Sejak daripada zaman kekhalifahan Islam hingga ke hari ini, kita dapat saksikan orang Yahudi meratap di Tembok Barat Jerusalem. Disebabkan ini, tembok ini juga dikenali sebagai “Tembok Ratapan”. Tapi tu lah, pernah tak terfikir kenapa orang Yahudi pergi meratap dekat tembok ni?
Tembok Barat ini merupakan tu satu-satunya tinggalan fizikal dari sejarah paling suci mereka yang dah lenyap. Benda ni berkait rapat dengan kehancuran Bait Suci Kedua (Second Temple) – tempat yang bagi mereka, paling dekat dengan Tuhan.
Dulu, kat atas Bukit Suci (Temple Mount), berdiri sebuah bangunan agung: Second Temple. Situ tempat mereka buat korban, sembahyang, dan jalankan segala ritual penting. Dalam temple tu ada satu ruang dinamakan Holy of Holies yakni tempat paling suci, kononnya Tuhan “menetap” situ. Hanya Pendeta Besar Yahudi sahaja boleh masuk. Itupun setahun sekali. Jadi bila kuil tu dimusnahkan pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Rom, bagi mereka, macam dunia dah kiamat. Tuhan dah “pergi”. Tempat suci lenyap. Identiti pun berkecai.
Tapi tembok tu tak roboh. Sebab itu je yang tinggal, di situlah tempat mereka datang meratap. Kiranya mereka menangis di tembok tu untuk mengingati kisah kuil mereka yang dah dihancurkan berkali-kali.
Lama-lama, Tembok Barat tu jadi macam batu peringatan nasional. Nak lepaskan rindu pada Tuhan? Tulis nota kecil, sumbat celah batu. Nak doa panjang umur? Datang baca kitab kat situ. Nak luah kecewa sebab nasib bangsa? Meratap dekat situ. Bagi orang Yahudi, tembok tu bukan sekadar dinding. Itu tempat kenangan, tempat luka lama dibuka balik, tempat sejarah runtuh dibangunkan semula dalam bentuk harapan.
Sebab tu sampai hari ni, orang Yahudi masih datang ke situ, tunduk, mengangguk perlahan, dan merintih dalam doa. Itu cara mereka berdialog dengan masa silam dan juga dengan Tuhan mereka.




No comments yet