Sebelum melangkah lebih jauh, mari kita teliti dahulu sejarah mengenai Indonesia. Negara tersebut telah mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, iaitu selepas berundurnya tentera Jepun. Sebelum dijajah Jepun, Belanda terlebih dahulu menjajah Indonesia dan menguasai negara tersebut selama 350 tahun. Tidak seperti Malaysia dan Singapura, Indonesia mendapatkan kemerdekaan dengan cara peperangan.

Setelah berjaya mengusir keluar penjajah, sebahagian besar kawasan yang pernah ditawan Belanda bersepakat membentuk sebuah negara yang bebas dan merdeka. Maka, pada 17 Ogos 1945, terbentuklah Indonesia yang bermula dari Sumatera, Riau, Kalimantan, Sulawesi, Kepulauan Jawa dan beberapa kepulauan yang lain.

Bagaimana perjalanan politik di Indonesia? Pada mulanya, negara tersebut dipimpin oleh Soekarno, Presiden Republik Indonesia (RI) yang pertama. Pada mulanya, kerajaan pimpinan Soekarno berjalan dengan lancar. Namun, bermula awal tahun 1960, kepimpinan beliau dikatakan cenderung ke arah komunis. Kerajaan pimpinan Soekarno didakwa memberi perlindungan terhadap Parti Komunis Indonesia (PKI) sehingga mengakibatkan ada pihak yang tidak menyenanginya.

Pada 30 September 1965, terjadi peristiwa G30S/PKI yang mana ketika itu beberapa pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Darat didakwa telah diculik dan dibunuh. Insiden tersebut dikatakan didalangi oleh Leftenan Kolonel Untung, iaitu komandan Cakrabirawa (Pasukan khusus pengawal presiden).

Bertindak atas insiden tersebut, Presiden Soekarno telah mengeluarkan Surat Supersemar (Surat Perintah 11 Mac 1996). Isi surat tersebut adalah memerintahkan Soeharto yang pada ketika itu memegang jawatan Panglima Komando Cadangan Strategis AD supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi keamanan yang mula memburuk di Indonesia.

Soeharto bertindak mengeluarkan maklumat untuk membubarkan PKI dan dianggap bahawa PKI merupakan organisasi terlarang. Arahan ini adalah penggerak kepada terjadinya pemberantasan secara besar-besaran terhadap organisasi PKI dan pengikutnya. Leftenan Kolonel Untung pula telah ditangkap dan dijatuhi hukuman mati.

Susulan daripada penangkapan dan hukuman yang dikenakan terhadap Leftenan Kolonel Untung, telah menyaksikan gerakan yang sebelum ini pernah dipimpin oleh Untung akhirnya dipatahkan dan anggota-anggota PKI ada yang ditangkap dan dihukum mati.

Keadaan Indonesia pada ketika itu menjadi sangat tidak aman. Dikatakan berlakunya gerakan memusnahkan PKI secara besar-besaran di seluruh Indonesia. Sesiapa yang didapati ada kaitan dengan PKI, atau bersubahat, menjadi ahli atau apa-apa yang berkaitan akan ditangkap dan dibunuh.

Kesan daripada gerakan anti-komunis yang berlaku sekitar tahun 1965-1966, dikatakan bahawa kematian di seluruh Indonesia melebihi 400,000 orang. Jumlah kematian yang sangat ramai, berlakunya rusuhan, pembunuhan dan suasana politik yang tidak stabil memberi tekanan terhadap kerajaan pimpinan Soekarno. Akhirnya, Soekarno secara rasmi melepaskan jawatannya pada 12 Mac 1967.

Jatuhnya kerajaan pimpinan Soekarno menjadi titik-tolak kepada bermulanya era kepimpinan Soeharto. Beliau secara rasmi menjadi Presiden RI ke-2 bermula pada 27 Mac 1968 dan berakhir pada 21 Mei 1998. Pada mulanya, pentadbiran beliau berjalan dengan lancar tanpa ada banyak masalah.

Namun, tidak lama selepas itu, satu persatu isu mula timbul. Ekonomi tidak stabil, nilai matawang Rupiah merosot teruk, kenaikan harga barang, pengangguran, krisis ekonomi dunia dan penuputan begitu banyak bank tempatan menjadi kemuncak kepada kemelut politik era pentadbiran Soeharto.

Pelbagai isu mula menghantui pentadbiran Soeharto. Rakyat Indonesia mula melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan sedia ada. Mereka mula turun di jalanan, menaikkan sepanduk dan mula menuntut supaya Soeharto melepaskan jawatannya. Peserta demonstrasi yang turun di jalanan kebanyakannya terdiri daripada golongan mahasiswa. 

Kredit: BBC

Ada beberapa hal yang menyebabkan mahasiswa turun di jalanan. Pertamanya, mahasiswa menuntut supaya kerajaan Indonesia haruslah dipimpin oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat, bukannya dipimpin oleh satu kelompok yang ingin menyelamatkan karier politiknya. Dalam erti kata lain, rakyat Indonesia mahukan kerajaan berunsur demokrasi, dan bukannya bersifat autokrasi.

Yang kedua, kerapuhan matawang Rupiah Indonesia yang merosot sehingga paras 17,000 Rupiah untuk tukaran satu Dolar Amerika menyebabkan rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan sedia ada. Yang ketiga, tempoh kepimpinan Soharto yang telah menjangkau tempoh lebih daripada 30 tahun menyebabkan kerajaan pimpinannya mula goyah dan sokongan rakyat pula kian merosot.

Bertindak atas desakan, Soeharto mengambil beberapa langkah untuk menstabilkan keadaan. Beliau melakukan rombakan kabinet, mengerah pasukan keselamatan untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan berkeras untuk tidak melepaskan jawatannya. Namun, peserta demontrasi tetap berada di jalanan dan berterusan mendesak presidennya untuk melepaskan jawatan.

Demonstrasi Indonesia 1998

Tanggal 12 Mei 1998 menjadi titik tolak kepada kemarahan sebahagian besar rakyat Indonesia. Tarikh tersebut menjadi saksi kepada terkobannya Elang Mulia Lesmana, Heri Hertanto, Hafidin Royan dan Hendriawan Sie. Mereka terkorban akibat ditembak semasa terlibat dengan demontrasi yang diadakan di perkarangan Universiti Trisakti dan rentetan daripada peristiwa itu, telah digelar sebagai Tragedi Trisakti. Amarah rakyat Indonesia sudah tidak dapat lagi dibendung. Mereka memenuhi jalan raya, siang dan malam. Jumlah mereka semakin bertambah setiap hari. Tekanan yang dihadapi oleh Presiden Indonesia ketika itu, Soeharto semakin hebat.

Akhirnya, Soeharto mengambil keputusan meletak jawatan dan mengumumkan Bacharuddin Jusuf Habibie (B.J. Habibie) sebagai penggantinya. Pengunduran Soeharto menjadi titik tolak kepada bermulanya era baru terhadap politik Indonesia. Selain itu, pengunduran beliau memberi kejayaan besar kepada mahasiswa yang berjaya mendesak perubahan kepimpinan kerajaan melalui demontrasi jalanan.

Pasca kepimpinan Soeharto, politik Indonesia lebih terbuka dan bersifat demokrasi. Tempoh kepimpinan B.J Habibie adalah sangat singkat. Tidak banyak perkara yang dapat dilakukannya. Pada 20 Oktober 1999, Abdurrahman Wahid pula menggantikan tempat B.J Habibie dan mentadbir Indonesia selama 9 bulan dan kemudiannya jawatan tersebut beralih pula kepada Megawati Soekarnoputri. Ini bermaksud dalam tempoh 3 tahun, sebanyak 3 kali jawatan Presiden RI bertukar ganti.

Di bawah pemerintahan Megawati, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap politik dan ekonomi Indonesia. Pada awal tahun 2004, iaitu sebelum berlakunya Pemilihan Umum (Pemilu), nama Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menjadi popular. Ini berlaku gara-gara tersebarnya maklumat bahawa SBY tidak dapat melaksanakan tugas sebagai Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan  dengan sebaiknya.

Akhirnya, SBY mengumumkan perletakan jawatannya dan keputusan tersebut memberi tekanan yang sangat hebat kepada Megawati yang mahu mengekalkan jawatannya pada Pemilu akan datang. Keadaan politik ketika itu memberi gambaran bahawa SBY merupakan pemimpin politik yang kurang bernasib baik dan perlu mendapat sokongan yang sewajarnya daripada orang ramai.

Akhirnya, SBY bersetuju untuk merebut jawatan Presiden RI dan berdepan dengan Megawati Soekarnoputri sebagai lawannya. SBY bertanding atas tiket Parti Demokrat manakala Megawati Soekarnoputri bertanding atas tiket Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). Keputusan Pemilu 2004 menyaksikan SBY dipilih sebagai Presiden Indonesia ke-5 dengan sokongan undi sebanyak 60.62% manakala Megawati Soekarnoputri hanya mendapat 39.38% undi.

SBY mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia ke-5 pada 20 Oktober 2004 dan beliau berjaya mengekalkan jawatannya pada Pemilu seterusnya (20 Oktober 2009). Undang-undang di Indonesia telah menetapkan bahawa seseorang yang memegang jawatan presiden hanyalah untuk tempoh dua penggal sahaja dan tidak boleh melebihinya.

Oleh itu, SBY tidak mencalonkan dirinya pada Pemilu 2014 dan memberi ruang kepada calon lain untuk bertanding. Pada 20 Oktober 2014 pula, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden RI ke-6 setelah berjaya menewaskan pencabarnya, Prabowo Subianto.

Selepas memenangi Pemilu 2014, Jokowi sekali lagi bertanding sebagai calon Presiden pada 2019 dan mendapat saingan daripada pencabar yang sama, iaitu Prabowo Subianto. Keputusan Pemilu 2019 menyaksikan Jokowi kekal sebagai presiden Indonesia untuk penggal seterusnya dengan mendapat undi sebanyak 55.50%, menewaskan pencabarnya yang hanya memperolehi undi sebanyak 44.50%.

Beberapa ketika setelah Jokowi secara sah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Indonesia untuk penggal seterusnya, tercetus pula kontroversi yang pada akhirnya menyebabkan sebahagian mahasiswa di Indonesia mulai marah. Kemarahan dan protes yang ditunjangi mahasiswa Indonesia terkait rapat dengan cadangan penggubalan beberapa rang undang-undang  seperti Undang-Undang Komisi Pemberanterasan Korupsi (UU KPK) dan Rang Undang-Undang Kitab Hukum dan Pidana (RUU KUHP) yang tidak dipersetujui banyak pihak. Jika RUU KPK berjaya dilaksanakan, ia bakal melemahkan kuasa KPK yang diberi tanggungjawab untuk menangani masalah rasuah di Indonesia.

Bertindak atas rasa tidak puas hati, pada 23 September 2019, mahasiswa sekali lagi turun berdemonstrasi dan memenuhi jalan raya sekitar Indonesia. Demonstrasi dilakukan di beberapa kawasan seperti di Yogyakarta dan Jawa Timur. Jumlah penunjuk perasaan semakin meningkat dan demonstrasi mula merebak di beberapa lagi tempat seperti di Jakarta, Sumatera dan Sulawesi.

Peserta demonstrasi berikrar akan terus berada di jalanan selagi kerajaan tidak menarik balik cadangan pindaan rang undang-undang. Jumlah peserta demonstrasi semakin bertambah dan tekanan terhadap kerajaan Indonesia pimpinan Jokowi semakin meningkat. Akhirnya, pada 26 September 2019 Jokowi terpaksa tunduk dengan desakan apabila beliau mengeluarkan arahan untuk mempertimbangkan terbitnya Peraturan Pengganti Undang-undang (PERPU) iaitu peraturan yang dibuat oleh presiden jika ada situasi mendesak.

Mahasiswa pula menuntut supaya rang undang-undang yang ingin diperkenalkan sepatutnya dibatalkan, bukannya ditangguhkan perlaksanaannya. Mereka juga berikrar akan terus berada di jalanan dan berdemo selagi ada usaha daripada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan rang undang-undang yang dikatakan melindungi pihak yang salah, menindas pihak yang lemah.

Namun, selepas Jokowi mengumumkan bahawa rang undang-undang yang ingin diperkenalkan telah ditarik semula, demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Indonesia mulai mengendur. Kegiatan ekonomi, pendidikan dan aktiviti seharian masyarakat telah kembali seperti sedia kala.

Sememangnya demonstrasi memberi kesan terhadap ekonomi, politik dan sosial sebuah negara. Demonstrasi yang disusuli dengan perlakuan ganas, vandalisme dan berlaku di luar kawalan akan mengakibatkan ekonomi sesebuah negara menjadi tidak stabil. Namun, perlu diakui bahawa demonstrasi adalah jalan terbaik sekiranya semua rundingan dan tuntutan secara baik yang telah dilakukan menemui kegagalan.

Akhir kalam, semoga demokrasi di Indonesia terus kekal subur dan politiknya sentiasa berada dalam keadaaan stabil demi menjamin kesejahteraan serantau.

Artikel disumbangkan oleh Syahmi Minhad untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.