Pada suatu pagi yang damai di sebuah desa nelayan, beburung camar riang berterbangan mengutip ikan yang melompat-lompat ke pantai. Sorakan dan teriakan suara penduduk yang gembira melihat air semakin surut dengan ikan melompat dari gigi air, menyerah diri ke pantai. Tetapi tidak bagi Syafiq (bukan nama sebenar), pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah di situ yang gusar.

Dia mengajak semua ahli keluarganya keluar dari rumah mereka di desa tersebut, menaiki kereta dan bergerak sejauh mungkin daripada pantai. Ramalan Syafiq benar-benar belaka apabila tsunami melanda kampung tersebut dan membunuh semua penduduk yang berpesta menangkap ikan. Syafiq dan keluarganya terselamat kerana mereka cakna dengan geografi fizikal. 

Lain pula kisahnya di sebuah bandar. Di suatu pagi yang damai, semasa pelajar-pelajar di sekolah sedang tekun mendengar pengajaran gurunya, seorang demi seorang rebah dan pengsan kerana mereka terhidu gas beracun, yang puncanya daripada sisa toksik yang dibuang di sungai berhampiran. Oleh sebab ketamakan pengusaha kilang yang tidak mahu membelanjakan sedikit wang dalam pengawalan sisa kimia kilang mereka, mereka sewenang-wenangnya membuang sisa tersebut di sungai itu. Natijahnya, ramai penduduk yang terjejas kesihatannya angkara pekilang yang buta ilmu geografi. 

Jamali (bukan nama sebenar) membeli sebidang tanah di kawasan hulu untuk dibangunkan menjadi kawasan pertanian moden. Malangnya, dia tidak tahu bahawa tanah tersebut merupakan kawasan tadahan hujan dan punca sungai di daerah tersebut. Akhirnya, selepas ditarah dan dibersihkan menjadi ladang, sungai yang dahulunya jernih bertukar rupa menjadi berkeladak dan tanah runtuh sering berlaku di ladang Jamali.

Lebih malang lagi, penduduk di kawasan kampung berhampiran sering mengalami banjir dan kampung mereka sering didatangi haiwan liar seperti babi hutan dan monyet. Perkara ini berlaku dengan teruknya kerana Jamali tidak faham kepentingan kawasan tadahan hujan dan pentingnya untuk kita memelihara dan memulihara kawasan hutan yang menjadi habitat semula jadi di Malaysia. 

Begitulah antara kisah yang boleh dijadikan iktibar apabila kita tidak cakna dengan ilmu geografi. Itu belum lagi masalah jerebu, pencemaran alam sekitar di sekeliling kita dan penyebaran pelbagai wabak penyakit, hanya kerana kita yang merosakkannya, tanpa kita sedar. Oleh itu, subjek geografi amat penting dijadikan mata pelajaran teras dalam pendidikan di Malaysia. 

Umumnya, semasa PT3 format baharu diperkenalkan pada tahun 2014, subjek geografi dan sejarah tidak lagi dijadikan mata pelajaran yang mempunyai peperiksaan di peringkat menengah rendah. Pelajar hanya membuat kajian lapangan berdasarkan kajian kes di kawasan lapangan iaitu di sekitar sekolah dan rumah kediaman sahaja. 

Hasilnya, pelajar semakin tidak mempedulikan keadaan persekitaran mereka dan semakin kurang kesah akan kepentingan menjaga alam sekitar kita. Oleh itu, alam sekitar di Malaysia menjadi semakin kotor dan sukar diuruskan. Pelbagai efluen kelihatan terapung-apung di permukaan sungai dan sampah domestik semakin banyak ditimbunkan tanpa diasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula. 

Namun, semasa Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dibangunkan dan diaplikasikan pada tahun 2017, format pentaksiran geografi dan sejarah dikaji semula. Seterusnya, pada Tahun 2019, pelajar KSSM perlu menduduki peperiksaan bertulis geografi.

Oleh yang demikian, pelajar perlu mengulangkaji dan mempertingkatkan ilmu geografi mereka. Pentaksiran seperti ini mungkin dapat meningkatkan kualiti hidup pelajar dan secara tidak langsung dapat mencegah alam kita dari terus dimusnahkan oleh rakyat Malaysia yang kurang terdidik dari segi geografi. 

Warga Malaysia perlu lebih mendalami mata pelajaran geografi demi kelangsungan hidup anak-anak kita. Kita tidak mahu Malaysia kelak berubah menjadi kawasan yang tidak lagi sesuai didiami menyebabkan warga Malaysia terpaksa menjadi pelarian ke Negara lain akibat daripada kerosakan yang kita sedang lakukan. 

Sebagai contoh, Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan dan mempunyai iklim khatulistiwa iaitu hujan dan panas sepanjang tahun. Geografi kita ini adalah rahmat Tuhan dengan jumlah min hujan yang tinggi, iaitu sekitar 2600 mm setahun. Malangnya, beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia mengalami krisis air yang teruk sehingga bekalan air terpaksa dicatu. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku di negara yang banyak hujan? 

Selain itu, asas kepada Kemahiran Geografi juga lemah menyebabkan apabila seseorang itu tersesat di belantara atau di kawasan banjaran gunung, mereka tidak bisa mencari jalan keluar kerana tidak tahu asas pandu arah (yang hanya dipelajari dalam perkhemahan sahaja, bukan dalam pembelajaran di sekolah), membaca peta mahupun melihat bearing. Seharusnya, semua rakyat Malaysia mesti bijak membaca peta, mencari arah menggunakan bearing, mengikuti arah mata angin dengan kedudukan matahari, mengikut aliran sungai dan banyak lagi cara untuk mengelakkan kita terus-terusan hilang arah untuk keluar dari hutan.  

Dengan kemahiran geografi manusia dan sumber, sesebuah negara itu boleh memajukan negaranya dan menggunakan sumber alam secara mapan dan lestari, bagi menjamin kelangsungan sumber itu dari terus pupus. Kes di negara kita ini, apabila Penjajah British yang sangat rakus menggali segala hasil bijih timah yang sangat banyak di Malaysia ini sehinggakan bijih timah menjadi pupus di bumi bertuah ini. Hari ini, kita tidak lagi dapat mengeluarkan bijih timah secara besar-besaran kerana British telah habiskan hasil alam kita. Itulah yang berlaku apabila hasil bumi tidak diteroka dengan sebaiknya, maka rosak binasalah sumber alam kita.  

Perkara terakhir yang ingin diperbincangkan ialah sistem bumi. Amat malang mereka yang buta geografi dengan mengatakan bumi ini bersifat rata. Mereka tidak memahami bagaimana dunia global hari ini berfungsi dengan teori-teori dangkal mereka. Mereka tidak menyelami keadaan persekitaran dan faktor fizikal bumi ini yang disebabkan bumi ini berbentuk oblate spheroid, iaitu kembung di bahagian khatulistiwa dan mengapa kebanyakan satelit di 72 buah negara yang ada inisiatif angkasa diletakkan di ruang angkasa khatulistiwa. 

Keadaan ini adalah kerana ukur lilit di Khatulistiwa yang sangat panjang berbanding di kutub utara menjadikan ruang angkasa khatulistiwa sangat sesuai sebagai kawasan pemancaran gelombang di antara tiga satelit. Selain itu, penerbangan dari Jepun ke Amerika Syarikat lebih dekat jika melalui kawasan kutub utara dan penerbangan dari Australia ke Bueno Aires lebih dekat jika merentasi perairan kutub selatan. Mereka jelas memperkecilkan kejayaan Datin Sharifah Mazlinah merentasi Kutub Selatan pada tahun 2004 kerana mereka buta ilmu geografi.  

RUJUKAN:

  1. Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Geografi Tingkatan 1,2 dan 3. 
  2. Cinta Negaraku Page 4, http://www.penerangan.gov.my/dmdocuments/cinta_negaraku/files/basic-html/page4.html, dilayari pada 17 September 2019 
  3. https://www.google.com/amp/s/sciencestruck.com/why-is-geography-so-important.amp, dilayari pada 17 September 2019 

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.