Sekarang
bukan zaman 1950-an, yang mana negara-negara sedang giat membebaskan diri
daripada penjajahan kolonialisme. Dengan penularan kebebasan di serata dunia,
Palestin kekal sebagai sebuah wilayah beraspirasikan negara yang seolah-olah
tidak kesampaian. Lebih pedih lagi, Palestin juga tidak wujud sebagai negeri
dalam Israel. Status Palestin dalam dunia politik hanyalah sebuah negara dalam negara yang menghalang pelbagai manfaat.
Namun
secara zahir, politik Palestin jauh lebih stabil berbanding Libya yang
mempunyai dua bidangkuasa pentadbiran iaitu Kerajaan Tobruk dan Kerajaan
Keselamatan Negara. Bosnia pula merupakan negara ditadbir bidangkuasa presiden
yang dianggotai tiga penguasa. Jadi peperangan dan persengketaan tidak
seharusnya menghalang fungsi negara bagi Palestin. Namun jelas dan nyata,
politik Palestin terhad dan tersekat daripada melaksanakan amanah dan
tanggungjawab.
Meskipun
tidak berfungsi sebagai negara, pihak antarabangsa dilihat sudah bersedia untuk
menyambut Palestin. Pada 13 Oktober 2014, Parlimen British telah mengundi untuk
menganggap Palestin sebagai sebuah negara dijirankan Israel. Keputusan undian
ini walau bagaimanapun tidaklah binding
untuk menggerakkan kerajaan United Kingdom. Malah Sweden pun pernah dilihat
bersedia untuk mengiktiraf Palestin. Sungguhpun begitu, kedua-dua negara ini
sudah tidak lagi gah dalam perjuangan Palestin.
Konvensyen
Montevideo menetapkan empat kriteria utama untuk mengiktiraf sebuah negara: (1)
populasi mutlak; (2) kerajaan sah; (3) sempadan ditetapkan; dan (4) kebolehan
untuk berhubung dengan negara lain. Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan
kurang berhubung dengan Korea Utara. Namun Malaysia masih diiktiraf sebagai
negara berdaulat. Bermakna empat kriteria ini hanyalah panduan semata-mata.
Palestin sudahpun mendapat pengiktirafan daripada 130 negara dalam PBB. Namun
kemasukannya sebagai ahli penuh masih lagi tersekat dalam peringat pemerhati
semata-mata sejak 1974 dan negara bukan ahli pada tahun 2012.
Untuk
menjadi ahli penuh, Palestin memerlukan
pengesahan majoriti daripada Majlis Keselamatan PBB. Sehingga hari ini
negara tersebut gagal untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 9 undian dalam
kalangan 15 negara tersebut. Usaha untuk menggerakkan undian pada November 2014
pun tidak mendatangkan kejayaan, dengan realiti cengkaman Israel berterusan
selama berdekad-dekad lamanya. Resolusi PBB bagi November 2016 pun tidak
membuahkan hasil oleh kerana diplomasi Israel yang sangat meyakinkan dunia
luar.
Sungguhpun
kriteria-kriteria Konvensyen Montevideo kekal sebagai panduan kosong, Israel
menggunakannya untuk merendahkan hak Palestin kearah kemasyhuran ahli penuh.
Gabungan Tebing Barat dan Gaza dibawah Rami Hamdallah telah melengkapkan
Palestin sebagai sebuah kerajaan sah yang menguasai populasi mutlak. Namun
Palestin dihujahkan mempunyai dua
angkatan keselamatan berbeza, tiada
sempadan sah, tiada ibu negara
diisytiharkan dan Perjanjian Oslo menghalang
dasar luar negara Palestin.
Apabila
negara-negara lain hanya berpaut kepada panduan, Palestin dilihat terjerut
dengan kewajiban pula. Pelbagai usaha daripada diplomasi ke lobi telah
dirancakkan supaya Palestin kekal sebagai negara dalam negara. Sementara
Palestin gemilang dalam perihal diplomasi dengan negara serata dunia, solusi
dua negara hanya dibolehkan melalui
persetujuan bersama Israel sahaja.
Sempadan Clinton – Dekat Tetapi
Jauh
Namun –
jika PBB boleh menegarakan Israel,
takkan susah sangat untuk membentukkan Palestin?
Persoalan
ini telah ditanya ramai. Pembentukan Israel hanya relevan pada 1947 kerana British memohon jalan untuk keluar
setelah teruk dibelasah dalam Perang Dunia Kedua. London tidak ingin lagi
menanggung beban Mandat Palestin di Timur Tengah. Dan sejak 1917 lagi, British
telah berkomited untuk membentuk negara
tanahair Yahudi yang menyebabkan Pengisytiharan Balfour. PBB menerima
permohonan British dan membahagikan bekas wilayah Uthmaniyah tersebut kepada
Yahudi dan Arab.
Arab
tidak menerima solusi ini dan mencetuskan peperangan. Dibawah undang-undang
antarabangsa, Arab telah menolak
tawaran negara walaupun di tanahair bangsa sendiri. Setelah sekian lama
berjuang, kedua-dua negara mendapat peluang keaman semasa pemerintahan Bill
Clinton. Dalam perancangan keamanan bernama Sempadan Clinton ini, Palestin akan
membentuk sebuah kerajaan di Gaza dan 95% daripada Tebing Barat termasuk
Jerusalem Timur. 5% bahagian Tebing Barat merupakan penempatan haram Yahudi
yang akan disahkan. Dan penerimaan tanah ini akan dibalas dengan pemberian
daripada Israel pula.
Israel
akan mendapat Tembok Barat yang merupakan sebahagian daripada Kuil Yahudi Kedua
dan juga barangkali tempat dimana Nabi Muhammad (SAW) menambat Buraq. Sementara
Palestin dan Israel berkongsi Haram ash-Sharif yang mempunyai Masjid al-Aqsa
dibawah piagam antarabangsa. Jerusalem Timur pula dibahagikan berdasarkan
garisan etnik pula.
Palestin
dibawah Yasser Arafat telah menolak
tawaran ini (Elgindy, 2018). Antara masalah berbangkit berkait dengan pelarian
Arab. Sempadan Clinton mewajibkan bahawa rakyat Palestin perlu membatalkan hak kembali ke tanah asal
iaitu Israel. Sementara itu, Israel pula wajib mengiktiraf kerosakan dibuat
keatas rakyat Palestin pada tahun 1948. Palestin pula wajib menerima semua pelarian yang ingin
menetap di wilayah mereka.
Walaupun
Israel bersetuju, terdapat suatu ironi disebaliknya. Persetujuan Israel
sebenarnya mempunyai bantahan terhadap perkongsian Haram ash-Sharif. Israel
juga menuntut jalan dari Jerusalem Timur dan Ariel ke Sungai Jordan. Perkara
ini tidak dipersetujui kerana membelahkan Tebing Barat.
Walaupun
Sempadan Clinton gagal, tidak boleh dinafikan bahawa harapan kearah kemerdekaan
tetap ada bagi rakyat Palestin. Tiada apa yang kekal selamanya.
RUJUKAN:
How Palestine Might Become a State. https://www.economist.com/the-economist-explains/2014/10/13/how-palestine-might-become-a-state
How the peace process killed the two-state solution. https://www.brookings.edu/research/how-the-peace-process-killed-the-two-state-solution/
Palestinian Reconcilliation Has a Long Way To Go. https://www.economist.com/middle-east-and-africa/2014/06/07/an-awkward-new-government




No comments yet