‘Pokok keabadian’. Itulah julukan yang diberikan oleh masyarakat Mesir Purba buat aloe vera (lidah buaya). Tumbuhan yang mengandungi seribu satu guna ini tidak hanya dihargai oleh warga lembah Sungai Nil, akan tetapi ia turut dimanfaatkan oleh pelbagai tamadun di serata dunia.
Sejak dahulukala, ia digunakan bagi merawat bermacam-macam masalah kesihatan. Obesiti, kulit melecur, dermatitis, ulser, asma, diabetes, jerawat dan kusta – kesemuanya dapat dirawat berkat khasiat yang sarat terkandung di dalam aloe vera.
Lebih 95% kandungan aloe vera terdiri daripada air, sambil bakinya pula diperkaya dengan mineral, vitamin, asam amino, enzim, dan polisakarida. Antara kandungan lain termasuklah kalsium, zat besi, zink, magnesium, zat tembaga, potassium, dan mangan. Tumbuhan ini sesuai digunakan bagi menangani masalah radang di samping meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan penghasilan sel da-rah merah.
Berbicara daripada sudut sejarah, aloe vera dicatatkan berasal dari bumi Afrika dan Timur Tengah. Bagaimanapun, tidak keterlaluan untuk mengatakan yang ia boleh tumbuh di mana pun jua. Ada air ada ikan, ada gula ada semut. Asalkan ada hujan dan tanah, lidah buaya memang mudah untuk mengeluarkan buah. Oleh kerana itulah, aloe vera sejak zaman-berzaman terkenal sebagai ramuan kesihatan.
Setakat yang diketahui, penggunaan terawal aloe vera adalah pada 6,000 tahun dahulu – oleh masyarakat Mesir Purba. Sesuai dengan julukannya sebagai ‘pokok keabadian’, aloe vera disifatkan sebagai rahsia kecantikan, kesihatan, dan panjang usia. Ratu-ratu unggul Mesir, seperti Cleopatra dan Nefertiti sendiri dicatatkan memakai sari aloe vera sebagai rutin penjagaan kejelitaan mereka.
Tidak hanya mengindahkan kulit, aloe vera juga dimanfaatkan sebagai bahan pengawet dalam proses mumifikasi. Mumifikasi, menurut kepercayaan mereka, adalah jalan untuk mengecapi kehidupan abadi. Nilai aloe vera turut dihargai dalam upacara persemadian gemulah firaun, di mana ia lazim dijadikan sebagai salah satu hadiah berharga buat mereka.
Dalam Papirus Eber (ditulis pada 1,550 SM, zaman pemerintahan Amenhotep) yang ditemui di Thebes pada tahun 1858, aloe vera dicatatkan sebagai anti-radang dan pelega kesakitan, di samping berkesan dalam merawat batuk kering.
Ia turut dianggap sebagai simbol keagamaan. Kononnya, menggantungkan simbol aloe vera pada pintu rumah dapat menghalau fitnah dan pengaruh jahat. Sementara itu, tablet-tablet tanah liat berusia 2,200 SM yang dijumpai dari Nippur (sebuah kota di Sumeria) menyifatkan aloe vera sebagai penyahtoksik badan.
Sepanjang kempen keten-teraan Alexander Agung, aloe vera banyak berjasa dalam merawat luka yang dialami oleh t3nt3ra-t3nt3ranya. Beliau bahkan membawa bersama gerabak-gerabak yang dipenuhi aloe vera sebagai bekalan perubatan. Dicatatkan, Aristotle pernah menasihati anak muridnya itu supaya mere-but Pulau Socotra. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meram-pas kesemua ladang aloe vera yang terdapat di sana.
Empayar Rom pada kurun pertama Masehi (di bawah pemerintahan Nero) pula menyaksikan khasiat aloe vera diabadikan oleh seorang tabib bernama Dioscorides. Sepanjang hayatnya, Dioscorides sempat mengabadikan ilmu beliau ke dalam beberapa buah buku. Buku pertamanya, De Metaria Medica yang dikarang pada 41-68 Masehi memuatkan pemerihalan tentang berbagai jenis penyakit dan kaedah rawatannya.
Dalam bab berkenaan rawatan menggunakan tumbuh-tumbuhan, Dioscorides menyifatkan aloe vera sebagai antara tumbuhan kegemarannya. Menurutnya, sari aloe vera boleh digunakan bagi merawat luka, ketidakselesaan perut, radang gusi, sakit sendi, sakit kulit, selaran matahari (sunburn), jerawat, dan keguguran rambut.
Pemerincian beliau itu turut disokong oleh seorang lagi ilmuwan Rom, iaitu Pliny the Elder. Di dalam karyanya yang berjudul Natural History, Pliny juga menambah khasiat aloe vera sebagai penyembuh penyakit kusta dan anti-perpeluhan.
Bagi tamadun China, khasiat aloe vera diketahui sejak zaman Marco Polo lagi (Dinasti Yuan). Mereka mengenali sari tumbuhan tersebut sebagai Lu-Hui, dan ia disebut buat pertama kali pada kurun ke-11 Masehi. Buku perubatan China yang berjudul Shi-Shen menyifatkan penggunaan aloe vera sebagai salah satu ‘Kaedah Rawatan Semulajadi’. Di Jepun pula, aloe vera dikenali sebagai tumbuhan istana dan adakalanya, sari tumbuhan tersebut dijadikan ramuan untuk diminum.
Eropah pada Zaman Pertengahan juga tidak ketinggalan. Sepanjang kempen pe-rang salib, Knights Templar memanfaatkan aloe vera sebagai bahan bagi menghasilkan a-rak – selain kelapa dan biji rami. Dalam perlayaran Christopher Columbus ke Dunia Baru pula, tumbuhan tersebut turut diangkut bersama sebagai bekalan bagi merawat luka.
Kata beliau, “Terdapat empat tumbuhan paling berharga buat manusia – gandum, anggur, zaitun, dan lidah buaya. Gandum memberi khasiat. Anggur menaikkan semangat. Zaitun bekalan rehat, dan lidah buaya memberi sihat.”
Masyarakat-masyarakat asli di Dunia Baru sendiri akrab dengan aloe vera. Bagi suku-suku tertentu, ia dianggap sebagai salah satu dari 16 tumbuhan suci. Kebiasaannya, mereka memanfaatkan aloe vera sebagai pembasmi serangga – sama ada disapu pada kulit manusia, kayu, atau barang-barang berharga.
Pada kurun ke-17, rantau Hindia Barat terkenal sebagai pembekal utama aloe vera bagi pasaran Eropah. Syarikat Hindia Timur mendapatkan bekalan mereka dari Socotra dan Zanzibar, manakala Belanda pula membuka ladang-ladang aloe vera di Barbados, Curacao, Aruba, dan Bonaire. Menjelang kurun ke-18, aloe vera mula diekstrak menjadi ubat-ubatan dan hari ini, aloe vera hadir dalam pelbagai rupa.
TERJEMAHAN
Veronica Parkes. (6 Februari 2017). The Ancient ‘Plant of Immortality’ That Treats Over 50 Medical Conditions. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih