Semasa tahun ketiga aku di unversiti, aku telah terlibat dengan program SASET di mana kami perlu menanam anak pokok hutan dek kebakaran di hutan sekitar Tasik Bera. Seterusnya, kami bergerak ke Tasik Bera untuk kajian lapangan kami. Air di situ, sekalipun air paip mahupun tandas awam, pasti berbau seperti tasik. Perkara ini buat aku teringat dengan tasik berdekatan dengan rumah aku, Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Baunya juga busuk.
Kenapa air tasik berbau busuk tapi air sungai tak busuk?
Inilah apa yang membuatkan aku terfikir sepanjang kajian lapangan itu dibuat. Tasik, sekalipun ia tak mempunyai sebarang kemasukan air pembentung mahupun hasil agrikultur tetap akan membusuk. Perkara ini terjawab setelah aku melakukan satu eksperimen ringkas bernama ‘kolumn Winogradsky’.
Secara amnya, sampel tanah daripada kawasan terpilih akan dimasukkan dalam sebuah balang dan kemudiannya diisi dengan air. Selepas itu, ia akan dibiarkan untuk beberapa minggu. Hasilnya, tanah yang terisi itu akan mula berubah sifatnya berdasarkan lapisan lapisan tertentu. Tapi, apa yang menyebabkan ia berubah menjadi lapisan berlainan? Jawapannya ialah bakteria dan plankton.
Umum diketahui, lain bakteria lain sifatnya. Ada bakteria yang memerlukan oksigen untuk hidup (aerobik), ada yang tak perlukan oksigen (anaerobik) dan ada juga yang boleh makan besi. Bakteria bakteria sebeginilah yang mengubah sifat tanah tersebut. Selalunya dalam tanah yang subur atau produktif, ia akan mempunyai nutrient seperti karbon (pokok reput dan cengkerang haiwan) dan sulfur (bangkai dan tahi haiwan). Tindak balas bakteria aerobik/anaerobik terhadap nutrient ini menyebabkan terciptanya lapisan tanah tersebut. Semakin dekat ia dengan cahaya matahari, semakin banyak bakteria aerobik. Semakin jauh ia daripada cahaya, seperti dasar kolumn Winogradsky, semakin banyak bakteria anaerobik tertumpu di situ.
Disebabkan bakteria anaerobik ini tak menggunakan oksigen untuk proses respirasi, maka mereka menggunapakai sumber lain – sulfat. Sekiranya proses respirasi aerobik menghasilkan karbon dioksida sebagai bahan buangan, hidrogen sulfida pula ialah bahan buangan untuk bakteria anaerobik tersebut. Hidrogen sulfida inilah punca bau busuk telur temberang dan juga bau tasik. Tapi, disebabkan ia terperangkap dalam tanah, komponen busuk ini akan bertindak balas dengan besi dan menghasilkan besi sulfida. Yang warna hitam dalam tanah tu selalunya besi sulfida lah.
Walaupun kolumn Winogradsky adalah lebih terhadap proses kejadian lapisan tanah, pembentukan tasik yang berbau juga boleh dikatakan melalui proses yang lebih kurang sama. Sekiranya tasik itu cetek, ia takkan berbau sebab jumlah oksigen dan cahaya yang banyak dalam air. Ingat, untuk hasilkan tasik busuk kita perlukan hidrogen sulfida daripada bakteria yang tak perlukan oksigen. Begitu juga dengan tasik bergaram dan tasik beku. Yang ni bukan semua bakteria boleh hidup dalam kawasan yang tersebut dan sebab tu tak bau busuk. Macam ikan masin yang tak reput sebab bakteria tak boleh hidup. Oleh itu, kita perlukan tasik yang dalam, di mana cahaya matahari hanya boleh tembus pada kedalaman tertentu.
Macam aku sebut dalam kolumn Winogradsky, semakin dekat takat air itu dengan cahaya matahari, semakin banyak bakteria aerobik yang ada. Semakin bawah, semakin banyak bakteria kurang oksigen. Jadi, ia juga mempunyai dua lapisan bakteria seperti tanah dalam kolumn Winogradsky. Ditambah lagi dengan semua bahan reput yang terdampar di dasar tasik, maka jumlah bakteria anaerobik yang menggunakan sulfat pun banyak. Hasilnya, banyak besi sulfida yang terhasil dan tasik berbau busuk.
RUJUKAN:
Singh, B., & Wong, S. (2010, August). Acid sulfate soils in the Perth metropolitan area of Western Australia. In 19th World Congress of Soil Science, Soil Solutions for a Changing World, Brisbane, Australia (Vol. 16).
Nichols, Gary (1999), Sedimentology & Stratigraphy, Malden, MA: Wiley-Blackwell, ISBN 978-0-632-03578-6
Zavarzin, G.A. (2006). Winogradsky and Modern Microbiology. Microbiology. (75)5, 501-511
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih