Pada minggu lalu, atau tepatnya, hari Khamis (4 Julai), rumah lelongan Christie’s di London menyenaraikan kepala patung Tutankhamun sebagai salah sebuah barang lelongan di samping 32 buah artifak Mesir yang lain. Hal ini mengundang kontroversi apabila relik berusia 3000 tahun itu tetap jua dilelong pada harga $6 juta (RM24.7 juta) walaupun menerima bantahan keras daripada Mesir.

Bekas Menteri Barangan Antik Mesir, Zahi Hawass memaklumkan kepada media AFP, “Kami berpendapat bahawa patung ini dibawa lari dari Mesir sekitar tahun 1970 kerana pada masa itu terdapat artifak-artifak lain yang turut dicuri dari Kuil Karnak. Barangan ini kemudiannya dieksport secara haram.” Beliau turut menambah, “Sekiranya Christie’s gagal menunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan bahawa patung itu dibawa keluar dari Mesir secara sah, maka mereka perlu memulangkan patung tersebut.”

Tahun 1970 yang disebutkan oleh beliau memiliki signifikasi tersendiri. Hal ini kerana pada tahun tersebut, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggubal Konvensyen Kawalan Import dan Eskport Artifak Secara Haram bagi membanteras sebarang aktiviti merompak dan menyeludup khazanah kebudayaan dunia.

Malah pada tahun 1983, Mesir turut menggubal undang-undang yang melarang sebarang aktiviti pemindahan artifak dari negara berkenaan (Egyptian Law on the Protection of Antiquities).

Howard Carter menemukan makam Firaun Tutankhamun pada tahun 1922

KENYATAAN DARIPADA RUMAH LELONGAN CHRISTIE’S

Bertindak balas ke atas kenyataan dari Kaherah, Christie’s berkata, “Patung ini tidak pernah diseludup atau (pemilikannya) langsung tidak dicalit sebarang status kontroversi. Malahan, kewujudannya telah pun diketahui dan dipamerkan secara umum sejak bertahun-tahun lagi.” Christie’s turut menambah, “Sebelum ini, Mesir tidak pernah pun menunjukkan sebarang reaksi sebegini terhadap pameran patung itu.”

Malah, Christie’s turut mengeluarkan kronologi pemilikan patung setinggi 28.5 sentimeter itu sejak 50 tahun yang lalu. Menurut Christie’s, mereka difahamkan bahawa patung yang diperbuat daripada batu kuarzit perang itu telah pun berada di dalam barangan antik milik Prinz (Prince) Wilhelm von Thurn und Taxis sejak 1960an lagi. Kemudian, patung tersebut dibeli oleh Josef Messine, pemilik Galerie Kokorian & Company yang berpusat di Vienna pada tahun 1973 atau 1974. Setelah itu, patung berkenaan dikatakan dimiliki Heinz Heizer sebelum berpindah ke tangan Resandro dari Jerman pada tahun 1985. Resandro terus menjadi pemilik patung berkenaan sehingga menjualnya di London.

Walau bagaimanapun, penyelidikan terhadap sejumlah dokumen di samping temu-ramah terhadap beberapa orang yang terlibat yang dilakukan oleh media Live Science menemukan sejumlah titik kontroversi pada status pemilikan patung itu di tangan Prinz Wilhelm.

Rumah lelongan Christie’s merupakan sebuah pusat lelongan terkemuka di dunia dan ibu pejabatnya terletak di London. Gambar menunjukkan contoh suasana semasa lelongan dilakukan oleh Christie’s

LIVE SCIENCE: KENALAN DAN WARIS MENAFIKAN PEMILIKAN PATUNG BERKENAAN

Menerusi temu-ramah yang dijalankan oleh Live Science terhadap Viktor von Thurn und Taxis (putera Wilhelm) dan Daria von Thurn und Taxis (anak saudara Wilhelm), mereka berdua memaklumkan bahawa Wilhelm tidak pernah memiliki patung berkenaan. Malah, Daria turut menyebutkan bahawa Wilhelm tidak memiliki minat pada artifak purba atau barang seni. “Beliau bukanlah seorang penggemar seni,” ujar Daria.

Daria meyakini bahawa artifak tersebut mungkin pernah dimiliki oleh sepupu Wilhelm, Prinz Raimondo Torre e Tasso yang mendiami Caesto Duino (sebuah istana di Itali).

Prinz Raimondo telah pun meninggal dunia. Namun, ahli keluarganya masih hidup di istana tersebut. Jurucakap keluarga itu memaklumkan kepada Live Science bahawa Raimondo dan keluarganya tidak pernah memiliki patung tersebut.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Dagula Walterskirchen, seorang sejarahwan dan jurnalis yang sangat mengenali Wilhelm.

Namun, Catherine Manson, Global Head of Corporate Affairs di Christie’s menyatakan bahawa rumah lelongan yang diwakilinya itu telah melakukan penyelidikan lanjut berkenaan asal-usul patung itu. Mereka juga mendakwa telah menemu-ramah dua orang ahli keluarga Wilhelm (iaitu Daria dan Viktor). Kata Manson menerusi emelnya kepada Live Science, “mereka berdua terlalu muda pada waktu itu (sekitar 1970an) dan tidak benar-benar ingat perihal patung berkenaan. Namun, kedua-duanya tidak pernah menolak kemungkinan bahawa Wilhelm pernah memilikinya.”

“Kami telah mengesahkan dengan kesemua bekas pemilik patung ini berkenaan asal-usulnya, termasuklah Encik Josef Messina yang mengesahkan bahawa kepala (patung Firaun Tut itu) sudah pun berada dalam koleksi Prinz Wilhelm von Thurn und Taxis pada 1960an,” terang Manson dengan lebih lanjut.

Namun, Live Science memaklumkan bahawa pihak mereka tidak berjaya menghubungi Josef Messina dan Galerie Kokorian & Co.

LIVE SCIENCE: CATATAN BIOGRAFI CENDERUNG MENAFIKAN DAKWAAN CHRISTIE’S

Dokumen-dokumen yang memerihalkan tentang kehidupan Wilhelm langsung tidak ada menunjukkan sebarang petanda atau isyarat bahawa beliau pernah memiliki patung tersebut – sekaligus menyokong kenyataan warisnya.

Pada tahun 1941, Wilhelm menyertai pasukan tentera Austria dalam memerangi Nazi dan menjadi ahli senior dalam kumpulan penentang “O5”. Antara tugas yang digalas oleh Wilhelm termasuklah berhubung dengan kumpulan-kumpulan penentang lain yang beroperasi di Czechoslovakia dan Jerman.

Selepas peperangan tersebut tamat, Wilhelm menetap di Morocco (Maghribi) selama beberapa tempoh sebelum pulang ke Eropah. Dalam kehidupan pasca-perangnya, Wilhelm melakukan pelbagai kerja berkaitan dengan perkhidmatan awam. Walaupun Wilhelm merupakan nama formalnya, dokumen-dokumen yang diteliti menunjukkan bahawa beliau lebih senang memanggil dirinya sebagai “Willy”.

Ahli keluarga Thurn und Taxis dikurniakan kebenaran untuk menggunalan gelaran ‘putera’ dan ‘puteri’ pada abad ke-17. Kebenaran tersebut dikurniakan oleh Leopold I Maharaja Empayar Suci Rom. Pada hari ini, ramai ahli keluarga Thurn und Taxis hidup di Eropah dan Amerika Utara. Sebahagian daripada mereka sememangnya kaya; namun tidak Wilhelm.

Alexander (Alessandro) Thurn und Taxis (1881-1937), datuk kepada Prinz Wilhelm

Menurut sebuah artikel dari New York Times, sekitar 1970an (iaitu tahun beliau sepatutnya telah pun memiliki patung berkenaan), Wilhelm hidup dan bekerja di sebuah pangsapuri bujang yang kecil di Vienna. Peranan beliau di dalam penentangan Austria membuatkannya dikunjungi oleh ramai sejarahwan yang mahu menemu-ramahnya berkaitan hal itu.

Satu-satunya artifak yang berjaya ditemukan oleh Live Science di dalam dokumen-dokumen yang mereka teliti adalah botol tembakau Cina yang berusia dari abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Barangan antik ini telah dijual selepas Wilhelm meninggal dunia pada tahun 2004 dengan maklumat penjualan menunjukkan bahawa ia dimiliki oleh datuk Wilhelm, Alexander Thurn und Taxis.

Dalam kenyataannya, Christie’s memaklumkan bahawa mereka turut mengumpulkan dokumen berkaitan asal-usul patung Tutankhamun ini. “Kami pada minggu ini telah diberikan akses untuk meneliti memoir-memoir beliau (Wilhelm) yang tidak pernah disiarkan. Kami mendapati sebutan khusus tentang barangan antik dan kami sedang meneliti kalau-kalau ada sebutan yang lebih khusus berkenaan patung berkenaan (patung kepala Tutankhamun). Hal ini sebagaimana yang dimaklumkan oleh Manson kepada Live Science. Pun begitu, Live Science tidak berhasil mendapatkan memoir-memoir berkenaan.

LIVE SCIENCE: MENOLAK DAKWAAN KONONNYA PATUNG INI DIWARISI

Manson juga mengatakan bahawa penyelidikan yang dilakukan oleh pihak rumah lelongan Christie’s mendapati bahawa patung tersebut berkemungkinan telah diwarisi oleh Wilhelm daripada nenek moyangnya. “Datuknya, Prinz Alexander Thurn und Taxis pernah mengembara ke Afrika dan membawa pulang pelbagai barang. Moyangnya Count Hans Wilczek juga diketahui memiliki sejumlah besar koleksi barangan antik,” ujar Manson.

Namun, dokumen-dokumen yang dikumpulkan oleh Live Science kelihatan bercanggah dengan dakwaan Manson ini.

Misalnya, artikel dari New York Times bertarikh 1970 pernah memaklumkan bahawa ibu bapa Wilhelm kehilangan banyak harta menjelang penamat Perang Dunia Pertama. Tambahan lagi, Wilhelm merupakan anak bongsu dari 9 orang beradik sementara bapanya, Eric von Thurn and Taxis pula memiliki 3 orang beradik. Hal ini mengisyaratkan bahawa pemilikan harta seperti koleksi barangan antik daripada orang tua-tua mereka perlu diagihkan sesama mereka. Dalam sebuah temu-ramah, Dariaberkata bahawa barangan antik yang pernah diingat dimiliki oleh Wilhelm adalah barangan antik Eropah dan bukannya artifak Mesir purba.

Makam Tutankhamun terletak di tapak permakaman KV62, Lembah Raja-Raja

Terdapat satu lagi permasalahan yang terdapat dalam idea kononnya Wilhelm mewarisi patung tersebut. Figura Tutankhamun mula meraih perhatian dunia pada tahun 1922 selepas makamnya ditemui oleh Howard Carter. Hal ini memungkinkan harga patung firaun itu melonjak tinggi.

Dalam erti kata lain, untuk Wilhelm dapat mewarisi patung berkenaan, orang tuanya perlu menahan diri dari menjual patung tersebut walaupun terpaksa menghadapi kesempitan wang. Di samping itu, ahli-ahli keluarganya yang lebih berusia perlu mengundur diri dari mewarisi patung tersebut dan menyerahkannya kepada Wilhelm sesudah kematian ibu bapa mereka.

LIVE SCIENCE: KALAU DIJUAl, KE MANA DUITNYA?

Wilhelm bukanlah seorang yang kaya. Sementara itu, patung berkenaan dianggarkan bernilai $5 juta.Walaupun nilai tersebut tidaklah sebegitu tinggi pada tahun 1973 atau 1974, iaitu tahun di mana Wilhelm didakwa menjualnya, namun hasil dari penelitian dokumen dan temu-ramah yang dijalankan tidak mengisyaratkan bahawa Wilhelm pernah ‘menerima durian runtuh’ dengan penjualan relik berkenaan.

Sebaliknya, dokumen-dokumen yang ada menunjukkan bahawa Wilhelm terus bekerja dalam sektor awam sehingga akhir hayatnya. Pekerjaan tersebut pula tidaklah begitu mendatangkan kekayaan bagi dirinya. Sebuah rencana dari United Press International bertarikh 1985 memaklumkan bahawa Wilhelm pernah dilempari dengan wain oleh seorang gadis berusia 17 tahun yang tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberikannya.

Hal ini turut dikongsikan oleh Walterskirchen, “Dia (Wilhelm) hampir tidak memiliki apa-apa (harta kekayaan).

KETEGASAN MESIR DALAM ISU INI

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada minggu lepas, Kementerian Barangan Antik Mesir memaklumkan bahawa Kerajaan Mesir akan mengambil semua pendekatan yang diperlukan untuk membawa pulang artifak berharga itu, termasuklah dengan mengadakan kerjasama bersama Kementerian Luar Negara Mesir bagi mengesahkan dokumen pemilikan yang didakwa dimiliki oleh Christie’s terhadap patung tersebut di samping menyiasat bagaimana patung berkenaan boleh dimiliki oleh rumah lelongan itu.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pemulangan Barangan Antik dari Kementerian Barangan Antik, Shaaban Abdel Gawad yang berkata bahawa pihak kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjual artifak Mesir.

Puluhan penunjuk perasaan warga Mesir turut menunjukkan bantahan mereka terhadap lelongan berkenaan apabila mereka berhimpun di luar premis rumah lelongan itu.

Selain mengibarkan bendera Mesir, mereka turut menjulang sepanduk yang disertakan dengan pelbagai tulisan bagi memprotes tindakan berkenaan. Antaranya:

“Selamatkan (Patung) Kepala Tutankhamun. Sejarah Mesir bukan untuk dijual.”

Sebahagian daripada mereka turut meluahkan bahawa artifak sebegitu tidak seharusnya disimpan atau dimiliki sebagai koleksi peribadi sebaliknya harus dipamerkan di muzium.

Memandangkan Christie’s tidak berjaya menunjukkan sebarang bukti bahawa patung kepala terbabit dibawa keluar dari Mesir secara sah, Zahi Hawass menegaskan bahawa “Mesir tidak akan berdiam diri tentang hal ini.” Beliau turut berkeras ingin membawa pulang patung kepala tersebut ke Mesir dan di samping mengheret isu ini ke majlis pengadilan antarabangsa.

Terkini, media-media antarabangsa melaporkan bahawa Mesir sudah pun meminta bantuan polis antarabangsa, INTERPOL untuk mencampuri isu ini di samping mengkaji asal-usul patung berkenaan.

Walaupun maklumat-maklumat yang berikan oleh Live Science seperti yang disampaikan di atas berhasil menjernihkan dakwaan-dakwaan yang dilontarkan oleh rumah lelongan Christie’s, namun jawapan kepada asal-usul patung berkenaan masih belum dapat dikemukakan. Justeru, penglibatan INTERPOL di dalam permasalahan ini diharap dapat menyelesaikan persoalan tersebut.

RUJUKAN

Al-Jazeera. (9 Julai 2019). Egypt Seeks Interpol help to retrieve Tutankhamun bust sold in UK.
https://www.aljazeera.com/news/2019/07/egypt-seeks-interpol-retrieve-tutankhamun-bust-sold-uk-190709104758100.html

BBC News. (4 Julai 2019). Tutankhamun: Bust Egypt says was ‘stolen’ sells for £4.7 m
https://www.bbc.com/news/world-middle-east-48865336

Cemml.Colostate. (n.d.) Egyptian Law on the Protection of Antiquities (1983).
https://www.cemml.colostate.edu/cultural/09476/laws10egyptenl.html

Egypt Independent. (8 Jun 2019). Egypt to investigate Christie’s auctioning of Tutankhamun bust.
https://egyptindependent.com/egypt-to-investigate-christies-auctioning-of-tutankhamun-bust/

Kosmo. (6 Julai 2019). Patung kepala firaun dilelong AS$6 juta
http://www.kosmo.com.my/dunia/patung-kepala-firaun-dilelong-as-6-juta-1.930989

Nur Syamimi. (5 Julai 2019). Kepala Patung Firaun Yang ‘Dicuri’ Telah Dilelong Dengan Harga RM20 Juta. The Vocket.
https://www.thevocket.com/kepala-patung-firaun-yang-dicuri-telah-dilelong-dengan-harga-rm20-juta/

Owen Jarus. (25 Jun 2019). Exclusive: Controversial King Tut Statue Has Sketchy Origins. Now Christie’s Is Selling It. Live Science.
https://www.livescience.com/65790-king-tut-statue-investigation.html

Scott Reyburn. (5 Julai 2019). Tutankhamen Head Sells for $6 Million, Despite Protests from Egypt. New York Times.
https://www.nytimes.com/2019/07/05/arts/design/tutankhamen-christies-sale-egypt.html

The Guardian. (5 Julai 2019). Bust of Tutankhamun sold at auction for £4.7 m despite Egypt protests.
https://www.theguardian.com/culture/2019/jul/05/bust-of-tutankhamun-sold-at-auction-for-47m-despite-egypt-protests


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.