Sepanjang lipatan sejarah manusia, manusia terpaksa menelan hakikat perlu membayar cukai. Antara cukai yang biasa didengar ialah cukai tanah, cukai pendapatan dan cukai perniagaan. Tetapi sejarah turut merekodkan cukai-cukai pelik dalam sejarah – salah satu daripadanya ialah cukai janggut yang dikenakan Tsar Peter I atau Peter the Great.

Potret Tsar Peter I/Peter the Great

Bagi mengetahui motif Tsar Rusia itu, kita perlu mengetahui jelajah negara-negara Eropah yang dilancarkan baginda sekitar 1697 dan 1698. Sebelum era Peter I, Rusia tidak mempunyai hubungan rapat dengan Eropah. Di sebalik fakta ia merupakan sebuah negara yang luas, Rusia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kuasa-kuasa Eropah lain seperti England, Belanda dan Sepanyol.

Fakta ini amat merungsingkan Peter I terutama selepas menaiki takhta pada Mei 1682. Selain ketinggalan dari segi kemajuan pembangunan dan teknologi, Rusia juga tidak mempunyai tentera laut mereka sendiri. Hal ini mengakibatkan mereka terpaksa menelan air liur tatkala kuasa-kuasa Eropah dari Turki Uthmaniyah hinggalah England dan Sepanyol saling bersaing dalam menunjukkan kekuatan angkatan laut mereka.

Tidak mahu hal ini berlanjutan, Peter I mengambil keputusan mengadakan siri jelajah ke negara-negara Eropah pada 1697 dan 1698. Bagi mengelak identiti baginda diketahui, Peter I menggunakan identiti seorang tentera Rusia bernama Sarjan Pyotr Mikhaylov. Walaupun menggunakan identiti palsu, jelajah rahsia baginda diketahui juga oleh kuasa-kuasa Eropah disebabkan susuk tubuhnya yang tinggi.

Kapal Peter and Paul yang dibina di Belanda dan turut mendapat sentuhan Peter I.

Di Belanda misalnya, “Mikhaylov” diberi peluang membantu proses pembinaan sebuah kapal Hindia Timur yang dipanggil Peter and Paul selama empat bulan. Dalam tempoh tersebut, baginda berpeluang mengenali ramai pakar dalam pelbagai bidang seperti pelayar, pembina kubu dan pembina kapal. Sesetengah daripadanya kemudian menjadi figura utama angkatan laut Rusia seperti Cornelius Cruys dan Franz Lefort.

Di England pula, “Mikhaylov” diberi sambutan mesra oleh Raja England ketika itu, Raja William III. Seperti di Belanda, baginda berpeluang bekerja di dok tentera laut Inggeris (Royal Navy) di Deptford dan menambah pengetahuan dari segi pembinaan kapal. Malah, “Mikhaylov” juga berpeluang menghadiri sesi perbahasan Parlimen England.

Pada akhir jelajah, Peter I merumuskan orang Eropah dilihat jauh di hadapan jika dibandingkan dengan Rusia. Lantas, beberapa penambahbaikan diperkenalkan seperti menyemak semula kalendar Rusia, mengubah cara tulisan Bahasa Rusia, menamatkan amalan perkahwinan yang diatur, memakai pakaian gaya Eropah dan mencukur janggut.

Peter I mempunyai sebab menolak orang Rusia membela janggut. Semasa jelajahnya di Eropah, baginda amat tertarik dengan penampilan kemas lelaki Eropah termasuk golongan pemerintah dan bangsawan. Penampilan kemas mereka memperlihatkan bahawa orang Eropah lebih bertamadun daripada orang lain termasuk orang Rusia. Peter I melihat ini sebagai permulaan untuk menjadikan orang Rusia bertamadun sama dengan orang Eropah.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dan sebagai permulaan pengisytiharan perang terhadap janggut, Peter I bertindak mencukur janggut pegawai-pegawai dan kenalan-kenalannya. Hal ini dilakukan dalam majlis yang meraikan keberangkatan pulang baginda pada 1698. Disebabkan statusnya sebagai Tsar dan mempunyai tubuh badan yang tinggi, tiada siapapun yang berani mempersoal tindakan baginda.

Dari situ, Peter I mengisytiharkan bahawa semua lelaki di Rusia tidak lagi dibenarkan menyimpan janggut. Pengecualian hanya diberi kepada golongan petani dan agamawan gereja. Bagaimanapun, ia mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak dan menggesa baginda mempertimbang semula dasar yang diperkenalkan.

Salah satu daripadanya ialah Gereja Ortodoks Rusia yang menggelar arahan tersebut sebagai bertentangan dengan prinsip Kristian Ortodoks. Malah, sebagai cara mengingatkan Peter I bahawa polisi baginda itu salah, mereka turut memetik kata-kata Tsar terawal Rusia, Ivan IV the Terrible (1530-1584). Ivan menggelar perbuatan mencukur janggut sebagai satu perbuatan terkutuk dengan si pelakunya bakal berdepan kemurkaan Tuhan.

Pada akhirnya, Peter I memilih untuk berlembut dan melihat ini sebagai satu peluang untuk menambah wang dalam kantung kewangan negara. Lantas, penduduk Rusia diberitahu mereka boleh menyimpan janggut tetapi perlu membayar sejumlah wang dalam bentuk cukai. Ini dianggap permulaan pengenalan cukai janggut.

Nilai cukai janggut yang dibayar ditentukan mengikut status penduduk. Misalnya, bagi penduduk berstatus bangsawan dan orang kaya, mereka perlu bersedia membayar 100 ruble sebagai cara memelihara janggut mereka. Sementara bagi orang biasa pula, mereka hanya dikenakan caj beberapa keping kopek. Selepas cukai ini dibayar, pembayar akan mendapat token khas iaitu token perak (golongan bangsawan) dan token tembaga (golongan rakyat biasa).

Contoh token yang diberi selepas seseorang itu membayar cukai janggut.

Walaupun polisi janggut Peter I telah diubahsuai, ia masih lagi tidak popular dalam kalangan warga Rusia. Ironinya, cukai ini tetap diteruskan walaupun selepas kemangkatan baginda pada 8 Februari 1725. Ia hanya dihentikan selepas 10 tahun pemerintahan Maharani Catherine the Great.

Cukai janggut hanya dihentikan selepas sedekad era pemerintahan Catherine the Great.

Cukai janggut bukan satu-satunya cukai pelik yang diperkenalkan dalam sejarah. Semasa era Maharaja Rom, Nero dan Vespasian, kedua-duanya memperkenalkan cukai air kencing. Dan sembilan tahun sebelum jelajah Peter I, England memperkenalkan cukai teh pada 1689. Cukai teh mengakibatkan harga teh melambung sebanyak 119% dan membawa kepada kewujudan teh palsu di pasaran.

Yang kelakarnya, ada orang cuba memperkenalkan semula cukai janggut. Ini berlaku di Britain beberapa tahun lepas atas cadangan seorang tukang gunting rambut bernama Anthony Kent. Dengan mengenakan cukai janggut sekitar £100 (RM540), ia dapat menggalakkan orang ramai untuk tidak menyimpan janggut.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

RUJUKAN

Soth, A. (2021, 22 Julai). Peter the Great’s Beard Tax. Daily JSTOR.

Gillan, J. (2022, 8 Jun). Peter the Great Ordered a Beard Tax to Discourage Russian Facial Hair!. Ancient-Origins.

Mancini, M. (2014, 29 Mac). The Time Peter the Great Declared War on Facial Hair. MentalFloss.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply