Terkejut hari ini apabila seorang figura terkenal mengatakan Adat Perpatih akan pupus kira-kira 10 tahun lagi. Beliau berpandangan sedemikian kerana merasakan kefahaman masyarakat terhadap adat ini semakin terhakis. Tetapi sebelum kita melenting tak tentu pasal, apa itu Adat Perpatih sebenarnya?
Adat Perpatih ialah adat warisan turun-temurun yang diamalkan oleh warga asal Negeri Sembilan (NS). Adat ini berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera dan diasaskan oleh seorang pemimpin Minangkabau bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang.
Sedikit ingatan, Adat Perpatih yang diamalkan di NS berbeza dengan Adat Perpatih yang diamalkan di tanah Minangkabau. Ini kerana Adat Perpatih di sana merujuk kepada Adat Luak 50. Angka 50 ini merujuk kepada bilangan jurai yang wujud di Minangkabau, sesuatu yang tidak wujud di NS.
Satu lagi perbezaan Adat Perpatih NS dengan Adat Perpatih Minangkabau ialah sistem pentadbiran. Adat Perpatih Minangkabau atau Adat Luak 50 mana ada sistem Lembaga apatah lagi jawatan Buapak. Malah, sistem pentadbiran ketua negeri di mana Undang melantik Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang bersandarkan kepada undi mutlak Undang Yang Empat juga tidak pernah wujud di Minangkabau.
Sebelum kita sambung, kami cadangkan korang dapatkan KITAB TAMADUN MELAYU. Melayu sentiasa dimomokkan sebagai kaum yang lemah, mundur dan tiada sumbangan terhadap dunia. Semua momokan itu auta semata-mata. Orang Melayu merupakan orang yang hebat dan kehebatan mereka boleh diketahui menerusi buku ini! Beli di Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Kitab-Tamadun-Melayu-i.238336777.3238415852
Di samping itu, Adat Perpatih NS jika sama pun dengan Adat Perpatih Minangkabau hanya setakat satu pertiga sahaja. Selebihnya merupakan adat yang diambil daripada undang-undang kerajaan Siak dan Kesultanan Johor. Justeru, ini turut menjelaskan ayat perbilangan Adat Perpatih ini, “Bertali ke Siak, beraja ke Johor, bertuan ke Minangkabau.”
Jadi, macam mana Adat Perpatih NS ini wujud? Ramai sejarawan percaya ia dibawa oleh 11 buah kumpulan dari 11 kampung asal yang berbeza. Mereka berkelana ke Tanah Melayu untuk meneroka, membuka petempatan dan membina kehidupan baru di wilayah yang kita kenali hari ini sebagai NS.
Sebelum NS wujud, kebanyakan jajahan ini merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, kebanyakan jajahan ini meneruskan taat setia mereka kepada pengganti KMM, Kesultanan Johor.
Hanya selepas pemutusan kuasa yang dibuat kesultanan itu, ia ditadbir sepenuhnya secara autonomi oleh lima Luak Tanah Mengandung. Setiap luak ini yang diketuai Penghulu Luak dengan Luak Berundang pula diketuai Undang Yang Empat. Walaupun nama jawatan ketua luak berbeza-beza, tetapi pada masa sama ia menjadikan negeri-negeri ini bebas dan mengangkat sistem rajanya yang memiliki kedaulatan sendiri.
Suku mendatang iaitu 11 kumpulan dari 11 kampung inilah yang membentuk 11 suku. Dari situ, mereka bersetuju untuk menggubal satu undang-undang atau adat di dalam ruang lingkup adat mereka yang kini digelar Adat Perpatih setelah mereka membuka penempatan di sini.
Suku ke-12 iaitu suku Biduanda merupakan satu-satunya suku yang diberikan mandat untuk memegang tampuk kuasa mentadbir semua ‘sembilan negeri’ di dalam NS (empat Luak dan lima Luak Tanah Mengandung). Mereka diberi keistimewaan sebegitu rupa kerana mereka telah bercampur dan membina kehidupan dengan kelompok pribumi orang asal Sakai, Jakun, Semang, Temuan dan Semelai. Kelompok-kelompok ini telah lama menetap di wilayah yang kini dipanggil NS.
Yang diketahui tentang pengasas suku Biduanda ialah lelakinya berasal dari suku mendatang. Sementara si wanita pula dari kalangan suku orang asal. Ini memang bertepatan dengan Adat Perpatih itu sendiri di mana lelaki ialah orang yang mengembara dengan wanita berperanan menambah bilangan zuriat. Atas sebab itulah, Adat Perpatih mengangkat martabat kaum wanita.
Bagaimanapun, hal ini mencetuskan salah faham terhadap Adat Perpatih. Kononnya, dengan mengamalkan adat tersebut, ini mengakibatkan hak lelaki dinafikan. Contoh paling mudah, isu pembahagian tanah adat. Benar, tanah adat diwarisi oleh wanita yang diberi oleh ibu atau ibu saudara sebelah si ibu. Dan ini memang ditetapkan dalam undang-undang adat NS dan wilayah-wilayah yang mengamalkan Adat Perpatih.
Tetapi untuk tanah-tanah lain, ia boleh diwariskan kepada waris lelaki atau perempuan secara bebas mengikut hak mereka atau berdasarkan pembahagian faraid. Jadi, dakwaan bahawa Adat Perpatih menindas hak lelaki sebenarnya satu pembohongan dan ia patut diperbetulkan sejak dari awal lagi.
Teringat dulu dalam buku teks sejarah, ada mengatakan orang Minangkabau hanya datang selepas keberangkatan Raja Melewar. Tetapi hakikatnya, orang Minangkabau telah ada di Tanah Melayu terima kasih kepada dua gelombang penghijrahan suku mendatang. Gelombang pertama berlaku sebelum 1773, tahun keberangkatan Raja Melewar – lebih tepat seawal kemunculan KMM.
Gelombang kedua penghijrahan suku mendatang berlaku selepas tahun 1773. Pada tahun tersebut, Raja Melewar dijemput oleh datuk-datuk penghulu luak untuk ditabalkan sebagai pentadbir Luak Tanah Mengandung. Gelombang ini berterusan sehinggalah awal abad ke-20 termasuk tempoh pemutusan kuasa NS daripada Kesultanan Johor.
Kalau difahami Adat Perpatih, ia bukanlah adat yang susah difahami. Yang jadi susah bila timbul salah faham seperti adat ini nafi hak orang lelaki atau bagi lesen kepada perempuan untuk kawal lelaki. Salah faham ini yang mengakibatkan kefahaman terhadap adat unik ini semakin terhakis. Amat molek ia terus disemarakkan oleh semua pihak agar tidak hilang ditelan zaman.
RUJUKAN
Muhamad, K. A. (2018, 31 Disember). Adat Perpatih Negeri Sembilan vs Adat Perpatih Minangkabau. The Patriots.
Ismail, S. (2021, 27 Julai). Wanita Negeri Sembilan ‘Queen Control’?. Berita Harian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih