Jika anda sering menonton siri televisyen The Magnificient Century yang mengisahkan hubungan cinta dan politik Uthmaniyyah pada zaman Sultan Suleyman Qanuni dengan Hurrem Sultan, anda pasti percaya semua itu dibina atas dasar cinta kan? Hingga ada di kalangan kalian yang menggelar Sultan Suleyman sebagai raja yang tunduk kepada kaum wanita. (kerana zaman Kesultanan Wanita membina pengaruh pada zaman dia)

Sebenarnya ia kurang tepat, benar, Sultan Suleyman terlalu memberi kelebihan kepada wanita hingga dia pernah dikatakan telah disihir oleh Hurrem, tetapi pada sudut yang lain, salah, kerana Sultan Suleyman mungkin satu-satunya Sultan yang memecahkan tradisi Uthmaniyyah dengan mengahwini seorang hamba wanita atau gundik. (Sultan tidak pernah menikahi seorang gundik, peranan gundik hanyalah untuk melahirkan pewaris takhta kepada Sultan).

Tetapi konteks perkahwinan politik tidak semestinya hanya dikawal oleh institusi harem semata-mata, bahkan ia lebih luas daripada itu. Baiklah, sistem perkahwinan politik dikalangan pemerintah Uthmaniyyah boleh dipecahkan kepada tiga kaedah mengikut kesesuaian keperluan waktu itu:

  • Perkahwinan Dinasti – Perkahwinan sesama anggota kerabat dinasti Osman, kebiasaannya mereka menolak berkahwin dengan wanita dari keluarga yang ada pengaruh besar.
  • Perkahwinan Diraja/Sekutu – Perkahwinan dengan para puteri diraja atau anak bangsawan dari empayar asing seperti empayar-empayar Kristian Eropah demi mengukuhkan hubungan diplomatik.
  • ‘Perkahwinan’ Dengan Hamba/Gundik – Sebenarnya seorang Sultan tidak perlu menikahi hambanya. Mereka menggauli gundik hanya untuk mendapatkan zuriat yang boleh mewarisi takhta sahaja.)

Semasa pembentukan Empayar Uthmaniyyah, pemerintah Uthmaniyyah, sama seperti pemerintah Eropah akan melaksanakan dasar kontrak perkahwinan ketika menjalin hubungan melalui perkahwinan politik dengan anak perempuan pemerintah Kristian.

Isteri Sultan yang beragana Kristian tidak akan dipaksa memeluk Islam. Status mereka ditentukan dengan jelas oleh pengesahan perkahwinan yang ditandatangani oleh ibu bapa atau saudara lelaki bakal suami. Kontrak ini memberikan hak kepada wanita untuk mempertahankan agama mereka, hak mereka untuk menjaga rumah dan aset mereka, dan juga kelebihan pada kedudukan status yang tinggi.

Pada mulanya, budaya perkahwinan sebegini dan hubungan keluarga yang berkaitan diamalkan dengan sangat serius, seseorang tidak boleh menganggapnya hanya sekadar satu manifestasi penghinaan, kerana kedua-dua pihak dinasti atau keluarga yang terlibat biasanya akan memperoleh keuntungan politik bersama, bahkan para hamba wanita yang melahirkan zuriat untuk Sultan juga diberi keistimewaan tertinggi di harem.

Seiring dengan perubahan zaman, dengan meningkatnya ketidakseimbangan dalam kemampuan ketenteraan Empayar Uthmaniyyah dan negara-negara Kristian di Balkan, mereka menjadi sebahagian dari tekanan politik. Namun, ini tidak bermaksud mereka akan meninggalkan prinsip-prinsip kontrak perkahwinan politik.

Keruntuhan Empayar Byzantium pada 1453 dan negara-negara Balkan menyebabkan mereka menarik diri dari polisi kontrak perkahwinan politik antara Sultan dengan wanita Kristian, dan kemudian, pengunduran diri sepenuhnya dari pengesahan perkawinan. Selepas penakl*kan Balkan dan Asia Kecil, Uthmaniyyah seolah-olah telah kehilangan arah tuju mereka.

PERKAHWINAN MENGIKUT KESESUAIAN SEMASA

Budaya perkahwinan politik dikalangan empayar monarki silam di mana seorang raja atau putera akan mengahwini puteri-puteri kerajaan asing kebanyakannya sinonim dengan pada awal penubuhan Empayar Uthmaniyah.

Perkahwinan diraja pula biasanya diatur melalui rundingan diplomatik, elemen-elemen cinta atau agama tidak banyak memberi perbezaan. Uthmaniyyah hanya memperluaskan dan memperkuatkan pengaruh kuasa mereka melalui apa yang disebut perkahwinan sekutu politik.

Raja Akbar Agung, maharaja Empayar Mughal di India telah menikahi wanita Hindu, Muslim, dan Kristian, dia bahkan membina rumah-rumah ibadat mengikut kesesuaian dan kepercayaan isteri masing-masing di kota yang baru dibinanya, Fatehpur Sikri.

Uthmaniyyah menggunakan perkahwinan sebegini sebagai alat politik dalam mengukuhkan pengaruh kekuasaan mereka melalui jalinan hubungan politik dengan kerajaan serantau.

Ikatan perkahwinan politik sebegitu bermula pada tahun-tahun terawal ketika Uthmaniyyah (sebelum menjadi Kesultanan) baru ditubuhkan sehingga pasca Zaman Pertengahan.

Sementara itu, berdasarkan hikayat-hikayat dari cerita rakyat Uthmaniyyah menyatakan bahawa pengasas Uthmaniyyah, Osman Bey mendapat anak lelaki yang mewarisi takhtanya kemudian, iaitu Orhan Bey, dikatakan Osman dikurniakan cahaya mata melalui perkahwinannya dengan anak perempuan mentornya sendiri iaitu Sheikh Edebali.

Dokumen ikatan amanah yang bertarikh pada 1324 menunjukkan bahawa ibu Orhan adalah Mal Hatun, anak perempuan kepada Omer Beg. Gelaran “Beg”  menunjukkan bahawa Omer adalah seorang bangsawan atau mungkin seorang gabenor, dan Osman telah menikahi Mal mungkin demi mengukuhkan hubungan sebagai kerajaan yang bersekutu dengan Omer Beg.

Perkahwinan politik dengan ahli keluarga bangsawan atau raja-raja Kristian Eropah bermula semasa pemerintahan Orhan Bey. Pada tahun 1346, Orhan mengahwini Theodora, puteri kepada John Kantakouzenos.

Perkahwinan itu mengesahkan hubungan sebagai sekutu yang dibentuk antara John dengan Uthmaniyyah demi usaha menentang pesaingnya, permaisuri-bupati Anna of Savoy.

KEDAULATAN DITENTUKAN MELALUI PERKAHWINAN

Ketika Uthmaniyyah sedang berkembang sebagai sebuah kerajaan yang semakin kuat, perkahwinan dengan puteri diraja asing menjadi satu kaedah untuk mengesahkan pengiktirafan kerajaan asing terhadap kedaulatan kuasa Uthmaniyyah.

Ini penting, kerana para pengasas terawal Empayar Uthmaniyyah sendiri, kebanyakannya terdiri dari orang-orang bawahan dan para pembesar baik di Eropah maupun di Anatolia. Pada waktu itu, tiada sebarang jaminan sah bahawa kedudukan mereka tidak diancam oleh kuasa-kuasa besar yang lain.

Perkara ini berlaku terutamanya pada akhir abad ke-14 dan awal abad ke-15. Untuk mengesahkan pengiktirafan Bulgaria terhadap Uthmaniyyah pada tahun 1371, Murad I mengahwini adik perempuan Tsar Ivan Shishman, Thamar.

Dia juga menikahkan puteranya iaitu Bayezid, dengan anak perempuan seorang Bey dari Beylik Germiyanid, sehingga sebahagian besar tanah milik Beylik Germiyanid berada di bawah kawalan sepenuhnya pemerintah Uthmaniyyah.

Perkahwinan politik kemudiannya akan menjadi sebahagian daripada dasar Uthmaniyyah terhadap Serbia. Selepas Pertemp*ran Kosovo pada tahun 1389, Putera Serbia Moravia yang baru, Stefan Lazarevic, bersetuju untuk menjadi vassal kepada Sultan Bayezid I.

Sebahagian daripada terma perjanjian itu adalah adik perempuan Stefan, Olivera, akan mengahwini Bayezid.  Kemudian, Sultan Murad II akan menikahi puteri George Brankovic untuk mengesahkan penakl*kannya terhadap Serbia.

Stefan telah menunaikan janjinya dengan membantu Sultan Bayezid I menentang Empayar Mongol Timurid namun Uthmaniyyah kalah teruk dalam Per*ng Ankara yang menandakan bermulanya zaman Interregnum.

RISIKO MENGAHWINI AHLI KERABAT DINASTI

Uthmaniyyah hanya boleh menggunakan perkahwinan politik sebagai alat penakl*kan ketika berada dalam posisi berkuasa. Ketika mereka lemah, sekali lagi mereka terpaksa menjalin hubungan diplomatik dan bersekutu.

Semasa tempoh Interregnum (Per*ng Saudara Uthmaniyyah 1402–1413), di mana empayar itu jatuh ke dalam konflik per*ng saudara antara putera-putera Bayezid, para putera yang saling bersaing ini digelar sebagai Çelebi.

Para Çelebi masing-masing akan mengahwini puteri-puteri kerajaan asing bukanlah demi untuk mendapatkan pengiktirafan kedaulatan kerajaan asing terhadap empayar Uthmaniyyah, tetapi ia digunakan untuk menjalin hubungan sebagai sekutu supaya mereka boleh membantu dalam kempennya untuk menghapuskan adik beradik kandungnya sendiri.

Dinasti Osman mula menghentikan budaya berkahwin dengan puteri kerajaan asing pada pertengahan abad ke-15, ketika itu empayar sudah mula berpusat. Oleh kerana Sultan sudah tidak terlalu bergantung pada kerajaan-kerajaan naungannya, maka adalah sedikit keperluan untuk mengamalkan perkahwinan sesama dinasti.

Ikatan perkahwinan politik Uthmaniyyah yang terakhir adalah perkahwinan di antara putera-gabenor Bayezid (kemudian menjadi Sultan Bayezid II dengan puteri Dulkadirid, Ayshe Hatun.

Idea bahawa kebanyakan perkahwinan ini dilakukan dengan puteri Kristian sahaja tidak semuanya benar seperti yang kita jangka dan lihat. Uthmaniyyah juga pernah membentuk perkahwinan dinasti dengan mempertimbangkan kepentingan politik kontemporari.

Oleh kerana mereka berurusan dengan pentadbir dari beylik-beylik Anatolia, maka  perkahwinan sebegini adalah diantara lelaki Islam dan wanita Islam sahaja.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, sultan-sultan Uthmaniyyah tidak akan membiarkan seseorang membina pengaruh sendiri dengan menjadi bapa mertua kepada Sultan, jadi mereka lebih rela tidak menikahi wanita-wanita dari anggota kerabat diraja sendiri tetapi mereka melahirkan pewaris takhta dengan menggauli hamba wanita yang menjadi gundik di harem.

HAMBA YANG MENJADI GUNDIK

Semua gundik-gundik Sultan datang dari golongan hamba wanita (jariyah) yang berasal dari tanah asing dan beragama Kristian. Seorang gundik tidak sama dengan seorang isteri, lebih-lebih lagi dalam budaya Islamik masyarakat Uthmaniyyah.

Menurut Undang-undang terakhir Dinasti yang diluluskan pada tahun 1920, “mereka (gundik dan wanita asing yang menikahi Sultan) tidak diterima sebagai anggota dinasti tetapi sebagai anggota kedaulatan-dinasti.”

Boleh dikatakan, para Sultan Uthmaniyyah hampir tidak pernah berkahwin dengan semua gundik yang digauli mereka;  malahan, apabila Sultan Suleyman bernikah dengan hamba wanita berdar*h Ruthenian yang bernama Hurrem, ia telah mengejutkan orang-orang Istanbul dan orang asing.

Ini bermakna, kita hanya boleh berbicara mengenai Sultan memilih isteri dari negara asing pada sebelum abad ke-16 sahaja. Dan kita perlu tahu bahawa peranan seorang isteri tidak akan sama seperti gundik kerana melahirkan zuriat dan memberikan pewaris takhta kepada Sultan tidak lagi menjadi tujuan utama untuk seorang isteri atau Sultanah. Namun ia tidak sebegitu rupa pada awal kebangkitan Uthmaniyyah.

Theodora melahirkan anak lelaki untuk Orhan iaitu Halil manakala Ayshe Hatun melahirkan anak lelaki yang menjadi calon Sultan, Selim I, kebanyakan perkahwinan ini bebas dari sebarang penyakit-penyakit keturunan.

Tujuan asal pemerintah Uthmaniyyah menikahi puteri asing adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan sekutu atau mengesahkan kedaulatan mereka, bukan untuk melahirkan pewaris Sultan, semua itu hanya berubah selepas era Interregnum.

Bermula dari zaman Sultan Mehmet Fatih, setelah Penakl*kan Konstantinopel, kerajaan menjadi lebih kuat dan stabil, maka kuasa dan pengaruh mereka perlu dipastikan tidak dirampas oleh ahli kerabat diraja yang lain. Maka dengan itu, dinasti Uthmaniyyah mula ‘menikahi’ para hamba wanita.

Dalam tradisi klasik Uthmaniyyah, seorang Sultan tidak memilih isteri mereka sendiri, mereka mengahwini hamba wanita yang telah dipilih oleh ibu mereka (Valide Sultan) dan yang telah datang dan membesar di istana sejak dari kanak-kanak lagi.

Ia konsep yang sama seperti Sekolah Enderun di mana para negarawan dan pejuang Janissari terkemuka dibesarkan, institusi harem di istana berperanan membesarkan kaum wanita berpendidikan yang berasal dari golongan hamba untuk pelbagai tujuan.

Dan hanya satu saja tujuan yang sesuai, iaitu untuk melahirkan bakal pewaris takhta Sultan pada masa hadapan. Tidakkah ini namanya satu percaturan politik? Satu lagi fakta perlu diperhatikan dalam siri televisyen Turki yang mengisahkan mengenai hubungan Sultan Suleyman dan Hurrem Sultan itu, ia banyak kesalahan maklumat dan penyampaian sejarahnya tidak tepat berdasarkan fakta tertentu.

Kerana Hurrem Sultan sebenarnya telah tiba di istana ketika dia berusia lebih muda iaitu sekitar lapan tahun. Dan dia telah dipilih oleh ibu Suleyman, bukan dipilih oleh Suleyman sendiri atas dasar jatuh cinta. Dan dia dari awal lagi telah dibesarkan sebagai seorang muslim, dia ibarat seorang ‘askar Janissari’ tetapi versi wanita. Pada saat dia berkahwin, dia tidak lagi ada sebarang kaitan dengan asal usul Kristiannya.

Dan mereka tidak semestinya berasal dari agama Kristian sepanjang masa. Pada penghujung era Uthmaniyyah, mereka kebanyakannya adalah gadis-gadis Circassian Muslim, bukannya Kristian.

Salah satu contoh yang luar biasa adalah Osman II semasa masih muda. Dia tidak berkahwin dengan wanita yang tinggal di dalam istana tetapi dari luar istana. Dia mengahwini anak perempuan seorang mufti besar (Sheikh-ul Islam). Seorang gadis Turk beragama Islam untuk dekat dengan bangsanya dan untuk mematahkan pengaruh Istana (Harem) terhadap politik. Sekali lagi ia masih tetap salah satu jenis perkahwinan politik.

Kesimpulannya, Sultan tidak pernah mengahwini seorang hamba wanita yang menjadi gundik, hanya Sultan Suleyman yang berani memecahkan tradisi tersebut.

RUJUKAN:

Ilona Czamańska. (2013). Christian Wives Of The Turkish Sultans. Political Marriages In The Ottoman Empire 14th and 15th

Süleyman İnan. (2014). Political Marriage: The Sons-in-Law of the Ottoman Dynasty in the Late Ottoman State, Middle Eastern Studies.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.