Setiap bangsa pasti miliki kepercayaan terhadap sesebuah hari, tarikh ataupun nombor yang dikatakan membawa nasib buruk. Antaranya kita seringkali beranggapan malam jumaat adalah hari untuk akak cantik, kak lang dan bang cong bersuka ria. Maka kita semua tidak digalakkan untuk keluar pada malam dan hari tersebut.
Bagi masyarakat barat pula, nombor 13 memberi igauan buruk ataupun ketakutan kepada mereka. Hal ini anda boleh lihat di barat kerana mereka sangat tidak menyukai nombor 13. Mereka punya benci tu sampai tingkat 13 digantikan dengan 12A di dalam bangunan. Malah pada setiap tarikh ke-13, ramai yang akan duduk sahaja di rumah kerana paranoid nasib buruk bakal menimpa mereka.
Persoalannya macam mana masyarakat barat yang maju tu boleh takut sehingga terkencing dengan nombor 13?
Ketakutan terhadap nombor 13 dipercayai muncul hasil daripada tradisi Kristian yang dipegang oleh masyarakat barat. Menurut tradisi tersebut, Jesus telah dikhianati oleh Judas yang merupakan tetamu ke-13 dalam peristiwa Santapan Terakhir. Situasi itu telah membuatkan Jesus telah disalib sehingga mati oleh pihak pemerintah pada hari Jumaat. Maka dari situ muncul kepercayaan bahawa nombor 13 terutamanya setiap 13hb yang jatuh pada hari jumaat dianggap membawa sial. Masyarakat barat juga percaya bahawa pada tarikh 13hb hari jumaat, pembunuhan pertama telah terjadi di dunia.
Walau bagaimanapun, ketakutan terhadap nombor 13 ini bukan sahaja muncul dalam tradisi Kristian tetapi turut wujud dalam masyarakat lain. Antaranya dalam mitologi Viking, Loki yang dipercayai tuhan ke-13 telah membuat onar dalam majlis di Valhalla sehingga menyebabkan dewa Baldr mati. Dari situ muncul kepercayaan bahawa jika anda berkumpul 13 orang, nescaya salah seorang akan pergi ke alam sebalik mata.
Seterusnya, ketakutan terhadap nombor 13 telah wujud seawal era tamadun Mesopotamia. Hal ini dapat dibuktikan apabila catatan mengenai nombor 13 telah wujud dalam Kod Hammurabi yang bertarikh sekitar tahun 1760 sebelum masihi. Bermakna dari dulu lagi manusia memang takut kepada nombor 13 dan mungkin orang Mesopotamia telah menyebarkan ketakutan tersebut ke seluruh dunia. Buktinya, nombor 39 yang merupakan ganda 3 kali bagi nombor 13 dianggap sebagai malang di beberapa kawasan di Afghanistan.
Sekarang ini betul ke nombor 13 memang bawa malang dan sial?
Katanya ketakutan terhadap nombor 13 bermula pada tarikh 13 Oktober 1066 yang menjadi hari terakhir pemerintahan King Saxon Harold II sebelum dibunuh oleh Duke of Normandy, William. Ditambah lagi dengan penahanan dan pembunuhan Knights Templar dalam Perang Salib oleh Raja Perancis pada 13 Oktober 1307.
Peristiwa paling besar yang menunjukkan nombor 13 membawa malang adalah kegagalan pesawat Apollo 13 mendarat di bulan. Ada yang mendakwa kegagalan itu disumbangkan oleh nombor 13 kerana secara kebetulan nama Apollo 13 dan pesawat berlepas pada pukul 13:13. Bermula dari situ, masyarakat barat akan sedaya upaya mengelak daripada nombor 13.
Buktinya terdapat beberapa pesawat penumpang di barat tidak menyediakan kerusi bernombor 13. Malah di Formula 1, tiada kereta yang sudi membawa nombor 13. Pesawat F-13 juga tidak wujud di Amerika Syarikat kerana pilot di sana bimbang nombor 13 akan membawa kecelakaan. Bagi kita pula nombor 13 membawa erti yang paling pilu kerana tarikh 13 Mei 1969 mencatatkan satu peristiwa buruk buat Malaysia.
Kesimpulannya, mungkin setiap peristiwa yang melibatkan nombor 13 hanya kebetulan semata-mata. Tapi bagi sesetengah orang itu adalah satu petanda. Samalah macam kita, bila tiba malam jumaat terus takut dengan hantu.
RUJUKAN:
Fritscher, L. (2020, November 20). Triskaidekaphobia or fear of the number 13. Verywell Mind. Dipetik daripada https://www.verywellmind.com/triskaidekaphobia-2671880
Handwerk, B,. & Roach, J. (2015, November 13). Where our fear of friday the 13th came from. National Geographic. Dipetik daripada https://www.nationalgeographic.com/culture/article/151113-friday-13-superstition-phobia-triskaidekaphobia-culture
Maranzani, B. (2021, Ogos 10). What’s so unlucky about the number 13? History. Dipetik daripada https://www.history.com/news/whats-so-unlucky-about-the-number-13
Nasron Sira Rahim. (2015, Mei 30). Siri misteri: Sumpahan angka 13. Berita Harian. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/58041/siri-misteri-sumpahan-angka-13
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih