Semua yang mengenali saluran Al-Jazeera pasti maklum media antarabangsa ini mempunyai dua saluran utama iaitu Al-Jazeera English (AJE) (pasaran antarabangsa) dan Al-Jazeera Arab (AJA) (khusus untuk Timur Tengah). Mungkin ada mengatakan dua saluran ini dua kali lima sepuluh tetapi kedua-duanya amat berbeza, kadang-kadang sehingga menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua saluran.
Perbezaan editorial membabitkan dua saluran ini bukan perkara baru. Bagi bekas wartawan, editor dan penulis yang pernah berkhidmat bersama AJE, terdapat satu peraturan senyap iaitu menjauhkan diri seberapa yang boleh daripada rakan-rakan mereka di AJA. Dan mereka ada sebab baik untuk berbuat demikian.
Perkara ini panas apabila tiga wartawan AJE ditahan oleh pihak berkuasa Mesir dan dihukum penjara oleh mahkamah pada Jun 2014. Pada ketika itu, Al-Jazeera Mubasher Misr (AJMM) atau Egypt Live diharamkan bersiaran sementara AJE pula terus membuat liputan di Kaherah sementara menunggu keputusan pembaharuan permit kewartawanan mereka.
Ketua biro berita AJE Mesir ketika itu, Mohamed Fahmy memberitahu pihak pengurusan bahawa sebarang laporan mereka untuk AJE tidak boleh disiarkan di AJMM. Malangnya, keputusan Fahmy ditolak mentah-mentah dan liputan berita AJE di Mesir tetap disiarkan di AJMM.
Bagi Koresponden Kanan Timur Tengah AJE dari 2007 hingga 2013, Anita McNaught, sikap bias Al-Jazeera terhadap Ikhwanul Muslimin (IM) bukan sesuatu yang baru dan banyak dikesan dalam laporan berita mereka. Tambahnya, sifat bias sebegini meletakkan staf-staf Al-Jazeera berada dalam bahaya lebih-lebih sekiranya mereka bekerja di negara-negara yang menolak pertubuhan tersebut.
Perkara ini disentuh secara panjang lebar oleh McNaught semasa ditemubual Channel 4 News. Ia merupakan sebahagian daripada liputan siasatan rancangan berita Channel 4 terhadap pengurusan Al-Jazeera berkenaan cara pengurusan staf-staf AJE di Mesir ketika itu. Anda boleh tonton video liputan berita berkenaan di bawah:
Selain McNaught, bekas penerbit dalam talian AJE Greg Carlstrom pernah menulis secara panjang lebar tentang perkara ini dalam satu artikel yang diterbitkan di laman sesawang Foreign Policy bertajuk “Why Egypt Hates Al Jazeera English”. Dalam artikel tersebut, AJA dan AJMM tetap memberi peluang kepada pemimpin atau ahli IM bersuara tanpa dicabar termasuk menyuarakan sokongan terhadap bekas Presiden yang disingkirkan, Mohammed Morsi.
Malahan, AJA tidak menapis langsung pandangan sesetengah pakar yang dijemput walaupun ia bersifat kontroversi dan terus memberi ruang kepada mereka untuk bersuara. Carlstrom turut mendedahkan satu laporan The Washington Post bahawa AJA juga bertanggungjawab menempatkan beberapa bekas pemimpin Islam Mesir di beberapa buah hotel sekitar Doha.
Editor Hindustan Times merangkap bekas editor AJE, Ruben Banerjee menyifatkan bekas majikannya itu bermain antara prinsip kewartawanan dengan aktivisme. Kekeliruan ini timbul berikutan latar belakang dan kecenderungan pilihan yang dibuat oleh staf-staf kanan di kedua-dua saluran berkenaan walaupun ia berpotensi mencetuskan kontroversi dan kemarahan.
Atas sebab ini juga, ia mengundang pertelingkahan antara kedua-dua saluran. Pada tahun 2014, satu laporan AJA menyifatkan pembvnvhan dua wartawan Amerika Syarikat, James Foley dan Steven Sotloff oleh D4ish/1S1S sebagai sandiwara berstatus Hollywood. Tetapi selepas laporan tersebut dikecam hebat oleh ramai pihak termasuk pesaing mereka Al-Arabiya, barulah Al-Jazeera mengambil keputusan menarik balik siaran laporan berkenaan.
Setahun selepas itu, pertelagahan antara kedua-dua saluran kembali hangat gara-gara insiden t3mbakan yang berlaku di pejabat majalah Charlie Hebdo di Paris. Ini kerana ada sesetengah staf menyokong kebebasan bersuara majalah satira itu manakala ada yang menyifatkan majalah tersebut sebagai rasis.
Dalam satu emel yang dibocorkan kepada akhbar The Guardian, Mohamad Vall yang ketika itu berkhidmat sebagai wartawan AJA sebelum bertukar ke saluran AJE menulis, “Dan saya rasa jika anda terus menggalakkan orang untuk menghina 1.5 bilion orang tentang ikon mereka yang paling suci itu, maka anda mahukan lebih banyak d4r4h ditumpahkan.
“Kerana dalam kalangan 1.5 bilion orang itu, pasti ada saja yang enggan patuh kepada undang-undang atau tahu kebebasan bersuara. Apa yang dilakukan oleh Charlie Hebdo bukan kebebasan bersuara tetapi menyalahgunakan kebebasan bersuara mengikut pandangan saya.
“Kembali semula ke kartun itu dan lihat sendiri! Ia bukan berkenaan apa yang dikatakan lukisan itu tetapi bagaimana mereka mengatakannya. Saya menolak pembvnvhan-pembvnvhan yang menyayat hati ini tetapi SAYA BUKAN CHARLIE.”
Felo Kaufman dari The Washington Institute, David Pollock pernah menyentuh perbezaan dua saluran ini menerusi artikel “Al-Jazeera: One Organization, Two Messages” pada April 2011, dua bulan selepas kebangkitan Arab Spring bermula. Dalam artikel tersebut, AJA mewakili kepentingan Qatar di peringkat serantau manakala AJE pula lebih cenderung kepada laporan kewartawanan antarabangsa.
Pollock menambah, “Malangnya, pendwicabangan membabitkan AJA dan AJE hanya memastikan staf dari kedua-dua saluran sentiasa tidak sebulu. Selagi mana amalan ini diteruskan, Al-Jazeera tidak sepatutnya diraikan sebagai penggerak reformasi atau ejen promosi demokrasi yang baik.”
RUJUKAN:
Al-Arabiya. (2017). Al Jazeera English vs. Al Jazeera Arabic: One channel, two messages. https://english.alarabiya.net/en/News/gulf/2017/10/01/Al-Jazeera-English-vs-Al-Jazeera-Arabic-One-channel-two-messages
Jenkins, Lin. (2015). Al-Jazeera leak reveals staff split over response to Charlie Hebdo killings. The Guardian. https://www.theguardian.com/media/2015/jan/11/al-jazeera-leak-charlie-hebdo-emails
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih