Panda Gergasi atau nama saintifiknya, Ailuropoda melanoleuca sinonim dengan kecomelannya dan tingkah lakunya yang jinak. Jauh sekali berbeza dengan saudara beruangnya yang lain. Haiwan berasal dari China ini sangat berkarisma sehingga ia ditampilkan sebagai logo rasmi Tabung Hidupan Liar (WWF).
Panda merupakan beruang vegetarian dengan 99% dietnya hanya terdiri daripada buluh walaupun jika terdesak ia boleh saja makan ikan atau daging. Namun demikian, tidak ramai yang tahu spesies beruang ini pernah bergelar haiwan karnivor. Ya, moyang panda dahulu merupakan pemakan daging sebelum menukar diet mereka spesifik kepada buluh.
Panda Gergasi, Ailuropoda melanoleuca Sumber: Earth.com
Mengikut suatu kajian, perubahan diet daripada daging kepada buluh ini bermula apabila moyang panda ini melalui penyaktifan atau dikenali sebagai “pseudogenization” secara teknikalnya. Ini berlaku apabila ketika proses evolusi panda, suatu gen yang dinamakan gen penerima rasa umami (umami receptor gene) menjadi tidak berfungsi.
Umami ialah perasa yang membuatkan daging, kicap dan cendawan menjadi lebih sedap. Apabila gen ini tidak lagi berfungsi, akhirnya lama-kelamaan panda hilang kebergantungan terhadap daging dan sedikit demi sedikit beralih diet kepada buluh seiring peredaran masa.
Pakar-pakar evolusi mengkaji evolusi panda yang menarik ini dan hasil pelbagai kajian terhadap susur galur panda telah membuktikan bahawa sesungguhnya moyang Panda Gergasi pernah menjadi haiwan karnivor.
Antara bukti yang diperoleh ialah tebaran, struktur dan morfologi lingual papillae (suatu struktur tidak rata di permukaan atas lidah) yang serupa seperti haiwan karnivor berbanding haiwan herbivor. Selain itu, bukti-bukti lain ialah rahangnya yang kuat dan tajam mebolehkannya untuk mengoyak daging serta komponen genetik sistem pencernaan Panda Gergasi juga serupa seperti yang dimiliki oleh semua haiwan karnivor.
Ailurarctos adalah moyang terawal Panda Gergasi di China
Sumber: Dinopedia – Fandom
Berdasarkan tengkorak panda purba (Ailurarctos sp.) terawal yang dijumpai di sebuah gua batu kapur di Yunnan, selatan China menggambarkan ia telah mula memakan buluh sekitar akhir Miocene iaitu 7 juta tahun lalu.
Bukan itu sahaja, penemuan fosil berikutnya iaitu gigi dan bahagian mulut satu lagi spesies panda purba, Ailuropoda microta berusia 2.0 hingga 2.4 juta tahun dahulu oleh Jin Chang Zhu dan rakan-rakan penyelidiknya menyerupai panda moden lalu membuktikan bahawa pada anggaran tempoh itu, panda telah sempurna peralihan dietnya yakni kepada buluh hampir sepenuhnya.
Ailurarctos adalah moyang terawal Panda Gergasi di China
Sumber: Dinopedia – Fandom
Kajian yang dibuat oleh Nie Yong Gang dan Wei Fu Wen dari Akademi Sains Cina yang menjejaki Panda Gergasi bertahun-tahun menyimpulkan bahawa kandungan protein di dalam buluh yang tinggi dan berkarbohidrat rendah sama seperti daging yang diperlukan oleh haiwan karnivor. Oleh yang demikian, ini menunjukkan panda pada zaman lampau agak bijak apabila mampu beradaptasi dengan memilih untuk memakan buluh yang amat mudah didapati di segenap habitatnya.
Setelah dua juta tahun memakan buluh, akhirnya panda berevolusi dengan rahang yang lebih kuat untuk mengunyah daun dan pucuk buluh, dan salah satu tulang pergelangannya berfungsi sebagai ibu jari palsu untuk memegang batang buluh. Kajian mereka dalam menjejaki Panda Gergasi di Hutan Simpan Kebangsaan Foping, China turut mendapati spesies ini bermigrasi dalam jarak agak jauh semata-mata untuk memakan dua spesies buluh yang boleh didapati di dua altitud berbeza.
Peta sebaran Panda Gergasi
Sumber: WWF
Hari ini, hanya sekitar 500 hingga 1000 ekor individu matang Panda Gergasi yang tinggal di hutan China. Antara faktor yang mengancam populasi panda adalah disebabkan kemusnahan hutan di China, penyeludupan panda, kadar pembiakan yang rendah dan dietnya yang eksklusif pada buluh sahaja.
Lantaran itu, kerajaan China bersungguh-sungguh dalam agenda pemuliharaan panda seperti memperkenalkan dan menguatkuasa larangan pembalakan hutan dan penyeludupan panda yang ketat dan melaburkan sejumlah wang untuk program galakan pembaikpulihan hutan lantas membuahkan hasil positif.
Ekoran daripada usaha gigih memulihara spesies ikonik China tersebut, dalam tempoh 26 tahun, status Panda Gergasi dalam Senarai Merah IUCN berubah daripada Terancam/Endangered (EN) kepada Terdedah pada Ancaman/Vulnerable (VU).
Semoga Malaysia juga suatu hari boleh mencontohi China dalam kejayaan memulihara haiwan simbolik negara kita yang kian kritikal terancam daripada Panda Gergasi iaitu Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).
RUJUKAN
Cook, M. (2018). Why are pandas
endangered animals? Retrieved from
https://sciencing.com/pandas-endangered-animals-5176027.html
Jin, C., Ciochon, R. L., Dong, W., Jr.,
R. M. H., Liu, J., Jaeger, M., & Zhu, Q. (2007). The first skull of the
earliest giant panda. Proceedings of the National Academy of Sciences of the
United States of America, 104(26), 10932 – 10937.
Seriously Science (2015). Why did the
panda’s ancestors ditch meat for bamboos? Retrieved from http://blogs.discovermagazine.com/seriouslyscience/2015/01/29/pandas-ancestors-ditch-meat-bamboo/#.XT_pEegzbIU
Swaisgood, R., Wang, D., & Wei, F.
(2016). Ailuropoda melanoleuca (errata version published in 2017). The IUCN
Red List of Threatened Species 2016: e.T712A121745669. Retrieved from
https://www.iucnredlist.org/species/712/121745669#habitat-ecology
Qiu, J. (2016). Troubles in the
bamboo after pandas dropped from endangered list. Retrieved from https://www.scientificamerican.com/article/trouble-in-the-bamboo-after-pandas-dropped-from-endangered-list/
Yong, E. (2019). The Giant Panda is a
closet carnivore. Retrieved from https://www.theatlantic.com/science/archive/2019/05/giant-panda-closet-carnivore/588553/
Zhao, H., Yang, J., Xu, H., & Zhang,
J. (2010). Pseudogenization of the umami taste receptor gene Tas1r1 in the
Giant Panda coincided with its dietary switch to bamboo. Molecular Biology
and Evolution, 27(12), 2269 – 2273.




No comments yet