Selepas konflik Ukraine-Rusia tercetus, Presiden Voldomyr Zelensky berusaha melakukan apa yang terdaya untuk melindungi negara itu daripada ancaman Rusia. Disebabkan keberanian dan ketegasannya menentang pendudukan Rusia, ramai orang Yahudi menyamakan Zelensky dengan kumpulan Maccabee.
Tetapi siapa sebenarnya kelompok Maccabee ini? Kelompok Maccabee merujuk kepada sekumpulan pahlawan Yahudi yang memberontak terhadap kerajaan Seleucid di Judea sebelum menubuhkan dinasti yang dipanggil Dinasti Hasmonean. Kebiasaannya, nama Maccabee merujuk kepada dinasti itu tetapi ia turut merujuk lima orang Maccabee bersaudara diketuai oleh Judah Maccabee/Maccabeus.
Jadi, bagaimana nama Maccabee ini timbul? Ada berpandangan ia diambil dari perkataan Aramaik maqqeba yang bermaksud tukul. Ini berkemungkinan merujuk kepada kelincahan dan kepahlawanan Judah semasa di medan perang.
Ada juga berpandangan ia merupakan akronim kepada kata-kata semangat yang diambil daripada Taurat/Torah atau nama individu yang mencetuskan kebangkitan ini: Matthias si pendeta yang juga bapa kepada Maccabee bersaudara.
Semua ini bermula dengan kemangkatan Alexander the Great pada 323 SM. Susulan itu, semua jajahan baginda menjadi rebutan diadochi (jeneral-jeneral, rakan dan ahli kerabat Alexander) dari 322 hingga 281 SM. Akibat konflik tersebut, empat kerajaan baru berdarah Yunani dibentuk iaitu Dinasti Ptolemy di Mesir, kerajaan Seleucid di Syam, kerajaan Pergamon dan Macedon (kedua-duanya di Greece).
Pada awalnya, sebahagian besar kawasan Palestin termasuk Jerusalem diletakkan di bawah pentadbiran Dinasti Ptolemy. Seperti mana Alexander the Great, pengasas dinasti Firaun Ptolemy I Soter tidak mencampuri urusan keagamaan orang Yahudi dengan hak mereka sebagai rakyat dijamin. Atas sebab itu, orang Yahudi merasa aman di bawah pentadbiran Dinasti Ptolemy.
Bagaimanapun, semua itu berubah apabila kerajaan Seleucid menguasai pemerintahan di situ pada abad kedua SM. Tidak seperti Dinasti Ptolemy, Dinasti Seleucid berusaha menyebarkan budaya dan agama orang Yunani kepada populasi rakyatnya walaupun secara paksaan. Bagi mencapai matlamat tersebut, sebarang ciri Yahudi dinyahkan dengan idea kebudayaan dan agama Yunani dijaja kepada orang Yahudi.
Disebabkan tekanan daripada pemerintah Seleucid dan pengaruh ekonomi, sesetengah daripada mereka menerimanya. Tetapi bagi pemerintah Seleucid Antiochus Epiphanes, itu saja tidak cukup. Baginda mempunyai keinginan meletakkan dirinya dalam rekod sejarah sama seperti Alexander dengan menjadikan adat dan kebudayaan Yunani mengatasi segalanya termasuk agama Yahudi.
Bagi mencapai matlamatnya itu, pertama sekali, Antiochus menerima rasuah daripada beberapa orang bangsawan Yahudi yang berstatus tali barut. Ini bagi membolehkan calon dipilih mereka, Jason dari keluarga Oniad dipilih sebagai ketua pendeta orang Yahudi. Jawatan tersebut kemudiannya dieksploitasi Antiochus bagi membolehkan sebuah gimnasium dibina berhampiran dengan Haikal Sulaiman.
Gimnasium bukan sekadar simbol kebudayaan Yunani tetapi isyarat halus kepada orang Yahudi bahawa orang Seleucid berkuasa di Judea. Dan sebagai tanda kejantanan seorang Yunani, si polan harus berbogel bila memasuki gimnasium – sama sekali bertentangan dengan undang-undang agama Yahudi.
Pihak Seleucid kemudiannya menetapkan mereka yang mampu hanya perlu mengunjungi gimnasium sekurang-kurangnya sekali sebagai tanda kompromi.
Pada awalnya, ramai yang akur. Antiochus menyangka ini petanda orang Yahudi tunduk dengan pemerintahan Seleucid. Tetapi selepas satu pemberontakan tercetus, baginda mula bersikap keras terhadap orang Yahudi. Antiochus bukan sekadar mencemarkan kesucian Haikal tetapi turut meletakkan patung dewa-dewi Yunani di dalamnya.
Baginda tidak berhenti di situ saja. Antiochus turut mengharamkan sesetengah perkara yang sinonim dengan agama Yahudi seperti larangan beribadat pada hari Sabtu (Sabbath) dan pengharaman aktiviti bersunat. Patung dewa-dewi Yunani ditempatkan di setiap bandar dan kampung. Mana-mana orang Yahudi yang enggan mengikut agama rasmi kerajaan Seleucid akan ditangkap dan dibunuh.
Penindasan pihak Seleucid mendorong semua orang Yahudi termasuk yang mendukung kebudayaan Yunani sebelum ini bangkit memberontak. Pencetus kepada kebangkitan ini ialah seorang pendeta bernama Mattathias yang berasal dari sebuah kawasan bernama Modiin. Pada suatu hari, askar-askar Seleucid diutus ke situ bagi menguatkuasakan undang-undang mereka.
Setibanya di Modiin, satu pertemuan diadakan antara mereka dengan Mattathias. Mattathias diberi kata dua sama ada mematuhi undang-undang Seleucid yang dikuatkuasakan atau berhadapan prospek ditahan dan dibunuh.
Penguatkuasaan undang-undang yang dimaksudkan ialah membuat sembelihan haiwan sebelum mempersembahkannya kepada dewa-dewi Yunani sebagai korban. Mattathias bukan saja enggan patuh, malah terus membunuh wakil Seleucid itu.
Mattathias yang mengetuai pemberontakan dibantu oleh anak-anaknya iaitu John, Simon, Judah, Eleazer dan Jonathan. Dengan beliau sebagai ketua mereka, orang Yahudi menggerakkan kempen pemberontakan pada 167 SM. Keluarga Mattathias yang kemudiannya dikenali sebagai Maccabee mula menjadi duri dalam daging kepada pihak Seleucid menerusi kempen perang gerila mereka.
Bermula dari kawasan perkampungan utara Judea, pemberontak bukan sekadar memusnahkan patung dewa-dewi Yunani. Malah, mana-mana individu yang terus menyokong Seleucid dibunuh termasuk kelompok Yahudi-Yunani. Walaupun Mattathias mati setahun selepas itu, pimpinan pemberontakan diserahkan kepada Judah.
Antiochus menyangka pemberontakan ini boleh dipatahkan dengan mudah seperti sebelumnya. Lantas, beberapa jeneral Seleucid dihantar untuk menghancurkan pemberontakan tetapi rancangan baginda tidak berhasil. Judah bukan saja berjaya mengakali mereka malah mengakibatkan pihak Seleucid mengalami kekalahan teruk di medan perang.
Terdesak, Antiochus menghantar jeneralnya yang paling terkenal, Lysias mengetuai 60,000 orang tentera Seleucid. Di atas kertas, kelebihan memihak kepada Lysias dari segi bilangan tentera. Tetapi Judah pula mempunyai kelebihan dari segi geografi (muka bumi Judea) dan taktikal peperangan.
Di sebalik dua kelebihan ini, bilangan tentera Seleucid masih lagi melebihi bilangan pemberontak Maccabee. Lantas, Judah berdoa kepada Tuhan agar kemenangan berpihak kepadanya. Tanpa disangka-sangka, angkatan Seleucid mengalami kekalahan teruk di tangan Judah dan pemberontak Maccabee.
Kemenangan ini mendorong Judah mengetuai pemberontak Yahudi lain mara ke Jerusalem. Di pintu masuk, kedua-dua angkatan kembali bersemuka tetapi pertempuran tidak berlaku lama. Dengan Seleucid berjaya diusir dari Jerusalem, maka Jerusalem bebas sepenuhnya daripada kerajaan tersebut. Ia turut memberi peluang kepada orang Yahudi membina kerajaan menerusi Dinasti Hasmonean di kemudian hari.
Sebaik Maccabee bersaudara tiba di Haikal, mereka merasa sedih melihat kemusnahan yang ditinggalkan pihak Seleucid. Selepas ia menjalani proses pemulihan dan penambahbaikan, Haikal kembali dibuka kepada orang Yahudi pada 25 Disember 165 SM. Pembukaan semula Haikal diraikan menerusi sambutan keraian selama lapan hari yang kini dikenali sebagai Hanukkah.
Dari situ, lebih banyak wilayah Judea dibebaskan. Dengan Judea bebas daripada pengaruh kerajaan asing, orang Yahudi pada ketika itu mula membina autonomi mereka. Autonomi ini disahkan menerusi kemangkatan pemerintah Seleucid terakhir, Antiochus VII pada 129 SM.
Ini membolehkan Dinasti Hasmonean yang ketika itu memerintah secara semi-autonomi Judea dari 140 hingga 110 SM menjadi sebuah entiti kerajaan baru yang merdeka. Kemerdekaan mereka yang dikecapi pada 110 SM bagaimanapun tidak bertahan lama. Ini selepas Pompey (kemudiannya menjadi pesaing Julius Caesar) diminta campur tangan pada 63 SM bagi menyelesaikan perebutan takhta dalam ahli kerabat Hasmonean.
Campur tangan Rom menjadi permulaan kepada pengakhiran dinasti tersebut. Ini kerana walaupun waris Hasmonean diangkat sebagai ketua pendeta dan pemerintah, wilayah mereka yang sedia ada dipecahkan. Sesetengah diberi status autonomi oleh Rom sekaligus membentuk Decapolis. Pihak Hasmonean turut kehilangan akses kepada Laut Mediterranean dan terpaksa bergantung kepada pentadbiran Rom di Syria.
Pada 37 SM, pemerintahan Dinasti Hasmonean berakhir. Ini selepas Herod the Great dipilih sebagai Raja Judea oleh Senat Rom. Dengan pengisytiharan tersebut, kerajaan Herod menjadi kerajaan yang mendapat naungan Rom.
Jadi, mengapa Zelensky dilabel Maccabee versi moden? Ketua Rabbi Ukraine Yaakov Bleich percaya label tersebut diberi label berkenaan bukan saja kerana kepimpinannya yang kuat. Tetapi kerana berusaha mengekalkan identiti Yahudinya persis Mattathias walaupun terpaksa berdepan konflik dengan Seleucidnya (Rusia).
RUJUKAN
Rose, D. (2022, 3 Mac). Volodymyr Zelensky: A modern Jewish hero forged in the tradition of the Maccabees. The Jewish Chronicle.
Oates, H. (2015, 29 Oktober). The Maccabean Revolt. World History Encyclopedia.
Gerber, J dan de Lange, N. (1997). The Illustrated History of the Jewish People. Aurum Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih