Sama seperti tamadun Yunani, Rom, dan Norse purba, masyarakat Mesir juga menghormati dan bahkan memuja pelbagai jenis haiwan. Namun, tiada haiwan pujaan yang dapat menandingi kedudukan kucing. Tambah menarik, di Mesir, kucing hanya berjaya dijinakkan setelah memasuki Zaman Pra-Dinasti, yakni jauh lebih lambat berbanding anjing. Namun, keunggulan mereka dalam tamadun Mesir tidak dapat digugat sehingga ke hari ini.

Dewi kucing pertama mereka ialah Mafdet. Kesan pemujaan dewi ini boleh dijejak kembali pada era Dinasti Pertama Mesir, iaitu antara 3,400 hingga 3,000 SM. Sebagai dewi kucing, Mafdet kebiasaannya dilihat sebagai pelindung dari sengatan atau patukan beracun, khususnya dari ular dan kala jengking (mungkin ini kerana kucing adalah pemangsa ular dan kala jengking).

Setelah berlalu beberapa tempoh, kedudukan Mafdet diambil-alih oleh dewi Bastet yang dipuja sebagai pelindung Mesir Hilir, penjaga firaun, dan pendamping Ra si dewa matahari. Bastet kebiasaannya digambarkan bertubuh wanita dan berkepala kucing. Adakalanya, ia dipuja sebagai personafikasi matahari itu sendiri dengan kuil utamanya terletak di Bubastis, Mesir.

Tugu kucing yang dipercayai menggambarkan bentuk Bastet, pada zaman lewat

Sejarahwan mengandaikan bahawa pemujaan kedua-dua Bastet dan Mafdet mempunyai akar daripada legenda seekor kucing hitam kayangan yang bernama Mau/Muit. Menurut legenda, ia berperanan melindungi pokok suci Persea di Annu dari gangguan Apophis si ular jahat. Ketika Apophis cuba melilit pokok tersebut, Mau menangkap dan mem3ngg4l kepalanya. Oleh kerana itu, Bastet dan Mafdet sering dikaitkan dengan Mau/Muit.

Ra yang menjelma sebagai kucing membvnvh Apophis si ular, lukisan pada Makam Inherkha, 1160 SM, Thebes

Memasuki awal milenium ke-3 SM, Bastet mula dikaitkan dengan segala jenis kucing dan setiap kucing dianggap sebagai personafikasi fizikal dewi tersebut. Namun, sewaku Mesir Hulu dan Mesir Hilir disatukan sekitar tahun 3000 SM, kedudukan Bastet digantikan oleh satu lagi dewi kucing bernama Sekhmet.

Rupa paras Sekhmet digambarkan lebih garang berbanding Bastet. Walaupun kedua-duanya seakan serupa, Sekhmet lebih mirip kepada rupa paras singa betina dan bukannya kucing. Rentetan perubahan tersebut, Bastet mula dianggap sebagai dewi pelindung kucing-kucing jinak manakala Sekhmet pula adalah dewi pelindung singa betina.

Di samping itu, terdapat juga beberapa dewa lain yang dikaitkan dengan kucing. Antaranya Neith dan Mut. Bagaimanapun, Bastet dan Sekhmet tanpa dinafikan adalah dewi kucing yang paling unggul dalam pantheon Mesir purba.

Ukiran dewi Sekhmet pada tiang batu di Kuil Kom Ombo, Mesir

Bagi tamadun Mesir, manusia dan kucing sememangnya banyak meluangkan masa bersama. Kehadiran kucing banyak membantu manusia dalam sudut pertanian, khususnya bagi mem4ngs4kan haiwan-haiwan per0s4k seperti tikus dan ular.

Sebagai membalas jasa, manusia kebiasaannya akan melindungi kucing dari haiwan-haiwan pemangsa yang lebih besar dan seiring peredaran waktu, kucing Mesir pun perlahan-lahan mula berubah jinak. Mereka dibawa masuk ke rumah dan diberi makan minum, bagi tujuan memelihara rumah tuannya.

Sarcophagus kucing peliharaan Thutmose, putera sulung Amenhotep III dan Ratu Tiye

Walaupun kucing mendapat tempat yang khusus dalam hati masyarakat Mesir purba, tubuh mereka tidaklah dipuja seperti dewa. Ia cuma dihormati sebagai personafikasi dewa sahaja. Atas sebab itu, kucing dilindungi dan dihormati. Membahayakan kucing adalah sama seperti membahayakan dewa, dan perbuatan tersebut merupakan pantang utama masyarakat Mesir purba.

Pada era tertentu dalam sejarah Mesir, sesiapa yang membvnvh kucing sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja, akan dijatuhi hukuman m4t!. Seorang sejarahwan terkemuka dari zaman silam, Diodorus, pernah mencatatkan satu insiden di mana seorang warga Rom secara tidak sengaja terbvnvh seekor kucing. Beliau lantas dikenakan hukuman setimpal.

Sebagai haiwan yang dihormati dan dilindungi, sebahagian kucing bahkan turut dimumiakan sama seperti manusia. Kadangkala, ia dimumiakan sebagai haiwan peliharaan yang disayangi, dengan harapan ia dapat bersatu semula dengan tuannya di alam sana. Namun, kebanyakan kucing dimumiakan atas tujuan keagamaan yang sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan kematian manusia. Mumia-mumia kucing sebegini lazim dijadikan sebagai barang pemujaan yang dipersembahkan kepada dewa-dewi.

Mumia kucing

Pada tahun 1888, seorang petani Mesir menjumpai sebuah makam yang mengandungi lebih 80,000 mumia kucing di pinggir bandar Beni Hasan. Semenjak itu, ahli-ahli arkeologi mula menemui lebih banyak makam kucing. Cuma malangnya, kebanyakan makam tersebut telah dir0mp4k sebelum sempat ianya dikaji oleh pakar; misalnya dilaporkan bahawa pada kurun ke-19 M, sebanyak 180,000 mumia kucing dilarikan ke Britain untuk diproses menjadi baja.

Walaupun kultus pemujaan kucing tidak lagi wujud pada hari ini, haiwan tersebut kekal menjadi salah sebuah simbol utama tamadun Mesir purba lebih-lebih lagi tugu Sphinx masih berdiri dengan megah sebagai mercu budaya bagi negara Sungai Nil tersebut.

TERJEMAHAN

Riley Winters. (9 Mei 2015). The Veneration and Worship of Felines in Ancient Egypt. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/veneration-and-worship-felines-ancient-egypt-003030


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.