Kerajaan Benin yang terletak di hutan belantara wilayah selatan Afrika Barat (Nigeria moden) dan dibentuk oleh kaum Edo, berkembang pesat pada kurun ke-13 hingga kurun ke-19 M. Ibu kotanya yang turut dipanggil sebagai Benin adalah sebuah hab rangkaian perdagangan yang dikawal secara eksklusif oleh raja atau oba dan melibatkan hubungan perdagangan dengan para pedagang Portugis yang datang mencari emas dan hamba sahaya.
Benin mengalami kemunduran pada kurun ke-18 M lantaran kerajaan itu dilanda p3rang saudara, dan ia ditakluk secara muktamad oleh British pada tahun 1897 M. Pada hari ini, Kerajaan Benin paling diingati menerusi patung-patung dan plak-plak loyangnya yang kebanyakannya mempamerkan imej para pemerintah dan kerabat diraja: barangan ini dianggap sebagai antara hasil seni terbaik yang pernah dihasilkan di Afrika.
ASAL-USUL: TRADISI NOK & IFE
Rantau Afrika Barat, khususnya di bahagian selatan, diperkenalkan (atau membangunkan secara sendiri) dengan teknologi pertukangan besi setidak-tidaknya seawal kurun ke-9 M. Dengan alatan pertanian yang lebih baik, hasil tuaian mereka pun dapat ditingkatkan. Penduduk di lingkaran hutan hujan dan kering yang terbentang di seluruh wilayah selatan Afrika Barat masing-masing mengusahakan kampung mereka dan berupaya mengeluarkan hasil tanaman seperti keladi, pisang, dan minyak kelapa.
Kerajaan Ife yang terletak di Nigeria moden sama seperti Kerajaan Benin, berkembang pesat pada kurun ke-11 hingga kurun ke-15 M. Kerajaan ini menghasilkan banyak patung gangsa berkualiti, terutama patung berbentuk kepala manusia. Ife mungkin menerima pengaruh daripada Kebudayaan Nok (kurun ke-5 SM hingga kurun ke-2 M) dan Ibgo Ukwu (mencapai zaman kemuncak pada kurun ke-9 M) yang lahir lebih awal.
Dalam tradisi lisan Benin, raja Ife merupakan individu yang bertanggungjawab menghantar bijakpandai dan artisan ke wilayah selatan, khususnya Benin pada lewat kurun ke-13 M bagi tujuan menyebarkan kemahiran memahat.
Legenda ini mungkin cerminan kepada pergerakan kaum Yoruba si penempa-besi dalam wilayah kaum Edo di Benin. Tradisi Edo juga menyatakan bahawa merekalah yang menjemput Putera Oranmiyan dari Ife untuk memerintah mereka. Tambahan lagi, kononnya putera kepada Oranmiyan inilah, iaitu Eweka, yang menjadi raja pertama Benin.
Menukil pernyataan sejarahwan P. Garlake, “Mitos-mitos dan tradisi-tradisi kota Benin mengisyaratkan Ife sebagai leluhur kerajaan dan budaya penempaan tembaga mereka” (139). Isyarat-isyarat tentang persamaan kesenian antara dua budaya itu melibatkan penggunaan imej harimau bintang yang dikaitkan dengan kem4tian dan ular, sepertimana ular yang melilit gabel istana Benin dan sebuah relif dari Ife. Namun, bidang arkeologi masih belum mengesahkan sebarang kaitan jitu antara kedua-dua budaya yang secara berterusan mendominasi wilayah selatan Afrika Barat di atas Lengkungan Benin ini.
TINJAUAN SEJARAH
Kerajaan Benin terletak berhampiran pantai selatan Afrika Barat, di rantau yang kini membentuk wilayah selatan negara Nigeria (negara Benin moden terletak lebih jauh di sepanjang pantai ke barat dan meraih nama bersempena Lengkungan Benin). Wilayah ini merangkumi hutan hujan, hutan kering, dan paya bakau. Kerajaan Benin terbentuk pada kurun ke-13 dan dihuni oleh kaum Edo yang menuturkan bahasa Kwa.
Pada masa-masa kemuncaknya, kerajaan ini meliputi kawasan seluas 400 km (250 batu) panjang dan 200 km lebar. Wilayah pusatnya pula terdiri daripada sebuah bulatan yang mengelilingi ibu kota, yang turut dinamakan sebagai Benin, dan merentang sehingga 60 kilometer ke segenap arah. Wilayah pusat ini diperintah secara langsung oleh raja. Menyusuli wilayah pusat adalah lingkungan wilayah luar yang ditadbir oleh putera-putera raja. Lapisan ketiga, iaitu lapisan terakhir pula terdiri daripada suku-suku yang membayar ufti namun tidak diperintah secara langsung oleh raja Benin.
Kerajaan ini memperoleh kekayaan menerusi perdagangan serantau, di mana Benin bertindak selaku pihak tengah antara kerajaan-kerajaan lain dengan memainkan peranan mengangkut barangan yang bukanlah hasilan mereka sendiri.
Antaranya seperti kapas dan batu manik separa-berharga. Barang dagangan lain yang dijual-beli dalam kalangan masyarakat Afrika Barat termasuklah ikan, garam, keladi, dan haiwan ternakan. Betapa lancarnya hubungan perdagangan ini hinggakan terdapat bukti matawang tempatan digunakan, antaranya seperti manila (gelang berat yang berbentuk seperti ladam kuda), dawai dan batang yang kesemuanya itu diperbuat daripada tembaga, loyang dan gangsa.
Terdapat juga bukti di mana cengkerang cowrie – yang datang dari Parsi dan Maldives – digunakan sebagai matawang di Benin sebelum interaksi langsung dengan orang Eropah berlaku. Bukti ini mengisyaratkan berlakunya hubungan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan savannah di Afrika Utara yang mungkin berlangsung melalui jalan darat.
Bermula sekitar tahun 1450 M, kapal-kapal Portugis berlayar ke pantai Atlantik Afrika sekaligus menawarkan alternatif kepada laluan kafilah trans-Sahara dan segala rangkaian perdagangan sesama kerajaan-kerajaan pedalaman Afrika. Sejak tahun 1471 M, kapal-kapal ini memasuki Pantai Emas di wilayah selatan Afrika Barat bagi tujuan mencari emas yang pernah membekalkan kekayaan buat Empayar Mali (1240-1645) dan Empayar Songhai (sekitar 1460-1591 M).
Tanpa semena-mena, penduduk wilayah selatan Afrika Barat yang selama ini berada di penghujung rantaian perdagangan yang bermula di Eropah dan kemudian turun ke Afrika Utara, Sahara, dan savannah Afrika Barat, kini berada di penghujung yang sebaliknya pula dalam suasana kepesatan perdagangan maritim, lantaran kapal-kapal dagang berlabuh langsung dari Eropah. Benin bukanlah sebuah kerajaan pinggir pantai, namun ia tetap mengekalkan interaksi maritim melalui pelabuhan Ughoton yang terletak di Sungai Benin.
Pada kurun ke-15 dan ke-16 M, Benin menjalinkan hubungan perdagangan dengan Portugis yang meneguhkan posisi mereka di Ughoton selama 30 tahun sejak tahun 1487 M. Orang Eropah menaruh minat terhadap manik, kain kapas, gading gajah dan hamba sahaya, di mana mereka kemudiannya melakukan perdagangan lanjut dengan masyarakat Afrika Barat lain dengan menukarkan barang dagangan tadi dengan barang yang paling mereka inginkan: emas dan lada hitam (dua barang yang meraih permintaan tinggi di Eropah). Suku-suku di Afrika Barat juga mencari kain kapas India, manik-manik kaca, dan cengkerang cowrie yang dibawa oleh pedagang Portugis ke Afrika.
Benin turut menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap tembaga dan gangsa bagi tujuan pembuatan loyang, di mana loyang ini kemudiannya digunakan bagi menghasilkan patung-patung mereka yang masyhur. Raja Benin mengenakan kawalan yang ketat ke atas dasar perdagangan kerajaannya, sekaligus melahirkan monopoli diraja. Sememangnya, raja secara jelas mempunyai kedudukan yang kuat dalam berurusan dengan pihak Eropah kerana beliau berupaya mengharamkan penjualan hamba lelaki sesudah tahun 1516 M lantaran beliau memerlukan mereka bagi membentuk pasukan tenteranya sendiri.
Pada tahun 1514 M, raja Benin memulakan hubungan diplomatik dengan pentadbiran Portugis melalui pengutusan delegasi ke Eropah. Hubungan ini dilihat bertujuan untuk memeterai perjanjian penghantaran senjata api ke kerajaannya.
Portugis pula dilihat tidak cenderung untuk membekalkan senjata kepada pihak yang berpotensi menjadi musuhnya, justeru mereka cenderung menghantar sejumlah mubaligh Kristian untuk cuba memujuk pemerintah sekaligus rakyat agar memeluk agama Kristian, sebagaimana yang dilakukan di wilayah-wilayah Afrika yang lain. Raja kekal setia dengan kepercayaan tradisinya.
Walaupun sejumlah gereja dibina dan sejumlah warga Afrika berjaya ditukarkan agamanya, projek penyebaran agama Kristian ditinggalkan tujuan asalnya, dan hanya digunakan bagi mentiraikan dasar Portugis yang mahu merampas segala kekayaan dengan sepantas dan semurah mungkin.
Sebarang cubaan untuk memasukkan asas-asas pentadbiran juga tidak dilakukan, di mana cita-cita ini direncatkan oleh kadar kematian orang Eropah yang tinggi tatkala mereka berdepan dengan wabak tempatan. Hanya pada kurun ke-19 M barulah mubaligh-mubaligh Eropah benar-benar mula menyerang kepercayaan asli di Afrika Barat.
RAJA ATAU OBA
Raja-raja Benin menyandang gelaran oba dan dianggap mempunyai mandat kurniaan dewa untuk memerintah. Raja tidak hanya mengawal segala aktiviti perdagangan dengan orang luar, namun mereka juga secara peribadi memiliki hampir kesemua barang bernilai tinggi yang ada dalam kerajaan seperti kulit harimau bintang, lada hitam, batu karang dan gading gajah. Kebanyakan pemerintah diingati namanya menerusi penghasilan barang seni buatan Benin.
Topeng-topeng gading gajah yang dipakai di pinggang para pemerintah mempunyai ukiran yang menggambarkan raja memakai mahkota dan rantai leher dari kepala manusia, mungkin kepala orang Eropah, dan hal ini mengisyaratkan maksudnya kepada monopoli oba ke atas hubungan perdagangan ataupun kekuasaannya ke atas orang asing. Imej raja-raja juga sering tampil dalam plak-plak loyang yang menghiasi istana Benin, di mana mereka digambarkan sebagai ketua pahlawan.
Gambaran terhadap mereka juga kadangkala dipamerkan menerusi simbol raja seperti bintik harimau bintang dan rantai leher yang diperbuat daripada gigi harimau bintang. Harimau bintang merupakan simbol yang sesuai bagi oba memandangkan haiwan itu dianggap sebagai ‘Raja Rimba’ dan hanya raja sahaja yang dibenarkan untuk membvnuh haiwan itu, di mana hal ini lazim dilakukan semasa upacara korban tahunan.
Simbol-simbol diraja lain yang terdapat dalam gambaran para raja Benin adalah topi keledar yang dihiasi batu karang dan perhiasan topeng yang dipakai di pinggang, di mana simbol-simbol ini diwarnakan dengan warna putih, yakni warna yang menyimbolkan kesucian dan dewa Olokun si dewa lautan yang dipercayai menjadi sumber kekayaan dan kesuburan. Sama seperti dewa-dewa dan semangat nenek-moyang, raja juga diberikan sembah korban, termasuklah berupa manusia, sesudah mereka mangkat.
Raja Benin yang dianggap paling agung ialah Ewuare Agung (memerintah 1440-1474 M). Beliau tidak hanya dipandang sebagai seorang pahlawan yang hebat, tetapi juga sebagai ahli sihir yang mahir. Beliau bertanggungjawab membawa kerajaannya ke sebuah zaman kemewahan dan meluaskan wilayah pada tahap kemuncak. Namun, beliau turut dituding sebagai dalang pembvnuhan saudaranya di samping bertanggungjawab menetapkan peranan oba sebagai monarki muktamad.
Malahan, Ewuare berjasa dalam membentuk sistem pentadbiran yang bertahan sepanjang pemerintahan Kerajaan Benin. Setiap raja mempunyai sekumpulan bangsawan dan ketua istiadat sebagai penasihatnya. Begitu juga dengan beberapa orang menteri lain lantikan raja yang berperanan mentadbir bandar-bandar tertentu. Tambahan, Ewuare menggubal satu tradisi di mana putera sulung mewarisi takhta daripada ayahandanya. Pada tahun 1553 M, seorang pegawai laut Inggeris yang bernama Thomas Windham melawat Benin dan catatannya tentang istana Raja Benin adalah sebagaimana berikut:
“… raja bersemayam di sebuah dewan besar (bersama para bangsawan)… di atas punggung mereka dengan siku mereka diletakkan di atas lutut mereka dan tangan mereka pula didepakan ke hadapan muka mereka, tidak memandang ke atas sehinggalah diperintah oleh raja. (dipetik dalam Fage, 517)
KOTA BENIN
Benin, ibu kota kerajaan, terletak kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari pantai dan bahagian barat Sungai Niger. Usaha-usaha ekskavasi di bandar berkenaan mendapati ia pernah dikelilingi oleh binaan tanah yang tinggi. Namun, memandangkan terdapat banyak jurang antara satu binaan dan satu binaan, maka ia tidak dianggap memiliki tujuan pertahanan.
Tembok-tembok itu mungkin berfungsi sebagai sempadan antara satu-satu kumpulan keluarga yang berbeza dalam ibu kota, di mana setiap satunya menumpahkan kesetiaan kepada raja namun masing-masing mempunyai kawasan pertanian tersendiri. Kota dibahagikan dengan lanjut kepada beberapa buah kawasan buat golongan artisan yang masing-masing mempunyai persatuan tersendiri.
Raja, barisan menteri dan istananya masing-masing memainkan kefungsian penting baik pada sudut politik mahupun spiritual bagi kerajaan Benin. Istana mempunyai banyak perkarangan dan beberapa buah galeri, di mana tiang-tiang kayu didirikan bagi menyokong bumbung. Pada tiang-tiang itu pula tercantum plak-plak loyang yang dianggap sebagai salah satu pencapaian tertinggi Afrika Barat dalam bidang kesenian sepanjang sejarah mereka.
GANGSA & SENI-SENI LAIN BENIN
Patung-patung hasilan Benin yang diperbuat daripada loyang (kadangkala disebut ‘gangsa’) meraih kemasyhuran di seantero dunia kerana kualiti penghasilan dan nilai keseniannya yang tinggi. Pembuatan patung-patung ini mencapai tahap yang tinggi pada penghujung kurun ke-15 M lantaran Portugis tiba membawa bekalan loyang dalam kuantiti yang banyak.
Teknik lilin-hilang digunakan pada era ini (berbeza dengan teknik penempaan pada tempoh sebelum kurun ke-16 M) bagi menghasilkan segala jenis patung, namun tentunya yang paling khusus ialah pembuatan plak. Dengan bentuk segi empat tepat dan ketinggian sekitar 45 cm, panel-panel ini menggambarkan imej figura-figura dalam relif yang tinggi, kebiasaannya figura pahlawan dan pemerintah. Plak-plak ini pada asalnya dicantum pada tiang-tiang kayu yang terdapat di istana diraja Benin, dan kebanyakannya adalah bagi memperingati konflik-konflik bersejarah, babak-babak kehidupan di dalam istana, dan ritual-ritual keagamaan di Benin.
Selain plak, artisan Benin juga menghasilkan patung loyang berbentuk kepala dengan saiz manusia sebenar, patung manusia dan haiwan yang penuh tetapi bersaiz kecil, dan loceng-loceng upacara. Gading gajah juga merupakan antara medium yang digemari oleh artisan Benin, di mana ia diukir menjadi topeng-topeng pinggang seperti yang disebutkan di atas, selain kotak-kotak berhias, sikat dan perhiasan tangan.
Seperti yang telah disebutkan, topeng-topeng yang diukir daripada gading gajah ini dipakai pada pinggang para raja, dan sepasang daripadanya terselamat sehingga kini, di mana satunya disimpan di Muzium British London dan satu yang lain berada di Muzium Metropolitan New York. Kedua-dua topeng ini mungkin mempamerkan imej Idia, ibu kepada Raja Esigie yang memerintah pada kurun ke-16 M.
Terdapat juga kemungkinan bahawa kebanyakan artisan Benin turut menghasilkan barang seni dengan menggunakan kayu. Namun, bahan ini tidak tahan lama bagi menghadapi serangga perosak dan cuaca yang kasar di Afrika. Artisan Benin juga sentiasa sudi untuk mengeluarkan hasil seni khusus untuk pasaran Portugis, di mana mereka mengukir barangan seperti gading salt cellar dengan figura penunggang kuda Eropah atau patung askar yang memikul musket, diperbuat daripada loyang, yang kesemua ini diberikan sentuhan unik Afrika.
KEMUNDURAN & SEJARAH LANJUT
Selain Portugis, negara-negara Eropah lain turut mencurahkan minat terhadap Afrika Barat menjelang lewat kurun ke-16 M, antaranya seperti British, Perancis, dan Belanda. Dengan tekad untuk melonggarkan dominasi raja-raja Benin dalam sektor perdagangan, British bertindak menakluki kerajaan itu pada tahun 1897 M, di mana Benin sendiri sudah dilemahkan oleh pertelagahan dalaman dan p3rang saudara yang panjang.
Namun, raja-rajanya tidak digulingkan sepenuhnya dan keturunan dinasti diraja Benin masih menyandang gelaran oba pada hari ini lantaran mereka memainkan peranan sebagai penasihat bagi kerajaan Nigeria. Nama Benin juga masih terus hidup, di mana koloni Perancis di Dahomey mengisytiharkan kemerdekaan pada 1975 M sekaligus membentuk Republik Benin.
TERJEMAHAN:
Mark Cartwright. (2 April 2019). Kingdom of Benin. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kingdom_of_Benin/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih