itu. Sang Rajuna Tapa pula memberi berita palsu bahawa bekalan makanan sudah habis kepada Raja Iskandar Shah.

Dalam masa yang sama pula, Sang Rajuna Tapa dikatakan membuka laluan untuk askar Jawa untuk menyerbu masuk ke dalam Singapura Purba. Kota dan tembok yang mengelilingi seluruh kota Singapura Purba. Maka, berduyun-duyunlah 200 000 orang askar Jawa ke dalam kota Singapura Purba ketika itu. Dikatakan pembunuhan yang maha dasyat dilakukan oleh askar Jawa sehinggakan darah dikatakan mengalir seperti air sungai.

Raja Iskandar Syah berjaya menyelamatkan dirinya dengan pengikut-pengikut setianya. Dibawanya kakinya ke Muar, untuk membina kerajaan di situ. Namun mendapati bahawa kedudukan Muar tidak strategik, maka mengembaralah lagi Raja Iskandar Syah sehingga sampai ke sebuah tempat yang bernama Melaka. Dari situ, selepas peristiwa anjing pemburuannya ditendang oleh seekor pelanduk, maka Raja Iskandar Syah atau juga dikenali sebagai Parameswara terus menubuhkan sebuah kesultanan dan kerajaan baru yang dinamakan sebagai Kesultanan Melayu Melaka.

Kesultanan Melayu Melaka inilah kemudiannya meneruskan legasi monarki dan kelangsungan bangsa Melayu. Dari kejatuhan sisa-sisa Singapura Purba dan juga Srivijaya, orang Melayu bangkit sekali lagi mengaum dengan kewujudan Melaka. Mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh Srivijaya, sekali lagi Nusantara kembali dalam penguasaan bangsa Melayu selepas beberapa ketika terlepas dari tangan mereka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

2 Comments

  1. Nggak ada yg menandingi..majapait…majapait..sekali bergerak habis semua….nggak mungkin..bisa menahan serangan…majapait

Leave A Reply