Kerajaan Champa terletak di daratan besar Asia Tenggara dan menempati kawasan selatan Vietnam moden. Seperti sejumlah tamadun awal Asia Tenggara, Kerajaan Champa tidak begitu dikenali di dunia Barat. Apapun, berkat kepesatan ekonominya, kerajaan ini berupaya membangun menjadi kuasa serantau yang penting dan memusatkan pengaruhnya pada perdagangan maritim. Menerusi rangkaian perdagangan inilah Kerajaan Champa berinteraksi dengan kuasa-kuasa lain, dan menerima pengaruh daripada kebudayaan mereka.
PO NAGAR DAN LEGENDA PENUBUHAN CHAMPA
Menurut tradisi Cham, pengasas Champa ialah dewi yang dikenali sebagai Po Nagar. Legenda menyebutkan bahawa Po Nagar ditinggalkan di sebuah hutan berhampiran Nha Trang semasa masih bayi. Beliau ditemui oleh seorang pemotong kayu yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Pemotong kayu dan isterinya tidak mempunyai anak dan mereka berdua membesarkan bayi itu seperti anak kandung. Pada suatu hari, Po Nagar yang kini sudah menjadi seorang gadis, membawa pulang kayu cendana yang istimewa. Kayu cendana ini dipelihara oleh beliau dengan baik dan beliau tidak membenarkan sesiapa pun menyentuhnya.
Kemudian, tiba hari di mana beliau memaklumkan kepada kedua orang tua angkatnya bahawa beliau diperintahkan untuk pergi ke istana Maharaja China, di mana di sana kononnya beliau akan berkahwin dengan seorang putera mahkota. Walaupun pada mulanya orang tua angkat Po Nagar tidak mengizinkan beliau keluar menempuh perjalanan yang jauh itu, akhirnya mereka berdua akur dan memberi restu.
[/caption]Po Nagar membawa diri ke pesisir pantai, mencampakkan kayu cendananya ke laut dan hilang serta-merta. Kayu cendana ini dihanyutkan ke utara oleh laut, dan tiba di pantai China. Di sana, ia ditemui oleh seorang nelayan. Menyedari bahawa kayu cendana itu merupakan suatu barangan yang sangat berharga, nelayan itu pun segera membawanya ke istana dan memberikannya kepada Putera Mahkota.
Putera membalutkan kayu cendana itu dengan kain sutera, lalu menyimpannya di tempat yang hampir dengannya di istana. Pada malam itu, kain tersebut bergerak-gerak dan tatkala diperiksa oleh si putera, Po Nagar pun muncul. Putera Mahkota China dan Po Nagar kemudiannya berkahwin dan menikmati hari-hari sebagai pasangan pengantin.
KEHIDUPAN PO NAGAR SELEPAS BERKAHWIN
Walau bagaimanapun pada suatu hari, Po Nagar mengadu kepada suaminya bahawa beliau mahu menziarahi orang tua angkatnya, lantaran beliau pernah berjanji untuk pulang sebelum pergi meninggalkan mereka. Namun, si putera tidak berkenan memenuhi permintaan itu kerana beliau enggan berpisah dengan Po Nagar walau untuk sehari. Lantaran tiada apa lagi yang mampu dilakukan oleh Po Nagar bagi mengubah fikiran suaminya, beliau pun pergi ke pantai, lalu mencampakkan kayu cendananya ke laut dan hilang serta-merta.
Putera naik berang dengan keadaan ini dan segera memperlengkapkan sebuah armada untuk berlayar ke selatan bagi mencari Po Nagar. Kehadiran armada ini mengundang kemurkaan Maharaja Jed, Ngoc Hoang yang lantas menukarkan kapal yang dinaiki oleh putera menjadi batu sebaik sahaja ia memasuki pelabuhan Nha Trang. Po Nagar terus kekal berada di Vietnam dan berbuat kebajikan sepanjang baki hayatnya. Selepas beliau meninggal dunia, namanya dihormati oleh masyarakat Cham dan Vietnam yang menganggapnya sebagai dewi pelindung mereka.
[/caption]SEJARAH PENUBUHAN KERAJAAN CHAMPA DAN HUBUNGANNYA DENGAN CHINA
Sebagai perbandingan, sumber sejarah berkenaan asal-usul Kerajaan Champa boleh ditemukan dalam sumber-sumber China. Sebutan pertama mengenai Champa dipercayai dilakukan pada tahun 192 Masihi. Pada waktu itu, Kerajaan Champa dikenali sebagai Lin-Yi.
Disebutkan bahawa kuasa baru ini muncul di bahagian utara Vietnam moden (wilayah Hue untuk lebih tepat), yakni apabila seorang pegawai tempatan berjaya mengetuai sebuah pemberontakan menentang kuasa China di kawasan itu. Baik dalam legenda mahupun catatan sejarah, Champa disifatkan mempunyai hubungan dengan China yang terletak di utaranya.
Interaksi dengan China ini berlangsung sepanjang sejarah Champa. Berakhirnya Dinasti Han pada tahun 220 Masihi menandakan ketumbangan China selama beberapa kurun, dan pada kurun ke-6 Masihi, Cham meny3rang bahagian utara Vietnam lantaran mereka menganggap Dinasti Chen Selatan yang memerintah kawasan itu sedang melemah.
Walau bagaimanapun, kekuatan Cham ini ditewaskan oleh seorang panglima China yang bernama Pham Tu. Ketika Dinasti Tang berkuasa pada kurun ke-7 Masihi, Kerajaan Champa menghentikan s3rangan ke atas jiran utara mereka selama hampir dua kurun. Selain itu, raja-raja Cham turut menghantar perutusan demi perutusan diplomatik ke istana China.
PENGARUH INDIA DI CHAMPA
Empayar lain yang memainkan peranan signifikan dalam sejarah Champa ialah India. Kuasa yang terletak di barat ini banyak mempengaruhi kebudayaan masyarakat Cham, terutama melalui ajaran Hinduism dan Buddhism.
Pengaruh dari India ini boleh dilihat menerusi hasil seni masyarakat Cham. Misalnya, bermula dari kurun ke-4 Sebelum Masihi, kebanyakan hasil seni Champa mempunyai imej dewa-dewa Hindu. Namun, penting untuk dinotakan bahawa imej-imej ini memiliki sentuhan unik Cham yang membezakannya dari ciri asli India. Sebagai contoh, masyarakat Cham sering menggambarkan Shiva dengan hidung yang lebar, bibir yang tebal dan senyuman nipis, yang kesemua ini merupakan cerminan budaya Cham dan bukannya India.
Selain hasil seni, pengaruh India juga boleh dilihat menerusi seni bina Kerajaan Champa. Seni bina yang paling menonjol dalam konteks ini ialah Candi My Son, sebuah kompleks kuil Hindu yang terletak di Vietnam Tengah. Kuil-kuil ini dibina selama lebih sepuluh kurun, bermula pada kurun ke-4 Masihi. Ia didedikasikan kepada pelbagai dewa Hindu, termasuklah Vishnu, Krishna dan Shiva – dalam bentuk Shiva lingam.
KETUMBANGAN KERAJAAN CHAMPA
Kerajaan Champa berakhir pada awal kurun ke-18. Raja agung Cham yang terakhir ialah Che Nbong Nga, yang memerintah pada tahun 1360 hingga 1390. Beliau bertanggungjawab meny3rang jiran utaranya, Dai Viet dengan sangat agresif. Hanya selepas kemangkatan Che Nbong Nga, barulah Cham kembali ke selatan.
S3rangan balas Vietnam bermula pada tahun 1402 dan hanya terhenti apabila Dinasti Ming meluaskan kuasa sehingga memasuki wilayah mereka. Namun pada tahun 1428, Vietnam berupaya mengusir kekuatan China dan mengekalkan hubungan yang baik dengan Cham. Tatkala raja Champa mangkat pada tahun 1441, kerajaan Champa dibelenggu kemelut p3rang saudara dan Vietnam mengambil kesempatan untuk meny3rang.
Selepas 30 tahun berlalu, kebanyakan wilayah Cham berjaya dirampas oleh Vietnam. Apapun, wilayah kecil Cham masih kekal bertahan jauh di selatan dan mengekalkan pengaruhnya sehingga tahun 1720. Tamatnya kekuasaan wilayah kecil ini memaksudkan tumbangnya sebuah kerajaan agung yang pernah berdiri selama lebih 1500 tahun.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (29 Oktober 2015). The Ancient Kingdom of Champa: An Enduring Power that Lasted over 1500 years in Southern Vietnam. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-kingdom-champa-enduring-power-lasted-over-1500-years-southern-vietnam-020598
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih