Semua sedia maklum, kes Covid-19 pertama dilaporkan di China pada Disember 2019. Dan sejak itu, Covid-19 bertukar menjadi pandemik yang memberi kesan negatif kepada sistem kesihatan global terutama di negara-negara maju.

Walaupun China kini berjaya mengawal situasi Covid-19, ini menimbulkan persoalan mengapa wabak penyakit baru seperti SARS, selsema burung dan Covid-19 timbul di negara yang dikenali dengan mercu tanda Tembok Besarnya itu?

Kebanyakan penyakit yang kita kenali hari ini berasal dari haiwan. Misalnya, selsema burung datangnya dari ayam, HIV (cimpanzi), selsema babi (khinzir) dan ebola (kelawar).

Begitu juga dengan Covid-19 di mana ia dikatakan berasal dari kelawar sebelum berpindah ke tenggiling sebelum akhirnya berpindah kepada manusia. Tetapi percampuran sebegini dianggap jarang berlaku melainkan pertembungan tiga spesis ini berlaku di satu tempat yang sama.

Ini yang membawa kepada pasar basah Wuhan yang disyaki pihak berkuasa sebagai pusat utama penularan Covid-19 di China. Pasar ini bukan saja menjual haiwan-haiwan domestik seperti lembu dan ayam tetapi juga haiwan eksotik seperti tenggiling, ular dan beruang.

Bagi Profesor Peter Li dari University of Houston-Downtown, ia bukan satu kejutan dan ia diketahui secara meluas dalam komuniti saintifik. Ini kerana sangkar-sangkar yang menempatkan haiwan-haiwan ini disusun secara bertingkat.

Haiwan-haiwan yang diletakkan di sangkar bawah pula dibasahi dengan pelbagai jenis cecair dari air kencing hinggalah nanah dan darah. Dan mereka percaya disebabkan inilah, ia merupakan punca bagaimana SARS dan kini, Covid-19 menular secara berleluasa di Wuhan sebelum ke sebahagian besar negara China.

Ini kerana haiwan sebegini sudah pasti tidak dicuci dengan air semasa disembelih dan dibersihkan. Kemudian apabila ia disentuh, kuman penyakit itu berpindah ke tangan penjual sebelum berpindah pula ke tangan pembeli semasa urusan jual beli berlangsung.

Pasar basah bukan sesuatu yang asing di sesetengah tempat seluruh dunia tetapi kebanyakannya tertumpu di China. Ini kerana pasar sebegini menjual pelbagai jenis haiwan tanpa mengira haiwan domestik atau eksotik yang bernilai di pasaran.

Tetapi untuk melihat semua ini berlaku hari ini, kita perlu melihat sebentar sejarah negara itu. Pada tahun 70-an, China menyaksikan hampir 36 juta warganya m4ti akibat kebuluran dan kerajaan mengawal secara terus sektor pertanian dan penternakan ketika itu.

Untuk mengelak negara dari berada di ambang kemusnahan, pada tahun 1978, Beijing melepaskan kawalan secara terus sektor pertanian dan penternakan dengan kedua-dua sektor ini diuruskan oleh syarikat-syarikat swasta.

Tatkala sektor pertanian dan penternakan domestik diterajui oleh firma-firma swasta, pengurusan haiwan eksotik pada asalnya dibuat untuk menambah wang dalam poket golongan petani. Sejak itu, ia memulakan usaha penternakan haiwan-haiwan eksotik yang besar di China.

Bagi pihak kerajaan, apa saja usaha mereka harus disokong termasuk penternakan haiwan eksotik. Ini kerana menerusi aktiviti-aktiviti ini, ia dapat membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan dan merancakkan lagi pertumbuhan negara.

Tetapi semua itu berubah pada tahun 1989 apabila Beijing mengklasifikasikan haiwan-haiwan liar terutama eksotik sebagai sumber semulajadi. Menurut Prof Li, dengan pengelasan sebegitu, ia merancakkan lagi aktiviti penternakan dan perdagangan haiwan eksotik sekaligus menambah peluang jangkitan penyakit kepada populasi rakyat yang besar lebih-lebih lagi jika ada yang sakit.

Pertumbuhan rancak penternakan dan perdagangan haiwan eksotik ini juga turut dijadikan samaran oleh sindiket penyeludup haiwan bagi membolehkan mereka memperdagangkan haiwan-haiwan yang diseludup dari pasaran gelap tanpa perlu bimbang dengan pihak berkuasa.

Dengan penambahan haiwan-haiwan ini di pasar basah, tidak hairanlah mengapa pasar basah sentiasa menjadi punca penularan penyakit. Misalnya, SARS yang melanda dunia pada tahun 2002 dan 2003 dikatakan berpunca dari sebuah pasar basah di Foshan, Guandong.

Apabila perkara tersebut diketahui oleh pihak kerajaan, Beijing segera menutup pasar berkenaan dan menghentikan semua bentuk kegiatan penternakan haiwan eksotik. Tetapi beberapa bulan selepas itu, aktiviti tersebut disambung semula di sebalik ancaman SARS ketika itu.

Menurut Prof Li, walaupun industri ini hanya menyumbang sedikit kepada KDNK China yang besar, industri ini mempunyai kuasa lobi yang besar. Dan pada tahun 2018, industri ini bernilai AS$148 bilion.

Antara produk yang ditawarkan daripada haiwan-haiwan ini ialah ubat rangsangan seks, tonik tenaga, produk bina badan dan ubat tradisional. Walaupun kemujaraban produk-produk ini dipersoalkan, ia amat digemari oleh populasi rakyat negara itu yang berkuasa dan kaya.

Tidak seperti gambaran rakyat China menggemari makanan eksotik oleh pihak media, hakikatnya majoriti rakyat negara itu langsung tidak mengambil makanan eksotik.

Dan kumpulan ini menurut Prof Li bertanggungjawab mempopularkan makanan eksotik ini dan berusaha melindunginya. Tindakan mereka dilihat mengancam keselamatan majoriti populasi China yang berjumlah 1.4 bilion orang.

Bila Covid-19 semakin menular, China memutuskan menutup ribuan pasar basah dan menghentikan secara sementara industri penternakan haiwan-haiwan eksotik. Namun, ramai menggesa Beijing menghentikan industri berkenaan untuk selama-lamanya sekiranya mahu mencegah lebih banyak penyakit baru muncul di negara itu.

RUJUKAN:

Ellis, Sam. (2020). Why new diseases keep appearing in China. Vox. https://www.vox.com/videos/2020/3/6/21168006/coronavirus-covid19-china-pandemic

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.