Ada catatan yang menunjukkan Marco Polo pernah menyebut bahawa China berada pada era kepesatannya ketika era Dinasti Song. Pertumbuhan perniagaan menyebabkan banyak restoran telah dibuka ketika ini.
Pertumbuhan ekonomi Song berlaku terutamanya disebabkan oleh inovasi dalam pertanian. Dalam Dinasti Song, terdapat pengenalan beras baru dari Champa dan peningkatan dalam kawalan air dan pengairan. Dengan gabungan kedua-dua kemajuan ini, hasil padi meningkat secara mendadak dalam Dinasti Song.
Peningkatan bekalan makanan semasa Dinasti Song membolehkan populasi bertambah, kira-kira dua kali ganda. Ekonomi yang makmur dan pertambahan penduduk yang drastik menyemarakkan pertumbuhan bandar dalam tempoh masa ini. Ia telah mewujudkan peluang perniagaan untuk pemilikan restoran.
Terdapat banyak restoran di ibu kota Song Utara dan Song Selatan dan ia secara beransur-ansur menjadi ruang awam penting yang diduduki oleh orang dari kelas sosial yang berbeza, seperti pelakon, pelacur, birokrat ulama, dan saudagar kaya.
Kaifeng (ibu kota Song utara) dan Hangzhou (ibu kota song selatan) adalah tumpuan pelbagai jenis individu dari kawasan berbeza. Orang ramai bertemu, berdagang, dan bertukar idea antara satu sama lain, dan ini membawa kepada perkembangan masakan ibu kota.
Banyak restoran istimewa muncul ketika ini. Paling utama, ia bukan sahaja berfungsi sebagai restoran, malah teater turut dipersembahkan di restoran ini.
Inilah keadaannya apabila pelayan di restoran turut seumpama terlibat sama dalam persembahan yang diadakan di situ. Petikan daripada catatan Dongjing Meng Hua Lu, ada menggambarkan cara sebuah restoran di Dinasti Song beroperasi.
Pelayan di restoran mengambil pesanan daripada pelanggan, kemudian dia ke dapur dan beratur untuk memberitahu pesanan. Apabila tiba gilirannya, dia akan menyanyikan pesanan dengan kuat kepada orang yang bekerja di dapur.
Apabila hidangan telah siap, pelayan akan mengambil tiga hidangan menggunakan tangan kirinya dan memegang kira-kira 20 hidangan yang bersusun dari tangan kanannya hingga ke bahu. Kemudian, dia akan mengedarkan hidangan ini mengikut susunan yang telah diletakkan, dan tidak boleh berlaku sebarang kesilapan.
Jadi, kenapa sebenarnya pelayan ini menyanyikan pesanan itu?
Pelayan yang menyanyikan pesanan keluar dan mengedarkan hidangan sebenarnya adalah pelakon teater di restoran, dan ia adalah cara khusus hidangan disediakan. Penonton pula adalah pelanggan yang datang ke restoran.
Jika dalam Dinasti Tang, restoran menjadi tempat untuk menikmati rasa makanan, dalam Dinasti Song ini restoran adalah cara untuk berhibur. Sebagai “masyarakat berorientasikan hiburan”, persekitaran sosial semasa Dinasti Song memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri restoran.




No comments yet