Ada yang mempersoalkan mengapa KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menyambung kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, dan bukannya di akademi atau UA, di UPNM misalnya.
Pertamanya, beliau memang telah menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang sejak tahun 2018.
Malah, tahun yang sama juga beliau telah menerima tauliah sebagai Pegawai Kadet dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Ini bermakna, sebelum ke Sandhurst, beliau memang telah tamat kursus dengan Angkatan Tentera Malaysia, di bawah kendalian pegawai dan jurulatih tempatan, di kem dalam negara.
Jadi sekalipun Tengku Hassanal ke Sandhurst sebagai menjejak legasi ayahandanya, iaitu KDYMM SPBYDPA XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah menyambung pengajian di Sandhurst juga, beliau juga menyambung pengajian bukan sahaja sebagai anak raja, tetapi sebagai pegawai ATM yang memang telah menerima tauliah.
Sebenarnya, Royal Military Academy Sandhurst juga biasa menerima pegawai-pegawai ATM kita yang bukan waris takhta Raja-Raja Melayu untuk menyambung pengajian di situ sebahagian dari langkah peningkatan kerjaya perkhidmatan sebagai Pegawai Tentera di dalam ATM.
Bukanlah ia merendahkan UA, akademi atau institusi ketenteraan tempatan, tetapi Sandhurst memang merupakan antara institusi kepimpinan ketenteraan terbaik di dunia, sama macam Indian Military Academy, West Point di Amerika, EMA di Mesir dan Saint-Cyr di Perancis.
Walaupun UPNM memiliki pengkhususan kajian ketenteraan (SCOPUS 2017) yang ke-27 terbaik di dunia, ia bukanlah sebuah akademi tentera seumpama Sandhurst, jika mahu dibandingkan kerana UPNM merupakan UA yang ada pilihan pendidikan konvensional untuk orang awam dan bukan khusus elit untuk ilmu ketenteraan seperti Sandhurst dan lain-lain akademi seumpamanya.
Bahkan, UPNM sendiri mempunyai para pensyarah dan mahasiswa mereka dari kalangan kebanyakan yang pernah belajar di Sandhurst dan lain-lain akademi ketenteraan terkemuka dunia seperti West Point, Air Force Academy di Colorado, Naval Academy di Maryland, Royal Military College Duntroon di Australia, dan Officer Cadet School di New Zealand.
Gambar pertama di bawah ada dua orang di hujung kiri dan kanan bergambar bersama Tengku Hassanal dan ayahandanya, orang kebanyakan, mungkin pensyarah atau kadet UPNM. (Semua gambar adalah kredit kepada FB House of Pahang)
Ia juga sama macam akademia tempatan kita yang berkhidmat di UA tempatan, kemudian menyambung pengajian “post-grad”, PhD dan kesarjanaan di MIT, Cambridge, Havard, Oxford dan di semua Ivy League, walaupun kita ada UM, USM, UTM.
Ini juga sama macam para mufti dan ilmuwan Islam kita menyambung pengajian di Al-Azhar di Kaherah dan Iskandariah, Mesir, Universiti Jordan di Amman, Jordan, Universiti Islam di Madinah dan Universiti Taibah di Arab Saudi, walaupun kita ada Universiti Islam Antarabangsa. Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti kita pun belajar di Oxford, malah dilantik pula sebagai felo di sana dan dalam masa yang sama merupakan felo di UiTM.
Ia sama macam Sejarawan kita menyambung pengajian di Universiti Leiden di Belanda, Universiti St. Andrews, Exeter, UCL di England, di mana mereka ada simpanan dan dokumen-dokumen pengajian sejarah Melayu, Nusantara dan antarabangsa paling ekstensif di dunia, walaupun kita ada UKM, misalnya.
Bahkan, ia sama juga macam para doktor dan pakar perubatan kita belajar kepakaran spesifik dan perubatan moden di King’s College di London, Stanford, John Hopkins dan Mayo Clinic di Amerika, walaupun kita ada ramai pakar di PPUM atau USM Kubang Kerian, walaupun perkhidmatan kesihatan kita yang terbaik di dunia.
Mereka ini semua belajar di luar negara untuk mendapatkan perspektif, pengalaman dari kelompok komuniti yang berbeza, selain mahu berguru dan menagih ilmu dari guru-guru, pegawai dan jurulatih terbaik dalam bidang masing-masing, walaupun ada sebahagiannya boleh diperolehi dalam negara sendiri.
Keduanya, berbeza dengan kita orang kebanyakan, sebagai pewaris takhta, memang ada kelebihan untuk Tengku Hassanal, di Sandhurst, beliau dapat mengenali ramai pegawai-pegawai asing, diplomat-diplomat luar, anak dan pewaris pimpinan negara-negara asing semasa dalam tempoh pengajian.
Begitu juga sepupunya sendiri, DYAM TMJ Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail yang pernah melanjutkan pengajian dalam kursus Pegawai Kadet di Indian Military Academy, Dehradun, India.
Dengan langkah ini, ia secara tidak langsung merupakan satu langkah persefahaman diplomatik antara negara, mempersiapkan waris-waris Raja Melayu ini apabila bersemayam di atas takhta kelak.
Memang salah satu kelebihan Raja-Raja Melayu juga pimpinan-pimpinan Melayu adalah kehebatan diplomasi dan kemampuan mereka berkomunikasi dengan empayar dan kerajaan asing, luar, baik dalam lingkup sempadan Nusantara, atau menjangkau jauh luar hingga ke Uthmaniyyah, kerajaan awal Arab, Eropah, Cina, India dan lain-lain kerajaan.
Kehebatan diplomasi itu mengukuhkan reputasi kita sebagai kerajaan Melayu terawal sejak Sriwijaya hingga Kesultanan Melaka, malah berterusan sejak kita Merdeka sehingga hari ini.
Jadi, pengajian Tengku Hassanal di Sandhurst sebenarnya menyambung legasi, menjejak langkah dan menepati reputasi kehebatan Raja-Raja Melayu dan pimpinan negara terdahulu sehingga hari ini, supaya reputasi ini terus kekal di masa hadapan.
Negara kecil dan maritim dan berada pada laluan perdagangan antarabangsa seperti Selat Melaka seperti Malaysia memerlukan kelebihan dan keupayaan diplomasi yang strategik dan berkaliber. Kalau boleh dihantar anak raja untuk tujuan ini, ia satu keharusan dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh beliau, membawa nama Malaysia, sebuah negara berdaulat.
Benda bukan isu pun sebenarnya. Lagipun, Tengku Hassanal bukannya tamat kursus di Sandhurst, hanya untuk berkhidmat untuk baginda Queen tu pun.
Tengku Hassanal akan kembali ke tanah air untuk berkhidmat dan bersetia di bawah naungan panji-panji negara dan ayahanda baginda juga, mewarisi takhta dan bakal menjadi Ketua Angkatan Tentera Malaysia juga suatu masa nanti.
Rilekslah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih