Hari ini, Perancis dan Britain nampak macam kawan baik. Mereka duduk dalam NATO, kadang-kadang sepentas dalam rundingan antarabangsa, dan sama-sama jadi suara besar dalam dunia Barat.
Tapi, kalau kita undur balik sejarah, sebenarnya dua negara ni pernah jadi musuh ketat. Bukan sehari dua, tapi berabad lamanya.
Antara abad ke-12 hingga abad ke-19, Perancis dan Britain terlibat dalam lebih 10 peperangan besar. Ada perang yang berlangsung sekejap, ada yang makan masa berdekad.
Dan mereka bukan setakat bergaduh di Eropah. Mereka juga berlaga di seluruh dunia. Dari Amerika ke India, dari laut Caribbean ke Lautan Hindi.
Jadi kenapa dua jiran yang cuma dipisahkan oleh Selat Inggeris ni bergaduh sampai macam tu sekali?
Jawapannya: kerna mereka berebut siapa paling berkuasa.
[Geografi: Dua Kuasa Besar, Satu Selat Sempit]
Secara geografi, Britain dan Perancis cuma dipisahkan oleh Selat Inggeris yang lebarnya tak sampai 40km. Tapi selat yang sempit tu dah cukup untuk cipta satu garis pemisah antara dua kuasa besar.
Siapa kuasai Selat Inggeris, dia kawal perdagangan antara Atlantik dan Eropah. Dia kawal pelabuhan, tentera laut, dan laluan masuk ke benua. Jadi dari awal lagi, sudah ada ketegangan. Sebab masing-masing tahu, satu selangkah ke depan boleh jadi ancaman kepada yang satu lagi.
[Sengketa Dinasti Jadi Permusuhan Negara]
Permusuhan bermula sejak zaman pertengahan, waktu sistem politik Eropah masih berdasarkan warisan diraja. Contoh paling ketara ialah Perang Seratus Tahun (1337–1453), yang berlaku sebab Raja England, Edward III, tuntut takhta Perancis berdasarkan salasilah keluarganya.
Perang ini bukan sekadar pertikaian keluarga, tapi kemudian merebak jadi perang besar yang libatkan hampir seluruh Eropah Barat. Dalam tempoh lebih satu abad, kedua-dua negara ini bertukar menjadi musuh tradisi.
Dan dari situlah, sebarang pertembungan politik atau ekonomi lepas itu mudah saja bertukar jadi konflik bersenjata.
[Pertembungan Global Bermula]
Bila masuk zaman penjajahan, konflik Perancis–Britain mula menjalar ke seluruh dunia. Perancis muncul sebagai kuasa darat yang hebat di bawah Raja Louis XIV, manakala Britain mula muncul sebagai kuasa laut dan empayar perdagangan.
Tapi dua-dua negara ini masih rasa tak cukup sekadar berkuasa di Eropah. Mereka mahukan lebih daripada itu. Mereka mahukan tanah jajahan, sumber asli, dan akses kepada pasaran global.
Jadi mereka berlaga di mana-mana saja:
Di Amerika Utara, mereka berebut Kanada dan kawasan Great Lakes.
Di India, mereka berlawan pengaruh melalui syarikat dagang.
Di Asia Tenggara, mereka bersaing kuasa dengan kuasa-kuasa tempatan.
Di Afrika dan Caribbean, mereka berebut ladang tebu dan pelabuhan.
Pertembungan ini akhirnya melahirkan Perang Tujuh Tahun (1756–1763), yang kadang dipanggil “perang dunia pertama” kerana ia berlaku serentak di empat benua.
[Kemenangan Britain, Kejatuhan Perancis]
Dalam Perang Tujuh Tahun, Britain berjaya kalahkan Perancis dan rampas banyak tanah jajahan strategik mereka. Termasuk Quebec di Kanada dan beberapa kawasan di India.
Kemenangan ni sangat besar, sebab ia ubah peta kuasa global.
Selepas perang ini, Britain jadi kuasa utama dunia dalam perdagangan dan penjajahan, manakala Perancis mula hilang pengaruh di luar benua Eropah. Tapi permusuhan tak tamat di situ.
[Era Revolusi & Napoleon: Pusingan Kedua Bermula]
Akhir abad ke-18, Perancis digoncang Revolusi. Raja dipancung, republik ditubuhkan dan tak lama lepas tu muncul tokoh bernama Napoleon Bonaparte.
Napoleon tak hanya mahu ubah Perancis, dia nak ubah seluruh Eropah. Dengan dasar pembaharuan, sistem undang-undang baru dan tentera moden, Napoleon kalahkan hampir semua kuasa di benua Eropah.
Tapi ada satu kuasa yang tetap kebal iaitu Britain.
Walaupun tak ada tentera darat sehebat Napoleon, Britain guna kekuatan ekonominya dan kuasa laut untuk mengekang Perancis. Mereka biayai pakatan Eropah, sekat pelabuhan Perancis, dan kuasai laluan perdagangan.
Akhirnya, gabungan antara Britain, Prussia dan negara lain berjaya kalahkan Napoleon di Waterloo pada 1815.
[Lepas Itu? Permusuhan Masih Ada, Tapi Lebih Strategik]
Selepas kejatuhan Napoleon, hubungan dua negara ini jadi lebih stabil. Tapi itu bukan bermakna mereka terus jadi sahabat. Mereka masih bersaing dalam penjajahan, terutama di Afrika.
Di Mesir, Sudan, dan kawasan Sahel, kuasa British dan Perancis sering bertembung.
Malah, mereka pernah hampir berperang lagi dalam insiden Fashoda (1898) yang hanya berjaya dielakkan pada saat akhir.
Permusuhan antara mereka cuma benar-benar berakhir apabila muncul ‘common enemy’ iaitu Jermann.
Ancaman dari Jerman menjelang Perang Dunia Pertama memaksa Perancis dan Britain bekerjasama buat kali pertama secara serius. Dan kerjasama itu berterusan hingga ke hari ini.
[Jadi, Kenapa Mereka Bergaduh Teruk Dulu?]
Bukan sebab dendam peribadi. Bukan sebab budaya berbeza. Tapi sebab di pentas politik dunia, dua negara yang sama kuat dan sama bercita-cita besar pasti akan bertembung.
Dalam geopolitik, tiada ruang untuk dua singa di satu padang.
Perancis dan Britain ialah dua empayar yang nak kuasai dunia. Maka dengan itu, mereka akhirnya terpaksa bercakaran habis-habisan untuk tentukan siapa lebih layak.
Itulah harga mahal yang perlu dibayar untuk bergelar kuasa besar dunia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.